Khamis, 3 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : 13,000 GSTT diambil semula

KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : 1,086 penjawat awam muflis

Oleh Azrina Ahzan

bhnews@bharian.com.my

Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.

"Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BUNGA RAYA BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA


Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu(Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.
Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.
Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.
Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.
Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian India.
Sumber : wikipedia.org

ISU BAHASA : Iklan dalam bahasa asing

Oleh Shuhaniza Said

bhsastera@bharian.com.my

Wajarkah pendekatan itu menjadi amalan pengiklan di Malaysia?

LIRIK 'Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai ...' saban hari kedengaran di corong radio dan televisyen negara ini sehingga kini meskipun ia sudah diperkenalkan ketika Kempen Bahasa Kebangsaan pada 1960-an.

Lagu Bahasa Jiwa bangsa ciptaan Dol Ramli lebih kerap kedengaran pada sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun sebagai perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini agar diutamakan baik dalam sektor awam mahupun swasta. Biarpun lagu dan lirik terbabit begitu bersemangat dalam membakar kesedaran rakyat Malaysia dalam mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia ibarat mencurah air di daun keladi apabila semakin banyak iklan di media elektronik menggunakan selain bahasa kebangsaan.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, melihat kecenderungan menggunakan lebih daripada satu bahasa selain bahasa Melayu sebagai tidak wajar.

“Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh syarikat gergasi milik negara kerana perbuatan terbabit memperlihatkan betapa tidak yakinnya mereka terhadap bahasa Melayu bagi mewakili produk masing-masing dan boleh disamakan dengan menjual maruah negara sendiri.

“Malaysia sudah mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan iklan untuk paparan rakyat negara ini, sewajarnya menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Tidak perlu menggunakan pelbagai bahasa untuk menjelaskan apa yang ingin disampaikan berhubung sesuatu produk,” katanya pada pertemuan dengan Sastera.

Pendekatan iklan pelbagai bahasa dengan rakyat negara ini sebagai sasaran juga dilihat tidak mendokong konsep 1Malaysia yang menekankan konsep saling penerimaan dan keharmonian semua bangsa yang memperakui dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa berkomunikasi.

Justeru, tidak timbul persoalan untuk menggunakan bahasa lain bagi mewakili sesuatu bangsa di negara ini kerana pendekatan terbabit akan menjadi punca kegagalan pencapaian matlamat gagasan 1Malaysia,

Selain itu, iklan dengan rakyat negara ini sebagai sasarannya juga tidak sepatutnya dibuat dalam bahasa ‘rojak’ atas alasan yang sama dan iklan dalam bahasa Melayu berserta Inggeris hanya boleh diterbitkan sekiranya kumpulan sasarannya di tempat yang membabitkan khalayak antarabangsa.

“Kewajaran menggunakan papan tanda dalam bahasa Melayu dan Inggeris hanya wajar dilakukan di tempat seperti lapangan terbang, pelabuhan, terminal utama bas dan teksi serta pintu sempadan negara,” ujarnya.

Pandangan beliau dipersetujui Pensyarah Pelawat, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Sudarsono yang melihat isu penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam iklan elektronik di negara ini sebagai suatu ketidakwajaran.

“Bahasa adalah salah satu daripada komponen yang memperlihatkan jati diri sesebuah negara dan Malaysia sebagai negara yang sudah memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak sepatutnya menggunakan empat bahasa,” katanya.

Justeru, bukan semua rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu dan kebimbangan maksud yang ingin disampaikan pengusaha atau penerbit iklan tidak sampai kepada kelompok sasaran serta tidak menghargai sesuatu bangsa tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Pokok pangkalnya, hal ini berbalik kepada sikap terhadap bahasa. Kecenderungan menggunakan Bahasa Melayu memperlihatkan penghargaan dan kebanggaan terhadap bahasa tersebut. Ditambah pula sifat bahasa itu yang sudah mencakupi semua aspek yang sesuai untuk kesatuan bangsa.

“Alangkah indahnya sekiranya rakyat di negara ini diikat dengan hanya satu bahasa saja yang sudah perakukan kedudukan dalam undang-undang negara seperti mana Indonesia yang hanya menggunakan bahasa Indonesia,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zubir Idris, melihat isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan elektronik daripada perspektif sebaliknya.

“Isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan perlu dilihat secara positif. Ia dapat menggambarkan semangat majmuk dan kesepaduan dalam masyarakat di negara ini. Dalam masa sama, khalayak diberi pendedahan untuk turut memahami bahasa, malahan budaya masyarakat pelbagai bangsa,” ujarnya.

Beliau melihat kebimbangan kelompok yang tidak bersetuju dengan penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan kerana kelompok berkenaan tidak mahu fungsi Bahasa Melayu diperkecil dan dipandang ringan.

Apatah lagi bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 152 (Fasal 1) serta ditambah pula dengan pelbagai isu lain berhubung kedaulatan bahasa Melayu yang sentiasa menjadi topik perbincangan hangat.

“Namun, hal ini perlu ditangani sewajarnya dan kewajaran penggunaannya dilihat secara positif. Jika ia membawa banyak kesan positif khususnya bersangkutan dengan isu perpaduan dan konsep 1Malaysia, mengapa tidak?” soalnya.

