Sabtu, 11 Julai 2009

TRAGEDI CINTA NATRAH


PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.


Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.


Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.


Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.


Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.



TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.


Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.


Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.


Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.


Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.


"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.


"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.


"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang. "Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.


Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.


"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.


"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.


Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.


"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.


Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.


"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.


"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.


"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...


"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...


"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.


Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.


"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.


Sumber : http://www.kosmo.com.my/

BAHASA MALAYSIA MODAL KEPANDAIAN BERSAING

Minda BAHA ZAIN ( bahazain.blogspot.com)

Rangka strategi jadi medium pengantar ilmu pengetahuan canggih

KEPUTUSAN Kabinet menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), walaupun terlambat, adalah tindakan waras yang boleh ditafsirkan dengan banyak pengertian.

Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meredakan penentangan terhadap kerajaan dan membersihkan Kementerian Pelajaran daripada dituduh menjadi tempat menjerut leher kemajuan bahasa Malaysia (BM).

Muhyiddin sudah membuktikan keberanian dan integriti sebagai pemimpin untuk membuat keputusan.

Sekarang marilah kita bersama-sama mencari kejelasan fikiran untuk memetakan masa depan bangsa dan bahasanya.

Pertama, perlu difahami bahawa penentangan PPSMI bukan penentangan terhadap bahasa Inggeris dan bukan kerana sebab utama PPSMI menyusahkan murid-murid walaupun itu faktor yang penting.

Premis utama penentangan terhadap PPSMI ialah kerana ia akan membantut perkembangan bahasa kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu.

Inilah sebab penting dan utama, dan jangan dikelirukan dengan sebab lain yang mengikutinya.

Perjuangan terpenting kebahasaan ialah untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu supaya ia menjadi wahana dan wadah tamadun yang besar.

Justeru, sebarang tindakan untuk mengurangi kedudukan serta fungsinya adalah suatu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu dan cita-cita kebangsaan.

Pemersatuan masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan pembangunan tamadun moden Malaysia, harus berasaskan tradisi tempatan, dan perkara yang pokok dalam Perlembagaan Persekutuan. BM menjadi saluran menyemaikan jati diri serta nilai tradisi dan moden yang relevan.

Bahasa Malaysia harus berfungsi sebagai pengantar ilmu, dan sekali gus membina watak dan etos bangsa Malaysia yang saling bekerjasama dan patriotik.

Pemimpin kita harus berterus terang dalam hal ini, dan jangan dibayangi oleh tuntutan yang taksub terhadap bahasa Inggeris.

Faktor bahasa dalam hal pembinaan negara bangsa bukan faktor kecil, dan bukan boleh saja diambil alih oleh bahasa asing (Inggeris) yang dianggap akan mengatasi segala masalah ilmu dan ketamadunan seperti lampu ajaib Aladin.

Pemimpin atau sesiapa saja yang berfikir begitu tidak bertanggungjawab terhadap tradisi dan kebudayaan bangsanya.

Dia adalah orang yang kehilangan akar budaya kerana fikirannya terbelenggu dan terpukau dengan kemajuan teknologi serta kebendaan Barat.

Dalam kepercayaannya untuk menyaingi atau menyamai Barat, kita diajak untuk mengajuk dan meniru Barat.

Oleh sebab jiwa kita sudah dijajah oleh Inggeris, dan elit bangsa kita dididik dalam bahasa Inggeris, baik di negara ini atau di United Kingdom, Amerika dan Australia, maka kita tak nampak bahasa lain dan cara lain lagi.

Sepatutnya apabila sudah terdidik seseorang itu menjadi lebih inovatif berfikir dan bebas daripada terperangkap dalam segala 'keinggerisannya.'

Apa yang patut difikirkan secara mendalam dan teliti ialah bagaimana memelihara BM supaya jangan dimundurkan lagi, dan jangan memundurkan masyarakat.

