Selasa, 10 Mei 2011

DiGi Live Sekolahku Berbakat : Jubinggo (Pelajar Panglima) bawa pulang RM8,000

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
norfaezah@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kumpulan lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Mohammad, Kuantan, Pahang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM8,000 selepas dinobatkan juara DiGi Live Sekolahku Berbakat, kelmarin.

Menggelarkan diri mereka sebagai Jubinggo, pelajar tingkatan lima itu menonjolkan persembahan nyanyian rentak reggae memukau pihak juri yang mencari bakat luar biasa pelajar sekolah di seluruh Malaysia.

Kejayaan dalam program anjuran DiGi Telecommunications Sdn Bhd itu membolehkan mereka memenangi hadiah bernilai RM5,000 milik peribadi dan RM3,000 milik sekolah.

Juri pertandingan, Aesar Mustafa berkata, kemenangan Jubinggo itu hasil bakat yang dimiliki setiap ahli kumpulan berkenaan selain membuat persembahan yang berbeza berbanding peserta lain.

“Saya melihat perubahan daripada awal pertandingan sehingga ke hari ini (semalam) dan mereka menunjukkan peningkatan dalam persembahan walaupun tempoh masa persembahan pendek,” katanya.

Menurutnya, kejujuran dalam persembahan juga antara faktor pemilihan juara daripada 14 sekolah yang bertanding.

Ketua Kumpulan Jubinggo, Shaharin Mohd Nor berkata, kumpulan itu ditubuhkan sejak sebulan lalu.

“Kami menghadapi masalah dalam pemilihan lagu dan konflik lain, tetapi dapat diselesaikan dan kumpulan ini akan terus fokus dalam bidang muzik, tetapi pelajaran tetap diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Segmen DiGi, Moharmustaqeem Mohamed berkata, objektif pertandingan itu selari dengan komitmen bersama golongan remaja yang mahu aktiviti mereka tidak terhad kepada aktiviti sekolah saja.

“Saya melihat dua faktor menerusi pertandingan ini iaitu tahap kematangan dan latihan profesional yang diberi kepada mereka dan hasilnya mereka dapat menampilkan apa yang dipelajari sepanjang pertandingan,” katanya.

Pada masa sama, Penolong Pengarah Sektor Hal-Ehwal Murid Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Sabri Abu Bakar memberitahu, pihaknya menyokong program seumpama ini dengan objektif melahirkan modal insan yang berketrampilan, membantu kurikulum murid dan mahu murid bijak bukan dalam bidang akademik semata-mata.

“Kementerian berharap dengan adanya program seumpama ini, landasan untuk bidang kerjaya bagi pelajar dapat disediakan dan dibentuk kerana perancangan masa depan amat penting dimulakan dari sekarang,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Syabas atas kejayaan anak didik Panglima mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan. Kejayaan menewaskan 13 buah sekolah dari seluruh negara merupakan satu kejayaan yang amat dibanggakan. Semoga kecemerlangan dalam seni muzik dapat diterjemahkan pula dalam bidang akademik, insya-Allah.

ISU BAHASA : Bahasa Melayu sudah lama moden

Oleh Teo Kok Seong
bhnews@bharian.com.my

Kepentingan tak boleh lagi sekadar lambang negara, formaliti

DALAM polemik untuk mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam sistem pendidikan kebangsaan, antara hujah yang diketengahkan penyokongnya ialah penggunaan bahasa Inggeris, tidak akan sekali-kali menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bagi mereka, keabsahannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan.

Hal ini benar dari satu segi saja. Dari satu segi lain, bahasa Melayu perlu digunakan dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang tinggi, lebih-lebih lagi dalam segala kegiatan budaya tinggi negara. Antaranya sebagai bahasa ilmu, khususnya di institusi pengajian tinggi. Penggunaan begini sudah tentu dapat mempertingkatkan lagi profil bahasa Melayu.

Natijahnya di sini ialah bahasa perlu digunakan dan bukannya sekadar dijamin statusnya dari segi perundangan untuknya terus berkembang maju. Penggunaan ini sebetulnya penting untuk mencungkil segala potensi yang ada padanya.

Hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan komunikasi moden, termasuk bidang sains dan teknologi, adalah juga tidak benar. Korpus bahasa Melayu dari segi kemantapan sistem dalamannya, yakni ejaan, tulisan, kosa kata, istilah dan nahunya yang standard sudah lama melayakkannya menjadi bahasa moden. Sebagai bahasa moden, bahasa Melayu seperti juga bahasa Inggeris, mampu mengungkapkan sebarang hal, baik yang konkrit mahu abstrak dalam segala macam disiplin ilmu. Ini termasuk sains dan teknologi dan segala macam yang lain yang kompleks sifatnya.

