Rabu, 7 April 2010

APABILA LUNAK MENJADI MUAK

OLEH ABD JALIL ALI

Kita sudah terbiasa sangat dengan kenyataan-kenyataan stereotaip setiap kali kerajaan hendak menaikkan harga satu-satu barangan atau perkhidmatan. Kata-kata yang dikeluarkan selalunya amat lunak, manis lagi mesra pengguna. Soal betul atau tidak kata-kata itu, belakang kira.

Sekiranya contoh-contoh sebelum ini hendak dijadikan KPI – sekarang siang malam orang bercakap mengenai KPI! – ternyata sekali yang lunak-lunak itu akhirnya menimbulkan rasa muak; yang manis bertukar menjadi masam lagi pahit.

Tentu semua masih ingat bahawa apabila harga bahan penting atau perkhidmatan utama hendak dinaikkan, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang menjadi alasan kerajaan untuk menjustifikasikan tindakan tersebut:


No.1, harga bahan berkenaan sudah lama tidak naik. Oleh sebab kos pengilangan semakin tinggi dan harga bahan mentah meningkat di pasaran dunia, kita tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga.

No.2, harga bahan tersebut di tempat kita adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain (biasanya yang akan disebut ialah negara di mana harga lebih tinggi, negara yang harga lebih rendah dari kita tidak disebut!).

No. 3, kenaikan harga ini tidak akan sekali-sekali membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah, sebab “kerajaan akan bertindak tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan atas kenaikan ini!”

Sementara alasan No.1 dan No.2 sukar untuk dinilai kebenarannya oleh rakyat terbanyak, No.3 boleh dirasakan kesannya oleh kita dalam masa sehari dua – ada ketikanya dalam masa hanya sejam dua! – setelah kenaikan harga baru dikuatkuasakan.

Kita ambil contoh tepung gandum. Kerajaan kata kenaikan harga bahan tersebut tidak akan membebankan rakyat. Tetapi dalam masa hanya tiga hari, rakyat biasa sudah merasa beban. Kebanyakan restoran dan gerai menaikkan harga roti canai. Setiap keping naik antara 10 sen hingga 20 sen, malah ada juga yang 30 sen.
Sesetengah penjual, konon atas semangat cintakan pengguna, mengekalkan harga lama. Memang harga tidak berubah tetapi saiz berubah – roti canai menjadi lebih kecil, semakin nipis seperti sapu tangan. Tidak boleh lagi kata sekeping, tetapi patut kata sehelai roti canai.

Samalah juga halnya apabila harga gula dinaikkan belum lama dulu. Kenyataan stereotaip dikeluarkan, dan rakyat juga yang menerima akibatnya. Kerajaan menegaskan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan lain sesuka hati.
Kesan segera kenaikan harga gula ialah kenaikan teh tarik. Gula naik 25 sen sekilo, teh tarik naik 20 sen segelas. Malah ada sesetengah restoran yang menaikkan teh tarik sebanyak 50 sen. Bukan sahaja teh tarik yang menjadi minuman separuh wajib sebahagian besar rakyat, makanan bergula yang lain pun turut naik. Kerajaan tidak berupaya untuk mengawal kenaikan harga, jauh sekali untuk mengambil tindakan tegas ke atas peniaga. Apa yang termampu dibuat oleh kerajaan ialah menasihatkan orang ramai supaya memulaukan peniaga yang menaikkan harga teh tarik. Pengguna juga yang kena!

Apabila petrol naik harga, semua orang terkesan dan terbeban sebab semua barang dan khidmat turut naik. Sehinggakan mamak penjual cendol pun menaikkan harga atas alasan: “Itu petrol harga sudah naik, jadi cendol mesti naik juga!” Pada hal dia tidak menggunakan motosikal, sebaliknya hanya berbasikal untuk menjual cendol. Mana ada basikal guna petrol!

Sebab itu jangan cepat berasa lega apabila kerajaan kata “tidak membebankan rakyat” jika ada barang naik. Sebaliknya, kita hendaklah bersedia dan mencari langkah selamat apabila ada barang atau perkhidmatan hendak dinaikkan harga. Terimalah hakikat bahawa kenaikan walau sesen pasti akan membebankan kita.

Sengaja saya timbulkan ini sebab mulai 1 Julai harga perkhidmatan pos akan dinaikkan. Alasan kerajaan sama seperti No.1 hingga No.3 di atas. Cuma tambah satu lagi, bahawa kenaikan ini akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pos. Ini pun cakap biasa. Sebelum ini tarif air naik, tarif elektrik naik, tarif telefon naik, perkhidmatan macam biasa juga.
Kerajaan kata kenaikan setem tidak akan membebankan rakyat. Setem pos biasa kini 30 sen, mulai awal Julai akan menjadi 60 sen, iaitu kenaikan 100 peratus. Macam mana kenaikan setinggi itu dikatakan tidak membebankan? Walaupun ada disediakan apa yang dipanggil ‘surat rakyat’ pada harga sama, kenaikan sekali ganda setem itu tetap terkena pada rakyat.

Sebenarnya kenyataan-kenyataan stereotaip itu tidak perlu. Adalah lebih baik kerajaan berterus terang bahawa kenaikan setiap harga barangan dan perkhidmatan pasti akan menjejaskan kehidupan rakyat. Dan, rakyat kena menghadapi hakikat itu. Biarlah kenyataan itu pahit, mudah-mudahan ia menjadi ubat. Tidak guna kata-kata lunak, sebab akhirnya rakyat muak.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Kempen antimerokok perlu diperkasakan

DI PARLIMEN kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bahawa penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja.

Penjualan rokok 20 batang masih dikekalkan kerana harganya yang mahal. Menurut beliau lagi, kerajaan akan memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

Selain langkah mengharamkan penjualan rokok 14 batang, kerajaan telah mengadakan pelbagai program bagi membendung perbuatan merokok di kalangan rakyat negara ini.

Antaranya meningkatkan cukai dan harga rokok, menguatkuasakan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, promosi antimerokok terutama Kempen Tak Nak Merokok serta Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan.

Sehingga akhir tahun lalu, menurut satu analisis yang dilakukan oleh pihak terbabit, seramai 39,725 perokok meninggal dunia akibat menghidap kanser paru-paru, jantung dan angin ahmar sejak 2002.

Bilangan perokok dewasa pula menunjukkan peningkatan disebabkan pertambahan jumlah penduduk daripada 21.2 juta pada 1996 kepada 24.8 juta pada tahun 2009.

Di peringkat sekolah, program Doktor Muda telah lama diwujudkan untuk mendidik pelajar sekolah berkaitan kesihatan dan memberi kesedaran mengenai kesan buruk akibat merokok.

Umum mengetahui bahawa merokok merupakan satu gaya hidup yang memudaratkan. Kesan merokok itu bukan saja pada perokok, malah pada orang yang tidak merokok.

Seorang perokok nampak sahaja bergaya tetapi mereka sebenarnya sengaja mengundang pelbagai gejala penyakit yang akan memakan diri sendiri. Sebahagian perokok yang menyedari betapa mudaratnya amalan merokok pula cuba untuk berhenti.

Malangnya, hanya segelintir yang berjaya. Kebanyakannya, menemui jalan buntu kerana tidak berupaya mengatasi gejala merokok itu.

Pelbagai cogan kata berbentuk ancaman, nasihat dan pujukan yang dicipta tentang bahaya merokok ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan kerana sebarang bentuk amaran biasanya tidak diendahkan oleh para perokok yang ketagih ini.

Bolehlah dikatakan bahawa masyarakat tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengatakan yang mereka tidak tahu maklumat berkaitan bahaya merokok. Tak kira sama ada langkah untuk berhenti, mengurangkan mahupun mengelak daripada terjebak, semuanya telah lengkap dipaparkan sebagai ingatan.

Tetapi malangnya, ia terus berlaku dan hampir pasti bahawa kemungkinan ia tiada jalan penghujungnya.

Harus diakui bahawa kekuatan dalaman individu banyak dipengaruhi oleh suasana persekitaran.

Mereka akan menjadi kuat apabila persekitarannya menyokong keinginannya dan begitulah sebaliknya. Seseorang yang ingin atau baru berhenti merokok akan berjaya sekiranya mereka sentiasa berada dengan orang yang tidak merokok dan tidak berada di tempat yang membolehkannya merokok.

Cadangan sesetengah pihak agar semua institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) mengadakan kempen 'benci rokok' pada setiap semester, seminar dan pameran yang diadakan mungkin dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Begitu juga dengan kempen 'benci rokok'. Elok rasanya poster 'bahaya rokok' diletakkan di setiap surau, masjid, tokong, kuil dan gereja di seluruh negara.

Semua imam, bilal, sami dan paderi perlu bersama-sama bergandingan memberi nasihat dan gesaan dalam khutbah mereka agar ahli ibadat berhenti merokok. Jadikan satu hari 'benci rokok' dalam setiap minggu. Jadikan moto, orang beriman 'benci rokok.'

Menurut kajian pakar saintis, kesukaran yang dialami oleh seorang penagih rokok untuk berhenti adalah sama seperti kesukaran yang dialami oleh seseorang penagih heroin untuk berhenti mengambil dadah.

Justeru, jadikan kempen antimerokok dan 'benci rokok' sebagai tanggungjawab bersama. Rakyat Malaysia dengan moto 'Malaysia Boleh' pasti dapat merdeka daripada cengkaman gergasi rokok yang begitu berbisa itu.

WAN MARZUKI WAN RAMLI

Pasir Mas, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/