Strategi apa yang patut dirangka untuk memajukannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang canggih kerana dengan demikian orang tidak berprasangka terus bahawa BM sebagai bahasa kelas kedua sehingga menganggap bahawa bahasa Inggeris itu adalah lampu ajaib yang berdaya menyelesaikan hidup matinya, di dunia dan di akhirat. Kekeliruan inilah yang patut diperbetulkan dalam fikiran pemimpin politik, ekonomi, pendidikan dan sosial pada hari ini.

Keyakinan ibu bapa terhadap bahasa kebangsaan harus dipulihkan setelah sejak 2002, bertubi-tubi pemimpin mendiayah pentingnya mendahulukan bahasa Inggeris dalam pelajaran anak.

Tidaklah bijak melawan diayah itu dengan diayah balas mempromosi BM dengan impian yang kosong lagi palsu.

Keyakinan terhadap BM bergantung sejauh mana ia boleh menambah ilmu pengetahuan, menjadi modal kepandaian untuk bersaing dan alat komunikasi pada lapisan sosial atasan atau elit.

Justeru, pengukuhan BM sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan harus dikaitkan dengan konteks di sekitarnya; dalam sektor swasta dan kerajaan.

Tokoh politik, pegawai perkhidmatan awam, elit perniagaan dan pemimpin kemasyarakatan pula mesti menunjukkan contoh bahawa mereka fasih dan lancar berucap dalam bahasa kebangsaan.

Kalau tidak BM itu menjadi sebuah pulau terasing yang dipentingkan di bilik darjah saja, tetapi tidak dipentingkan dalam kehidupan praktikal setiap hari di luar pagar sekolah.

Sehubungan ini, inginlah disyorkan kepada Timbalan Perdana Menteri meninjau bagaimana BM boleh diperkasa supaya betul-betul maju di tengah-tengah masyarakat yang luas sederap dengan usaha pemartabatannya di sekolah.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka

Di bawah bidang kekuasaan Menteri Pelajaran ada dua institusi penting kebahasaan yang patut dimanfaatkan bagi membina kemajuan bahasa, dan memperkukuh statusnya dalam masyarakat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu-satunya institusi yang cukup unik di dunia: bertugas merancang dan membina bahasa kebangsaan, sastera kebangsaan, dan penerbitan.

Tidak ada institusi pengembangan bahasa lain di dunia yang begitu khusus serta penting tugasnya seperti DBP.

Ia perlu melangkah ke satu tahap baharu perancangan kebahasaan dan penerbitannya dengan menyusun strategi khas ke arah membina BM sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden.

Penggubalan istilah teknikal ribuan disiplin ilmu hendaklah dipergiatkan bagi menambah ratusan ribu istilah yang sudah berjaya disediakan DBP. Penyebarannya kepada pengguna pada zaman ini jauh lebih mudah melalui teknologi maklumat dan komunikasi.

Judul baru ensiklopedia, kamus, glosari, atlas dan sebagainya dirancang penyusunannya.

Penerbitan karya ilmiah dan ilmiah popular harus diperbanyakkan, dan karya lama yang penting dicetak ulang supaya bahan-bahan perpustakaan bermutu dalam bahasa kebangsaan sampai ke pasaran.

Kecanggihan teknologi maklumat bukan saja telah mempercepat penulisan, penyuntingan dan pengeluaran buku secara konvensional, malahan mempermudah pencapaiannya secara elektronik. Semuanya ini namun bergantung pada kecekapan pengurusan dan sistem penyampaiannya.

Budaya Terjemahan dan ITNM

Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kepemimpinan pengarah urusannya hari ini memperlihatkan ketangkasan luar biasa menterjemah dan melonjakkan imej karya sasterawan tempatan bukan saja di dalam, tetapi juga di luar negara.

Sebagai syarikat berhad ia harus beroperasi berdasarkan keuntungan. Penerbitan buku terjemahan ilmu pengetahuan dalam bahasa kebangsaan adalah sukar.

Demikian juga untuk menterjemahkan karya tempatan ke bahasa-bahasa antarabangsa, lagi lebih sukar dan tinggi kosnya.

