Jumaat, 5 November 2010

SELAMAT BERSARA TAN SRI KPPM : ALIMUDDIN TINGGALKAN LEGASI CEMERLANG

Oleh Azrul Affandi Sobry
bhnews@bharian.com.my

Rangka kejayaan memajukan pendidikan negara ke tahap baru dengan pelbagai transformasi


PENDIDIKAN adalah ejen terpenting dalam pembangunan sesebuah negara kerana melaluinya tamadun negara terbina dan kerananya juga lahir pelbagai lapisan masyarakat yang mampu merencana hala tuju Malaysia.

Justeru, bukan sesuatu yang janggal apabila setiap kali pembentangan belanjawan negara dan ketika Rancangan Malaysia dibacakan, sektor pendidikan sentiasa diberi keistimewaan dengan menerima peruntukan besar.

Pendidikan juga menjadi sektor kerjaya terbesar dengan memiliki kakitangan sama ada akademik atau sokongan demi memastikan ia dapat bergerak lancar bagi menyalurkan ilmu kepada jutaan pelajar seluruh negara.

Pernah juga kata-kata dilontarkan setiap masa, malah di sesetengah lokasi seperti sekolah mencatatkannya di dinding bangunan - ‘Lahirnya seorang menteri bermula dari sekolah dan orang yang bertanggungjawab mendidik mereka adalah guru’.

Ia sekali gus memberi gambaran betapa besarnya peranan sektor ini dan ia juga menandakan siapa saja yang ditugaskan memimpin Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul.

Lantaran itu, selepas lebih tiga tahun mencurah keringat mengepalai jabatan di Kementerian Pelajaran, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom secara rasminya bertugas untuk hari terakhir sebagai Ketua Pengarah kelmarin, wajar diiktiraf pejuang tulen dalam sektor pendidikan.

Bukan calang-calang cabaran yang dipikulnya sejak mula mengambil alih kerusi nombor satu dalam kalangan pegawai pendidikan itu daripada bekas Ketua Pengarah yang lama, Datuk Ahmad Sipon pada pertengahan 2007.

Cabaran paling besar dalam tempoh memegang jawatan itu pastinya untuk merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang diilhamkan Menteri Pelajaran terdahulu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mengikut pelan itu, ia akan tamat pada 2010 yang mana turut menjadi tahun terakhir perkhidmatan beliau dalam Kementerian.

Justeru, pasti mata masyarakat, mereka mahu melihat sejauh mana beliau mampu memberikan impak besar kepada sektor berkenaan sekali gus turut mewujudkan satu penanda aras khusus kepada penggantinya selepas ini yang pastinya akan ‘tertekan’ untuk mempertahankannya.

Alimuddin bukan sekadar berjaya membina kerjaya cemerlang dalam sektor pelajaran dengan menyelesaikan banyak misi kementerian tetapi turut mampu mewujudkan hubungan baik dengan semua pihak termasuk pihak media, sekali gus membolehkan segala isu ditangani dengan berhemah, apatah lagi umum cukup maklum bahawa sangat banyak isu membabitkan pendidikan.

Ketika ditemubual Berita Harian mengenai pandangannya terhadap perkembangan sektor pendidikan selama perkhidmatan beliau, jelas PIPP menjadi antara topik utama yang diperkatakan kerana ia projek bernilai RM25.2 bilion dalam menjana masa depan negara.

“Dengan enam teras utama iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, saya lihat ia berjaya secara keseluruhannya.

“Dalam rancangan itu, terutama dalam sasaran pelaksanaan 13,015 projek pembangunan luar bandar, Kementerian sudah melaksanakan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan pendidikan dan hasilnya ialah kejayaan murid negara ini dalam pertandingan bercorak akademik dan kokurikulum pada peringkat antarabangsa.

“Antara kejayaan yang dapat dibanggakan ialah Kementerian sedang merintis pelaksanaan transformasi pendidikan di 500 sekolah rendah seluruh negara untuk mengubah pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih berpusatkan murid dan berorientasikan tema serta modular,” katanya.

Malah, sebenarnya ketika beliau bakal menamatkan khidmatnya selepas mula bertugas pada 30 Mei 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak, beliau masih sempat mengadakan persidangan kajian semula PIPP yang pada kali ini menekankan konsep ‘1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Rasionalnya, kajian semula itu dibuat untuk menjadikan pendidikan di negara ini setara dengan negara lain yang lebih pesat dan pantas. Harapannya untuk melihat perluasan dalam bidang vokasional makin menjadi nyata dengan sasaran utama kementerian. Kali ini ialah menambah pengambilan pelajar jurusan teknik dan vokasional sebanyak 100 peratus pada 2015.

“Kursus di sekolah teknik dan vokasional akan ditambah baik kualitinya sebanyak 80 peratus, selain menambah lebih 95 peratus pelajar yang mendapat dua sijil dan semua itu akan dilaksanakan sebelum 2015,” katanya.

Apapun, dalam kalangan pemerhati pendidikan melihat antara kejayaan dan perubahan penting yang dibuat ketika perkhidmatannya ialah pemansuhan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dan dijangka dijalankan secara berperingkat bermula dengan murid tahun satu seawal 2011.

Namun, perubahan itu tidak pula meminggirkan bahasa Inggeris yang turut diperkukuhkan dengan penambahan seramai 13,933 guru subjek itu termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan selebihnya ialah guru keluaran Institusi Pendidikan Guru (IPGM) dan institusi pengajian tinggi lain.

“Masa yang diperuntukkan untuk bahasa Inggeris juga ditambah, semua itu adalah persiapan bagi menghadapi pelan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula 2012,” katanya.

Sebenarnya banyak lagi boleh diperkatakan mengenai pencapaian dan perubahan yang berlaku ketika zaman Alimuddin, termasuk pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan penubuhan sekolah kluster.

Menyorot perjalanan kariernya dalam bidang pendidikan, beliau sebenarnya banyak berkhidmat sebagai guru di sekitar Perak dengan beberapa kali berubah jawatan sebelum memegang jawatan pertama sebagai pengetua pada 1989 di SMK Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak. Bukan itu saja, beliau sudah berpengalaman menjadi pengetua di lima sekolah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah pada 2003.

Nyata rezekinya begitu murah. Mungkin juga berkat sikap merendah dirinya yang menyaksikan beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta pada 2003, itupun tidak sampai setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Sektor Pengurusan IPTS.

Setahun selepas itu, portfolionya berubah dan pada 2005, beliau diamanahkan memimpin Jemaah Nazir selama dua tahun dan dilantik pula sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Sekolah pada 2007 dan hanya untuk empat bulan sebelum secara rasmi menjadi Ketua Pengarah pada 16 Julai 2007.

Meskipun 4 November 2010 adalah hari terakhir beliau bertugas di Kementerian Pelajaran, pastinya sumbangan besar beliau dalam memastikan nasib guru terbela akan menjadi ingatan sampai bila-bila dan diyakini ideanya akan terus dituntut demi terus mengangkat martabat pendidikan negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/