BERDASARKAN jumlah tangkapan pemberi rasuah melibatkan pekerja sektor awam mahupun swasta yang semakin meningkat, golongan pekerja diseru membuat pertimbangan seribu kali sebelum melakukan jenayah keji itu. Ini kerana menurut perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 524 tangkapan kerana kesalahan rasuah telah dilakukan antara tahun 2005 hingga 2009. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 142 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 51 pertuduhan telah dikemukakan ke muka pengadilan.
Bagi mengelak trend peningkatan jenayah rasuah yang merugikan bangsa dan negara daripada berterusan, golongan pekerja disaran mengaplikasikan konsep bekerja sebagai ibadah ketika menjalankan tugasan harian mereka. Ini boleh dilakukan dengan membetulkan niat dan matlamat bekerja.
Dalam Islam, setiap amalan dinilai berdasarkan niat, jika ia benar semata-mata mencari reda Allah SWT, nescaya ia dianggap ibadah dan berupaya untuk mengelak seseorang daripada melakukan perbuatan hina seperti menerima dan memberi rasuah. Begitu juga niat yang betul akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.
Selain itu, pekerjaan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syariat. Tidak kira sama ada bergaji tinggi ataupun rendah, yang penting pekerjaan yang halal lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta. Kenyataan ini pernah disebut oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud "Perbuatan seseorang pergi ke hutan menebang kayu, mengikat dan memikul di bahu kemudian dibawa ke pasar untuk dijual adalah lebih baik daripada meminta-minta kerana belum tentu kita diberi ataupun tidak." Justeru itu, tiada guna berpendapatan tinggi dan hidup mewah jika apa yang dilakukan boleh merosakkan agama dan keharmonian negara.
Begitu pula pekerjaan yang diharamkan agama seperti bekerja di rumah urut sambil melacurkan diri, bekerja di kelab malam yang dikelilingi maksiat dan arak juga pusat-pusat perjudian seperti kedai menjual nombor ekor dan lain-lain wajib dijauhi. Ini kerana perbuatan tersebut menyumbang masalah sosial dalam masyarakat, selain dilaknat oleh Allah SWT. Bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah sedangkan Allah SWT hanya menerima yang baik sahaja. Malah penglibatan orang Islam dalam jual beli riba dan apa sahaja bidang perniagaan yang memudaratkan seperti pengedaran dadah dan pil-pil khayal turut diharamkan.
Perlu juga diingat dalam melaksanakan apa jua pekerjaan, kewajipan melaksanakan ibadah adalah asas yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Sibuk mana pun kita menguruskan perniagaan mahupun kerja-kerja di pejabat, sembahyang tidak patut ditinggalkan. Ia merupakan kewajipan utama yang pertama kali akan dipersoalkan di hari kemudian. Akibat diabaikan kerja-kerja yang lain kemungkinan akan terbengkalai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Amalan bermesyuarat sehingga mengorbankan sembahyang fardu sebagai contohnya patut dihindari sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh setiap bulan.
Dalam kesibukan bekerja juga, seseorang tidak patut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan rumah tangga. Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk makan bersama seisi keluarga dan bercuti bersama anak-anak. Pasangan suami isteri yang bekerja juga perlu memperuntukkan masa bersama sambil berbincang untuk menyelesaikan masalah anak-anak dan rumah tangga. Jika tidak, anak-anak terutamanya akan merasa bosan dan tidak seronok berada di rumah lalu keluar bergaul dengan rakan-rakan yang kemungkinan menyumbang perlakuan tidak bermoral dan terlibat dengan aktiviti jenayah.
Isteri yang keluar bekerja pula perlu mendapat restu daripada suami. Di samping itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syariat dan jangan sampai mengganggu tugas hakiki seperti mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak. Elakkan daripada menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu rumah, kerana dikhuatiri akan menjejaskan kerukunan rumah tangga. Isteri yang keluar bekerja juga perlu mengelak fitnah dengan tidak melampau-lampau dalam berhias dan berpakaian. Ini bagi mengelak hubungan terlarang di pejabat yang banyak terjadi akhir-akhir ini.
Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan juga semestinya dilakukan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Untuk itu perbuatan curi tulang dan makan gaji buta hendaklah dijauhi. Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya "Sesungguhnya Allah suka jika seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun." (Riwayat al-Baihaqi).
Sebagai pekerja dalam perkhidmatan awam pula, nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang diperkenalkan oleh kerajaan cukup lengkap untuk menjadi panduan dan pedoman ke arah menjadi pekerja yang berintegriti. Nilai-nilai yang baik seperti menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan, kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat serta nikmat mencipta hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari.
Ingatlah kerja ikhlas yang dilakukan semata-mata untuk mencari rezeki halal menjadi penyebab kepada keberkatan hidup. Mungkin gaji yang diperoleh sedikit tetapi jika diberkati, pasti akan mencukupi. Sedarlah juga setiap wang ringgit yang diperoleh akan dipersoalkan sumber dan cara bagaimana ia dibelanjakan. Di samping itu, perbuatan memburuk-burukkan rakan sepejabat dan saling dengki mendengki satu sama lain untuk tujuan kenaikan pangkat misalnya tidak bertepatan dengan konsep bekerja sebagai ibadah. Ini kerana selain bekerja untuk menyara kehidupan di dunia, sebagai orang Islam kita juga bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT di hari akhirat.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Sumber : http : //www.utusan.com.my/