Rabu, 27 Oktober 2010

MALAYSIA KE-43 MAKMUR DI DUNIA

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my


Indeks Legatum 2010 letak negara ke-8 termakmur di Asia Pasifik


KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga ke-43 daripada 110 negara di dunia yang tersenarai dalam Indeks Kemakmuran berdasarkan laporan terkini Legatum Prosperity Index 2010 yang disediakan Legatum Institute
Pada peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga kelapan mengikut kajian sama dilakukan badan bebas berkenaan.

‘The Prosperity Index’ atau Indeks Kemakmuran memberikan penekanan kepada asas ekonomi, kesihatan, kebebasan, sistem pentadbiran, keselamatan, pendidikan, peluang perniagaan dan hubungan sosial boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan tahap kebahagiaan rakyatnya.

Legatum Institute adalah badan bebas berpangkalan di United Kingdom yang memberi fokus kepada kajian bebas dan sokongan dasar bagi mempromosikan kebebasan individu, politik dan ekonomi di negara seluruh dunia.

Menariknya, corak pemilihan indeks kemakmuran oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi semata-mata seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga tujuh bidang seperti keusahawanan dan peluang perniagaan, sistem pentadbiran, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebebasan individu dan modal sosial.

Hasil kajian badan itu mengekalkan kedudukan Malaysia seperti tahun lalu, melalui tujuh bidang berkenaan iaitu ekonomi di tangga ke-21; keusahawanan dan peluang perniagaan (34); sistem pentadbiran (34); pendidikan (45); kesihatan (44); keselamatan (52); kebebasan individu (90) dan hubungan sosial (90).

Rumusan kajian ini meletakkan asas ekonomi serta keusahawanan dan peluang perniagaan serta sistem pentadbiran dilihat sangat kukuh tetapi kebanyakan bidang lain berada dalam keadaan sederhana.

Kajian itu meletakkan Norway pada kedudukan pertama, manakala Zimbabwe pula di tangga yang terakhir.

Singapura pula negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke-17 sama seperti tahun lalu, manakala Thailand pula tangga ke-52 (naik dua anak tangga daripada tangga 54), Filipina turun daripada 61 ke-64 dan Vietnam turun daripada 50 ke-61.

Jepun adalah negara Asia yang menduduki tempat tertinggi tahun ini, iaitu tempat ke-18 susut dua anak tangga berbanding tahun lalu, manakala China di tangga ke-58, manakala India (88).

Namun mengejutkan kedudukan Hong Kong yang merosot kepada kedudukan ke-20, sedangkan dua tahun lalu menduduki antara 10 negara makmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

Sumber : //www.bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : BENCANA "BERKEMBAR" MELANDA INDONESIA

GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.
Runtuhan rumah dan kenderaan penduduk yang hancur akibat Letusan Gunung Merapi di Dusun Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman, Di Yogyakarta, Rabu (27/10/2010).


YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.

Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan ’penjaga’ gunung, Mbah Maridjan.

Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.

Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.

Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GEJALA MEROKOK : BILANGAN PEROKOK MUDA MERISAUKAN

Oleh Liow Tiong Lai

SAYA rasa sangat terganggu apabila melihat anak muda belasan tahun menghisap rokok, lebih-lebih lagi apabila orang dewasa menghisap rokok di depan kanak-kanak dan remaja.


Saya naik marah kerana perbuatan mereka yang sudah dewasa itu merosakkan segala usaha dan langkah pihak berkuasa kesihatan serta penganjur gerakan tidak merokok untuk mendidik anak muda tentang bahaya merokok.

Segala mesej kami tentang bahaya yang boleh membawa maut akibat merokok musnah apabila kanak-kanak melihat orang dewasa yang mereka hormati dan kagumi, terutama sekali ibu bapa mereka, saudara mara atau guru menghisap rokok di depan mereka.

Anak-anak itu tentu akan berkata: “Jika mereka boleh hisap, tentu kita pun boleh.”

Bolehkah kita menyalahkan mereka?

Nenek saya mati akibat kanser kerana dia seorang perokok. Tragedi yang berlaku dalam keluarga saya sendiri ini menjadi peringatan kepada saya dan anak-anak bahawa tembakau boleh membunuh. Saya lega, tiada siapa dalam keluarga saya menghisap rokok, membolehkan saya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain.