Cadangan untuk menggunakan dua bahasa pengantar utama untuk pendidikan Sains dan Matematik adalah pandangan yang tidak mengambil kira nasionalisme Malaysia dengan serius. Nasionalisme yang antaranya menyangkut perasaan bangga dan sayang kepada negara, sebetulnya terdiri daripada pelbagai jenis. Dalam konteks polemik PPSMI ini, nasionalisme yang didapati sesuai ialah nasionalisme integral yang berpandukan sejarah negara, khususnya yang bersifat pribumi.

Sehubungan PPSMI, nasionalisme integral boleh dikaitkan dengan pembabitan rakyat dalam bentuk usaha setia menjayakan dasar negara, ikhtiar mutlak bagi memupuk perpaduan nasional dan upaya tekun untuk mempertingkat citra negara. Secara umumnya, ia mengkehendaki rakyat sesebuah negara itu mendahulukan kepentingan negara daripada kepentingan etnik atau individu.

Menerusi nasionalisme integral ini, dalam kes PPSMI, rakyat Malaysia perlu akur kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memperlihat, selain berkongsi keghairahan terhadapnya. Apatah lagi menentang dan mendesak dikembalikan PPSMI!

Dalam konteks Dasar MBMMBI yang menggantikan PPSMI, falsafah nasionalisme integral yang boleh diserlahkan ialah rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa nasionaliti linguistik bahasa Melayu dan juga nasionaliti budaya etnik Melayu, adalah asas pembentukan negara bangsa dan negara Malaysia itu sendiri. Penerimaan ini perlu dilakukan atas nama kepentingan negara.

Penerimaan ini akan menjadikan bahasa dan budaya Melayu bukan sekadar lambang negara, malah lambang nasional yang bukan saja kuat, tetapi amat berkesan. Dengan ini, bahasa Melayu misalnya bukan saja memiliki kuasa untuk memupuk dan membentuk jati diri nasional. Tetapi ia juga menjadi alat penting lagi berwibawa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.

Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, ia sesungguhnya bukan setakat menjadi lambang negara, tetapi memiliki wibawa nasionalisme linguistik untuk negara Malaysia. Dengan ini, citra negara yang menjadi antara unsur penting dalam jati diri nasional akan diwakili sepenuhnya selain dalam bentuk yang nyata pula, oleh bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara.

Menerusi Dasar MBMMBI, bahasa Melayu perlu dipupuk semula untuk menjadi bahasa negara yang benar-benar penting. Kepentingannya tidak boleh lagi sekadar lambang negara dalam bentuk formaliti semata-mata. Sehubungan ini, bahasa Melayu tidak boleh lagi menjadi bahasa negara patung. Ia perlu berhenti daripada menjadi hiasan saja, sedangkan peranannya diambil alih oleh bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris dalam kes PPSMI.

Cadangan untuk menggunakan bahasa Inggeris di bandar dan bahasa Melayu di luar bandar sekiranya PPSMI dikembalikan, adalah gagasan tidak baik untuk martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara. Bahasa Melayu akan dengan cepatnya dikenali sebagai bahasa kampung kerana rata-ratanya digunakan oleh rakyat di luar bandar, lebih-lebih lagi untuk memajukan diri mereka.

Penggunaan sebegini boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif. Sudah tentu status luar bandar ini boleh menjadikan bahasa Melayu dipandang daif oleh mereka yang terdidik dalam bahasa Inggeris di bandar. Status bahasa Melayu sebegini tidak dapat dinafikan adalah tidak baik untuknya selaku lambang negara, lebih-lebih lagi dalam konteks jati diri nasional.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia

ISU BAHASA : Majlis antarabangsa dalam bahasa Melayu

Oleh Misiah Taib dari Copenhagen
misiah@bharian.com.my

Usaha kerajaan memartabatkan bahasa kebangsaan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada kemungkinan besar acara antarabangsa yang dianjurkan Malaysia dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada masa akan datang, dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Namun, beliau berkata, perlu ada kemudahan logistik secukupnya disediakan dari segi terjemahan untuk peserta dari negara luar yang menghadiri acara berkenaan.

Mengambil contoh dalam persidangan antarabangsa di Jakarta baru-baru ini, ucapan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, disampaikan dan disiarkan dalam bahasa Indonesia oleh pihak media, dengan lebih separuh penduduk ASEAN memahami bahasa berkenaan.

“Ada kemungkinan besar kita juga akan melaksanakannya, namun kita perlu bersedia dari segi logistik. Tapi itu saya fikir bukan satu masalah besar,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia sebelum menyampai ucaptama di Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran Asia Eropah (ASEMME3) di sini, semalam.