Oleh itu adalah penting Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan mempunyai satu sikap baru yang lebih dinamik dan keazaman politik bagi menjadikan budaya terjemahan sebagai pintu masuk aneka ilmu daripada pelbagai bahasa dunia (Jepun, Cina, Korea, Jerman, Sepanyol, dan Perancis) secara langsung.

Karya klasik tempatan dan Malaysiana pula diterjemah dan diedarkan ke dunia luar untuk memperkenalkan imej negara dan kesedaran asing terhadap khazanah Malaysia.

Melalui ITNM yang ahli dalam pelbagai aspek pengurusan dan pemasaran hasil penterjemahan, DBP dapat pula menyalurkan ratusan judulnya kepada ITNM bagi memperluas pengedarannya dan pendapatan pengarang.

Dengan demikian DBP boleh menumpukan perkhidmatannya menghasilkan kerja yang lebih besar seperti penyusunan kamus, ensiklopedia, glosari, dan penyelidikan bahasa sastera sastera, tanpa bertindan tindih kerja dengan ITNM.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Nota hujung : "Baharuddin Zainal ialah pengkritik sastera yang cukup berjaya. Ia sebenarnya berjaya akibat daripada sikap berhati-hati yang ada padanya, dan sikap itu sentiasa dipeliharanya. Sikap berhati-hati itu menyebabkan kritikannya kerap kali mengandungi isi yang bernas, dan isi itu disampaikan melalui bahasa yang kreatif. Elok saya tegaskan , bahawa tidak besar jumlah pengkritik sastera yang berkeupayaan membina bahasa yang kreatif." -- Prof. A. Rahman Shaari.

CARA URUS OSTEOPOROSIS

OSTEOPOROSIS sememangnya satu masalah yang dialami oleh 200 juta wanita serta lelaki di seluruh dunia. Di Malaysia saja, dianggarkan sejuta orang berhadapan dengan risiko osteoporosis dengan 20 peratus daripadanya adalah lelaki.

Osteoporosis berkaitan dengan masalah keretakan pada tulang turut menjadi masalah utama kesihatan terutama di kalangan warga tua. Pada 1997, kejadian keretakan pinggul di Malaysia di kalangan mereka yang berusia 50 tahun ke atas adalah dalam nisbah 90 bagi setiap 100,000 individu.

Tidak dinafikan wanita adalah antara tiga hingga lima kali lebih berisiko berhadapan dengan keretakan pinggul berbanding lelaki. Bagaimanapun, perlu juga diketahui 60 peratus kes osteoporosis disebabkan faktor genetik.

Namun, kekurangan mengambil kalsium hanya meningkatkan lagi masalah osteoporosis. Begitu juga dengan amalan gaya hidup seperti menghisap rokok, mengambil alkohol, pemakanan tidak seimbang dan tidak bersenam turut menyebabkan kehilangan isi padu tulang.

Wanita yang merokok sebenarnya ‘membantu’ menurunkan tahap estrogen yang kemudian menyebabkan kehilangan densiti atau kepadatan tulang sebelum putus haid.

Bagaimana menguruskan osteoporosis dengan baik? Mulakan dengan bersenam. Bersenam dengan kerap dan teratur membantu menguatkan tulang dan otot sekali gus mencegah kehilangan densiti tulang. Kegiatan seperti berjalan, berlari, bermain tenis atau menari adalah antara senaman yang baik untuk mencegah osteoporosis.

Selain itu, diet yang diperkaya kalsium membantu menguatkan tulang. Produk tenusu, roti sayur-sayuran berdaun hijau antara makanan kaya kalsium. Mengambil vitamin D juga penting kerana ia membantu tubuh menyerap kalsium. Punca vitamin D semula jadi adalah cahaya matahari.

Tiada rawatan untuk osteoporosis, namun kombinasi perubahan gaya hidup dan ubat ubatan membantu memperlahankan masalah itu. Meningkatkan densiti tulang mengurangkan risiko keretakan.


Prof Chan Siew Pheng,
Perunding Kanan Endokrinologi
Pusat Perubatan Universiti Malaya.

SUMBER : http://www.bharian.com.my/

ETIKA BERTUTUR DALAM ISLAM

Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa: Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain.

Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.”

Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.

Mempersendakan

Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie melukiskan perwatakan Nabi Muhamad SAW sebagai karikatur dan mempersendakan baginda. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu.

Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad telah lupa bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan bahawa: Seorang Mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.

Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya.

Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.

Rasulullah SAW adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.

Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhamad SAW agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan: “Saya memukul dengan tangan”, “saya memukul dengan kasut” dan “saya memukul dengan baju.”

Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan semoga Allah SWT menghinamu! Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya.

Daripada Abu Darda r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Aku memohon kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat.

Begitulah citra peribadi Rasulullah SAW, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.

Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau sikap lalai. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat. (Surah Al-Fatihah: 6-7)

Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu.

Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.

Seorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejian itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.

Firman Allah yang bunyi: Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji. (Surah Al-Humazah:1)

Dalam ayat ini, Allah SWT mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.

Sesungguhnya Allah SWT itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor. (Surah An-Nahl: 25)

Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim.

Ini kerana kerja-kerja mencarut adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada sifat yang buruk.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

TEKS UCAPAN NAJIB SEMPENA 100 HARI MEMEGANG TERAJU PEMERINTAHAN NEGARA


Peluang lebih baik, adil untuk semua

SEJAK mula mengambil alih pemerintahan negara pada 3 April 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan kesungguhan beliau dalam membawa perubahan berasaskan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Semalam genap 100 hari beliau memimpin negara ini dan Najib telah membuktikan hanya dalam tempoh berkenaan banyak perubahan telah dilakukan demi untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Berikut adalah ucapan beliau sempena “100 hari Perdana Menteri bersama rakyat” yang diadakan di Exhibition Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) semalam.

Sesungguhnya hari ini adalah hari rakyat Malaysia, rakyat 1Malaysia sebab itulah sempena seratus hari saya memegang teraju pemerintahan negara saya mempunyai opsyen atau pilihan.

Mula-mula saya fikir elok saya buat ucapan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara siaran langsung tetapi bila saya fikir punya fikir kalau buat siaran langsung tidak ada di sisi rakyat maka saya tidak dapat mengiyakan konsep rakyat didahulukan.

Maka timbul cadangan supaya kita adakan satu perhimpunan yang bukan sebarangan perhimpunan tetapi satu perhimpunan yang bercorak yang mencerminkan dokongan 1Malaysia.

Satu perhimpunan yang mana kita tidak mementingkan duduk di mana kita tidak pentingkan soal protokol kita tidak penting ada kompang ada bunga manggar tetapi yang penting kita dapat bersama-sama dengan rakyat Malaysia.

Dan hari ini saya bersama rakyat saya melihat di dalam himpunan ini tidak ada batas antara kita menteri duduk bertimpuh di bawah.

Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Kira-kira seratus hari yang lalu, bersamaan 3 April, pada tarikh lantikan sebagai Perdana Menteri saya telah tampil menggariskan hala tuju pentadbiran kerajaan.

Dalam tempoh sebelum-sebelum ini saya telah banyak membuat ketetapan dan siri pengumuman berkisarkan usaha seperti merangsang ekonomi, langkah-langkah peningkatan daya saing negara dan inisiatif menarik minat pelabur asing, membebaskan tahanan-tahanan ISA dan beberapa inisiatif lain.

Namun, pada pagi yang ceria ini, saya mahu menumpu dan memberi fokus untuk bercakap tentang hal ehwal rakyat. Ucapan ini adalah ucapan yang cakna terhadap aspirasi rakyat Malaysia. ‘‘Hari ini merupakan hari yang membincangkan soal rakyat Malaysia’’. Teringat saya pantun orang tua-tua kita ‘‘Kalau tidak kelapa Puan, tidak juga kelapa bali, kalau tidak kerana tuan-tuan dan puan-puan, manakan saya berada di sini’’.

