Khamis, 25 November 2010

ISU BAHASA : Bahasa Melayu diperkasa elak terus berkecamuk

Oleh Azman Zakaria dan S Anand Kumar

Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ditubuh

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ke arah mencari kaedah terbaik bagi memantau dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu meliputi pelbagai skop serta menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, serentak dengan penubuhannya, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya 30 November ini, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dengan adanya mekanisme (jawatankuasa) ini, apa juga masalah dari segi penggunaan bahasa akan dapat dirumus dan dicari formula (penyelesaian)... kita memang bertungkus lumus untuk membetulkan apa yang tidak betul, katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah satu daripada komitmen kerajaan untuk membetulkan masalah penyalahgunaan bahasa Melayu, termasuk penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio dan televisyen serta di papan tanda.

“Penggunaan bahasa Melayu sebelum ini memang berkecamuk... seperti istilah infotainment, tetapi sudah diganti dengan inforia,” katanya.

Wee berkata, kerajaan juga sedang menimbang untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang akan memberi kuasa penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu serta menangani masalah bahasa rojak.

Katanya, pindaan itu sudah disyorkan tetapi belum dimuktamadkan Kabinet. Beliau juga berkata, ada desakan supaya tindakan diambil terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik tetapi kerajaan berpendapat adalah lebih elok mereka ini dibimbing terutama yang membabitkan pemegang kepentingan dalam institusi kewangan dan bank.

Ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai penggunaan bahasa rojak oleh pengulas sukan, Wee berkata, perkataan digunakan seperti 'drop shot' adalah jargon atau istilah yang biasa digunakan dan sudah diterima serta difahami pendengar serta peminat sukan.

Sebelum itu ketika menjawab soalan asal Ismail, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul melalui perundangan sedia ada dan menerbitkan buku pedoman dan panduan bahasa, memberikan kursus penataran bahasa, melakukan pemantauan serta teguran.

Katanya, kerajaan berharap dapat memberikan pendidikan secukupnya agar rakyat dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua urusan harian.

“Secara tidak langsung, langkah ini akan dapat mengawal penyalahgunaan bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio atau televisyen atau papan tanda,” katanya.

Katanya, peruntukan mengenai penggunaan bahasa ada dalam undang-undang serta pelbagai peraturan khusus dalam bidang dan sektor, selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 iaitu undang-undang induk.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/