Tabiat menghisap rokok telah disifatkan sebagai satu ‘wabak tidak perlu buatan manusia’. Betapa tepatnya gambaran ini! Ia satu tabiat yang langsung tidak membawa faedah. Sebaliknya, membawa keburukan kepada diri sendiri, orang di sekeliling anda dan juga negara seluruhnya.

Anda mungkin akan berkata saya sengaja membesar-besarkan hal ini. Mana boleh seorang perokok membawa keburukan kepada satu negara? Tapi fikirkanlah, bersama tiga juta perokok lain di Malaysia, anda sedang menyumbang kepada beban ekonomi yang sangat besar kepada negara.

Kemungkinan anda kerap jatuh sakit adalah lebih besar. Begitu juga kemungkinan anda menderita penyakit kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup. Rawatan ini tidak murah. Anda akan sering tidak dapat pergi kerja atau mungkin tidak dapat bekerja bagi tempoh yang panjang.

Banyak duit negara akan habis kerana penyakit yang anda hidapi. Satu kajian mendapati beban kos merawat kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit lain yang berkaitan dengan tabiat merokok ialah RM2,924.8 juta setahun.

Itu belum lagi mengambil kira kerugian yang dialami oleh syarikat apabila pekerja tidak datang bekerja kerana sakit akibat penyakit yang ada kaitan dengan merokok. Bagaimana pula dengan kerugian akibat kebakaran yang berpunca daripada api rokok? Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, pada tahun 2000 kerugian akibat kebakaran di seluruh dunia mencecah AS$27 bilion (RM102.6 bilion).

Semua kos ini akhirnya datang dari kocek anda juga sama ada anda membayar beribu-ribu ringgit setahun bagi merawat masalah merokok anda atau duit daripada cukai yang anda bayar digunakan bagi membiayai beban yang terpaksa ditanggung oleh sistem kesihatan dan ekonomi negara.

Sesungguhnya, sebelum anda jatuh sakit, anda sudah pun membuang duit dengan tabiat buruk merokok. Dianggarkan, tiga juta perokok dewasa di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Ia seperti membakar RM8.59 juta sehari.

Golongan muda juga membelanjakan jumlah wang yang sangat banyak untuk merokok iaitu RM270,000 sehari. Sebab itulah kerajaan menaikkan harga rokok kotak 20 batang sebanyak 70 sen. Tujuannya supaya mereka merasai kesan kenaikan itu,

Memandangkan perokok muda mula berjinak dengan rokok ketika berusia 13 tahun, kita perlu menyekat mereka daripada mula lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa kemungkinan perokok muda berhenti merokok atau mengurangkannya apabila harga rokok dinaikkan adalah dua hingga tiga kali ganda lebih daripada perokok dewasa.

Sejak tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan semua kotak dan bungkusan rokok membawa amaran kesihatan dalam bentuk gambar. Tujuan gambar ngeri ini serta deskripsi akibat merokok kepada kesihatan adalah untuk menyekat godaan membeli rokok.

Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana tarikan rokok adalah jauh lebih menggoda daripada apa jua mesej pendidikan yang kita sampaikan. Kanak-kanak dan remaja memuja selebriti yang merokok dan begitu mudah terpikat kepada gaya yang dianggap menarik.

Tapi kami di Kementerian Kesihatan tidak akan berputus asa. Biar apa juga cabaran yang kami hadapi. Kita semua perlu berusaha dengan lebih kuat dan mencari jalan lebih kreatif dalam menangani cabaran itu. Ini kerana taruhannya amat besar, iaitu kesihatan generasi akan datang.

Merokok bukan hanya merosakkan hidup anda, ia turut merosakkan hidup semua orang di keliling anda. Keluarga, anak-anak serta sahabat handai turut terseksa kerana menyedut asap rokok yang anda hembus dan terpaksa menanggung beban penyakit anda.

Jika anda seorang anak muda, janganlah mula merokok. Belum sempat anda sedar, anda sudah pun ketagih. Anda hanya membohongi diri jika anda fikir anda boleh meninggalkannya apabila anda mahu. Terdapat mereka yang telah merokok selama berpuluh-puluh tahun dan masih berkata: “Esok saya akan berhenti.”

Esok mungkin datang membawa kanser paru-paru, serangan jantung atau strok. Mungkin juga esok tidak datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/