Ahad, 18 Oktober 2009

Memastikan kepentingan bahasa Melayu kekal sepanjang zaman


Zaman Kegemilangan Melaka : bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca pada waktu itu

Jami'ah Shukri

KUASA bahasa Melayu tidak pernah tenggelam, sebaliknya terus semarak dan relevan sebagai bahasa ilmu yang ditutur oleh lebih 300 juta insan di seluruh dunia.

Jumlah itu sudah cukup hebat dari segi penguasaan di dunia dengan kedudukan di tangga kelima di belakang bahasa Inggeris yang mempunyai 1.5 bilion penutur, Mandarin (1 bilion), Hindi (700 juta) dan Sepanyol (350 juta).

Jika diimbas kegemilangan bahasa Melayu dalam konteks Malaysia pula, ia sudah diangkat sebagai bahasa ‘lingua franca’ dan ilmu sejak kurun ke-13 yang turut dituturkan oleh pedagang antarabangsa yang berurusan di Melaka dalam bidang perniagaan, menggunakannya sebagai bahasa pengantara.

Pedagang Cina, umpamanya dilaporkan membeli kamus Melayu untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan penduduk di Melaka.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata dengan kehebatan bahasa itu pada peringkat dunia, rakyat di negara ini juga seharusnya berbangga bahasa Melayu terus penting dalam apa juga keadaan.

Katanya, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri, umpamanya adalah antara penulis yang memartabatkan bahasa Melayu termasuk lahirnya buku Hikayat Raja Pasai yang mempamerkan kemajuan bahasa itu semaju di Eropah.

Justeru, kesungguhan DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sudah dilakukan dengan giat termasuk memastikan pelbagai urusan dikendalikan dalam bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan digalakkan perkara sama di sektor swasta.

Usaha memperkayakan bahasa Melayu juga dilaksanakan dan ketika ini DBP mempunyai istilah dalam bahasa Melayu yang banyak dan cukup dalam pelbagai bidang mencakupi Sains, Matematik, kejuruteraan dan teknologi.

“Setakat ini, kita sudah menerbitkan 41 kamus istilah, 225 daftar istilah dengan keseluruhan lebih sejuta istilah dalam pelbagai bidang.

“Kita juga sudah bukukan 825,495 istilah dalam pelbagai bidang. Bahasa itu sudah ada tatabahasa secara sistematik. DBP sudah menyediakan tatabahasa dewan yang tersusun, sebelum ini dilakukan oleh Pelita Bahasa Melayu, oleh Zaaba dan perbaiki tata bahasa dewan,” katanya.

Termuzi berkata, banyak buku dan jurnal diterbitkan dalam bidang ilmiah, lebih 15,000 cerpen dan novel diterbitkan. Malah, ia juga ada ensiklopedia dalam pelbagai bidang sains, teknologi dan agama. Justeru, pelbagai pihak juga perlu turut membantu menyebar luas dan menerbitkan serta memperbanyakkan penyelidikan dalam bidang lain.

Beliau berkata, sejak 1960 hingga 2002, keistimewaan bahasa Melayu amat hebat dan usaha dilakukan agensi itu sudah menampakkan kesannya, tetapi bermula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PSMI), maka sudah mengubah persepsi rakyat bahawa kerajaan lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Justeru, keputusan kerajaan untuk mengembalikan semula pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu dianggap langkah bijak ke arah memartabatkan semula bahasa kebangsaan itu, pada masa depan.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Ejaan, istilah betul di papan iklan pupuk cintakan bahasa kebangsaan

Emas & handphone boleh meminjam wang???

SYARIKAT iklan masih kurang peka untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan sempurna di papan tanda atau iklan, sekali gus memperlihatkan tiada kesungguhan di kalangan sektor swasta.

Yang Dipertua Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata berdasarkan pemantauan, cuma 40 peratus penggunaan bahasa Melayu digunakan dengan betul di papan tanda dan iklan di sekitar Petaling Jaya.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan penggunaan bahasa Melayu. Banyak syarikat pengiklan yang tidak peka dengan ejaan bahasa Melayu yang betul dan ada kalanya ejaan pada papan tanda itu sudah hilang atau tertutup dengan iklan lain. Kita sudah berkali-kali menegur mereka supaya selenggara semula dan gunakan ejaan betul.

