PUTRAJAYA: Seramai 7,987 calon berjaya mendapat gred cemerlang (A+, A atau A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 berbanding 6,277 pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, daripada jumlah itu, seramai 214 calon sekolah Kementerian Pelajaran berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.
Menurut beliau, seramai 41 orang merupakan calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain kementerian.
"Angka-angka ini menunjukkan peningkatan dari segi kualiti sebanyak 1,710 calon atau 27.24 peratus," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2007, di sini hari ini.
Calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak, Gladys Tan Yee Kim diumumkan sebagai calon terbaik keseluruhan SPM 2009.
Beliau mendapat keseluruhan gred cemerlang (A+) bagi kesemua 10 mata pelajaran yang didudukinya.
Selain itu, Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan muncul sebagai sekolah terbaik.
Kata Alimuddin lagi, seramai 364,046 calon lulus SPM berbanding 347,443 pada 2008 dengan 199,155 calon atau 49.6 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 181,419 (47.4 peratus) sebelum itu.
"Daripada jumlah itu, seramai 68,131 atau 17 peratus calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2009 berbanding 60,902 atau 15.9 peratus pada 2008.
"Peningkatan ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik," katanya.
Bagaimanapun katanya, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G agak meningkat iaitu seramai 4,626 atau 1.15 peratus pada 2009 berbanding 2,589 atau 0.67 peratus pada 2008.
Katanya lagi, seramai 538 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan menduduki peperiksaan SPM 2009 berbanding 481 calon pada 2008.
"Daripada jumlah itu seramai 251 atau 51.9 peratus calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 atau 47.8 peratus pada 2008.
"Seorang calon rabun penglihatan telah berjaya mendapat 4A+, 3A dan 4A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil manakala seorang lagi mendapat 4A+, 3A dan 3A- daripada sepuluh mata pelajaran yang mereka ambil," katanya.
Menurutnya lagi, terdapat juga dua orang calon yang mengalami pelbagai kecacatan berjaya memperoleh pencapaian cemerlang.
Kedua-dua mereka mendapat 8A+ dan 2A daripada sepuluh mata pelajaran yang diambil.
Sementara itu, bagi keputusan STAM 2009, jumlah calon yang mendapat pangkat tertinggi iaitu Mumtaz bagi sepuluh mata pelajaran yang diduduki agak menurun iaitu seramai 422 calon atau 9 peratus berbanding 562 calon atau 12 peratus pada tahun sebelumnya.
Penurunan juga dapat dilihat bagi pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) iaitu seramai 608 calon (13 peratus) pada 2009 berbanding 811 calon (17.3 peratus) pada 2008.
"Bagaimanapun terdapat peningkatan bagi calon yang mendapat pangkat Jayyid (baik) iaitu 1,407 calon pada tahun 2009 berbanding 994 pada 2008," katanya.
Sumber : http://mstar.com.my/
Nota Hujung :
Cikgu ingin mengucapkan tahniah, khususnya kepada calon SPM SMK Tengku Panglima Perang Tg Muhammad 2009, yang berjaya memperoleh 'A' dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil. Mereka yang dimaksudkan ialah Lim Siew Wen (11 A), Damia Farzana Ismail, Kirosha A/P Kunjunee, dan Iman binti Yasriza (10 A).