NAMPAKNYA apa yang saya bangkitkan minggu lalu mengenai ada sesetengah rakyat negara ini yang masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan terus memperlekehkannya sudah menyentuh saraf otak seorang blogger dan membuatkannya begitu marah hingga menghina saya secara peribadi.
Blogger ini bernama Khoo Kay Peng, memetik sesetengah daripada apa yang saya tulis itu ke dalam bahasa Inggeris dan membuat perhitungannya sendiri kononnya saya sudah mempersoalkan patriotisme semua bukan Melayu kerana tidak berusaha untuk menggunakan dan memahami serta boleh bertutur bahasa Melayu.
Dia sedikit pun tidak menyentuh persoalan pokok yang saya timbulkan itu seperti juga kenapa masih ada warga negara ini yang beria-ia kononnya mereka menyanjungi negara ini, tetapi tidak berusaha untuk memahami bahasa Melayu, apa lagi menggunakannya.
Baik juga jawapan saya kepada tulisannya itu sudah dimuatkan dalam blognya, walaupun ditohmahkan pula kesangsian apakah saya sendiri yang memberikan jawapan itu. Kenapa hal ini pun mahu diragui? Siapa pula yang hendak menulis kepada blognya menyamar sebagai saya?
Mengulas jawapan saya itu, dia minta pula saya nyatakan statistik warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa itu. Sememangnya statistik demikian ini tidak ada sebab kaji selidik mengenainya tidak pernah dijalankan.
Bagaimanapun, seorang rakan berbangsa Cina pernah menyatakan kepada saya bahawa ramai juga lulusan sekolah Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu, walaupun selepas menjalani peperiksaan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Rakan saya itu menyatakan bahawa ada murid sekolah menengah Jenis Kebangsaan Cina mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu pun hanyalah kerana mahu lulus SPM saja.
Selesai persekolahan ada antara mereka tidak berusaha menggunakannya pun. Ini juga mungkin kerana tidak perlu kerana mereka hanya bergaul dengan sebangsa saja tidak dengan orang Melayu.
Apa pun lulus mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM pun tidak semestinya membuktikan mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Maka saya mengesyorkan Kementerian Pelajaran mensyaratkan semua murid perlu lulus lisan Bahasa Melayu untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.
Bagaimanapun, Khoo mendakwa kononnya semua murid sekolah rendah baik dari sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan sudah belajar bahasa Melayu selama enam tahun dan tentunya boleh faham dan boleh bertutur bahasa Melayu.
Katanya, hari ini tidak mungkin ada rakyat Malaysia yang sudah menghabiskan pelajaran rendahnya selama enam tahun baik di sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh memahami atau tidak boleh bertutur bahasa Melayu.
Tentunya kenyataannya itu juga tidak disandarkan kepada statistik. Ada baiknya Kementerian Pelajaran mengadakan satu kaji selidik untuk mengetahui jumlah atau kadar peratusan warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu.
Tanpa statistik itu pun, kita tahu masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu. Itulah sebabnya hingga sekarang ini pun jurubahasa Cina dan Tamil masih diperlukan di mahkamah dalam negara ini kerana masih ada rakyat negara ini yang tidak faham pertuduhan terhadap mereka yang dibuat dalam bahasa Melayu apabila dihadapkan ke mahkamah.
Jika benar semua rakyat negara ini tahu bahasa Melayu kenapa perlu diadakan jurubahasa di mahkamah? Mungkin mahkamah perlu mengkaji semula kenapa perlu diadakan jurubahasa Cina dan Tamil untuk warga negara sendiri.
Tetapi ini pun mungkin boleh diterima jika tidak wujud puak ekstrem dalam kalangan sesetengah daripada mereka yang berterusan memperlekehkan bahasa Melayu. Kenapa hingga hari ini ada kopitiam tidak mahu langsung menggunakan bahasa Melayu dalam kedainya baik dalam menu mahupun di papan tanda terpampang dalam kedai memberikan harga hidangan yang disediakannya? Lihat saja dua kedainya di Seksyen 13 dan Seksyen 7 di Shah Alam.
Ada yang cuba mempertahankan kopitiam ini kononnya tidak dikunjungi orang Melayu kerana tidak mempunyai sijil halal. Sama ada kedai itu mempunyai sijil halal yang diiktiraf atau tidak bukanlah persoalannya.
Jika tidak dikunjungi Melayu, apakah mereka bukan beroperasi dalam negara ini? Bagaimana pun kopitiam itu sememangnya mempunyai ramai pelanggan Melayu. Ini boleh dilihat sendiri.
Dalam hal ini apakah yang dilakukan Majlis Bandar Raya Shah Alam? Tidakkah pihak berkuasa boleh membuat tinjauan dan bertindak terhadap pengurusan yang bersikap begini biadap?
Khoo ini juga menimbulkan suatu perkara yang saya tidak sentuh pun, iaitu perbualan bukan Melayu sesama sanak saudara mereka sendiri dalam bahasa ibunda. Siapa pula hendak menyekat mereka menggunakan bahasa ibunda sendiri bila bertutur sesama adik-beradik? Jadi kenapa hal ini mahu ditimbulkan? Inilah apabila ada pihak yang cuba mahu menegakkan benang basah dan tidak mahu menerima kenyataan.
Selagi bahasa Melayu ini tidak diberikan tempat sewajarnya dan masih ada pihak yang berterusan memperlekehkannya, selagi itulah akan wujud kesangsian oleh sesetengah pihak terhadap sanjungan mereka itu kepada negara mereka sendiri.
Penulis adalah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)