Isnin, 14 Disember 2009

PERADABAN MELAYU MANTAP

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Bahasa, pemikiran maju sebelum kedatangan pengaruh luar di Nusantara

SARJANA tanah air diminta menekankan kemajuan peradaban Melayu secara endogenus, iaitu pertumbuhan dari dalam masyarakat berdasarkan kreativiti mereka, tanpa terperangkap kecenderungan melihat kemajuan secara eksogenus, iaitu suntikan daripada peradaban lain.

Cadangan yang dikemukakan tokoh ilmuwan dan budaya Melayu pada Seminar Peradaban Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, bertujuan mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam perbincangan yang lebih diberatkan kepada aspek eksogenus kerana semua peradaban dunia seperti Arab Islam, Eropah Islam, India Hindu dan Cina tidak terlepas daripada menerima pengaruh luar.

Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, berkata kecenderungan sarjana tanah air mengambil sikap eksogenus menyebabkan ia dimanfaatkan pihak tertentu bagi menafikan kewujudan peradaban Melayu.

“Saya pernah menerima kiriman petikan daripada buku yang diterbitkan di luar negara yang mengatakan unsur peradaban luar yang datang ke alam Melayu. Inilah yang menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang berperadaban dengan mengambil contoh perkataan daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, Inggeris, Portugis, Belanda dan Cina,” katanya ketika membahaskan Bahasa Sebagai DNA Peradaban pada seminar anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tanpa menafikan pengaruh luar memperkaya bahasa Melayu, Prof Emeritus Asmah mengingatkan khalayak untuk tidak menerima pandangan penulis blog terbabit yang berusaha merendah-rendahkan peradaban Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu dan pemikiran Melayu sudah maju sebelum datangnya pengaruh dari luar atau dengan perkataan lain, bahasa Melayu sudah lengkap dengan sistem leksikal bahasa yang dapat memaujudkan konsep dalam minda penuturnya.

“Bukti bahasa Melayu bertulis paling awal ialah bahasa di batu bersurat Sumatera Selatan dan Pulau Bangka yang bertarikh abad ke-7 yang turut dikenali sebagai Inskripsi Melayu Sriwajaya yang sudah banyak diperkatakan sarjana Belanda, Perancis dan Inggeris,” jelasnya.

Pandangan Prof Asmah itu diperakukan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, yang menegaskan tamadun Melayu dibina orang Melayu yang pandai berfikir dalam bahasanya seperti digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah.

“Orang Melayu pandai menggunakan bahasa dengan baik, betul dan indah walaupun tidak mempelajarinya secara formal. Ini menunjukkan cara berfikir dalam bahasa Melayu menyebabkan akal dapat ditajam serta dijernihkan sehingga menjadi alat pembinaan tamadun tinggi,” katanya ketika membahaskan Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan akal budi bangsa Melayu Sepanjang Zaman.

Kekuatan akal Melayu tidak dikacau oleh bahasa asing sehingga pemantun dan pencetus pepatah serta peribahasa Melayu zaman dulu bebas untuk mengetahui atau menguasai bahasanya secara intuitif.

Pengarah APM, UM, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, menyarankan peradaban Melayu dimantapkan kembali dengan menjadikan kekuatan Islam dan ilmunya sebagai kekuatan rohani serta falsafah Melayu.

“Pendekatan ini membolehkan ia menjadi benteng pertahanan rohani Melayu daripada segi tauhid, takwa dan iman. Fungsi bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan daripada bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah kepada bahasa ilmu,” katanya.

Pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu diberi sokongan dan sarjana di semua universiti awam perlu bekerja keras untuk menulis makalah atau buku dalam bahasa Melayu dalam semua ilmu.

“Selain penciptaan ratusan ribu kosa kata dan istilah baru oleh ilmuwan, saintis dan teknologis Melayu, mereka juga perlu meneroka ke dalam alam teoritikal dan paradigma Melayu,” katanya ketika membincangkan Memantapkan Peradaban Melayu.

Zainal Abidin menegaskan tumpuan juga harus diberikan kepada penerokaan bidang baru yang belum diangkat kepada umum seperti falsafah, maritim dan ethnosains Melayu, selain mencipta dan merumus teori Melayu seperti dalam bidang kesusasteraan.

“Dalam usaha mempertingkatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa kedua atau bahasa antarabangsa kepada pelajar antarabangsa yang difahamkan terdapat lebih 100 institusi pengajian Melayu di dunia,” tegasnya.

Dalam konteks perdagangan pula, bangsa Melayu perlu meramaikan individu yang datang daripada kelas masyarakat perusahaan, perdagangan dan perindustrian Melayu dengan mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dalam bidang berkenaan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Malaysia Ke Final Selepas Tewaskan Laos 3-1

PEMAIN-pemain negara meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir bersama penyokong Malaysia selepas menewaskan Laos 3-1 pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos dekat Vientiane, semalam.

