Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.
Bahagian ke-6 ini menyentuh kursus Bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional, antara beberapa buah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mewajibkan pengajian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsanya.
PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- "Hidup subur". Itulah gambaran tepat untuk kedudukan Bahasa Melayu di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Di universiti ini, antara universiti swasta pertama ditubuhkan, pelajar antarabangsa diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu. Mereka perlu memperoleh sekurang-kurang gred C untuk lulus peringkat ijazah.
Bagi pelajar tempatan pula, Bahasa Melayu adalah antara subjek wajib universiti. Mereka mengikuti kursus Bahasa Melayu supaya dapat menggunakan bahasa kebangsaan itu dengan betul dan berketrampilan.
"Meskipun Uniten hanya sebuah universiti swasta, Bahasa Melayu masih ada tempat di Uniten.
"Ini mungkin kerana bahasa pengantar utama di Uniten ialah bahasa Inggeris dan kita tidak mahu meminggirkan bahasa kebangsaan kita," demikian menurut Dr Mardian Shah Omar, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten, kampus Putrajaya dalam satu wawancara baru-baru ini.
PELAJAR ANTARABANGSA
Bercakap lebih lanjut mengenai program Bahasa Melayu Uniten untuk pelajar antarabangsa, Dr Mardian berkata sekurang-kurangnya pelajar berkenaan mampu mengenali Bahasa Melayu itu sendiri.
Pelajar berkenaan juga diharap boleh berkomunikasi secara santai dengan masyarakat luar kampus.
Pelajar antarabangsa di Uniten termasuk dari Arab Saudi, Yemen, Iran, Iraq, Palestin, Somalia, Botswana, Chad, Mauritius dan Vietnam.
"Memang kita fokuskan supaya mereka berkomunikasi ringan, bukan hendak kata mereka boleh jadi pandai berkomunikasi dalam Bahasa Melayu," jelas Dr Mardian yang terbabit dalam pengajian Bahasa Melayu di Uniten secara sambilan sejak 2000.
Beliau secara rasmi menjadi tenaga pengajar Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten pada 2007.
Menurut Dr Mardian ada pelajar antarabangsa yang sudah faham beberapa bahasa basahan dan bahasa pasar dan menggunakan bahasa itu, bukan Bahasa Melayu baku ketika bercakap di dalam kelas.
"Jadi ada konflik di situ dan saya nasihatkan mereka belajar bercakap bahasa formal dan selepas itu saya pecah-pecahkan kepada bahasa santai," katanya.
SIKAP BERUBAH
Bagaimanapun, tidak semua pelajar antarabangsa suka belajar Bahasa Melayu terutama di awal tahun Uniten memulakan sesi pengajiannya.
Dr Mardian membuat pengamatan itu ketika beliau mula-mula mengendalikan kelas Bahasa Melayu bagi pelajar antarabangsa di Uniten.
Katanya, mungkin ketika itu bilangan pelajar antarabangsa tidak ramai dan mereka sememangnya tidak berminat langsung untuk belajar Bahasa Melayu.
"Mereka juga banyak bermain dan beranggapan kursus bahasa ini mudah dan ingin mahu lulus sahaja. Lama kelamaan keadaan mula berbeza.
"Sekarang mereka lebih bersopan. Peratus pelajar yang mendapat A semakin ramai. Sebab dengan adanya gred ini pelajar agak berlumba untuk memahami Bahasa Melayu itu sendiri.
"Ada pelajar yang dapat B- pun ambil semula kursus itu sebab minat untuk belajar lagi," kata Dr Mardian.
PERLU KREATIF
Perubahan sikap pelajar antarabangsa ini terhadap Bahasa Melayu bak pepatah Melayu "Tak Kenal Maka Tak Cinta."
Cuma yang penting adalah bagaimana hendak menarik perhatian atau mempromosi Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa ini.
Dalam hal ini, sudah tentunya pensyarah perlu kreatif untuk menjadikan pengajian Bahasa Melayu menarik.