Muhyiddin mengulas demikian ketika ditanya mengenai kesediaan Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan untuk penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai cadangan untuk menghantar guru bahasa Melayu mengajar anak warga Malaysia di luar negara seperti dicadangkan Malaysian Danish Association (MDA), Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan itu kini mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, akan meminta Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memikirkan pendekatan terbaik bagi menghantar atau mungkin memberikan kursus kepada bakal tenaga pengajar subjek bahasa Melayu di luar negara.

Kelmarin, Pengerusi MDA, Poo Chu Chua, melahirkan kebimbangan anak mereka tidak tahu langsung berbahasa Melayu dan tidak mengenali budaya negara asal-usul mereka, dan mahu kerajaan menghantar tenaga pengajar ke luar negara bagi menangani masalah itu.

Muhyiddin berkata, cadangan sama pernah dikemukakan kepada beliau oleh warga Malaysia di United Kingdom sebelum ini dan ia adalah satu perkembangan yang amat baik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : DBP Lulus Iklan Secara Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Para pengiklan kini boleh memohon secara dalam talian kelulusan penggunaan bahasa dan visual pada iklan daripada Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) menerusi perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan sejak bulan lalu.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, penggunaan aplikasi itu akan dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berperingkat-peringkat sebelum lesen untuk menggantung papan iklan dikeluarkan.

"Kini, pengiklan tidak lagi perlu datang ke pejabat DBP. Sistem dalam talian memudahkan urusan malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri mahu kelulusan permohonan dibuat menggunakan sistem itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media ReadMalaysia 2011 di sini, Selasa.

Jelas beliau, jika penggunaan bahasa dan visual diluluskan, DBP akan mengeluarkan kod khas untuk semakan PBT di portal yang disediakan.

"Selepas semakan dibuat untuk mengetahui status permohonan, barulah PBT akan mengeluarkan lesen kepada pengiklan untuk menaikkan papan iklan," ujarnya.

Setakat ini, perkhidmatan dalam talian itu hanya dikuatkuasakan oleh DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terhadap pengiklan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Walaupun peraturan itu dilaksanakan sejak tahun lalu, Termuzi berkata, DBKL terpaksa menurunkan lebih 7,000 papan iklan terutamanya gegantung dalam bahasa rojak atau bahasa asing yang tidak mendapat kelulusan.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada 146 PBT seluruh negeri supaya menguatkuasakan undang-undang yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku jawatankuasa pelaksanaan bahasa kebangsaan khasnya berhubung penggunaan bahasa dan visual pada papan iklan," tegasnya.

Menurut beliau, jika pengiklan masih berdegil untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, mereka bukan saja akan dikenakan kompaun malah iklan akan diturunkan.

"Jika pengiklan tetap mahu menggunakan bahasa asing dalam iklan mereka, maka saiz perkataan hanya satu pertiga daripada bahasa Malaysia. Semua papan iklan, nama taman perumahan dan papan tanda akan menggunakan bahasa kebangsaan bermula tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa syarikat konsesi lebuh raya supaya menaikkan papan iklan dalam Bahasa Malaysia demi mencerminkan identiti negara.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Iklan : Mana fungsi PBT?

SAYA tertarik dengan surat dalam ruangan Forum di Utusan Malaysia semalam mengenai bagaimana bahasa Malaysia atau bahasa kebangsaan terus sahaja dipinggirkan di negara kita dan wujudnya dua kategori rakyat, iaitu yang tahu berbahasa Malaysia dan yang tidak tahu atau tidak mengambil kisah sedikit pun terhadap penggunaannya.

Juga dipaparkan iklan dari sebuah galeri hartanah yang menggunakan bahasa Inggeris sahaja.

Yang menghairankan bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seolah-olah tidur saja terhadap anasir-anasir yang berterusan memperlekeh bahasa negara ini.

Kenapa agaknya penguasa tempatan kita yang diberi kuasa menentukan semua iklan untuk tatapan umum disediakan juga dalam bahasa negara ini membenarkan perlakuan melampau demikian?

Apa yang DBKL buat terhadap begitu berleluasanya papan iklan yang sedikit pun tidak mahu menggunakan bahasa negara ini? Apakah pihak berkuasa tempatan tersebut begitu lemah dan tidak bermaya untuk mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang tidak menghormati langsung bahasa kita ini?

Pihak-pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih prihatin terhadap anasir-anasir yang sedikit pun tidak mahu menghormati bahasa negara mereka sendiri.

Anehnya anasir-anasir begini apabila ditegur betapa tidak patriotiknya mereka terhadap bahasa negara ini akan melenting bahawa mereka juga bangga menjadi warganya.

Bangga bagaimana kiranya bahasa negara sendiri pun tidak dihormati dan diabaikan sewenang-wenangnya?

REJAL
Shah Alam

Sumber : http : //www.utusan.com.my/