ISU pendidikan seks di sekolah bukanlah baru dan sudah mula diperkatakan seawal 1980-an dan kini kembali diperdebatkan.
Namun, isu pendidikan seks yang dicadangkan di sekolah masih kabur. Apa yang hendak diajarkan? Aspek mana hendak diberi penekanan? Bagaimana hendak disampaikan? Siapa hendak menyampaikan? Apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya? Apa objektif pengajarannya? Apakah aras taksonomi atau domain kognitif yang hendak dicapai dalam pengajarannya?
Walaupun statistik mutakhir menunjukkan peningkatan dalam kes membabitkan seksualiti, pencarian atau cadangan penyelesaian kepada masalah ini tidak boleh dilakukan tergesa-gesa. Usaha menanganinya perlu membabitkan semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar, pihak berkuasa dan masyarakat. Tujuan utama pendidikan seks digubal dan diperkenal sebagai sebahagian kurikulum pendidikan adalah ekoran gejala sosial yang semakin berleluasa.
Mengikut kaji selidik global Durex 2005, tandas pusat hiburan dan bilik tidur ibu bapa adalah pilihan belia Malaysia mengadakan hubungan seksual bersama pasangan. Kajian juga mendapati umur minimum rakyat Malaysia mengadakan hubungan seks untuk kali pertama, adalah yang terendah berbanding negara Asia lain seperti Indonesia, Vietnam dan India.
Sementara itu, hasil penyelidikan pada 2006 yang dijalankan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mazlin Mohamad Mokhtar menunjukkan 50 peratus daripada 727 pelajar institusi pengajian tinggi yang dijadikan sampel kajian pernah terbabit dalam kegiatan seks. Daripada jumlah itu, 80 peratus tidak menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga. Sampel pelajar terdiri daripada pelajar dua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Apakah punca semuanya?
Pertama, ibu bapa tidak lagi berperanan sewajarnya. Kebanyakan tanggungjawab sosial anak tidak diambil endah dan anak diberi kebebasan tanpa batasan.
Kedua, pendidikan moral dan agama yang diajar di sekolah tidak memberi impak diharapkan.
Ketiga, pendedahan aktiviti lucah melampau di kaca TV dan media semakin tidak terkawal.
Seperti dilaporkan Kaiser Family Foundation, 3,800 siaran yang berunsurkan seksual terdapat di lebih 1,100 rancangan TV dan ini adalah peningkatan 1,900 siaran berbanding 1998. Laporan ini menunjukkan secara purata lima siaran seks dalam masa sejam ditayangkan.
Kanak-kanak yang mendapat pendedahan kepada siaran sebegini akan terbabit secara aktif dengan aktiviti seksual pada usia muda. Walaupun angka ini adalah kajian di Barat, pada jangkaan penulis tiada bezanya dengan Malaysia.
Siaran satelit diperoleh dengan mudah dan murah menyebabkan rancangan sama boleh ditonton di mana-mana saja. Bagi kita di Malaysia, ledakan globalisasi khususnya dalam konteks penyebaran maklumat ini harus ditangani secara teratur dan terancang. Ini juga menjadi cabaran besar dalam memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.
Kajian mengenai salah laku seks menunjukkan pendidikan seks di sekolah boleh membantu meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan seks, tetapi tidak merubah tingkah laku seks mereka. Dapatan ini jelas menunjukkan kawalan mutu serta maklumat mengenai pendidikan seks yang hendak disampaikan di sekolah perlu dilakukan dengan berhemah bagi menjamin kesan yang positif. Maklumat tidak jelas, bercelaru serta tidak mempunyai paksi yang kukuh hanya akan mengeruhkan persekitaran pembelajaran.
Mengikut laporan Durex, 52 peratus responden mencadangkan kerajaan memperkenalkan pendidikan seks seawal usia 12 tahun. Bagaimanapun, usia bukan persoalan kerana jika usia menjadi asasnya, Kerajaan Britain lebih dulu mengajar pendidikan seks di sekolah rendah seawal usia 7 dan 8 tahun. Namun kesannya masih mengecewakan. Paling penting ialah kandungan dan pendekatannya.
Matlamat pendidikan seks harus jelas. Jika hanya untuk memberikan panduan seks selamat dan mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV, sifilis dan penyakit berkaitan seks rambang, maka kita akan melahirkan generasi yang hanya tahu mengelak dijangkiti penyakit.
Bagaimana pula dari segi moralitinya? Acuan kita tidak sama dengan Barat. Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matlamat pendidikan bagi melahirkan insan salih dan seimbang.
Dalam Islam segala hal berkaitan dengan seks terangkum dalam perbahasan yang lebih luas mengenai peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita yang semuanya terangkum dalam perbincangan ‘munakahat’ .
Kerajaan Johor memperkenalkan ilmu munakahat kepada murid Tahun Empat sekolah agama. Antara silibusnya selain mengenai hubungan seksual suami isteri ialah kebersihan (toharah) dan kesihatan. Maklumat kesihatan dan kebersihan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah sosial yang berkaitan seks rambang seperti jangkitan HIV dan Aids.
Bagi tujuan pendidikan seks, lebih baik jika pendidikan munakahat itu di perkemas dengan memasukkan elemen baru yang berkait dengan masalah hari ini. Kajian mendalam serta menyeluruh mengenai munakahat untuk disesuaikan dalam pendidikan seks di sekolah mungkin dapat membantu merangka strategi dan hala tuju lebih jelas dalam membentuk pendidikan seks bermutu.
Selain itu pendidikan seks juga mesti berteraskan konsep moraliti dan akhlak serta sistem nilai kerana tanpa landasan ini tidak mungkin masalah lebih besar itu dapat ditangani. Usaha itu juga perlu disokong beberapa faktor, antaranya iklim persekolahan yang positif serta pendidik yang benar-benar berteraskan konsep 'mendidik'. Iklim persekolahan yang negatif harus dipantau supaya murid dapat menerima pembelajaran mengenai pendidikan seks dengan perspektif yang betul dan positif.
Amalan berpasang-pasangan yang semakin berleluasa di sekolah menengah dan menular ke sekolah rendah adalah persekitaran yang mengganggu pembentukan disiplin pelajar. Suasana ini hanya akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk melihat pendidikan seks sebagai ilmu untuk memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.
Pendidik yang benar-benar 'mendidik' juga adalah faktor mendorong kepada keharmonian konsep pendidikan seks. Keikhlasan pendidik dapat diterjemahkan dalam pembelajaran dan dihayati oleh pelajar keseluruhannya.
Kesimpulannya, pendidikan seks di sekolah harus di santuni dengan penuh hikmah dan tujuan serta matlamat yang jelas. Kesilapan membuat dasar serta menentukan matlamat yang hendak dicapai akan mengganggu usaha mencapai matlamat itu. Bagi memastikan ia berjaya, pembabitan semua pihak amat diperlukan. Hala tuju dan falsafah yang melandasinya juga perlu jelas.
Penulis adalah Ketua Laboratori Pendidikan Komuniti dan Pengajian Belia, Institut Pengajian Sains Sosial, UPM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/