Jika diimbas, sejak mula mengambil alih pucuk pimpinan negara, saya telah menggagaskan pentadbiran kerajaan dipaksikan atas konsep 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa konsep 1Malaysia dan mengapa ia menjadi landasan pentadbiran saya?

Jawapannya mudah, kerana, bagi saya kita adalah satu keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya mahu pun kepercayaan. Justeru, setiap warga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan maju atau mundur, berjaya atau gagal negara yang tercinta ini. Hakikatnya, sama ada kita orang Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Orang Asli, kaum-kaum lain termasuk orang keturunan Siam yang menetap di sini adalah penting untuk kejayaan Malaysia.

Sebagai seseorang pemimpin saya boleh memilih pendekatan untuk duduk dan menunggu di bilik berhawa dingin dalam pejabat untuk mendengar taklimat atau sekadar menerima laporan yang belum tentu pasti ceritanya. Pada saya seorang pemimpin akan lebih dianggap prihatin dan berjiwa rakyat kalau kita sanggup sanggup turun ke bawah dan melihat dengan mata kepalanya sendiri penderitaan rakyat, mendengar rintihan, keluh kesah juga merasai gundah gulana mereka sekali gus mampu meresapi denyutan nadi rakyat yang dipimpinnya.

Sebab itu saya ambil pendekatan tinjauan mesra, jadi bermulalah pendekatan tinjauan mesra.

Lantas, saya telah turun padang bermula hari kedua saya menjadi Perdana Menteri untuk membuat tinjauan-tinjauan mesra. Ia bermula di Petaling Street untuk melihat keadaan peniaga-peniaga Cina kita.

Di sana, mereka memohon agar bumbung utama digantikan dan ditambah bumbung kepada gerai-gerai individu. Hasilnya, pada Isnin ini Menteri Wilayah Persekutuan akan mengumumkan perincian projek penggantian dan tambahan bumbung berkenaan.

Saya kemudian telah membuat tinjauan mesra ke pangsapuri Vista Angkasa kawasan Kerinci. Saya terkejut melihat keadaan suram dengan bangunan yang hitam. Masalahnya, bukan hitam manis tapi hitam kusam. Lebih mengejutkan saya lifnya berada dalam keadaan uzur. Mereka mengadu lif itu selalu rosak. Hal ini sungguh membuatkan saya berasa simpati dan terus mengarahkan tindakan diambil untuk pembaikan. Hasil tinjauan ini, saya boleh melaporkan bahawa 65 peratus kerja-kerja pembersihan dinding dan cat asas selesai, 95 peratus kerja mengecat bangunan parking selesai, 100 peratus kerja penyambungan kabel telefon di blok 2, 5 dan 8 selesai manakala kerja-kerja membaiki lif akan dimulakan dalam waktu yang terdekat.

Kemudian pula saya ke Brickfields pula bagi meninjau kebajikan peniaga-peniaga India. Mereka telah memajukan kepada saya permohonan untuk menambah baik prasarana di kawasan tersebut. Kita menyambut baik hasrat rakyat ini dan telah bersetuju bahawa kawasan ini nanti akan dibangunkan sebagai Little India yang lebih terancang.

Apa yang menarik, semasa di sana saya telah berkesempatan untuk menikmati teh tarik dan makan tosai di Restoran Sri Kortumalai. Saya cukup terharu apabila mengetahui bahawa tauke restoran iaitu Encik S. Paramasivam yang cekap dalam pemasarannya. Beliau menamakan sudut tempat saya minum itu sebagai Najib’s Corner.