Menurut Dr Mardian pensyarah yang hanya pergi ke kelas dan mengajar sahaja serta menjadikan kelas itu seperti satu kuliah, tidak akan mencapai matlamat yang diharap-harapkan.
"Dalam hal ini saya sedang membuat kajian melihat kriteria yang diperlukan oleh pelajar antarabangsa untuk menguasai Bahasa Melayu dan ia dijangka siap penghujung tahun ini.
"Apa yang saya lihat dalam hal ini saiz kelas juga membantu. Kalau kelas terlalu besar ia tak membantu. Selalunya kita hadkan kepada 30 orang tetapi apabila banyak permintaan terpaksa tambah antara 40 hingga 45 orang," katanya.
TIDAK CUKUP
Bagaimanapun, Dr Mardian yang sudah mengajar Bahasa Melayu untuk pelajar universiti lebih 10 tahun, berpandangan bawa tempoh satu semester tidak cukup untuk menggalakkan pelajar antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan itu.
Untuk menjadikan kursus Bahasa Melayu bagi pelajar antarabangsa ini lebih berkesan, beliau melontarkan cadangan supaya ia dipecah kepada beberapa peringkat dan wajib diambil untuk selama dua semester.
Beliau turut mencadangkan dua lagi kursus yang berkaitan, satu bahasa pengukuhan dan satu lagi membabitkan budaya masyarakat Melayu.
Sekurang-kurangnya, kata Dr Mardian, pelajar antarabangsa ini kenal budaya Melayu dan memahami jiwa Melayu.
"Misalannya jika pergi ke rumah orang Melayu, macam mana hendak memulakan perbualan, apa yang boleh cakap dan apa yang tak boleh cakap.
"Kadang kala budaya mereka berbeza dan mereka tanya perkara yang tak sepatutnya ditanya. Jadi tidaklah kita kata orang asing ini biadap. Orang asing ini kurang santun berbahasa. Itu yang saya fikirkan," jelasnya.
MAKMAL BUDAYA
Dr Mardian memberitahu bahawa amat baik jika diadakan satu makmal budaya Bahasa Melayu untuk memudahkan lagi pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa.
Makmal yang dimaksudkannya itu berbentuk seperti muzium mini.
"Konsep sekarang setakat pergi kelas dan mengajar. Masa dua jam di kelas boleh dipecahkan satu jam di kelas dan sejam lagi di makmal.
"Jika ada makmal kita boleh bawa pelajar ke sana. Contoh ada kain songket dan kain batik. Kita boleh buat ayat perbandingan dan mudah untuk pelajar memahaminya.
"Menarik lagi jika diadakan juga permainan tradisional untuk menarik minat pelajar. Harap ini dapat menjadi kenyataan," katanya.
Dr Mardian turut memberitahu bahawa beliau sedang menyiapkan sebuah buku bagi membantu pelajar antarabangsa mempelajari Bahasa Melayu.
PELAJAR TEMPATAN
Bagi pelajar tempatan yang mengikuti pelbagai pengajian di menara gading swasta ini, mereka diketengahkan kepada penggunaan Bahasa Melayu tetapi secara lebih berketrampilan dan lebih santun.
Mereka sememangnya sudah boleh berbahasa Melayu tetapi yang diperbaiki ialah mutu bahasa.
Pelajar turut digalakkan berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Melayu yang betul.
Dr Mardian berkata pelajar-pelajar berkenaan juga dilatih berkomunikasi secara interpersonal dan intrapersonal .
Menurut Dr Mardian, ada juga pelajar Melayu yang tidak faham dengan penggunaan bahasa basahan atau harian dan bahasa pasar.
Mereka juga, katanya keliru dengan bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi dan dalam penulisan.
"Sebagai contoh, ada pelajar menggunakan kamu apabila bercakap dengan pensyarah. Guna ganti nama engkau apabila bercakap dengan orang yang baru dikenali.
