Modal insan berkualiti tinggi merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan akan memastikan pembangunan modal insan dilaksana secara komprehensif, meliputi usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk nilai positif dan progresif.
Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan
Selaras matlamat membangunkan modal insan berkualiti tinggi, kerajaan memperuntukkan lebih RM30 bilion kepada pendidikan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara. Peruntukan ini termasuk bayaran emolumen operasi pendidikan sebanyak RM19 bilion serta RM2.8 bilion untuk program bantuan pelajar dan biasiswa. Sejumlah RM1.6 bilion disediakan bagi pembinaan 80 sekolah baru serta 1,100 blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Peruntukan ini adalah untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school). Di samping itu, sebanyak RM1.1 bilion disediakan bagi mengubah suai dan menaik taraf sekolah di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.
Selanjutnya kerajaan mengumumkan NKRA bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Ia bertujuan supaya setiap rakyat menikmati pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas hingga ke tahap tertinggi. Untuk ini, empat komponen kecil NKRA akan diberi tumpuan.
Pertama: Memantapkan pendidikan prasekolah
Sehingga kini, kadar penyertaan kanak-kanak lingkungan umur 5 dan 6 tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta adalah 67 peratus. Kerajaan berhasrat meningkatkan kadar penyertaan kepada 87 peratus menjelang 2012.
Bagi mencapai sasaran ini, semua kemudahan dan kurikulum prasekolah dibawah KEMAS dan agensi lain akan diubah suai, selaras dengan dasar dan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Untuk ini, peruntukansebanyak RM48 juta akan disediakan bagi 2010.
Kedua: Meningkatkan kadar literasi dan numerasi
Tiada gunanya kita bercakap tentang kemajuan seandai dan sekiranya masih kedapatan golongan yang tercicir hatta tidak boleh membaca dan mengira. Sedangkan ilmu itu adalah penyuluh dan pelita. Menurut maklumat, pada masa ini, terdapat sebilangan kalangan murid normal sekolah rendah yang masih belum dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Oleh yang demikian, kerajaan bertekad untuk memastikan semua murid normal dapat menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun bersekolah.
Antara programnya termasuk menyediakan modul khas untuk murid dan guru, menyaring murid mengikut keupayaan serta menyediakan programlatihan khas untuk guru. Langkah ini mula dilaksanakan pada 2010, melibatkan semua murid Tahun Satu dengan jumlah peruntukan RM32 juta.
Ketiga: Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi
Kita perlu memperbaiki kualiti pendidikan dan memberi autonomi kepada pengurusan sekolah supaya dapat menghasilkan pelajar cemerlang. Kerajaan akan mengklasifikasikan sekolah yang dikenal pasti sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Prinsip asas SBT akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah.
Kerajaan menyasarkan 20 sekolah di beri pengiktirafan SBT pada 2010 dengan peruntukan tambahan RM20 juta.
Keempat:Mengiktiraf Pengetua dan Guru Besar Sekolah
Kerajaan akan memastikan sekolah ditadbir secara profesional oleh pengetua dan guru besar serta pasukan pengurusan mereka. Bagi sekolah yangmenunjukkan prestasi cemerlang, kerajaan akan memperkenalkan New Deal atau Bai'ah Baru bagi menghargai jasa dan prestasi pengetua serta guru besar. Kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh mereka yang dipersetujui bersama. Sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan. Namun, bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama dua tahun berturut-turut, tidaklah pula terlepas daripada tindakan bersesuaian.
Kesemuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungjawaban untuk melahirkan generasi yang cemerlang.
Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar
Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:
Pertama: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik dikalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang biasiswa ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;
Kedua: Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;
Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun selagi mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB. Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan
Keempat: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh 2 tahun. Pakej ini jauh lebih murah daripada harga pasaran dengan prioriti kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah. Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.
Menggilap Kemahiran Tenaga Kerja
Usaha berterusan akan diambil untuk melatih dan menggilap tenaga kerjasupaya menepati keperluan pasaran. Bagi tujuan ini, kerajaan akan:
Pertama: Menyediakan RM1.3 bilion bagi membiayai pengurusan dan menaik taraf politeknik dan kolej komuniti serta menyediakan peruntukan kepada tabung pinjaman pelajaran untuk 32,000 Pelajarnya;
Kedua: Memperuntukkan RM504 juta bagi membina dan menaik taraf serta menyelenggarakan peralatan di Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi;
Ketiga: Menyediakan RM438 juta kepada Institut Kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara serta Institut Kemahiran Belia Negara juga Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara untuk pengurusan latihan termasuklah menaik taraf institusi;
Keempat: Menyediakan RM110 juta kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri, terutamanya dalam bidang teknikal, hospitaliti, kulinari serta perabot; dan
Kelima: Mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 4 dan ke atas supaya setaraf dengan aliran akademik. Dengan pengiktirafan ini, pemegang SKM tahap 4 layak memohon untuk berkhidmat di sektor awam, manakala bagi mereka yang berkhidmat di sektor swasta dapat menikmati gaji setaraf dengan pemegang sijil diploma.
Mempergiatkan Program PERMATA
Setiap anak itu adalah permata. Merekalah pelaburan terbaik sebagai pewaris. Justeru, program PERMATA memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanakkanak secara bersepadu dan terancang. Program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berilmu dan berprestasi tinggi.
Sehingga kini, program PERMATA diperkenalkan kepada 457 pusat asuhan dan telah berjaya mendidik seramai 17,565 kanak-kanak. Untuk terus memperkasakan program ini, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi pelaksanaan programnya.
Selain itu, PERMATA akan turut melaksanakan program Perkasa Remaja untuk melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Program yang dikendalikan oleh UKM akan membolehkan belia dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab.
Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi Awam
Dalam usaha kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, maka kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Dengan autonomi yang bertambah ini, IPTA, misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat. Bagi mencapai objektif ini, kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatannya sendiri.
Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, kerajaan akan memastikan bahawa usaha menjana pendapatan sendiri tidak akan menjejaskan fungsi teras IPTA sebagai gedung ilmu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan ekonomi negara.
sumber : http: //www.utusan.com.my/