Khamis, 15 Oktober 2009

Istilah jarang diguna dalam ucapan dasar

DATUK Seri Najib Razak menggunakan beberapa istilah jarang digunakan ketika menyampaikan ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2009, semalam.

Antara istilah ialah menyongsong, tawarikh, kudeta, keabsahan, wasatan, kebitaraan, tasawwur, wadih, prakarsa, islah, insular, penataran, empati, kandil, ujarah, kendatipun, mustadaafin dan bahari. Selain itu, Perdana Menteri turut menyelitkan pepatah bagi menguatkan lagi hujahan.

Berikut adalah maksud perkataan atau istilah berkenaan menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang memetiknya daripada Kamus Dewan Edisi Empat yang boleh didapati di laman web http://prpm.dbp.gov.my.

  • menyongsong - menuju, arah tuju
  • tawarikh - sejarah
  • kudeta- rampasan kuasa
  • keabsahan - kemampuan
  • wasatan - pertengahan
  • kebitaraan - tiada tara, satu-satunya
  • tasawwur - pandangan
  • wadih - jelas, terang, nyata, sahih
  • prakarsa - inisiatif, daya usaha
  • islah - usaha ke arah jalan damai
  • insular - terasing, terpulau
  • penataran - peningkatan mutu
  • empati - mempunyai daya memahami perasaan orang lain
  • kandil - pelita, lilin
  • ujarah - upah, gaji, sewa
  • kendatipun - walaupun
  • mustadaafin - pelengkap
  • bahari - lampau, dahulu kala

    Pepatah digunakan:

  • sudah terang lagi bersuluh
  • jangan kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
  • air dicincang tidak akan putus
  • buang yang keruh, ambil yang jernih
  • ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
  • janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan setahun dilupakan
  • setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung

  • Sumber : http ://www.bharian.com.my/

    GARIS PANDUAN HADAPI GEMPA BUMI

    Kepentingan Kesedaran Dan Bersiap Sedia Menghadapi Gempa Bumi

    Gempa bumi adalah salah satu daripada fenomena alam yang paling menggerunkan dan mengakibatkan kemusnahan. Ini adalah kerana kejadiannya tanpa amaran, menakutkan ramai penduduk dan menjadikan mereka kurang bijak serta berkelakuan yang boleh memudaratkan. Memandangkan pengetahuan dan persediaan merupakan kunci kepada keselamatan semasa dan selepas sebarang bencana, anda harus mengambil langkah-langkah perlu supaya sentiasa bermaklumat. Adalah penting bahawa penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan mudah dilanda gempa bumi mengambil beberapa langkah berwaspada dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku gempa bumi susulan. Adalah tidak pasti bahawa dengan adanya persediaan dan mengetahui apa yang perlu dilakukan boleh menyelamatkan nyawa, mengurangkan kecederaan dan meminimakan kerosakan harta-benda. Tambahan lagi penduduk yang tahu apa yang perlu dilakukan semasa gempa bumi akan lebih bersikap tenang dan pengetahuan tersebut bermanfaat baginya. Kesedaran adalah langkah pertama dan persediaan adalah kuncinya.

    Bagaimana Anda Harus Bersedia Untuk Gempa Bumi

    Kita mesti tahu bagaimana mempersiapkan diri kita untuk menghadapi gempa bumi supaya bila ianya terjadi kita telah bersedia untuk bertindak. Senarai berikut menerangkan tentang persediaan-persediaan yang boleh dilakukan sebelum gempa bumi susulan. Sebahagian daripada saranan-saranan tersebut agak payah untuk dilaksanakan. Persediaan memerlukan masa dan usaha tetapi anda lebih perlu banyak bertenang dan bersikap wajar jika anda telah memikirkannya lebih awal., bukan sahaja dirumah tetapi juga di tempat kerja, di dalam setor, di lorong-lorong, di dalam kereta dan di tempat-tempat lain yang anda pergi. Bila sahaja bencana menimpa anda mesti bersedia untuk bertindak.

    Apa Harus Anda Lakukan Semasa Berlaku Gempa Bumi?

    Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan

    • Duduk di dalam bangunan
    • Ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.
    • Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh. Ia juga akan mengurangkan impak daripada objek yang jatuh) di mana mungkin.
    • Pilih lokasi yang boleh memberikan udara untuk bernafas dalam keadaan di mana bangunan runtuh di sekeliling anda.
    • Jauhkan diri anda daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelungsur dan jatuh.
    • Gerakan berbentuk gelombang boleh meremukkan cermin. Berhati-hati dengan kepingan simen yang jatuh.
    • Peluk sesuatu (kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain) untuk menutup kepala dan muka daripada bahan yang jatuh dan serpihan kaca.
    • Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api di sebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.