VIENTIANE, 14 Dis (Bernama) -- Malaysia berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun apabila mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki pada Sukan SEA ke-25, selepas menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini hari Isnin.

Lawan Malaysia pada pertemuan akhir pada Khamis ini ialah Vietnam yang sebelum ini menumpaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Chaou Anouvong, dekat sini.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan 79 sementara gol ketiga dijaringkan oleh Safiq Rahim pada minit ke-84.

Biarpun stadium dipenuhi 23,000 penyokong tuan rumah, anak buah K.Rajagobal bermula dengan yakin dan melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi menguji kekuatan lawan.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu dalam saingan peringkat kumpulan. Malaysia ialah naib juara Kumpulan A sementara Laos mengungguli Kumpulan B.

Malaysia yang kali terakhir beraksi dalam saingan separuh akhir pada edisi 2005 di Filipina, membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar.

Gol tersebut berpunca daripada umpanan lintang Abdul Manaf Mamat di depan gawang lawan dan sepakan lipatan gunting dari Baddrol mencecah jaring lawan.

Bagaikan selesa dengan gol awal tersebut, barisan pemain Malaysia kemudian memperlahankan rentak perlawanan.

Menyedari kerapuhan benteng, Rajagobal kemudian mengeluarkan tonggak pertahanan Mohd Sabree Mat Abu dan memasukkan Muhamad Azmi Muslim.

Namun tindakan tersebut agak terlambat apabila Laos mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-72 menerusi rembatan Kanlaya Sysomvang, selepas dia memperdayakan benteng Malaysia.

Tujuh minit kemudian, Baddrol menjadi wira Malaysia apabila rembatannya membolosi gawang Laos sekali lagi.

Gol tersebut berpunca dalam perebutan di depan gawang lawan apabila tendangan S.Kunalan terkena palang gol sebelum Baddrol menyambar bola tersebut dan melepaskan rembatan kencangnya tepat ke jaring Laos.

Safiq melengkapkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-84 selepas hantaran dari Norshahrul Idlan Talaha di depan gawang lawan ditampannya kemas ke jaring lawan.

Kali terakhir Malaysia mendapat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur, 20 tahun lepas di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Sejak emas tahun 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan ini diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina).

Pada edisi 2007, Malaysia tersingkir awal, pada saingan peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada Sukan SEA ke-19 di Jakarta pada 1997 dan Laos menewaskan Malaysia 1-0.

Malaysia, naib juara Kumpulan A, memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan membelasah Timor Leste 11-0, tumpas 1-3 kepada Vietnam, menang 4-0 ke atas Kemboja sebelum melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan sebanyak lapan edisi berturut-turut, Thailand, 2-1.

Sementara Laos, juara Kumpulan B, memulakan cabaran dengan keputusan seri 1-1 dengan naib juara dari edisi Korat, dua tahun lepas, Myanmar, sebelum menewaskan Indonesia 2-0 dan seri tanpa jaringan dengan naib juara Kumpulan B, Singapura.

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabree Mat Abu (Mohamad Azmi Muslim), Mohd Nasiq Baharom,Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar, K.Gurusamy, S.Kunalan, Safiq Rahim, Mohamad Muslim Mohamad, Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf Mamat (Amar Rohidan).

LAOS: Souvanpheng Phanthavong, Kanlaya Sysomvang, Kaysone Soukhavong, Phattana Syvilay (Sayya Meuangmany), Keovisiane Keovilay (Dao Khotsaya), Kitsada, Saynakhonevieng Phommapanya, Keoviengphet Lithideth, Ketsada Souksavanh, Lamnao Singto, Khampheng Sayyavutthi.

PENGADIL: Saleem Ali (Maldives)

Sumber : http://www.bernama.com/

Nota Hujung:

Tahniah skuad negara atas kejayaan gemilang ini. Lebih manis lagi apabila mereka bukan sahaja mampu menewaskan pemain lawan malahan mengetepikan sokongan ribuan penonton tuan rumah. Selepas ini skuad negara harus meletakkan sasaran KPI (Key Performance Indicator) yang baru. 17 haribulan bakal menjadi penentu. Misi menewaskan pasukan Vietnam bukan misi yang mustahil, walaupun mungkin bukan mudah untuk direalisasikan. Tetapi, jika berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita malam tadi, insya-Allah lagu Negaraku akan berkumandang dan jalur gemilang akan berkibar di Vientianne pada tarikh tersebut. Malaysia Boleh!!!


Pesanan kepada pemain:

"Pemain-pemain muda negara perlu bermain dengan komitmen 100 peratus dan memanfaatkan semua peluang yang ada sebaik mungkin kerana bukan senang untuk menjaringkan gol"

"Mereka juga perlu berjuang sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan dan tidak mudah berputus asa " .

(Bekas Pemain Negara Ahmad Yusof)