Rabu, 16 Disember 2009

MARI BERKENALAN DENGAN TAHUN HIJRAH


SEJARAH TAHUN HIJRAH

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilāl) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilāl tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan mengakuinya di hadapan pemimpin.

NAMA BULAN ISLAM

Berikut adalah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh sebab semuanya adalah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

  1. Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram)
    • Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
  2. Safar
    • Perkataan in bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
  3. Rabiulawal
    • Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
  4. Rabiulakhir
    • Bulan kedua musim bunga.
  5. Jamadilawal
    • Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.
  6. Jamadilakhir
    • Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
  7. Rejab
    • Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
  8. Syaaban
    • Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
  9. Ramadan
    • Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
  10. Syawal
    • Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
  11. Zulkaedah
    • Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
  12. Zulhijah
    • Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.

Sumber : http://ms.wikipedia.org/

HARAPAN RAKYAT MENJELANG TAHUN BARU

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

ESOK, umat Islam akan meraikan Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam dan ia akan disusuli pula sambutan tahun baru 2010 masihi yang sekali gus akan melabuhkan tirai 2009.

Isu politik, sosial dan ekonomi terus mewarnai kenangan tahun 2009 yang telah pun membuka pelbagai lembaran baru yang seterusnya merintis jalan kepada harapan yang tinggi bagi tahun 2010 kelak.

Perubahan tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah titik permulaan era baru landskap politik negara ini. Memulakan zaman pemerintahannya dengan memperkenalkan konsep '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', Najib terus melangkah ke hadapan dengan penuh bersemangat dan yakin.

Perubahan demi perubahan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh beliau telah mula menampakkan hasilnya.

Namun segala usaha tersebut nampaknya bukan mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai rintangan terutamanya isu-isu perpaduan, sentimen perkauman dan pelbagai tuntutan politik yang tidak munasabah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda politik tersendiri sedikit sebanyak merencatkan agenda keharmonian politik negara kita.

Akibatnya rakyat mula kebingungan manakala kontrak sosial yang dibanggakan selama ini juga dilihat mengalami sedikit keretakan. Perasaan prejudis dan curiga sudah mula mengambil tempat dalam masyarakat kita.

Ini ditambah pula dengan pelbagai masalah sosial yang terus menghantui rakyat negara ini. Jenayah ragut, bunuh dan rogol misalnya semakin menjadi-jadi dan mula meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa.

Maka sinar tahun baru dinantikan dengan penuh harapan dan debaran oleh setiap rakyat negara ini agar ia akan membawa khabar gembira untuk kita semua.

Sesungguhnya rakyat sangat mendambakan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan mengutamakan rakyat tanpa propaganda politik yang boleh menghancurkan perpaduan kaum serta keamanan dan keselamatan negara ini. Untuk mencapai tahap itu, institusi politik negara ini memerlukan suatu anjakan paradigma yang besar-besaran dan menyeluruh dengan segera.

Kita juga menaruh harapan yang tinggi kepada pihak keselamatan terutamanya PDRM agar terus memainkan peranan yang efektif dalam membendung semua jenis jenayah yang mengganggu gugat ketenteraman awam. Ini penting kerana senario semasa menunjukkan seolah-olah rakyat kita semakin takut untuk keluar rumah ataupun berada di jalanan kerana jenayah ragut dan kemalangan jalan raya yang semakin menghantui mereka.

Dan yang pastinya rakyat juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan semua program dan projek yang telah dibentangkan dalam Bajet 2010 untuk merangsang kembali dan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.

Ia diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran di samping membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk diterokai. Menjelang tahun baru ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia berganding bahu membentuk sebuah negara yang aman dan terus mekar di persada antarabangsa.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Peluang terbaik raih emas

VIENTIANE, Laos - Andai mahu menamatkan kemarau 20 tahun meraih emas acara bola sepak Sukan SEA, hari ini mungkin dianggap hari terbaik buat skuad negara bimbingan K. Rajagobal melakukannya.

Pertemuan akhir menentang Vietnam pada temasya Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang ini disifatkan sebagai medan terbaik bagi anak-anak buah Rajagobal mengulangi pencapaian gemilang yang telah dijelmakan 20 tahun lalu.

Ketika itu, skuad negara yang dibimbing oleh jurulatih dari England, Trevor Hartley berjaya menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

"Inilah masanya jika kita mahu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Malaysia. Selepas dikecam dan dikritik hebat ekoran prestasi merudum skuad bola sepak negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekarang tibalah masanya untuk kita mengembalikan semula kepercayaan penyokong bola sepak tempatan.

"Saya harap dengan kejayaan kita mara ke final akan menjadi era baru dalam bola sepak di Malaysia. Sebelum ini, kita selalu dengar cerita dan berita yang sama....pasukan Malaysia tewas, tewas, tewas. Kali ini biarlah semua itu berubah kerana sudah terlalu lama kita menunggu untuk menantikan detik kegemilangan bola sepak Malaysia," kata Rajagobal ketika ditemui semalam.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Rajagobal berkata, selain turun dengan misi memburu emas, anak-anak buahnya kini berpeluang membalas dendam ke atas Vietnam selepas kekalahan 1-3 pada aksi peringkat Kumpulan A, 6 Disember lalu.

"Kekalahan kepada Vietnam sebelum ini telah banyak memberi pengajaran yang berguna kepada para pemain saya. Saya telah ingatkan kepada mereka untuk bersedia dalam apa juga. Saya harus akui bahawa Vietnam sebuah pasukan yang mantap dalam semua posisi tetapi kami tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

"Yang penting sekali, pemain-pemain saya tidak terlalu mengikut emosi. Saya rasa perlawanan akhir nanti akan menjadi perlawanan yang cukup menarik untuk disaksikan oleh peminat bola sepak," katanya.

Rajagobal menambah, dia turut mengingatkan anak-anak buahnya untuk sentiasa berfikiran positif ketika berada di tengah padang tanpa memikirkan kekalahan kepada Vietnam sebelum ini.

"Yang lepas, biarlah ia berlalu. Perkara itu jugalah yang saya sentiasa ingatkan kepada para pemain. Mereka boleh jadikan kekalahan itu sebagai pembakar semangat untuk mencipta kemenangan. Kita hanya selangkah lagi untuk kami mencipta kemenangan dan seterusnya meraih pingat emas," jelas Rajagobal.

Ditanya tentang kehadiran semula Zaquan Adha Abdul Radzak, Rajagobal berkata, penyerang sensasinya itu belum pasti diturunkan dalam kesebelasan utama nanti.

Pada aksi final hari ini, Rajagobal dijangka sekali lagi memberi kepercayaan kepada penjaga gol keduanya, Ahmad Sharbinee Allawee untuk menjaga gawang negara sambil kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak menerajui benteng pertahanan bersama-sama Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Nasriq Baharom dan Mohd. Sabree Mat Abu. Safiq Rahim pula kekal menerajui bahagian tengah dengan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, K. Gurusamy dan S. Kunanlan sementara Norshahrul Idlan Talaha bakal menerajui jentera serangan.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/