    Duck Cover Hold

    • Berlindung di bawah meja atau perabot berat yang seumpamanya. Jauhkan diri daripada tingkap.
    • Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain dan keadaan yang masih bergoncang.


    Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan Yang Tinggi

    • Berlindung menggunakan duck, cover and hold, dan kemudian tinggalkan bangunan sekiranya pemindahan diperlukan.
    • Jangan gunakan lif
    • Patuhi prosedur pengungsian bangunan.

    Sekiranya Anda Di Laluan Pejalan Dekat Bangunan

    Berjalan masuk ke arah muka pintu atau rapat ke struktur bangunan untuk melindungi diri anda daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan barangan lain yang jatuh.

    Sekiranya Anda di dalam Kereta yang Bergerak

    • Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan yang sesuai.
    • Walaubagaimanapun, jangan berhenti di bawah jambatan atau lintasan atas atau rentangan kabel atau di mana bangunan boleh runtuh ke atas anda
    • Tinggal di dalam kereta hingga gegaran berhenti. Kereta adalah penyerap kejutan yang amat baik.
    • Bila anda terus memandu selepas gegaran, berwaspada terhadap bahaya yang terhasil daripada gempa bumi seperti objek yang sedang atau telah jatuh, wayar lektrik yang terendam atau laluan jalan rosak atau berlubang-lubang.

    Apa Anda Harus Lakukan Selepas gempa Bumi?

    1. Periksa kecederaan. Bila gegaran berhenti kerosakan mungkin berlaku dan mungkin ada yang cedera.
    2. Beri bantuan kecemasan bila perlu. Walau bagaimana pun, jangan cuba gerakkan orang yang cedera parah kecuali mereka di dalam bahaya berterusan.
    3. Periksa kebakaran dan bahaya api. Padamkan api dengan segera jika anda mampu.
    4. Jika anda terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau gunakan api. Gunakan lampu suluh.
    5. Tutup bekalan elektrik jika kebetulan ada kerosakan pada sistem pendawaian.
    6. Tutup paip utama jika kebocoran telah berlaku.
    7. Jangan sentuh pendawaian lektrik yang terendam dalam air atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.
    8. Periksa almari dan kawasan rak penstoran tetapi buka pintu-pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang jatuh.
    9. Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan lain-lain bahan yang berpotensi membahayakan.
    10. Jangan makan atau minum sembarangan daripada bekas-bekas yang berdekatan dengan kaca yang telah remuk.
    11. Jangan guna telefon kecuali untuk memanggil bantuan untuk melaporkan kecemasan (perubatan, kebakaran atau jenayah).
    12. Keluar dari bangunan yang telah rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya
    13. Hidupkan radio berkuasa bateri anda untuk laporan kerosakan dan informasi. Jangan sebarkan khabar-khabar angin.
    14. Bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat
    15. Untuk sementara, jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali bantuan anda diperlukan.
    16. Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kenderaan-kenderaan kecemasan.
    17. Cuba bawa bertenang dan membantu kanak-kanak yang mungkin mengalami trauma akibat gempa bumi.
    Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/

    Musibah Padang: Tazkirah daripada Allah


    Setiap musibah yang berlaku perlu diambil iktibar oleh manusia agar kita kembali semula kepada ajaran Islam sebenar.


    HAMPIR dua minggu berlalu namun memori hitam di sebalik bencana tragis gempa bumi berkekuatan 7.9 pada skala Ricther yang memusnahkan bumi Minang Padang, Pariaman Sumatera Barat, Indonesia pascamusibah pada 30 September 2009 seolah-olah sukar dilupakan.

    Gempa bumi yang berlaku bukan sahaja meragut nyawa, memusnahkan harta benda, malah mengundang kesengsaraan umat Islam yang tidak dapat digambarkan melalui luahan perasaan.

    Mungkinkah masih wujud ruang dan peluang, bagi mengembalikan jati diri umat Islam lainnya sebagai seorang Muslim, bermuhasabah diri dan bersikap empati serta simpati terhadap nasib masyarakat Padang?

    Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, nescaya Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, nescaya Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat kelak. Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya. (riwayat Muslim)

    Namun bagi sebahagian umat Islam yang telah kehilangan gagasan dan pola pemikiran Islam yang sebenar dan produktif, tatkala mendengar permasalahan baru perasaan mereka nyata tidak tersentuh, nurani mereka tidak terusik terhadap musibah dan bencana yang menimpa saudara mereka iaitu umat Islam sendiri.

