Jumaat, 25 September 2009

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Sampai bila pengguna jalan raya harus dipantau polis, JPJ?

SEBANYAK 210 pengguna jalan raya terbunuh pada hari ke-12 Ops Sikap Ke-20, di sebalik harapan kerajaan untuk mengurangkan angka kematian semasa musim perayaan kali ini.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) telah bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk memastikan angka korban akibat nahas jalan raya pada musim perayaan dapat diturunkan dari tahun ke tahun.

Tahun ini tiada bezanya. Dalam tempoh 12 hari Ops Sikap ke-20 dilaksanakan, bilangan nyawa yang terkorban meningkat 210 orang. Jumlah mangsa korban ini sudah melebihi catatan Ops Sikap Ke-17 pada Aidilfitri tahun 2008 iaitu 208 orang dan mungkin menghampiri atau mengatasi angka 225 orang korban pada tahun 2007.

Bermakna purata kematian di jalan raya setakat 12 hari ialah 17.5 orang sehari. Kesesakan pulang kembali ke kota selepas bercuti panjang mungkin bertambah pada hujung minggu ini. Kita amat bimbang keselamatan pengguna jalan raya sekarang.

Dengan kadar kematian 18 orang setiap hari, ia suatu gambaran yang menakutkan. Bermakna setiap 1 jam 20 minit mungkin ada ahli keluarga dan rakan kita menemui ajal di jalan raya.

Semasa Ops Sikap pertama dilaksanakan pada hujung tahun 2002 dahulu, purata kematian ialah 14.9 orang sehari. Angka itu terus terkatung-katung dalam kadar yang sama dari tahun ke tahun. Ops Sikap ke-15 pada akhir 2007 turut mencatatkan purata 14 kematian sehari.

Menurut laporan WHO Global Safety Report on Road Safety 2008, Malaysia mencatatkan 16.8 juta kenderaan berdaftar pada 2007.

Secara purata, kadar kematian di jalan raya Malaysia bagi 10,000 kenderaan ialah 3.7. Sedangkan sasaran negara ialah 2.0 kematian bagi 10,000 kenderaan menjelang 2010. Kadar 3.7 kematian yang dicatatkan di negara ini lebih tinggi berbanding dengan Indonesia (2.6), Singapura (2.5), Filipina (2.1) dan Brunei (1.8).

Apabila kita banding dengan negara yang mempunyai jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, Australia misalnya yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar yang tinggi dan kurang pemilikan kereta persendirian mencatatkan kadar kematian di jalan raya hanya 1.1 sahaja bagi 10,000 kenderaan.

Amerika Syarikat yang mempunyai jumlah penduduk yang besar pula mencatatkan 1.7 kadar kematian jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan, manakala United Kingdom berada pada 1.0 dan Jerman (0.9). Di negara maju seperti Jepun dan Switzerland merekodkan kadar paling rendah 0.7 kematian.

Persoalan yang patut ditanya kepada diri kita - kenapa negara-negara tersebut tidak banyak kehilangan aset sumber manusia di jalan raya pada setiap tahun? Kita patut sedar bahawa kemalangan jalan raya dan masalah yang berkaitan dengannya menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan jumlah kemalangan maut yang tinggi dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau hairan mengapa jumlah korban nahas terus meningkat meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan selama ini.

Bagaimanapun, jawapan kepada masalah ini boleh difikirkan berdasarkan kenyataan Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof. Kehadiran kira-kira 2,500 polis trafik dan anggota biasa dari pelbagai jabatan polis yang bertugas terutama di 377 lokasi yang dikenal pasti cenderung berlaku kemalangan, didapati mampu mengurangkan kemalangan di kawasan tersebut.

Namun katanya, kawasan yang diklasifikasikan tidak berkecenderungan tinggi berlaku kemalangan yang mana pihak polis kurang memberi tumpuan pula menunjukkan peningkatan kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, ini menunjukkan pemandu bersikap sambil lewa dan gagal mematuhi pemanduan selamat apabila ketiadaan pihak berkuasa.

Adakah ini menunjukkan pemandu-pemandu Malaysia memerlukan lebih pemerhatian polis demi keselamatan nyawa mereka?

Sampai bila agaknya pengguna jalan raya di Malaysia harus menyerahkan keselamatan nyawa mereka untuk dipantau sepenuhnya oleh PDRM, JPJ atau agensi-agensi yang berkaitan?

Cuba kita bayangkan apa akan berlaku jika pergerakan serta keselamatan pengguna jalan raya tidak dipantau pihak berkuasa.

Kehadiran anggota polis secara fizikal mungkin tidak sesuai bagi mengawal perjalanan kenderaan sepanjang musim-musim perayaan. Adakah inilah masanya kita mencuba kawalan melalui teknologi?

Kita minta pihak berkuasa yang berkenaan melihat pendekatan ini? Ini adalah soal menyelamatkan nyawa. Ingat seseorang mungkin menemui ajal setiap 1 jam 20 minit.

Semua pemandu kenderaan juga tahu punca berlaku kemalangan adalah kerana faktor sikap, keadaan kenderaan, mutu jalan, pematuhan undang-undang serta tahap kelajuan. Kenapa orang Malaysia susah untuk berubah sikap?

Memandangkan Ops Sikap ke-20 yang akan berakhir Ahad ini, kita berdoa agar pengguna jalan raya akan selamat. Semua pihak mesti memainkan peranan bagi memastikan jalan raya kita selamat. Selain usaha pihak berkuasa menyelia dan memantau pergerakan lalu lintas, peranan pihak pengguna sendiri amatlah besar ke arah mengurangkan musibah di jalan raya.

Pemanduan secara lebih berhemah dan lebih berwaspada sudah tentu menyumbang kepada perjalanan yang selamat kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. Pengurangan kemalangan bermakna akan berkuranglah risiko kematian.

Berhati-hatilah di jalan raya.

Sumber : http://www,utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan