Jumaat, 29 April 2011

ISU KESIHATAN : Ibu bapa abai menu sihat punca anak gemuk

Oleh Kadir Dikoh
kadiro@bharian.com.my

Kekangan masa jadikan makanan segera sajian utama di rumah


SEORANG menteri Kabinet pernah mengadu mengenai kerenah anaknya yang ‘mengada-ngada’, mengeluh apabila pendingin hawa kereta rosak dalam perjalanan balik dari sekolah, bersama pemandunya. Menteri terbabit pada mulanya rasa cemas apabila mendapati banyak panggilan telefon anaknya tetapi gagal dijawab kerana telefon bimbit dimatikan ketika sedang menghadiri mesyuarat di pejabat.
“Saya terpaksa keluar dari bilik mesyuarat untuk membuat panggilan dan terkejut, alasan anak saya membuat panggilan ‘kecemasan’ ialah kerana kepanasan dalam kereta, sedangkan pemandu saya dah beritahu akan menghantar kereta ke bengkel selepas menghantar anak saya ke rumah,” katanya.
Itulah hakikatnya dan itulah juga senario zaman sekarang kerana anak-anak sudah berasa selesa hidup dalam keadaan kemewahan, bukan seperti zaman ayah atau datuk, nenek mereka dulu.

Malah, kesibukan ibu bapa terutama apabila kedua-duanya bekerja juga menyebabkan anak ‘dididik’ untuk makan di luar termasuk membeli nasi bungkus dan nasi lemak. Burger dan hotdog juga menjadi kegemaran selain nuget dan minuman dalam tin, turut disediakan di dalam peti sejuk untuk makanan anak, takut kelaparan bila balik dari sekolah.

Pada hujung minggu, dibawa pula anak ke restoran makanan segera seperti KFC dan McDonalds’, untuk memenuhi kehendak anak semata-mata selain kegemaran menjamah nasi lemak yang bagaikan satu kewajipan terutama bagi orang Melayu.

Apakah benar kata orang, didikan manja dari segi makanan di rumah inilah menjadi puncanya murid lebih cenderung untuk mengambil makanan yang tidak sihat di kantin sekolah? Apakah benar kata orang, jika murid tidak suka makan sayur dan buah-buahan di sekolah, maknanya dia tidak diasuh untuk makan makanan berkhasiat seperti itu di rumah?

Peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Berikutan itu, makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan. Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.

Begitu pun, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung menu makanan berkhasiat yang sesuai dijual di kantin sekolah termasuk nasi lemak secara bergilir kerana belum ada perbincangan dengan semua pihak berkaitan setakat ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan tidak akan membuat keputusan mendadak sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk pengusaha kantin, sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek dan akan memberi masa berpatutan kepada pengusaha mengubah suai menu mereka.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) pula mahu Kementerian Kesihatan menarik semula keputusan menetapkan jualan nasi lemak dua kali seminggu mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sebenarnya, peranan untuk mengelakkan kegemukan pelajar sekolah tidak harus terbatas kepada kantin atau pengurusan sekolah semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dipikul bersama termasuk pakar pemakanan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi nasihat kepada pelajar serta keluarga mengenai menu seimbang.

Sekolah cuma sebahagian masa mereka di situ kerana banyak masa diluangkan di luar sekolah dan menjadi tanggungjawab keluarga membimbing anak mereka supaya tidak mengambil makanan terlalu berlemak dan kandungan zat kurang.

Apabila meneliti maklum balas daripada pelayar versi online akhbar ini mengenai jualan nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu di kantin sekolah, mereka bagaikan berbelah-bahagi. Misalnya, bagi jawapan ‘Wajar kerana pelajar akan memakannya setiap hari’ dipersetujui sekitar 25.3 peratus atau 1,626 pelayar manakala jawapan ‘Tidak wajar kerana bukan setiap hari pelajar memakannya’ menerima respons 31.28 peratus atau 2,005 pelayar. Jawapan ‘Wajar kerana ia punca obesiti’ dipersetujui 13.25 peratus (849 pelayar) dan jawapan ‘Tidak wajar kerana ia bukan punca obesiti’ dipersetujui 30 peratus (1,929), sehingga tengah hari semalam.

Ini bermakna, majoriti tidak bersetuju dan mereka berpendapat adalah tidak wajar 70 jenis makanan termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya di kantin sekolah.

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan.

Pelajar adalah ibarat kain putih yang boleh diwarnai. Mereka akan makan apa saja yang kena dengan selera tanpa mengira sama ada makanan berkenaan berkhasiat atau tidak. Di sinilah peranan guru untuk mendidik dengan teori amalan makanan sihat dan di rumah pula, ibu bapa mengamalkannya untuk hidangan anak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sastera di IPTA dipinggirkan?

PADA 31 Mac 2011 yang lalu, telah tercatat satu sejarah baru di dalam Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu di universiti-universiti di Malaysia. Pada hari yang bersejarah itu, Profesor Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), melancarkan Sekretariat Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu Universiti-Universiti di Malaysia atau SPESBAM. Sekretariat ini telah ditubuhkan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pada 2010 yang dianggotai oleh pusat pengajian atau fakulti yang ada kaitan dengan pengajian bahasa dan sastera Melayu.

Pelancaran SPESBAM merupakan satu titik tolak kepada satu anjakan perubahan di dalam pengajian sastera dan bahasa Melayu dalam berdepan dengan segala cabaran, dan mengerakkan satu perancangan yang komprehensif bagi menjadikan pengajian sastera dan bahasa Melayu sebagai pengajian yang berdaya maju.

Profesor Dzulkilfli melihat penubuhan SPESBAM sebagi satu usaha yang tepat pada masanya ketika pengajian sastera dan bahasa Melayu begitu diasak dengan pelbagai cabaran dari segi ekonomi, sosial dan politik tempatan dan antarabangsa. Pada masa ini, pengajian sastera dan bahasa Melayu tidak lagi penting bukan sahaja di universiti tetapi juga di sekolah. Maruah pengajian ini telah diruntuhkan dan masa depannya semakin suram.

Pada dasarnya, universiti merupakan institusi pendidikan tinggi yang mempunyai peranan untuk menjayakan aspirasi akademia, masyarakat, negara dan dunia. Sehubungan itu, setiap bentuk pengajian perlu mencakupi aspirasi-aspirasi ini. Begitu juga dengan pengajian sastera dan bahasa Melayu.

Pengajian sastera dan bahasa Melayu boleh menyumbang kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang punya identiti bahasa, nilai murni, kebijaksanaan dan sastera yang dikagumi.

Kuat

Pengembangan Pengajian Melayu di Singapura lebih kuat dirasai apabila Universiti Malaya berpindah ke Kuala Lumpur dan wujud Jabatan Pengajian Melayu dengan tokoh-tokoh yang tidak asing lagi seperti Profesor Emeritus Ismail Hussein, Profesor Mohd Taib Osman dan ramai lagi. Kemudian muncul pula Akademi Pengajian Melayu di UM yang member perhatian kepada bahasa, budaya dan sastera Melayu. Pengajian sastera dan bahasa Melayu di USM bermula di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, pada tahun 1970-an dan pada hari ini, pengajian ini masih wujud dan berkembang tetapi agak perlahan. Di UKM, Pengajian Melayu boleh didapati di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Ramai tokoh pengajian sastera dan bahasa Melayu dilahirkan daripada pusat-pusat pengajian tinggi ini. Di USM, di antara tokoh-tokoh yang pernah menjadi mahaguru di sini ialah Profesor Shahnon Ahmad dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan.

Pada hari ini, pengajian tinggi merupakan sektor pendidikan telah mendapat perhatian yang luas dan kritis daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Bukan sahaja bilangan program bertambah tetapi juga kerencaman program serta pembinaan identiti sesuatu program itu juga telah dilakukan. Pelbagai forum diadakan untuk melihat semula pelbagai aspek pengajian tinggi dari segi governance hinggalah kepada bentuknya. Institusi pengajian tinggi kini telah diminta untuk mempunyai penanda aras yang tertentu yang taraf dunia. USM seperti universiti-universiti tempatan yang lain juga tidak terkecuali daripada penentuan penanda aras' ini. Lantaran itu, setiap disiplin ilmu seperti pengajian sastera dan bahasa Melayu juga perlu mempunyai penanda aras yang bertaraf dunia dan ini satu cabaran baru yang mahu tidak mahu perlu dikuti.

Pada masa ini, pengajian sastera dan bahasa Melayu menghadapi saingan yang sengit daripada pengajian-pengajian yang lain khususnya sains dan teknologi. Pengajian sastera dan bahasa Melayu dilihat tidak memberi kesan yang besar kepada perkembangan negara yang sedang menuju kepada sebuah negara maju. Persepsi masyarakat terhadap pengajian tinggi juga turut berubah.

Masyarakat beranggapan bahawa universiti ialah tempat menjana tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor perdagangan dan industri. Maka pengajian ilmu sains dan teknologi menjadi pilihan sementara pengajian yang membina insan seperti sastera dan bahasa dipandang sepi.

Universiti sebagai tempat menjana ilmu termasuklah sastera dan bahasa tidak lagi mendapat perhatian yang wajar.

Terdapat satu dikotomi ilmu yang sewajarnya tidak berlaku.

Lantaran itu, universiti pada hari ini merupakan tempat melahirkan manusia-robot (cyborg). Mereka berfikir bagaimana hendak mencari untung. Unsur kapitalisme sudah berakar jauh. Keadaan ini sangat mendukacitakan. Sehubungan itu, usaha memanusiakan universiti sangat diperlukan. Unsur kemanusiaan perlu disuburkan di segenap pembinaan sendi ilmu dan penyebaran dan penggunaannya.

Dalam memenuhi tuntutan globalisasi, pengajian sastera dan bahasa Melayu harus melakukan perubahan untuk kelihatan relevan dan lestari. Kelestarian pengajian sastera dan bahasa Melayu perlu dikukuhkan dengan membuat perubahan kepada beberapa aspek' seperti penawaran kursus yang dinamik dengan mengambil kira perkembangan dunia ilmu pada hari ini.

Skop penyelidikan dan penerbitan pengajian sastera dan bahasa Melayu perlu diperhatikan semula. Pembinaan kamus, ensaiklopedia, institusi, dan sebagainya yang telah diadakan semenjak beberapa dekad lalu perlu dilihat semula pengisiannya dan potensi untuk menjana ilmu-ilmu baru. Kita harus berfikir di luar kotak.

SPESBAM yang berpusat di USM untuk dua tahun ini, telah dilancarkan secara sederhana bersama sejumah 23 buah buku terbitan 2010-2011 oleh para sarjana pengajian sastera dan bahasa Melayu dariada empat buah universiti. Sekretariat ini merupakan satu sekretariat yang julung-julung kali diwujudkan di Malaysia dengan enam anggota iaitu USM, UM, UKM, UPM, UPSI dan UiTM. Kewujudan sekretariat ini berpaksi kepada kerjasama di kalangan anggotanya dalam pelbagai aspek seperti penyelidikan, penerbitan, penyelarasan database pengajian sastera dan bahasa Melayu di Malaysia dan seluruh dunia dan pertukaran maklumat, pensyarah serta pelajar. Kerjasama ini pasti dapat membawa kepada satu perubahan kepada pengajian sastera dan bahasa Melayu.

Penulis adalah pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia.