"Di sekolah lazimnya pelajar lebih diajar penggunaan tata bahasa.
"Di sini kita ajar mereka kesantunan berbahasa iaitu menggunakan bahasa dalam situasi yang betul dengan orang yang betul. Dia akan disanjung kerana menggunakan bahasa yang betul," tambahnya.
TUNJUK IMEJ
Bagi Dr Mardian, bahasa boleh menunjukkan imej seseorang.
Cara berbahasa, tambahnya boleh menunjukkan atau membezakan status pendidikan atau status pekerjaan.
"Kalau tidak menggunakan bahasa yang betul, semata-mata menggunakan bahasa yang tidak sopan, tidak tersusun, orang pun mungkin berpandangan rendah. Ini sudah tentunya boleh merendahkan imej dan status.
"Kita mahu mereka yang mengambil kursus ini mempunyai pengetahuan ini. Kursus ini memang kita sediakan untuk digunakan dalam dunia pekerjaan," tambahnya.
Kursus Bahasa Melayu yang diperjelas beliau ini ialah Bahasa Melayu Korporat, satu daripada subjek 'wajib universiti'. Tiga lagi subjek kategori yang sama ialah Pengajian Malaysia, Moral atau Pengajian Islam.
TEMPAT RUJUKAN
Dr Mardian mempunyai cita-cita besar. Beliau ingin Jabatan Bahasa dan Komunikasi atau Kolej Pengajian Asas dan Umum Uniten menjadi rujukan dunia Bahasa Melayu suatu hari nanti.
Bagi beliau, ini bukan suatu perkara yang mustahil.
Dr Mardian memberitahu bahawa sewaktu beliau di UKM ada pelajar dari Jerman, Australia dan Jepun datang semata-mata untuk belajar Bahasa Melayu di universiti itu.
Sehubungan dengan itu beliau berharap suatu hari nanti ada pelajar dari universiti luar negara datang belajar Bahasa Melayu di Uniten.
Dengan cara demikian, kata beliau, sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan budaya belajar Uniten kepada negara luar sebagai program pertukaran pelajar.
"Pelajar ini boleh datang, contohnya belajar kejuruteraan dan dalam masa yang sama berpeluang belajar Bahasa Melayu.
"Secara tidak langsung bidang pendidikan menjadi bukan sahaja aset untuk menarik pelancong asing datang ke Malaysia tetapi juga landasan tepat untuk menobat dan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu," katanya penuh yakin.
Sumber : http : //www.bernama.com.my/
Selasa, 28 Jun 2011
Bahasa Melayu Subur Merendang Di Uniten
"Tak Kenal Tak Cinta": Pelajar Antarabangsa Dan Bahasa Melayu
Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.
Bahagian ke-5 ini berkisar kepada pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa Universiti Tenaga Nasional, antara beberapa buah institut pengajian tinggi (IPT) yang mewajibkan pengajian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsanya.
PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- "Selamat Pagi. Nama saya Ali Haidar. Saya dari Baghdad, Iraq. Saya ada dua adik perempuan dua adik lelaki."
Kata-kata sapaan ini seperti budak sekolah rendah tetapi bagi seorang pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini dengan sifar Bahasa Melayu, tentunya ia pencapaian besar.
Ali, 21, yang mengambil pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dalam bidang Sistem Maklumat di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mula menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pada 2009.
Bekas pelajar Sekolah Tinggi Al Kwarzme, Baghdad ini juga sifar bahasa Inggeris dan terpaksa mengikuti pengajian Bahasa Inggeris selama satu semester di Kolej Pengajian Asas dan Umum.
Seperti diwajibkan ke atas pelajar antarabangsa Uniten, Ali mengikuti pengajian Bahasa Melayu selama satu semester dan memperoleh gred A.
TAK SUSAH
"Boleh faham dan cakap. Tak susah, senang, sebab saya suka.
"Senang untuk orang Arab cakap Bahasa Melayu sebab ada 1,000 istilah Arab dalam Bbahasa Melayu," spontan Ali menjawab soalan penulis sama ada dia menghadapi kesukaran belajar Bahasa Melayu.