Secara peribadi, Dr Zubir lebih senang jika Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa utama dalam media pengiklanan tetapi jika pelbagai bahasa yang digunakan, maka ia perlu ada pengawalan dan pemantauan ketat daripada pihak berkenaan.

“Ini bagi memastikan matlamat penggunaan bahasa yang pelbagai itu tidak menimbulkan rasa kurang senang terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Bagaimanapun, bahasa Melayu mesti diberi keutamaan bersesuaian dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara,” katanya.

Apa yang dapat disimpulkan, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu yang sememangnya diakui sebagai bahasa yang menyatukan semua bangsa di negara ini kerana ia mencerminkan budaya dan jati diri negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidik pikul amanah pewaris nabi

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Guru perlu ikut cara Rasulullah laksana tanggungjawab didik generasi pelapis negara

SEORANG bergelar guru amat dipandang tinggi, malah panggilan 'cikgu' tidak akan lekang di bibir setiap murid yang pernah mewarisi ilmu daripadanya. Hatta, bekas guru yang bertukar profesion pun tetap dipanggil cikgu.

Tidak dinafikan peranan guru amat besar dalam masyarakat. Tanya setiap orang yang berjaya dalam hidupnya, tiada yang cemerlang tanpa didikan seorang guru.

Betapa berpengaruhnya seorang yang bergelar guru, penulis masih ingat sehingga hari ini setiap guru yang pernah mengajar sejak di tadika sehingga sekolah menengah. Cuma masih belum ada kelapangan untuk menziarahi mereka.

Masih terkenang beberapa guru yang sudah meninggal dunia, walaupun sudah tiada, suara mereka masih berulang-ulang memberi ilmu dan nasihat. Sebab itulah ada kala terlupa yang mereka sudah berhijrah ke alam baka. Yang mampu dikirim hanyalah ingatan dan doa.

Hari ini, peranan guru tetap sama. Mereka menyampaikan ilmu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga membimbing akhlak pelajar supaya seiring dengan kebolehan akademik yang menjadi objektif hakiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Cuma, ada segelintir guru yang cuba mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu bapa yang meminta mendidik anak mereka menjadi orang bijak dan terhormat. Laporan murid dicabul, diliwat dan diperkosa oleh guru menyentak banyak hati.

Ada juga guru menjadi pembekal rokok dan dadah kepada pelajar, seperti pernah tersiar di akhbar sedikit masa dulu. Siapa tidak terkilan jika mengetahui guru yang sepatutnya menunjukkan peribadi terbaik terhadap pelajar mencuri peluang melampiaskan nafsu kepada murid cilik.

Sedangkan setiap guru adalah orang yang sedia berilmu dan mereka yang berilmu adalah pewaris para anbiya’. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang berilmu (ulama) itu adalah pewaris nabi-nabi.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Sebagai pendidik, guru wajib mempunyai pekerti mulia yang bukan saja menjamin kecemerlangan pendidikan, juga sebagai modal mentarbiahkan insan. Tiada siapa mahu mendengar kata orang yang alpa, taat kepada pelaku maksiat, apatah lagi menadah ilmu daripada seseorang tidak berakhlak.

Kualiti seorang guru sangat penting dalam membina sahsiah pelajar, sebab itu mereka harus ikhlas, berdedikasi, jujur dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul, seperti mana Rasulullah SAW sebagai guru setiap umat Islam kerana Baginda mencukupi ciri contoh ikutan yang baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

Sebagai penggerak utama yang menyumbang kepada kemajuan sesuatu bangsa melalui pendidikan rasmi, guru perlu menjaga nama baik profesion mulia ini. Sikap sebahagian kecil guru menggunakan peluang bersama pelajar untuk berbuat sesuatu tidak baik amatlah dikesali.

Guru harus memaksimumkan ruang yang ada bersama generasi pelapis negara untuk memastikan anak harapan negara dan agama terdidik sempurna dengan ilmu pendidikan formal, juga adab dan nilai murni.

Jangan pula guru yang menjadi orang harapan ibu bapa membantu membina sahsiah anak menjadi ‘pagar yang makan padi’. Bayangkan apa akan berlaku jika guru menjadi ancaman kepada pelajar.

Dengan perubahan masa, profesion guru ada kala bukan pilihan utama, tetapi terpaksa memikulnya kerana tidak berpeluang meneroka kerjaya lain. Kerana itulah bukan semua guru ikhlas menggalas tanggungjawab mendidik.

Walaupun pelbagai kejadian buruk berlaku akibat salah laku guru terhadap pelajar adalah kes terpencil, ia tidak bermakna perkara ini harus dipandang enteng. Ia juga tidak bermakna senario ini akan berakhir dan hilang dengan sendirinya.

Kesedaran perlu dipupuk melalui tarbiah mental dan rohani supaya setiap yang bergelar guru tahu menggalas tanggungjawab sebagai model insan yang meneraju pusat penyebaran ilmu dan amal, tidak seperti kerjaya lain.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Sumber : http : //www.bharian.com.my/