    Mereka bagai kehilangan penyertaan untuk memberi bantuan. Adakalanya tidak memberi perhatian sama ada dalam bentuk sumbangan kemanusiaan seperti derma kilat, bantuan makanan, pakaian atau mendoakan kesejahteraan mangsa musibah.

    Terpaterikah di dalam sanubari mereka akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Musibah: Peringatan bagi sekelian hamba-Nya

    Allah SWT Maha Mengetahui terhadap semua yang dilaksanakan dan ditetapkan.

    Mengingatkan mereka terhadap kewajipan sebagai seorang Muslim, yang merupakan hak Allah SWT dan mengingatkan mereka dari perbuatan syirik dan melanggar perintah serta melakukan yang dilarang.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Dan tidaklah Kami memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti. (al-Israk: 59).

    Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. (al-Israk: 16)

    Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; Yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). (al-Israk: 58)

    Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan: "Pada suatu ketika, Allah SWT memberi keizinan kepada bumi untuk bernafas, lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Lantas akhirnya, timbullah rasa takut yang mencengkam dalam diri hamba-hamba Allah.

    "Semua yang berlaku merupakan peringatan agar mereka bersegera bertaubat, berhenti daripada berbuat maksiat, tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta menyesali atas segala dosa yang telah lalu".

    Simpati dan empati

    Empati adalah kemampuan seseorang individu untuk peka, menyelami dan merasai serta mengambil tahu apa jua perasaan yang dilalui oleh sahabatnya dalam apa jua situasi dan keadaan.

    Sikap empati menjadikan seseorang mudah untuk menterjemahkan apa yang dirasai dalam bentuk tindakan.

    Sikap ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih-sayang, kasihan dan simpati adalah ibarat satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Ukhuwah bertaut kasih bersemi

    Islam menekankan prinsip dan hubungan saling tolong menolong di dalam lingkungan kehidupan manusiawi.

    Allah SWT memerintahkan hamba-Nya saling bekerjasama di dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan melarang dari saling bekerjasama di dalam perkara dosa dan permusuhan. Ia beradasrkan ayat 2 surah al-Maidah.

    Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat di atas menyebut, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin agar saling tolong-menolong di dalam perkara kebaikan. Tolong-menolong merupakan kebajikan dan agar meninggalkan kemungkaran yang mana hal ini merupakan al-takwa.

    Allah SWT melarang mereka daripada saling bantu-membantu dalam perkara dan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. (Tafsir al-Quran al-Azim 2/7)

    Sabda Rasulullah SAW: Tiga perkara yang barang siapa mendapatinya, dia akan merasakan manisnya iman, iaitu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kepada selain keduanya, dia mencintai saudaranya dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, dia membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia membenci untuk dilemparkan ke dalam api neraka. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

    Mengambil hikmah atas setiap musibah

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Muhasabah diri merupakan satu cara atau alternatif untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di akhirat.

    Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim. Seseorang yang sentiasa bermuhasabah diri akan segera menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan ke arah kebaikan.

    Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, "Seandainya kita dapat merungkai dan mengetahui hikmah Allah yang terkandung dan tersirat dalam setiap ciptaan dan urusan-Nya, nescaya kita akan temui betapa banyak hikmah.

    "Sayangnya akal kita (manusia) sangat terbatas, pengetahuan kita amat sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu Allah, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia di bawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira, yang sebenarnya tentu lebih dari sekadar gambaran ini". (Syifa' Alil fi Masail al-Qada wal al-Qadr wa Hikmah wa Ta'lil: 452).

    Allah SWT Maha Mengetahui atas apa jua musibah yang berlaku tersirat di sebaliknya hikmah yang tidak mampu diketahui oleh sekelian manusia.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia jahat (buruk) bagi kamu dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)

    Nikmat sabar dan reda

    Kesejahteraan bagi setiap hamba-Nya yang menemui ajalnya di saat musibah melanda dalam keadaan husnul khatimah (penghujung yang baik) hasil ketaatan, keimanan dan bekalan ketakwaan dan sifat sabar yang dimiliki.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, 'Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 153)

    Sebaliknya, kecelaan dan kerugian adalah bagi setiap hamba yang menemui ajalnya dalam keadaan su'ul khatimah (penghujung yang tidak baik) sebelum dan ketika musibah melanda lantaran alpa lalai bergelumang dengan maksiat dan mengingkari akan perintah-Nya.

    Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya sesuatu ujian. Jika Allah menyayangi suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan, dan sesiapa yang murka (ingkar) maka baginya kemurkaan Allah SWT". (riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah).

