Rabu, 18 November 2009
DEMI MASA DEPAN
KUALA LUMPUR 18 Nov. – Sejumlah 521,488 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh negara mulai hari ini.
Sejumlah 465,853 calon mengambil peperiksaan SPM sehingga 16 Disember manakala 55,635 pula menduduki peperiksaan STPM yang tamat pada 10 Disember.
Daripada jumlah pelajar SPM, calon kementerian adalah seramai 406,420 orang, calon persendirian (32,561), calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera (7,071), Sekolah Agama Negeri 8,765 dan Sekolah Agama Rakyat serta sekolah swasta 11,036 orang.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan SPM di Putrajaya, berikutan musim tengkujuh kini, semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan Pengetua sekolah diminta mengikut garis panduan Operasi Payung semasa peperiksaan SPM berlangsung.
Ini termasuklah bantuan seperti tempat tinggal, makanan dan keperluan asas dapat disalur atau disediakan dengan segera kepada calon-calon terjejas akibat banjir.
Lembaga Peperiksaan juga mengeluarkan pekeliling berkaitan Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan kepada semua sekolah.
Sementara itu di KELANTAN, 140 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Maher di Kota Bharu terpaksa dikuarantin berikutan bekalan elektrik ke sekolah itu terputus sejak 8 pagi.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, jadual peperiksaan pelajar-pelajar terbabit ditunda lebih sejam.
Mohd. Ghazali berkata, tiada sekolah yang ditutup akibat banjir.
Di TERENGGANU, 12 pelajar mengambil peperiksaan SPM di hospital apabila tujuh daripada mereka disyaki cirit-birit manakala lima lagi iaitu tiga di daerah Kuala Terengganu dan masing-masing satu di Besut serta Kemaman kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata, calon SPM pada tahun ini seramai 23,616.
"Dua calon STPM terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah apabila seorang disyaki menghidap penyakit taun manakala seorang lagi terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.
Di KEDAH, banjir yang melanda sejak 10 hari lalu tidak menjejaskan 39,426 calon SPM dan STPM di negeri ini. Tiada calon yang berdepan masalah untuk menduduki kertas peperiksaan masing-masing di kesemua 348 pusat peperiksaan.
Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, cuma sebuah pusat iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini yang dinaiki air di laluan pintu masuk premis berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menghalang calon-calon peperiksaan untuk ke sekolah terbabit.
Seramai 35,798 calon menduduki peperiksaan SPM, manakala bagi STPM pula melibatkan 3,628 orang dan 369 calon persendirian.
Shahidan berkata, sehingga kini, hanya 18 yang terlibat dengan banjir kerana laluan atau rumah mereka ditenggelami air.
Sehubungan itu, katanya, calon-calon terbabit ditempatkan di asrama iaitu lima dari SMK Seri Gunong yang ditempatkan di asrama SMK Alor Janggus, manakala SMK Tengku Abdul Malek (4), SMK Tajar (6) dan SMK Kepala Batas (3) yang kesemuanya ditempatkan di asrama sekolah masing-masing.
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
SEDUTAN SOALAN BAHASA MELAYU SPM
BAHASA MELAYU KERTAS 1 SPM ( NOVEMBER 2009)
KARANGAN BAHAN RANGSANGAN (BAHAGIAN A)
Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada aktiviti badan beruniform yang terdapat di sekolah serta faedahnya. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah yang diperoleh apabila kita menyertai badan beruniform
KARANGAN RESPONS TERBUKA (Bahagian B)
1. Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai
2. Aktiviti bercucuk tanam untuk keperluan harian di sekitar kawasan rumah seperti
penanaman cili, serai dan sayur-sayuran perlu digalakkan dalam kalangan masyarakat.
Huraikan kebaikan-kebaikannya.
3. Pengetahuan tentang sejarah penubuhan negara kita amat penting difahami oleh setiap rakyat demi memupuk rasa cinta akan negara.
Jelaskan pernyataan di atas.
4. Pemanasan global telah menjadi isu antarabangsa. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah `Kesan Pemanasan Global terhadap Bumi dan Hidupannya'.
Tulis rencana itu selengkapnya.
5. Anda telah membaca sebuah novel yang mengandungi banyak pengajaran.
Berdasarkan novel tersebut, jelaskan pengajaran-pengajaran yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita.
Soalan 1: Rumusan
Kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.
Soalan 2: Pemahaman
(a) Petikan umum
(b) Petikan cerpen - Virus Zel Untuk Abah (Antologi Kerusi)
(c) Petikan prosa klasik - Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (Antologi Kerusi)
(d) Petikan sajak - Anak Laut (Antologi Anak Laut)
Soalan 3: Tatabahasa
(a) Membina ayat berdasarkan kata ganda berentak /berirama
(b) Kenal pasti Subjek dan Predikat
(c) Kenal pasti kesalahan - kesalahan ejaan dan penggunaan imbuhan
(d) Kenal pasti kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa
(e) Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai
Soalan 4: Novel
(a) Huraikan dua contoh yang dapat membuktikan ketabahan watak utama dalam sebuah novel.
(b) Jelaskan satu contoh nilai kasih sayang yang terdapat dalam dua buah novel.