Jumaat, 16 Oktober 2009

DOA ZIARAH HARI RAYA AIDIL FITRI


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
dengan keberkatan bulan Syawal yang mulia ini, turunkanlah rahmat dan keberkatan kepada kami semua, ampunilah kami semua, masukkanlah kami semua ke dalam Syurga-Mu dan jauhkanlah kami daripada seksaan api neraka-Mu.


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
kurniakanlah kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan kepada kami semua, perbaikilah hubungan antara kami dan mesrakanlah antara hati-hati kami dan tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan yang membawa kebajikan di dunia ini dan lepaskanlah kami daripada kegelapan dosa dan jauhkanlah kami daripada segala kekejian sama ada zahir ataupun yang tersembunyi daripadanya.


Ya Allah,
Engkaulah yang maha terpuji, Engkaulah yang maha pemurah dan yang maha kaya, kurniakanlah keberkatan kepada rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami semua khususnya rezeki yang Engkau Kurniakan kepada tuan rumah ini (sebutkan nama tuan rumah) seisi keluarga, dengan rahmat-Mu,
Ya Karim, Ya Arhamarrahimin



Ya Allah Ya Tuhan Kami,
jadikanlah usaha ziarah hari raya ini sebagai usaha yang diberkati dan dirahmati, segala amal perbuatan baik kami diterima dan jadikanlah kami semua hamba-hamba-Mu yang sentiasa bersyukur atas ni’mat kurniaan-Mu.


Ya Allah Ya Tuhan Kami,
jadikanlah pertemuan kami ini pertemuan yang dirahmati, dan perpisahan kami selepasnya nanti, perpisahan yang sentiasa terpelihara. Permudahkanlah urusan kami dan sempurnakanlah semua pekerjaan kami dengan segala kebaikan, dengan rahmat-Mu,
Ya Arhamar Rahimin.


Sumber: http://www.darussyifa.org/

Nota hujung:

Walaupun agak lewat memasukkan doa ini, namun penulis mengharapkan inti pati doa ini dapat kita hayati. Sementelahan, rumah terbuka Aidil fitri juga masih rancak diadakan di sana-sini. Bagi mereka yang belum menghabiskan puasa enam hari di bulan Syawal, masih ada dua hari lagi kesempatan sebelum kita berpindah ke bulan Zulkaedah.

AIDILFITRI INI


Aidilfitri ini, anakku
saat kemenangan paling indah
seusai berdepan ujian sebulan
senjata iman menundukkan nafsu
tak terbelit akar kebatilan
beribadah tulus mencari hikmah
di bawah terangnya purnama barakah
terpancar cahaya kebaikan
sempurna pembersihan diri
dalam kejernihan nurani.

Aidilfitri ini, anakku
detik kebahagiaan pemberian Allah
betapa damai, hening dan syahdu
dianugerahi kesempatan
menikmati kemanisan
dalam perjalanan hayat
dilingkari kabut rindu
jiwa disentuh takbir bergema
dari menara kebesaran
mengembang cahaya kasih pada Ilahi
mengorak kelopak syukur di taman hati.

Aidilfitri ini, anakku
sesuci kurniaan bersemarak wangi
maknakan anugerah ini
dengan memperteguh cinta hakiki.

NAZIM MOHD SUBARI
Endau, Johor.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/