Dia mengikuti kelas Bahasa Melayu Uniten semasa membuat Kursus Persediaan yang keseluruhannya membabitkan tempoh tiga semester.
Malahan sebelum dia mengikuti kursus pengajian Bahasa Melayu, dia sudah boleh bertutur bahasa kebangsaan meskipun bukan bahasa Melayu rasmi.
"Saya cakap guna aku dalam kelas dan pensyarah betulkan saya. Pensyarah cakap bukan macam ini," katanya yang mudah ketawa.
Menurut Ali yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri, dia juga ramai kawan Melayu.
"Kalau cuti saya ikut mereka balik kampung. Dah pergi Terengganu, Melaka, Kelantan, Johor Baharu, Kuala Perlis, Langkawi dan Pulau Pinang. Makanan Paling saya suka di Kelantan, budu.
"Masalah pelajar antarabangsa belajar Bahasa Melayu sebab mereka tak ada kawan Malaysia. Kalau ada banyak kawan boleh cakap Bahasa Melayu. Kalau tak ada memang susah," Ali memberitahu Bernama dalam wawancara di kampus Uniten Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Ali, bercakap bahasa Melayu juga banyak kelebihan. "Kalau ke pasar borong, pasar malam, murah. Kalau awak cakap Bahasa Melayu, murah lagi," katanya sambil ketawa besar.
PERLU PRAKTIS
Digotetso Matema atau "Dee", 21, yang berasal dari Mathabhane, Botswana menghadapi kesukaran di awal kelas.
"Saya tak tahu Bahasa Melayu, tak banyak praktis. Selepas masuk jadi exco Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saya banyak bercakap Bahasa Melayu," katanya.
Dee ditaja kerajaan Botswana untuk melanjutkan pelajaran ke Uniten. Dia juga mempunyai ramai kawan yang sudah menamatkan pengajian di Malaysia dan apabila pulang ke Botswana, mereka masih bercakap Bahasa Melayu walaupun hanya setakat membilang nombor.
Omar al-Kaf yang berasal dari Hadhramaut, Oman tetapi tinggal di Riyadh, Arab Saudi menghadapi situasi yang sama seperti Dee.
"Tak sudah belajar Bahasa Melayu tetapi perlu praktis. Saya tak praktis.
"Pertama datang sini saya seorang pelajar internasional dalam kelas asas, lain semua pelajar Melayu.
"Saya boleh faham dan cakap sikit-sikit," kata Omar yang belajar di Uniten atas perbelanjaan sendiri.
Seperti Ali, dia sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan pengkhususan dalam bidang Sistem Maklumat.
TERUS MINAT
Di awal kelas, pelajar antarabangsa ini diajar cara memperkenal diri dalam Bahasa Melayu serta ucapan-ucapan sapaan seperti Selamat Pagi, Selamat Malam, Selamat Tinggal dan Selamat Jalan.
Walaupun sudah habis mengikuti kelas, mereka masih berminat untuk terus belajar Bahasa Melayu.
Omar terus berkawan dengan pelajar-pelajar Melayu dan cuti semester lepas, dia mengikuti Ali ke Kelantan.
Dia juga suka bercuti ke Pulau Pinang. "Bapa saya ada kawan tinggal di Pulau Pinang. Kampung saya sekarang Pulau Pinang," katanya.
Dee pula masih membawa kamus ke mana sahaja dia pergi untuk memudahkan dia bercakap dengan orang tempatan terutamanya apabila berkunjung ke kafe atau restoran serta menggunakan perkhidmatan teksi.
Dia juga mempunyai perisian terjemahan bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang dimuat turun dalam telefon bimbitnya.
Dee yang mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Elektrikal dan Elektronik ini juga mengambil inisiatif menjadikan hari Isnin sebagai hari untuk bercakap Bahasa Melayu meskipun setakat menyapa "Selamat Pagi" atau "Jumpa Lagi" kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.