Saya juga telah pergi untuk tinjauan mesra di Puduraya setelah mendengar rungutan ramai pihak sejak sekian lama mengenai pelbagai kemelut yang melanda nadi pengangkutan awam rakyat ini. Saya menyaksikan sendiri bagaimana keadaan bangunan yang sangat daif dan tidak selesa bukan sahaja untuk para penumpang tetapi juga syarikat-syarikat pengangkutan dan para peniaga yang telah beroperasi selama puluhan tahun. Keputusannya, saya telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM44 juta yang mana RM30 juta ialah untuk UDA bagi membaik pulih bangunan dan RM14 juta lagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya. Hasilnya, hari ini sudah jauh bertambah elok dari keadaan terdahulu.

Selanjutnya saya juga telah berkunjung ke Kampung Picin, Batang Ai, Lubuk Antu, Kampung Bintawa dan pasar malam di Sibu, Sarawak. Saya berkunjung ke Pasar Kraf dan Pasar Besar di Kota Kinabalu. Setiap tempat yang saya lawat, saya telah meluluskan peruntukan bagi memenuhi kehendak rakyat.

Terbaru saya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama anak-anak kita yang baru mendaftar. Saya dan isteri meluangkan masa bersenam dan melawat asrama serta tempat mereka belajar untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang dirasai oleh para pelajar institusi pengajian tinggi. Itulah antara siri tinjauan mesra saya. Ternyata siri tinjauan ini telah membolehkan saya secara langsung menyelami sendiri aspirasi dan keprihatinan rakyat di luar sana.

Dari itu Alhamdulillah, dengan rahmat yang Maha Esa jua, genaplah 100 hari ini, saya menjunjung amanah sebagai Perdana Menteri dan sekali lagi saya berdiri dengan penuh sukacita melaporkan beberapa kemajuan perkara yang telah dirancang dan sedang dilakukan sejak hari yang pertama. Segala rencana dan susunan agenda itu merangkumi pertamanya: Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi, keduanya: Hak asasi manusia dan kebebasan media serta ketiganya: Peningkatan kecekapan penjawat awam juga keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatannya.

Seterusnya pula, seawal memegang tampuk pentadbiran tertinggi negara, saya telah mengumumkan KPI atau Indeks Petunjuk Prestasi bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan. Tujuan saya mewujudkan KPI bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam ini adalah untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka.

Baru-baru ini pula, demi untuk mencapai matlamat KPI tersebut dengan lebih berkesan saya telah menggariskan NKRA atau bidang-bidang keberhasilan utama nasional yang meliputi 6 lapangan:

*Mencegah Jenayah.

*Memerangi Rasuah.

*Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

*Meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.

*Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.

*Menambahkan baik Pengangkutan Awam sebagai jangka masa sederhana.

Sesungguhnya, semua yang digagas dan dirangkakan ini, tidak lain dan tidak bukan untuk menjayakan kerangka maksud 1Malaysia. Sudah menjadi lumrah alam, tentu ada yang menyokong dan tentu ada yang menentang.

Waima apa pun, sebagai Perdana Menteri untuk semua saya berpegang teguh pada prinsip bahawa tugas besar ini adalah satu amanah daripada rakyat. Makanya, saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan menyingsing kudrat untuk mencari penyelesaian-penyelesaian seraya membuat keputusan-keputusan demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan.

Ertinya, sebagai Perdana Menteri yang dipilih, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada kebajikan tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, saya sentiasa bersikap objektif melaksanakan semua tugas mulia ini dengan penuh ketetapan. Jika tidak, negara dan rakyat akan terumbang ambing dengan ketidakpastian. Malah dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan saya tidak membuat sesuatu secara berwenang-wenang jauh sekali secara semberono.

Lantaran itu, melihat kepada tuan-tuan dan puan-puan, berkumpul dalam dewan ini, rata-rata terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, ditambah dengan ratusan wajah anak-anak cilik di depan saya, seakan meresap dan bersemarak ke seluruh anggota satu semangat dan keyakinan yang membumbung bahawa apa yang kita sedang gemblengkan ini bukanlah satu angan-angan atau fatamorgana.