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan rohani formula terbaik didik masyarakat

Oleh Shuhairimi Abdullah

Konsep kesepaduan ukhuwah perlu berpandu Islam agar kesejahteraan ummah terjamin

BANYAK kepincangan berlaku dalam institusi masyarakat antaranya disebabkan mengutamakan nilai materialistik, bersifat individualistik, terpengaruh faktor peredaran semasa serta nilai negatif lain. Nilai murni perlu dijadikan keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia.
Meskipun nilai murni itu subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadikan pembangunan insan tidak menyeluruh. Mengabaikan nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia juga memberi impak negatif kepada perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu.
Justeru, nilai murni bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik mendidik masyarakat mengenai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia hak dan tanggungjawab sosial lain.

Masyarakat yang dididik dengan kawalan nilai murni akan berjaya mencipta budaya masyarakat penyayang dan bertoleransi terhadap kepelbagaian perbezaan agama serta budaya. Maka dengan itu lahirlah masyarakat penyayang.

Dalam kaca mata Islam, sistem perhubungan sosial perlu dijalinkan dengan dua syarat utama. Pertama, melalui pemeliharaan semangat persaudaraan, kerjasama dan tautan kasih sayang sesama Muslim.

Kedua, pemeliharaan hak, tanggungjawab dan kehormatan individu merangkumi ruang lingkup tujuan syariah iaitu darah, harta, maruah dan akal.

Atas kepentingan dijelaskan itu, Yusuf al-Qaradawi dalam al-Halal wa al-Haram fi al-Islam menegaskan jika berlaku pelanggaran atau pencerobohan ke atas syarat itu secara rigid, perbuatan terbabit dihukum sebagai haram.

Balasan diterima bersesuaian kesengsaraan dan kerugian ditimbulkan boleh memberi impak daripada aspek moral atau material ke atas individu terbabit.

Bagi menyubur dan memantapkan lagi sistem interaksi sosial manusia, ia perlu diadun dengan nilai akhlak Islam. Doktrin akhlak bertindak sebagai sumber kuasa rohaniah berfungsi mengawal seseorang Muslim daripada melakukan perbuatan keji menurut pertimbangan agama.

Akhlak juga memandu manusia kepada perilaku yang bersifat mahmudah. Secara fitrahnya, pembangunan insan berorientasikan akhlak luhur tidak akan mewujudkan konflik dengan kepentingan asas manusia disebabkan itu diberi jaminan daripada Ilahi kepada hamba-Nya yang bertakwa.

Oleh itu, pembangunan manusia yang mengutamakan orientasi nilai akhlak akan memberi impak positif terhadap penyempurnaan kesejahteraan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Melalui pengamalan nilai murni dalam diri individu muslim bersumberkan akhlak Islamiah akan mengelak mereka dicemari dengan nilai negatif seperti sombong, pentingkan diri dan hasad dengki.

Islam tidak hanya melihat dan menilai personaliti manusia dari aspek zahiriah semata-mata tetapi mengambil kira aspek personaliti dalaman (batiniah) manusia. Keseimbangan personaliti manusia dari sudut zahiriah dan batiniah diikat nilai akhlak menggerakkan manusia bertindak secara positif mengikut tatacara ditentukan Islam.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka. Dan orang yang beriman dengan ayat Tuhan mereka. Dan orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun). Dan orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) Sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan, dan merekalah orang yang segera memperolehnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 57-61)

Objektif utama interaksi manusia bertujuan menjamin kesejahteraan kepada semua makhluk merangkumi kebahagiaan semasa di dunia dan berkesinambungan di akhirat. Penekanan konsep kesepaduan ikatan ukhuwah adalah manifestasi kepatuhan tauhid yang menyeru keadilan dan kasih sayang serta mentaati Allah secara mutlak.

Jika manusia melakukan pencerobohan secara tidak munasabah dan untuk kepentingan diri maka perbuatan itu dikategorikan sebagai zalim. Perbuatan dan tingkah laku itu sudah tentu bertentangan dengan prinsip Islam yang murni.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/