“Kita akan buat pemantauan dan akan segera turunkan semua papan tanda atau iklan yang tidak memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu semakin jelas kurang dititikberatkan pada zaman ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat berbilang kaum di sekitar Petaling Jaya.

Malah, mesyuarat penuh majlis itu juga tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

“Biasanya, apabila mesyuarat itu dijalankan mereka akan menggunakan bahasa Inggeris. Malah, minit mesyuarat juga disediakan dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, seboleh mungkin kita akan pastikan mereka menggunakan bahasa Melayu dalam apa juga keadaan.

“Oleh itu, Kempen Cintai Bahasa Malaysia dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat membawa perubahan positif ke arah itu. Risalah yang disebarkan itu juga diharap dapat memberikan maklumat tepat dan betul mengenai penggunaan bahasa itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata setakat ini rata-rata permohonan yang dikemukakan syarikat iklan terhadap pemasangan sebarang papan tanda mematuhi garis panduan ditetapkan.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan, syarikat terbabit meletakkan bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan dengan saiz yang ditetapkan.

Bahasa Melayu perlu diletakkan dengan saiz yang lebih besar berbanding bahasa lain. Jika di papan tanda atau iklan itu ingin meletakkan bahasa Inggeris atau bahasa lain, hanya dibenarkan dengan saiz yang kecil.

“Jika pihak terbabit gagal patuhi undang-undang itu, kita tak luluskan lesen permohonan itu. Bagaimanapun, setakat ini, kita lihat kadar kepatuhan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dengan baik.

“Cuma jika ada kes pun, yang dikenal pasti ialah syarikat tidak memohon dari Jabatan Pelesenan DBKL untuk meletakkan papan tanda atau iklan di premis tertentu. Dalam kes ini, pihak penguat kuasa akan terus mengambil tindakan menurunkan semua papan tanda atau papan iklan yang diletakkan secara haram,” katanya.

Beliau berkata, DBKL akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahasa Melayu terus diberi keutamaan serta dimartabatkan.

Katanya, DBKL tidak bertolak ansur dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan.

Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sempurna seharusnya dilaksanakan di mana-mana saja, bukan saja dari segi pertuturan, malah perlu diperluaskan dalam pelbagai aspek termasuk pada papan tanda kerana ia turut melambangkan ideologi negara terhadap kepentingannya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Sektor awam, swasta masih kurang guna dalam urusan seharian

Pelancaran Bulan Bahasa Peringkat Negeri Pahang 2009

KEPATUHAN penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang urusan termasuk pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat dan penganjuran majlis rasmi di kalangan sektor awam masih pada tahap sederhana.

Malah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga dilihat lebih menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi termasuk ucapan alu-aluan di kalangan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif meskipun majlis dianjurkan pada peringkat tempatan.

Pegawai Operasi Tenaga Hijau Malaysia, Ahmad Zairin Ismail, menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang indah dan sudah cukup dari segi kosa kata dan istilah, namun jika ia tidak disemarakkan dalam aspek kehidupan ia mampu menghakis kemantapan bahasa itu.

Kepesatan era globalisasi tanpa sempadan juga menjadikan generasi sekarang lebih selesa untuk menggunakan bahasa rojak, sama ada Melayu-Inggeris, Mandarin-Inggeris, Tamil-Inggeris.

Justeru, pelbagai pihak perlu serius memartabatkan bahasa Melayu meliputi sektor awam dan swasta.

Ahmad Zairin berkata, sebagai agensi di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, setakat ini, tidak menghadapi masalah kerana sememangnya menekankan penggunaan bahasa dalam setiap urusan, termasuk dalam mesyuarat dan penyediaan minit mesyuarat.

Katanya, penyediaan minit mesyuarat diwajibkan dalam bahasa Melayu, walaupun ia membabitkan projek profil tinggi dan bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Prof Sosiologuistik Bahasa Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata bahasa Melayu masih belum mampu dan diterima sebagai bahasa pengantara dalam kehidupan dan budaya masyarakat di negara ini khususnya di kalangan kaum Cina dan India.