Tugas kita adalah amat besar. Kita haruslah membina Malaysia di mana semua anak-anak kita mempunyai peluang untuk mengoptimumkan potensi masa depan mereka. Malaysia, di mana setiap anak-anak kita merasakan mereka dihargai dan mempunyai peluang untuk hidup berjaya di hari muka. Kerana merekalah sebenarnya generasi 1Malaysia.

Dalam hal ini juga saya ingin tegaskan, tidak ada rakyat kelas kedua atau ketiga. Semua berhak mendapat peluang yang sama sekiranya betul-betul berkebolehan. Kerana itulah, kita kini ingin mengiktiraf the best and the brightest. Saya beraspirasi mencipta satu sistem untuk mengiktiraf yang terbaik dan berbakat di kalangan anak-anak muda kita.

Hakikatnya, alangkah malang jika ada anak Malaysia terpaksa berhijrah untuk bakatnya di iktiraf. Alangkah ruginya negara kita. Oleh itu apa yang saya ingin katakan di sini adalah, kita boleh menyedia dan menjanjikan garis pemula yang sama tetapi mana mungkin kita dapat menghamparkan hasil pengakhiran yang sama. Maka dengan yang demikian, terpulanglah kepada rakyat Malaysia untuk merebut peluang yang terbentang.

Kendatipun, negara sedang berada di dalam kemelut ekonomi yang diakibatkan kemelesetan global tidak bermakna kita harus putus asa dan menyerah kalah dengan situasi. Pentadbiran saya komited untuk meringankan sedikit sebanyak beban yang sedang ditanggung oleh tuan-tuan dan puan-puan di samping menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pemulihan di peringkat kebangsaan.

Sehubungan dengan itu suka saya mengumumkan beberapa langkah yang akan kita ambil bagi membolehkan beban rakyat dikurangkan, kesejahteraan rakyat dipastikan dan kemakmuran negara dikongsi oleh semua.

Pengumuman pertama - Setelah mendengar rintihan rakyat yang menggunakan tol malah ada yang memberitahu saya yang dia pergi ke tempat kerjanya dengan bayaran tol hampir RM300 sebulan. Saya tanya berapa gaji, dia kata RM3,000 maknanya gajinya hanya 11 bulan dan bukan 12 bulan kerana satu bulan membayar tol.

Untuk itu kerajaan bersetuju memberi diskaun 20 peratus kepada pengguna kad pra bayar SmartTag dan Touch ‘N yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan. Pemberian diskaun ini adalah sebagai langkah sementara dan akan bermula pada 1 September 2009. Pengguna yang layak boleh menuntut diskaun tersebut semasa membuat tambah nilai di 136 Point of Sales (POS) di lebuh raya utama dan di Ibu Pejabat Touch ‘n Go Sdn. Bhd. Dalam tempoh enam bulan selepas itu, kemudahan ini boleh didapati di mesin-mesin ATM dan stesen minyak utama atau agen yang dilantik di Semenanjung Malaysia.

Program Perumahan Rakyat:

Pengumuman kedua- kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Namun dasar semasa di Wilayah Persekutuan hanya membenarkan mereka menyewa rumah-rumah ini. Bagi mengatasi masalah ini kKerajaan bersetuju membenarkan rumah-rumah tersebut dibuka untuk penjualan bagi penghuni yang sedang menyewa. Jumlah rumah yang ditawarkan untuk tujuan penjualan ini adalah sebanyak lebih kurang 44,000 unit.

Peniaga dan penjaja kecil:

Pengumuman ketiga - Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan semua 69,000 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus kepada pembaharuan dan lesen baru mereka yang berkuatkuasa serta merta. Ini bukan sedikit jumlah potongannya, ia melibatkan antara RM10 hingga RM700 setahun. Jadinya, saya menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga mengambil langkah yang sama.

Pengumuman keempat - Secara umumnya ke seluruh Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk skim TEKUN bagi faedah peniaga dan penjaja kecil. Manakala RM15 juta lagi diperuntukkan khusus untuk kegunaan masyarakat India melalui program pembangunan usahawan muda mereka.

