Ahad, 4 April 2010

Usah rosak masa depan pelajar


TERBANTUT...walaupun memperoleh keputusan cemerlang, ulasan yang ditulis pada sijil berhenti sekolah boleh membantutkan hasrat pelajar melanjutkan pelajaran. - Gambar hiasan

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

DEK kerana ulasan pengetua yang tidak munasabah, hasrat untuk memasuki institusi pengajian tinggi terbantut.

Itulah dilema 22 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan apabila dilabel sebagai murid tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah walaupun tidak melakukan kesalahan serius sepanjang tempoh persekolahan.

Lebih mengejutkan, ada antara mereka pernah menyertai acara sukan hingga berjaya mewakili negeri, tetapi sumbangan berkenaan tidak diiktiraf kerana tidak dicatat dalam sijil berkenaan.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Bukankah sepatutnya sijil berhenti sekolah ditulis dan diberi ulasan oleh guru kelas bukannya pengetua? Apakah tindakan pengetua itu wajar? Dalam keadaan sebegitu, apakah yang harus dilakukan atau apakah langkah yang perlu diambil pelajar supaya mereka boleh melanjutkan pelajaran? Yang Dipertua (YDP) Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan masa depan pelajar.

Katanya, pelajar yang melakukan kesalahan sudah diberikan hukuman sama ada menerusi tindakan disiplin atau gantung sekolah .

"Sejahat atau senakal mana pun pelajar itu, tindakan memberi ulasan yang tidak munasabah bukanlah cara menghukum mereka.

"Ini kerana tindakan sewajarnya sudah diambil setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

"Justeru, pengetua perlu rasional dalam mengambil sebarang keputusan dan bukan menganiaya serta merosakkan masa depan mereka," katanya.

Sebagai pengetua, kata Azam, mereka perlu bimbing pelajar yang membuat kesalahan dan bukannya merosakkan masa depan mereka.

"Pelajar memang tidak lari dari membuat kesilapan dan tindakan sewajarnya harus dikenakan supaya mereka menginsafi kesalahan mereka itu.

"Tetapi menulis ulasan yang boleh merosakkan masa depan pelajar tidak wajar. Justeru, saya berharap, perkara ini tidak akan berulang dan pengetua akan lebih rasional dalam hal-hal seperti ini," katanya.

Tambahnya lagi, ketika membuat penilaian, guru atau pengetua perlu melihat kembali sumbangan yang diberikan pelajar terhadap sekolah, negeri dan mungkin negara.

"Dalam melakukan penilaian terhadap pelajar, semua aspek perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan dari satu sudut saja iaitu disiplin.

"Ramai juga di kalangan pelajar yang aktif dalam sukan atau kokurikulum dan pernah mengharumkan nama sekolah, tetapi turut mempunyai kes disiplin.

"Justeru, nilai dengan baik dan kenang kembali jasa serta titik peluh mereka dalam mengharumkan nama sekolah dan bukan menilai mereka dari sudut kesalahan semata-mata," katanya. Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil, kata Azam, buat masa ini masih belum ada tindakan khusus yang akan dikenakan terhadap pengetua itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah mengarahkan YDP negeri Kedah untuk berjumpa pengetua terbabit.

"Buat masa ini, YDP negeri akan berjumpa dengan pengetua terbabit dan menasihatinya supaya tidak mengulangi perkara itu lagi.

"Kita juga akan membangkitkan kes ini dengan lebih terperinci dan tindakan yang akan diambil jika perkara ini berlaku lagi di mesyuarat peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada Jun ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Profesor Madya Mohd Ali Hassan berharap perkara berkenaan akan menjadi peringatan kepada guru besar atau pengetua di masa akan datang.

Katanya, jika mahu memberi penilaian, semua sudut perlu dititikberatkan dan bukannya mengikut perasaan atau emosi.

"Penilaian yang ditulis terutama di sijil berhenti sekolah itu adalah sangat penting dan akan memberi kesan kepada pelajar.

"Seperti kes ini, pelajar akan menerima impak negatif terutama apabila mereka memohon untuk melanjutkan pelajaran. Jadi, ia seharusnya tidak berlaku," katanya.

Dalam hal ini, apa yang mungkin boleh dilakukan adalah dengan menggantikan sijil berhenti sekolah 22 pelajar terbabit dengan yang lain dan ulasan yang munasabah dan bukan merosakkan masa depan mereka.

"Kita ambil perumpamaan cek yang tidak boleh digunakan. Walaupun sudah tidak boleh digunakan, ia masih boleh diganti dengan yang lain.

"Begitu juga dengan sijil berhenti mereka ini. Saya harap sijil itu boleh diganti dengan yang lain supaya ia tidak menjadi satu halangan kepada kehidupan mereka nanti," katanya.

Selain itu, menurut Datuk Mohd Ali, perkara berkenaan diharap perkara ini tidak dipandang enteng oleh pengetua atau guru besar dan perlu dielakkan daripada ia berulang.

"Perkara ini tidak seharusnya berulang lagi kerana ia menggambarkan pengetua atau guru besar kurang bertimbang rasa atau berkemungkinan bermasalah.

