Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
Ternyata ibu bapa dilihat semakin hilang kawalan terhadap anak yang semakin liar. Mereka juga menghadapi masalah mendidik dan membentuk anak menjadi manusia berguna mengikut acuan dikehendaki.
Terkini polis Kuala Lumpur mendedahkan, 3,263 pelajar sekolah ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam 2,003 kes salah laku. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terbabit dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan mencuri motosikal.
Statistik ini dikatakan semakin meningkat tiap tahun cukup untuk membuktikan tahap masalah sosial remaja kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia bebas tanpa sempadan.
Antara punca masalah sosial melanda remaja dan belia ialah pengaruh negatif rancangan televisyen yang boleh dikategori sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan mula menguasai minda dan pemikiran anak kita dengan nilai yang jauh bertentangan dengan adat ketimuran yang kemudian mempengaruhi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian.
Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterisme dipaparkan dalam televisyen sama ada menerusi drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan menjadi ‘guru’ kepada remaja.
Drama sinetron tahyul dari seberang dan filem ganas dari Barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda penonton. Itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.
Mereka mencontohi semua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.
Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh cukup kuat terhadap penonton. Ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi terkenal. Magic Bullet Theory yang diperkenalkan Katz dan Lazarsfeld pada 1955 misalnya mengandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru dengan penonton cenderung untuk percaya semua perkara dilihat, sekali gus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.
Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial hari ini dengan pengaruh televisyen atas remaja, ternyata andaian teori komunikasi itu ada kebenarannya. Ini membuktikan, menonton televisyen hari ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika tidak dikawal dengan sewajarnya.
Mengambil kira senario yang membahayakan ini, wajar untuk ibu bapa menyokong kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ anjuran Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.
Fomca juga mendedahkan, kajian dibuat pada 2005 membabitkan penggunaan peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati golongan muda menghabiskan 73 peratus masa lapang mereka untuk menonton televisyen. Dilaporkan juga, kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di depan televisyen masing-masing.
Justeru, ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian serius kepada jenis rancangan ditonton anak mereka supaya tidak terdedah dengan rancangan yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral.
Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup sebagai sumber maklumat, tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan seisi keluarga. Dalam hal ini, diharapkan kementerian dan Lembaga Penapisan Filem memainkan peranan lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama kurang sihat di negara ini.
Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen banyak mendatangkan kesan buruk pada tahap kesihatan seperti kegemukan dan diabetes mula mengancam kerana kita terlalu pasif untuk suatu tempoh masa lama ketika di depan kaca televisyen.
Pembaziran masa begitu lama (tiga hingga lima jam sehari) di depan televisyen pastinya menjejaskan pelajaran anak. Mereka terlalu asyik menonton televisyen dan tidak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Akibatnya, prestasi akademik mereka terjejas.
Keruntuhan moral, masalah kesihatan dan pelajaran adalah antara kesan negatif secara langsung akibat kelalaian ibu bapa mengawal anak daripada terus menjadi hamba televisyen. Anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara. Justeru, kelestarian pembangunan modal insan perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan saja berilmu, tetapi kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.
Kita khuatir tabiat yang kurang sihat ini akan mula menjauhkan kita daripada anak kita, merenggangkan hubungan kekeluargaan sekali gus menghancurkan keharmonian keluarga kita.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/