Pengumuman kelima - Penambahan pengeluaran permit teksi. Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menambah permit teksi kepada individu. Setakat ini kerajaan telah memberikan lebih 7,000 permit teksi individu . Di sini, saya umumkan, jumlah permit ini akan ditambah sebanyak 3,000 lagi dalam masa tiga bulan akan datang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN):

Pengumuman keenam-Mencegah Jenayah dan memerangi rasuah. Dalam hal ini, kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah yang berleluasa seperti ragut dan pencurian kenderaan. Perincian langkah-langkah pencegahan konkrit akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

Pendaftaran Kelahiran:

Pengumuman ketujuh-Bersangkutan pendaftaran kelahiran. Saya sedar pendaftaran kelahiran merupakan satu isu yang dekat di hati rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, piak Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat didaftarkan dengan kadar segera.

Untuk Sabah, semenjak 2005 sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah tersebut 92 peratus telah diluluskan. Manakala di Sarawak, semenjak tahun 2005 sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Untuk itu, saya mahukan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) khususnya di Sabah dan Sarawak akan terus diperkemas bagi memberi bantuan dan kemudahan yang lebih luas kepada penduduk di pedalaman untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.

Pengumuman kelapan - Kewarganegaraan, dalam hal kewarganegaraan, untuk makluman, jumlah permohonan yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000. Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, pihak Kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan Permit Masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf Penduduk Tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan Permit Masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan.

Infrastruktur Luar Bandar:

Pengumuman kesembilan - Kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak daripada 750 kilometer yang dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-9 kepada 1,500 kilometer dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 dan di Semenanjung Malaysia, kerajaan akan meningkatkan pembinaan rangkaian jalan demi kemudahan rakyat. Bersangkutan liputan bekalan air yang boleh diminum kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak. Liputan ini akan ditambah menjadi sekurangnya 80 peratus menjelang tahun 2015. Manakala, penekanan yang sama juga akan diberikan kepada liputan bekalan elektrik.

Pengumuman kesepuluh- Saya dapati kos mendapatkan lesen memandu (B2) adalah tinggi iaitu di antara RM500 sehingga RM700. Sehubungan ini sebagai kerajaan yang memahami naluri anak muda, kita memutuskan untuk membantu secara keseluruhan pengguna motosikal mendapatkan lesen memandu mereka dengan mengurangkan kadar bayaran belajar dan kadar lesen memandu. Ini tidak akan menjejaskan kompitensi di mana ujian kelayakan masih lagi dikekalkan. Saya gembira, institut memandu menyambut baik hasrat kerajaan dan telah bersetuju mengurangkan caj bayaran latihan kepada sebanyak RM211. Inisiatif baru ini akan berkuatkuasa mulai 1 September 2009 sempena bulan kemerdekaan.

Penumuman kesebelas - Dalam rangka untuk meratakan kemakmuran Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Skim Amanah Saham Wawasan terutamanya bagi golongan miskin tegar di bandar. Skim ini bertujuan untuk meringankan bebanan mereka terutama di hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak. Menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk melabur, kerajaan telah bersetuju bagi PNB untuk menubuhkan satu lagi tabung unit amanah baru iaitu ‘‘Amanah Saham 1Malaysia (AS 1MALAYSIA)’’. Tabung unit amanah baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini akan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan akan mempunyai saiz sehingga 10 billion unit tertakluk kepada permintaan semasa.

Penubuhan tabung unit amanah baru pada ketika ini adalah sesuai selaras dengan jangkaan pemilihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini. Tabung ini dijangka akan memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang.

Akhir kalam, sesungguhnya langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula dalam perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin. Perjalanan kita ini ibarat sebuah sungai. Sama ada yang memimpin atau dipimpin semuanya mengalir ke arah yang sama. Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak sekalian untuk bersama-sama melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan.