Isnin, 7 Jun 2010

Israel tidak bermoral, samseng

PM garis 15 ketetapan kutuk Zionis sekat misi bantuan ke Gaza

PAGI ini (semalam), dalam Dewan yang mulia ini, di tapak istana demokrasi yang berkeramat, kita sama-sama berkumpul dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa mahupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan saja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.

Dengan izin saya ingin mengungkapkan kata-kata Nelson Mandela yang cukup bermakna Palestine is the greatest moral issue of our age. Justeru, sebelum berbicara lebih lanjut, seelok-eloknya saya merentet kembali empat peristiwa besar yang membabitkan salah laku kotor dan busuk oleh rejim Zionis.

Pertama, sebermula lebih 60 tahun lalu, rakyat Palestin terus-terusan dinafikan hak untuk menghirup udara kebebasan di tanah tumpah sendiri. Seawal tragedi Naqbat pada 1948, penduduk Palestin dihalau dari kampung halaman masing-masing secara kejam oleh Israel yang buat pertama kali ketika itu memperkenalkan terrorisme sebagai kaedah untuk mencapai matlamat mereka.

Kedua, sekitar akhir 1960-an, selepas apa yang digelar peperangan enam hari, di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin, didirikan pula penempatan haram tanpa rasa bersalah atau segan silu. Kemudian, peristiwa ketiga pada 1982, tentu tidak dapat dilupakan yakni tragedi pembantaian ganas ke atas kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa di Kem Pelarian Shabra dan Shatila.

Keempatnya pula, saya yakin masih segar dalam ingatan ramai, akan serangan ketenteraan rejim Zionis ke atas Wilayah Gaza sehingga menyebabkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua.

Apa yang jelas, tragedi itu ternyata lukanya masih lagi bukan saja belum sembuh, bahkan kekal, kuning, bernanah di sanubari masyarakat dunia. Kini, tampaknya kesan hirisan itu terus dilukai oleh satu lagi episod tidak berperikemanusiaan. Peristiwa pembunuhan kejam sembilan sukarelawan oleh komando Israel tanggal 31 Mei 2010 baru-baru ini pastinya, menyimbah minyak ke atas api kemarahan masyarakat dunia yang kini marak menyala dan membakar perabung-perabung dada.

Jadinya, demi menyuarakan ketegasan negara mengenai peristiwa berdarah yang terjadi, saya menyeru ahli-ahli yang berhormat sekalian, bersama-sama saya, sepakat, seia sekata, sederap menyampaikan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan Zionis ini.

Dengan ini saya mencadangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), Dewan ini mengambil ketetapan berikut:
  • Bahawa, tentera rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyerang tanpa alasan dalam perairan antarabangsa, konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010. Kejadian itu mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi bantuan kemanusiaan berkenaan;
  • Bahawa, serangan Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan itu adalah tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB);
  • Bahawa, sentimen sama sudah pun disampaikan melalui Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC) di Singapura pada 1 Jun 2010 yang menyuarakan kutukan keras terhadap tindakan rejim Zionis Israel ini;
  • Bahawa, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian, tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang melampau ke atas kapal misi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza itu; dan
  • Bahawa, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas rejim Zionis itu.
Dengan ini Dewan mengambil ketetapan seperti berikut:
  • (1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;
  • (2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan PBB di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Zionis ke atas kapal misi bantuan berkenaan;
  • (3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah;
  • (4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam PBB dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;
  • (5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan PBB bagi merujuk situasi akibat serangan tentera rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
  • (6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ);
  • (7) Memohon supaya Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
  • (8) Menyeru supaya satu siasatan bebas penuh dibuat terhadap serangan tentera rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak;
  • (9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;
  • (10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan PBB;
  • (11) Mengalu-alukan tindakan Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;
  • (12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghiraukan dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;
  • (13) Merakamkan penghargaan kepada Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara lain yang terbabit dalam usaha membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan Zionis;
  • (14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat; dan
  • (15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.
Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Dipertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan kejam oleh tentera Rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Malaysia, mengecam tindakan kejam tentera rejim Zionis Israel di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang bertindak menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei lalu.