CAKAP INGGERIS
Idriss Moussa Ali dan Abdoulaye Abakar, kedua-duanya dari Chad memberitahu bahawa mereka memang mahu belajar Bahasa Melayu.
"Masa belajar ok. Senang belajar, dapat A masa periksa," kata Idriss, anak ketiga daripada lima beradik dan fasih berbahasa Arab.
Masalahnya, kata Idriss yang datang ke Uniten atas perbelanjaan sendiri, kebanyakan kawan Melayunya lebih senang berbahasa Inggeris.
Pelajar pengajian kejuruteraan awam ini memberitahu bahawa dalam keadaan yang demikian dia akan terus juga bercakap Bahasa Melayu walaupun tidak pandai.
Idriss berkata dia juga mempraktikan Bahasa Melayu terutama ketika berkunjung ke kedai atau restoran.
Dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kawannya balik kampung masa cuti semester kerana di kampung, dia dapat lebih berbahasa Melayu.
Setakat ini Idriss yang mempunyai dua tahun lagi untuk menamatkan pengajiannya sudah ke Melaka, Batu Pahat, Johor Baharu dan Ipoh.
LEBIH SENANG
Bagi Abdoulaye yang boleh berbahasa Perancis, Arab dan Urdu, dia lebih faham Bahasa Melayu jika orang yang bercakap secara perlahan-lahan.
"Saya suka belajar bahasa Melayu dan cakap bahasa Melayu, kalau cakap perlahan-lahan, faham. Satu semester belajar tak cukup," kata Abdoulaye yang mengambil pengajian kejuruteraan am di Uniten atas perbelanjaan sendiri.
Abdoulaye yang datang ke Malaysia pada tahun 2009 dan mengikuti pengajian asas kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bertukar ke Uniten tahun ini kerana di UIA tidak ada kursus kejuruteraan awam.
Kata Abdoulaye, dia merancang untuk mengikuti kawan-kawannya balik ke kampung mereka supaya lebih dapat belajar Bahasa Melayu.
Walau dia akur susah untuk bergerak ke mana-mana jika tidak mahir berbahasa Melayu tetapi katanya dia suka duduk di Malaysia, "orangnya baik-baik."
"Pergi makan luar kampus, pergi membeli belah, susah," katanya sambil menambah dia akan dapat harga yang lebih murah jika bercakap Bahasa Melayu di restoran.
BELAJAR LAGI
Abdoulaye berkata daripada pengamatannya, orang tempatan akan lebih mudah mesra jika orang asing bercakap Bahasa Melayu.
Pengalaman bercuti ke Langkawi cuti semester lepas turut menguatkan semangat Abdoulaye untuk memahirkan dirinya lagi bercakap Bahasa Melayu.
Katanya kebanyakan penduduk pulau yang ditemuinya tidak boleh berbahasa Inggeris.
Dia turut merasa kesal kerana tidak dapat berkomunikasi dengan seorang yang diibaratkan sebagai 'ibu' yang begitu baik hati kepadanya.
"Jumpa tahun depan.. saya akan lebih pandai Bahasa Melayu," Abdoulaye memberitahu penulis dengan begitu yakin.
SAYANGI BAHASA
Ternyata bagi Ali, Dee, Omar, Idriss dan Abdoulaye, belajar Bahasa Melayu bukan setakat memenuhi keperluan belajar di Uniten.
Ternyata mereka menghargai kepentingan bahasa kebangsaan ini untuk kelangsungan hidup selagi bergelar pelajar di negara ini.
Malahan Dee dalam perbualannya dengan penulis turut berpandangan generasi muda terutamanya perlu mengambil berat terhadap bahasa ibunda.
Bagi anak muda dari suku kaum Babirwa ini, bahasa adalah akar umbi kepada pembentukan budaya dan banyak menyumbang kepada perkembangan budaya satu-satu bangsa.
Sumber : http : //www.bernama.com.my/