Khamis, 6 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : Penerokaan pembelajaran mula di rumah

Ibu bapa perlu ambil berat perkembangan anak, tidak serah tugas mendidik kepada guru

DI United Kingdom, walaupun sesi awal akademik bermula September, awal Januari tetap terkesan sebagai hari pertama persekolahan di tahun baru selepas lebih dua minggu pelajar bercuti meraikan Krismas dan Tahun Baru.

Sesi persekolahan yang baru bermula di negara kita tentu menimbulkan debaran bukan sedikit kepada murid tahun satu termasuk ibu bapa yang akan menghantar anak ke sekolah.

Memulakan persekolahan bukan bermakna bermula tarbiah insan kerana pendidikan awal bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu kerana sistem pendidikan rasmi yang menjadualkan setiap orang wajib bersekolah apabila berusia tujuh tahun.

Waktu di rumah walaupun berkualiti tidak mengizinkan proses pembelajaran yang sempurna dan kesibukan ibu bapa terhadap kerjaya memerlukan bantuan serta pengorbanan guru untuk mentarbiahkan anak menjadi insan cemerlang.

Namun, tetap menjadi kewajipan ibu bapa untuk memulakan pendidikan anak dengan memperkenalkan mereka kepada yang Maha Mencipta.

Firman Allah bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu Yang Maha Pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya.” (Surah al-Alaq: 1-5)

Jelaslah dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula daripada proses penerokaan menggunakan akal disertai asas agama yang kukuh. Antaranya, memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya.

Sesiapa memulakan sesuatu pekerjaan dengan menyebut nama Allah, Insya-Allah akan dapat mengelak dari terpesong daripada matlamat sebenar.

Setiap pelajar mengharapkan kejayaan, malangnya ada yang tidak tahu caranya. Segelintir, menyerahkan bulat-bulat kepada guru untuk dibimbing dan dididik. Apabila berjaya, ibu bapa pula mendabik dada hingga terlupa jasa guru.

Malangnya, apabila tidak lagi menghuni sekolah, anak membawa haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya mempertaruhkan ilmu yang diperoleh.

Masih ada ibu bapa yang sedar kepentingan memberi perhatian dan membantu guru memperkasa sekolah serta persatuan, mengambil tahu kegiatan aktiviti anak serta tidak lokek masa menjengok anak di sekolah.

Tentulah anak berasa bangga dan berbesar hati dengan perhatian diberikan ibu bapa, lalu menaruh cita-cita untuk membuktikan kemampuan diri kepada semua.

Manusia tidak boleh diukur dengan fizikal mereka yang serupa untuk menentukan kualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan tidak berakhlak.

Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat pentarbiahan insan. Mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai mental dan peribadi berkualiti tinggi yang tidak boleh diukur dengan pandangan mata.

Guru yang bakal meneruskan tarbiah kepada anak terdidik dengan permulaan baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan sosial semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi serta sikap yang baik.

Tambahan pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan penuh liku.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Mazlan Mohamad pengarah baru Jabatan Pelajaran Pahang

Mazlan Mohamad (kanan) menerima surat penyerahan tugas daripada timbalannya, Yahya Zainal Abidin pada majlis serah tugas di Jabatan Pelajaran Pahang di Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 5 Jan. – Bekas Pengarah Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) Lipis, Datuk Mazlan Mohamad dilantik Pengarah Pelajaran Pahang yang baru berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff yang bersara pada 8 Disember lalu selepas menyandang jawatan tersebut selama tiga tahun lapan bulan.

Mazlan, 57, anak kelahiran Kampung Dong, Raub dilantik Pengarah Pelajaran negeri selepas menimba pengalaman selama 25 tahun dalam bidang latihan perguruan.

Sebelum dilantik sebagai pengarah IPGTAA selama dua tahun lima bulan, beliau pernah menyandang beberapa jawatan seperti penolong pengarah, timbalan pengarah dan ketua penolong pengarah di bahagian latihan guru.

Mazlan mendapat pendidikan di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara dalam bidang seni visual dan pendidikan.

Sehubungan itu, Mazlan melahirkan setinggi ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran yang memberi kepercayaan kepadanya bagi menerajui Jabatan Pelajaran Pahang.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan memandangkan kemajuan pendidikan di negeri ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Harapan saya adalah untuk memastikan pendedahan latihan kepada guru dipertingkatkan bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan kepada murid-murid,” katanya ketika ditemui pada majlis serah tugas di Jabatan Pelajaran negeri, Indera Mahkota di sini semalam.

Tambahnya, pencapaian murid yang berkualiti dalam pendidikan akan terlaksana daripada peranan guru dan diikuti dengan pengurusan yang cemerlang.

“Bagi saya, tiga komponen ini amat penting dalam mengekal dan meningkat kecemerlangan dalam pendidikan iaitu murid, guru dan pengurusan,” jelasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/