Rabu, 12 Ogos 2009

Cintai Bendera Kebangsaan, Kibarkan Jalur Gemilang

Oleh Zulkiple Ibrahim

Sempena sambutan bulan Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ogos bagi rakyat Malaysia, ialah Bulan Kemerdekaan dan pada 31 Ogos, sebagai rakyat Malaysia mereka akan menyambut ulang tahun kelahiran negara ini di peta dunia sebagai sebuah negara yang merdeka daripada penjajahan.

Dengan pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan, beratus-ratus malahan beribu bendera kebangsaan Jalur Gemilang akan berkibaran di sepanjang jalan di bandar dan kota di seluruh negara serta juga di bangunan-bangunan termasuk kompleks membeli belah dan pejabat kerajaan.

"(Kadang-kadang) terkilan juga, ada juga rakyat Malaysia yang berasa bangga dengan bendera kebangsan pada musim perayaan Bulan Kemerdekaan sahaja," kata seorang kenalan penulis, Wee, yang berasal dari Kelantan.

Kenapa pula? tanya penulis.

"Pada masa-masa yang lepas, ada di antara kita yang begitu bersemangat mengibarkan bendera kebangsaan. Kemuncaknya ialah pada 31 Ogos. Tapi apa jadi selepas itu?

"Setelah selesai upacara sambutan, bendera-bendera (kebangsaan) yang kecil dibiarkan bertaburan terutama yang dilekatkan di atas bumbung kereta dan tercabut. Bendera di atas bangunan dibiarkan lusuh hingga koyak disebabkan cuaca di Malaysia. Bendera ini dibiarkan sebegitu rupa hinggalah musim perayaan tahun depan bila ia ditukar baru.

"Sepatutnya kita bangga dengan bendera kebangsaan kita setiap masa. Bagi rakyat Malaysia, kita patut bersikap patriotik sepanjang masa dan bukan mengikut musim," kata Wee.

Kata-kata itu membuatkan penulis terdiam dan memikirkan senario yang beliau maksudkan.

PATRIOTISME

Kemudian, pada malamnya. Satu iklan tentang Hari Merdeka di telivisyen, menarik perhatian penulis.

Iklan itu menunjukkan seorang penunggang motosikal lelaki separuh umur mencari perlindungan dari hujan lebat. Beliau yang basah kuyup, kemudian berlindung di satu perhentian bas yang turut ditumpangi beberapa anak muda lelaki.

Lelaki separuh umur tadi kemudian terlihat sehelai Jalur Gemilang yang diterbangkan angin dari sebatang tiang berdekatan, ke tengah jalan sebelum terdampar di atas permukaan konkrit dalam hujan lebat itu.

Walaupun beliau nampak sebuah kereta menuju ke arah bendera itu, lelaki berkenaan berlari untuk 'menyelamatkan'nya. Anak muda yang berlindung di situ hanya memerhatikan sahaja.

"Begitulah hendaknya. Kita sebagai rakyat Malaysia, mestilah menghormati, menghargai dan sanggup berjuang untuk mempertahan Jalur Gemilang walau di mana saja", kata Kapten (bersara) Abu Bakar Ibrahim memberi komen mengenai iklan itu.

JALUR GEMILANG

Menurut Arkib Negara, corak bendera Persekutuan Tanah Melayu direka oleh Mohamad Hamzah, arkitek jabatan kerajaan di Johor.

Pada 19 Mei 1950, King George VI memberikan persetujuan beliau terhadap rekaan bendera itu.

Bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Selangor disaksikan Raja-Raja Melayu dan wakil King George VI.

Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia bermakna bendera kebangsaan harus diubahsuai dari segi coraknya.

Bendera Malaysia dikibarkan secara rasminya dengan lahirnya negara Malaysia pada 16 Sept 1963.

Jalur Gemilang sebagai nama bendera Malaysia diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40 di Dataran Merdeka.

Perkataan Jalur menggambarkan bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih (melambangkan empat belas negeri di Malaysia).

Jalur ini juga menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dipegang oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Perkataan Gemilang bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.

Bendera Malaysia Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa jua bidang kehidupan sekali pun di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, dengan penuh tekun, patriotik, kuat dan bersemangat, demi bangsa, negara dan agama.

"Sayangi dan hormati Jalur Gemilang di mana saja. Biarkan ia terus berkibar".

Sumber : http: //www.bernama.com/

Bahasa Melayu patut jadi ukuran perpaduan kaum

Oleh Teo Kok Seong


KEMAHIRAN menguasai bahasa Melayu di kalangan generasi muda pelbagai kaum boleh menjayakan konsep 1Malaysia.

Impian 1Malaysia sukar dicapai jika bukan Bumiputera masih lemah berbahasa kebangsaan

SEMINAR Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini antara lain bertujuan mencari kaedah supaya masyarakat Cina dapat memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, ia juga mendedahkan mengenai satu lagi isu penting berkaitan bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina iaitu tahap penguasaan yang amat rendah, khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan perkataan lain, generasi muda Cina didapati kurang atau tidak cekap menggunakan bahasa Melayu.

Walaupun ramai di antara mereka melalui sistem pendidikan nasional serta penghidupan ala-Malaysia sejak dilahirkan, penguasaan bahasa Malaysia mereka tidak pada tahap kecekapan yang sepatutnya. Malah, dalam hal ini, ada sebilangan belia Cina yang langsung tidak memahami bahasa Malaysia walaupun pada tahap daif iaitu dalam bentuk bahasa pasar. Oleh itu, mereka ini tidak boleh berbahasa kebangsaan langsung.
Banyak persoalan dapat ditimbulkan daripada perilaku kebahasaan negatif ini, khususnya apabila seorang warga negara itu dikehendaki memiliki kefasihan yang baik, atau sekurang-kurangnya sederhana baik sifatnya, mengenai bahasa kebangsaan tanah air dan tanah tumpah darahnya.

Antara soalan penting ialah apa yang sudah terjadi dengan pelbagai sumber untuk penguasaan bahasa Malaysia oleh golongan bukan Melayu, baik yang bersifat pedagogi dalam sistem pendidikan nasional mahupun yang bersifat ekologi yang cukup agam di merata tempat di Malaysia. Sumber ini sudah tentu dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, baik di sekolah atau di luar lingkungan sekolah.

Penguasaan bahasa Malaysia yang amat rendah, yakni pada tahap bahasa pasar saja, pada kebanyakan kesnya hanya memungkinkan masyarakat Cina menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengadakan perbualan asas dan tidak untuk menyampaikan konsep dan gagasan yang lebih kompleks selain menyatakan emosi, apabila berinteraksi dengan masyarakat Melayu selaku masyarakat induk di Malaysia, untuk tujuan integrasi atau tujuan lain.
Dengan kekangan begini yang membabitkan penguasaan hanya beberapa kosa kata asas serta cara penyampaian dalam bahasa Malaysia yang amat terhad, interaksi antara masyarakat Cina dengan masyarakat Melayu tidak mungkin dapat diadakan dengan berkesan, atau barangkali tidak wujud langsung dalam sesetengah kes.

Interaksi yang kurang berkesan atau tiada langsung ini, tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi amat buruk kepada perpaduan antara kaum yang ingin dicapai, khususnya melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

Dalam mempelajari bahasa Malaysia untuk tujuan penguasaan pada tahap yang lebih membanggakan selaku warga negara, masyarakat Cina perlu mengambil orientasi integratif. Antaranya untuk menjadi sebahagian penting daripada negara bangsa Malaysia dan bukan semata-mata atas orientasi instrumental yang menganggap bahasa kebangsaan sebagai satu subjek peperiksaan yang penting.

Dalam soal ini, masyarakat Cina perlu bertindak dalam cara yang lebih meyakinkan bahawa mereka sebenarnya mendukung kuat identiti nasional, melalui penganjuran penggunaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan, walaupun pada masa yang sama, mereka sebenarnya amat kuat melindungi bahasa dan budaya Cina pada kadar yang amat pesat.

Penggunaan bahasa untuk membentuk negara bangsa, yakni melalui promosi bahasa kebangsaan, adalah sesuatu sangat lumrah dalam sejarah dunia, dan memang didapati boleh membawa implikasi yang positif. Dalam konteks ini, selepas Malaysia terbentuk, maka pengisian seterusnya, antara yang terpenting dari dimensi kebahasaan adalah untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan, yang disatupadukan oleh sebuah bahasa sepunya, yang ikut berfungsi sebagai bahasa perpaduan.

Gagasan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan, yang bertindak sebagai bahasa perpaduan, tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan perpaduan kaum. Identiti nasional yang utuh, melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sudah tentu yang baik mutunya, pasti adalah satu petanda yang baik untuk kemajuan Malaysia dari pelbagai dimensi. Antara yang terpenting ialah khazanah budaya yang tersimpul dengan kuat melalui satu ikatan dalam formula 'kebudayaan kebangsaan', yang menjadi amalan setiap warga negaranya.

Sehubungan ini, masyarakat, baik Melayu atau bukan Melayu perlu menganggap bahasa kebangsaan lebih daripada sebuah lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan secara rutin, sering kali dalam bentuk bahasa pasar/jelek, oleh mereka yang memiliki bahasa yang tidak sama, apabila berurusan antara satu sama lain.

Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dituturkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada lingua franca. Bahasa Malaysia bahasa utama dan perlu digunakan dengan baik dan betul pada setiap masa, oleh semua pihak, antaranya untuk memberi maruah yang luhur kepadanya, sepadan dengan status kudus sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, masyarakat Cina, khususnya generasi muda perlu mempertingkatkan penguasaan mereka agar bahasa Malaysia yang digunakan tidak lagi boleh sekali-kali mengaitkan mereka dengan generasi nenek moyang mereka sebagai pendatang. Imej dan label pendatang yang rata-ratanya amat tidak disenangi oleh masyarakat Cina kini, lebih-lebih lagi generasi muda, perlu dikikis mereka sendiri. Antaranya, melalui penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak lagi memperlihat pengaruh bahasa ibunda yang terlalu kuat, dari pelbagai segi: sebutan, intonasi, campuran nahu dan lain-lain.

Dalam hal bahasa kebangsaan ini, masyarakat Cina perlu menonjolkan identiti nasional yang lebih menyeluruh sifatnya. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan yang baik atau tinggi mutunya. Penguasaan begini sudah tentu antara syarat penting untuk mewujudkan komunikasi/interaksi Cina-Melayu yang lebih berkesan, dalam konteks perpaduan kaum.

Yang lebih penting lagi sehubungan ini ialah penguasaan yang baik dan tinggi mutunya ini adalah satu aspek penting dalam nilai nasional Malaysia yang perlu dipertingkatkan oleh masyarakat Cina.

Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan adalah bahasa yang mewakili selain kepunyaan setiap warga negaranya. Adalah aneh jika masih ada walaupun seorang warga Malaysia dalam kalangan muda yang tidak boleh berbahasa Malaysia atau kebangsaan langsung, dan masih ramai, lebih-lebih lagi generasi muda yang tidak menguasainya dengan baik, selepas lebih setengah abad negara bangsa Malaysia dibina.

Marilah kita atasi masalah ini melalui nasionalisme 1Malaysia!. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.

Oleh Prof Dr Teo Kok Seong adalah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/