    Pendek kata Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (al-A'raaf: 96)

    Antara runtuhan dan air mata jangan kita hanyut dalam duka, jadikan musibah ini sebagai pengikat persaudaraan, buktikan kita berdaya, tunjukkan kita punya cinta.

    Sumber : http: //utusan.com.my/

    Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu

    GPMS saran tiga perkara


    KUALA TERENGGANU 14 Okt. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan tiga perkara penting untuk diberi perhatian kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
    Tiga langkah itu adalah mengembalikan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain meminta pertimbangan kerajaan memberi kuasa penuh kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan undang-undang atau kesalahan bahasa yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
    Satu lagi langkah yang disyorkan gabungan itu adalah meminta para pemimpin menunjukkan teladan baik dengan menggunakan bahasa Melayu yang tepat terutama ketika bercakap kepada media.
    Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tiga langkah itu perlu diberi perhatian dalam usaha menjulang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
    Katanya, istilah bahasa Melayu perlu dikembalikan semula sekali gus mengikis penggunaan istilah bahasa Malaysia yang tidak tepat seperti diamalkan sekarang.
    "Pada masa sama, GPMS meminta Kabinet berbincang semula untuk mengembalikan istilah bahasa Melayu yang lebih tepat. Kita harap semua pihak tak kira kerajaan atau rakyat lebih serius melaksanakan dasar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
    "Semua saranan ini bersempena sambutan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan sepanjang bulan ini dan kalau boleh sambutan biarlah bermula 1 Oktober seterusnya ke bulan-bulan lain, bukan terhad bulan Oktober saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
    Syed Anuar menjelaskan, DBP sewajarnya diberi kuasa meluluskan penggunaan bahasa terutama pada papan tanda atau iklan kerana walaupun telah mendapat kelulusan PBT, kesalahan penggunaan bahasa masih ketara.
    Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan biarlah tepat tanpa perlu dicampur dengan bahasa asing.
    "Kita sedia maklum, PBT mempunyai kuasa berkaitan papan tanda atau iklan tetapi biarlah mereka lebih cakna dan sensitif mengenai penggunaan bahasa itu sendiri demi memartabatkan bahasa kebangsaan," tegasnya.
    Mengenai bahasa yang digunakan oleh pemimpin, beliau berkata, setakat ini hanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim satu-satunya menteri yang menggunakan bahasa Melayu yang tepat kepada media.
    Katanya, ia penting memandangkan kata-kata seseorang menteri akan menjadi ikutan rakyat termasuk pelajar dan golongan muda dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dapat membantu mengelak timbul kekeliruan.

    Nik Aziz minta martabatkan bahasa Melayu

    KOTA BHARU 15 Okt. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengkaji semula penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris di tempat-tempat awam di kawasan mereka.
    Beliau berkata, tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu boleh menyebabkan martabatnya direndahkan dan diperlekehkan, sekali gus menjejaskan usaha menyemarak dan memperkasakan bahasa itu.
    Pada masa yang sama beliau turut mengakui tidak menyedari kecenderungan meluas terhadap penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di premis-premis perniagaan di negeri ini.
    Ini termasuk bagi beberapa bangunan di bandar ini yang menjadi mercu tanda baru seperti Kota Bharu Trade Centre dan tulisan jawi pula sekadar digunakan bagi mengeja perkataan Inggeris itu.
    ''Memang betul teguran itu (menggunakan bahasa asing), ia mungkin disebabkan pemilik mahu ia menjadi popular dan mengantarabangsakan bangunan mereka supaya dikenali oleh orang luar.
    ''Saya pun tidak sedar sebab suasana menyebabkan saya sebagai pemimpin turut hanyut dalam bahasa Inggeris, saya rasa amat dukacita, saya minta kaji semula nama-nama ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 peringkat Wilayah Timur 2009 di sini, semalam.
    Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Mohamad Yussop Ishak.
    Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, penggunaan bahasa pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahu pun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan seolah-olah berada di Hong Kong, Miami atau Hawaii.
    ''Saya secara peribadi akan memastikan bahasa Melayu akan menjadi bahasa pentadbiran dan urusan rasmi yang utama dalam sistem pentabdiran di negeri ini.
    ''Justeru, saya meminta semua PBT supaya melihat kembali dan memantau setiap papan tanda yang ada di kawasan masing-masing," katanya.
    Menurut beliau, kerajaan negeri bersedia bersama-sama DBP untuk memberikan suntikan baru dalam gerakan memperkukuhkan bahasa kebangsaan bagi menggambarkan citra negeri dan budaya bangsa.
    Sumber : http: //www.utusan.com.my/