"Justeru, mereka ini perlu diberi bimbingan atau kaunseling selain diberi pemulihan terhadap jati diri sebagai pengetua atau guru besar supaya mereka ini tidak melepaskan geram terhadap anak-anak," katanya.

Datuk Mohd Ali berkata, perkara seumpama tidak seharusnya berlaku kerana ia ibarat meletakkan racun di dalam makanan anak-anak.

"Walaupun mungkin mereka ini mempunyai masalah di sekolah, ia boleh diselesaikan dan bukannya menulis ulasan yang tidak sewajarnya pada sijil berhenti sekolah mereka," katanya.

Justeru, Datuk Mohd Ali berharap supaya pengetua, guru besar atau guru-guru yang memberi penilaian adalah mereka yang benar-benar terlatih atau dilatih secukupnya.

"Setiap penilaian tidak kira di kad kemajuan atau sebagainya perlu diisi dengan telus serta menilai mengikut sumbangan pelajar.

"Andai penilaian itu silap, ia akan merosakkan masa depan pelajar yang masih jauh. Jadi, perkara ini tidak boleh di abaikan dan dipandang mudah ketika menulis penilaian yang sememangnya cukup penting kepada pelajar," katanya.

Bagi 22 pelajar itu pula, katanya, beliau benar-benar berharap sijil berhenti sekolah mereka diperbetulkan supaya tidak menjadi penghalang kepada masa depan mereka.

"Kalau ia tidak diganti, saya takut ia akan meninggalkan tompok hitam dalam kehidupan mereka kelak," katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Berjaga-jaga sebelum gelombang kedua H1N1 menyerang

Kematian seorang ibu Maimunah Dimah, 54, dan anaknya, Sumarni Mat Nor, 29 di Hospital Melaka akibat jangkitan virus Influenza A (H1N1) menandakan semua rakyat negara ini perlu berjaga-jaga.

Angka korban virus maut itu di negara kita kini bertambah menjadi 79 orang setelah tujuh bulan terhenti pada 77 kes tahun lalu.

Semua pihak perlu mengambil pendekatan dan ingatan bahawa jangkitan H1N1 sudah kembali. Hakikatnya seperti yang diberitahu berkali-kali oleh Kementerian Kesihatan, H1N1 masih lagi aktif berlaku di dalam komuniti kita.

Sebab itu kerajaan tidak boleh isytiharkan negara ini bebas H1N1 selagi masih terdapat kes-kes H1N1 yang dilaporkan di beberapa negeri. Belum pasti lagi adakah gelombang kedua H1N1 sudah bermula. Tetapi orang ramai yang mempunyai tanda-tanda penyakit itu digesa segeralah mendapatkan pelalian secara percuma di 104 pusat kesihatan di seluruh negara.

Sekarang semua ahli keluarga dan masyarakat diminta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema babi ini.

Jangan kita berfikiran wabak ini tidak akan menghampiri kawasan kediaman kita hingga tidak mengambil langkah kawalan.

Pengawalan dan penjagaan kesihatan adalah penting bagi mengelak berlaku gelombang kedua Influenza H1N1.

Dalam keadaan sekarang, eloklah kerajaan menggerakkan pasukan pemantau H1N1 yang ditubuhkan November lalu bagi menghalang berlakunya gelombang kedua wabak itu.

Situasi ini juga menuntut kerajaan segera meningkatkan pemantauan terhadap H1N1 di semua negeri, meningkatkan rawatan di semua hospital serta memperhebatkan lagi kempen mengenai H1N1.

Sehingga Khamis lalu, sebanyak 53 kes manakala 878 kes gejala seakan-akan influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Melaka sahaja.

Kita bimbang jika gejala penyakit itu tersebar ke negeri lain tanpa kita sedari. Kementerian Kesihatan ada melaporkan terdapat trend peningkatan kes H1N1 di negara ini dengan purata 50 kes positif H1N1 dikesan setiap minggu.

Memandangkan keadaan ini, elok orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memakai semula penutup mulut dan hidung. Jika rekod menunjukkan sejumlah 12,688 kes positif H1N1 dicatatkan sejak April 2009 hingga Mac lalu dan hanya 77 orang meninggal dunia dalam tempoh itu, rasanya kita mampu menangani wabak ini sekali lagi.

Tetapi ia berbalik kepada kesediaan kita untuk memberi kerjasama demi kebaikan semua orang. Sebab, meskipun pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah-langkah bagi menghalang kemunculan semula wabak H1N1 ini, keberkesanannya banyak bergantung kepada kesedaran orang ramai untuk bersama- sama menghayati dan melaksanakan apa juga langkah yang perlu diambil.

Jika doktor menasihatkan anda atau ahli keluarga anda berkurung di rumah dan mengambil ubat yang diberi, maka patuhilah arahan tersebut. Orang ramai juga janganlah bersikap semua perkara mesti dilakukan oleh kakitangan jabatan kesihatan, sebaliknya berusahalah ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin H1N1 atau melayari www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

Paling utama ialah pastikan tangan kita sentiasa dibasuh dengan bersih. Tangan bersih boleh menghindarkan penyakit.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/.