Malaysia dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau dan biadab Zionis yang bukan saja melanggar norma perundangan antarabangsa malah juga tata kelakuan bertamadun. Serangan Subuh oleh rejim Zionis ini ternyata mencabul prinsip kebebasan perairan antarabangsa kerana faktanya tindakan ala kelanunan terhadap Freedom Flotilla ini dilakukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza iaitu di luar perairan wilayah Israel.

Perbuatan durjana ini mengakibatkan kehilangan sembilan nyawa dan puluhan kecederaan kepada mereka yang sedang menjalankan misi mulia membawa bantuan kemanusiaan kepada ribuan rakyat Gaza.

Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.

Serangan tidak berperikemanusiaan ini memperlihatkan sekali lagi kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera rejim Zionis yang tidak menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang antarabangsa. Mereka tanpa rasa bersalah menggunakan kekerasan ketika menawan kapal Mavi Marmara.

Seperti dilaporkan, sembilan orang yang terkorban itu ditembak daripada jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan.

Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, semalam (kelmarin) saya berpeluang mendengar sendiri daripada mulut 12 orang rakyat Malaysia yang terbabit, akan detik-detik cemas dilalui mereka ketika serangan sedang berlangsung. Saya dimaklumkan bahawa mereka turut didera secara mental ketika dalam tahanan.

Dalam hal ini, kerajaan berasa bangga walaupun Malaysia sederhana dari segi saiz, terbukti kita tidak sekali-kali berjiwa kerdil bahkan memiliki semangat kental yang menggunung lagi membumbung di medan juang.

Sesungguhnya, kerajaan sudah mengambil segala tindakan wajar dan perlu bagi memungkinkan kebebasan sukarelawan negara termasuklah dengan menghantar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar ke Jordan. Tahniah kepada Kementerian Luar Negeri.

Lantaran itu, saya, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin menegaskan bahawa kumpulan 12 ini bukannya penjenayah mahupun penceroboh sebaliknya mereka adalah wira-wira Malaysia. Sesungguhnya keberanian kumpulan 12 ini yang sanggup menghadapi bahaya muncung senjata demi matlamat dan prinsip yang tulus murni akan suatu hari nanti tersepuh dengan tinta emas dalam susur galur sejarah negara.

Hakikatnya, kita mengiktiraf mereka semua sebagai pejuang kebebasan sejati yang amat dibanggakan. Kita tahu benar, sekiranya perbuatan sama dilakukan negara lain, nescaya negara itu akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan PBB. Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan PBB bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah diberikan kepada mereka.

Sungguhpun begitu Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar pada 31 Mei yang lalu bagi membincangkan serangan tentera rejim Zionis ke atas konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Nyatanya sejak enam dekad lalu, Zionis terus-terusan menzalimi rakyat Palestin. Walaupun pelbagai resolusi diluluskan Majlis Keselamatan PBB tetapi semuanya tidak dihiraukan oleh Israel. Perbuatan beraja di mata dan beraja di hati ini berlaku kerana samseng dunia Israel berasa mereka dilindungi satu-satunya kuasa besar dunia.

Sehubungan itu, Malaysia ingin mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim terbabit mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertanggungjawab dan bertamadun.

Ketahuilah bahawa, piawai moral dan etika sebuah negara bangsa tidak boleh berbeza dengan piawai yang dikenakan kepada individu. Tambahan lagi, kepentingan nasional sesebuah negara bangsa tidak boleh mengatasi piawai asas kemanusiaan hanya kerana mereka mempunyai kekuasaan.

Pegangan bahawa siapa kuat dialah kudrat sudah tidak boleh dipakai lagi. Dalam kata lain, tidak ada bezanya keganasan kumpulan dan individu berbanding keganasan dilakukan negara bangsa. Ia tetap keganasan yang perlu dipertanggungjawabkan serta diadili.