Katanya, bahasa Melayu diakui sebagai bahasa kebangsaan dan hanya dipraktikkan agak menyeluruh dalam sistem pendidikan.

Malah penerimaan bahasa Melayu di kalangan kaum Cina dan India, hanya berdasarkan kepentingan untuk memenuhi kuota pendidikan.

Beliau berkata, penerimaan mereka terhadap bahasa Melayu juga tidak melambangkan keikhlasan sepenuhnya untuk mendalami bahasa itu, sebaliknya hanya untuk lulus dalam peperiksaan.

“Mereka tidak mengadunkan bahasa kebangsaan itu dalam kerangka kehidupan nasional dan mahu menjadikan alat untuk lulus dengan baik dalam peperiksaan.” katanya.

Dalam aspek lain, katanya, pencapaian Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam aspek kehidupan seperti diamalkan di Indonesia dan Thailand, dilihat agak mustahil dan jika ada usaha ke arah itu ia memakan masa.

“Indonesia, berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai ideologi, satu bahasa dan satu negara. Berbanding Malaysia, masyarakatnya menjauhkan diri dengan membawa hal masing-masing,” katanya.

Namun, bahasa Melayu akan terus teguh dan tidak mungkin pupus selagi ada masyarakat Melayu menghuni dunia.

Bagaimanapun, bahasa Melayu hanya mampu menjadi bahasa kecil dan ilmu pada peringkat tempatan dan tidak mungkin diperluaskan sebagai bahasa pada peringkat antarabangsa dan sarjana.

Beliau juga kesal, kesungguhan pelbagai pihak untuk mengangkat bahasa Melayu tidak dilakukan dengan menyeluruh termasuk membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sejak kebelakangan ini, nama kereta nasional tidak menggambarkan nama jenama Malaysia. Contohnya, dulu diberi nama Satria kemudian penjenamaan semula Satria-Neo. Nama kereta juga lebih tertumpu kepada bahasa Inggeris seperti Savy, Persona, Saga, MyVi dan Exora,” katanya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Dua akta akan dipinda elak penggunaan bahasa Melayu diperlekeh

Oleh Jami'ah Shukri
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 mungkin dipinda bagi memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka.

Pejabat Peguam Negara sedang meneliti cadangan pindaan berkenaan yang akan membolehkan tindakan diambil jika pihak terbabit tidak menggunakan bahasa Melayu termasuk ketika mengendalikan mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat dan majlis rasmi.

Kertas cadangan pindaan akta itu sudah dibincangkan di Kementerian Pelajaran dan akan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan penguatkuasaan hukuman denda dilaksanakan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi kuasa kepada agensi itu berbuat demikian sebagai tindakan terakhir terhadap pihak yang gagal memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai urusan mereka.

Katanya, sebelum ini, pihaknya tidak ada kuasa berbuat demikian, sebaliknya hanya memberi nasihat kepada sektor awam dan agensinya supaya menggunakan bahasa Melayu.

Beliau berkata, jika DBP ada kuasa mendenda dan pelbagai pihak bersedia mematuhi peraturan yang keluarkan, martabat bahasa Melayu dapat diangkat dan diletakkan pada tahap tertinggi.

"Ada segelintir pihak terlalu degil untuk patuh walaupun sudah diberi nasihat berkali-kali," katanya kepada Berita Harian.

Termuzi berkata, surat pekeliling sudah dikeluarkan sejak 2006 yang mewajibkan majlis rasmi dikendali dalam bahasa Melayu di semua jabatan kerajaan.

Katanya, ada beberapa negara sudah menguatkuasakan hukuman denda terhadap pelbagai pihak yang memperlekehkan bahasa ibunda mereka.

"Slovakia mengenakan denda sebanyak 5,000 Euro terhadap pihak yang gagal menggunakan bahasa rasmi mereka dalam majlis dan urusan tertentu," katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu bangga dengan bahasa Melayu yang menduduki kedudukan kelima di dunia dari segi jumlah penutur.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/