Jika kebenaran berpunca daripada muncung senjata bukannya dari kebenaran undang-undang dan prinsip moral universal, maka keamanan dunia akan sentiasa berada di hujung tanduk. Bukankah sejarah sudah cukup mengajar kita bahawa peperangan dunia pertama dan kedua yang mengorbankan banyak nyawa dan mengakibatkan kemusnahan yang bukan enteng adalah berpunca daripada kekuatan muncung senapang?

Dunia tidak boleh membenarkan rasisme yang berteraskan prinsip bahawa ada bangsa yang lebih mulia daripada bangsa lain menjadi satu pegangan di dunia ini. Bukankah dunia sudah membayar harga yang mahal untuk menewaskan Nazisme dan Fasisme.

Maka, selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya.

Dalam pada Malaysia kecewa di atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras sewajarnya terhadap Zionis, Malaysia akan tetap berusaha untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sedang menderita. Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan kendiri ekonomi dapat dibangunkan.

Saya sendiri baru-baru ini, menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika lawatan beliau ke Malaysia. Malaysia akan terus mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mencela tindakan ganas Israel dan supaya pemimpin Zionis yang bertanggungjawab dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Malaysia juga akan menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan Advisory Opinion dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Malaysia juga akan mendesak supaya Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal yang ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang dirampas secara haram.

Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta sebarang pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa. Malaysia juga berasa amat sedih dan sangat kesal dengan situasi kemanusiaan meruncing yang sedang berlaku di Gaza akibat kepungan rejim Zionis.

Sekatan dan kepungan kejam rejim Zionis ini mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan, bahan mentah serta minyak bagi keperluan kehidupan harian masyarakat Palestin di Gaza.

Mutakhir, semalam (kelmarin) perkembangan terbaru, kita mendapat berita mengenai usaha PBB untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berkaitan isu ini. Suka saya menyatakan, Malaysia menyokong sebarang cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden yang berlaku.

Malaysia tiada masalah malah menyokong jika Sir Geoffrey Palmer, bekas Perdana Menteri New Zealand yang diamanahkan untuk mengetuai siasatan antarabangsa ini.

Alhamdulillah, di atas segala-galanya, kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis, berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air. Kejayaan ini, tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan pertolongan negara-negara sahabat. Dalam hal ini, Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Turki, Ireland dan Filipina dan juga negara lain yang bersedia menghulurkan bantuan dalam usaha membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis.

Begitulah, kita juga berbangga dengan semangat waja enam lagi wira Malaysia yang berlayar dengan kapal Rachel Corrie kerana di celah-celah ketidaktentuan suasana, memilih untuk mara ke hadapan sekalipun mengetahui risiko yang bakal ditempuhi. Syukurlah, tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Setakat hari ini, kita mendapat maklum bahawa usaha membawa mereka kembali sedang diatur dan disusun. Didoakan agar semuanya berada dalam keadaan selamat sehingga pulang ke Malaysia nanti.

Dunia terus menyaksikan pelbagai gelagat dan tindakan zalim dilakukan Israel, termasuk insiden terbaru ini. Perlu saya gariskan, kezaliman seumpama ini akan berterusan dan mungkin tiada noktahnya sekiranya masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri. Tindakan ini akan hanya membuatkan Israel terus bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan sehingga rakyat Palestin kian terbelenggu mencari sinar kedamaian.

Harus juga dinyatakan kepada semua Ahli Yang Berhormat bahawa, tanggungjawab untuk menghentikan penindasan yang berlarutan di Palestin selama ini, adalah tanggungjawab kita bersama, perlu ditangani, di mana keamanan boleh dicapai sekiranya wujud keikhlasan. Namun kita menyedari bahawa tidak semua Yahudi menyokong dan bersekongkol dengan rejim Zionis. Ramai Yahudi juga yang cintakan keamanan dan mahukan keadilan diberi kepada Palestin.

Jelaslah, situasi yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan saja penindasan terhadap umat Islam, tetapi sesuatu yang melangkaui kepercayaan agama, membabitkan hak asasi, keadilan dan kemanusiaan. Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, agar bencana kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini, dapat dihentikan dengan serta-merta.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/