Isnin, 1 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : Pengetua teraju kecemerlangan sekolah

Oleh TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
tansrialimuddin@yahoo.com

Pengetua merupakan orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sesebuah sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya.

Ilmu kepengetuaan pula ialah memiliki kemahiran mentadbir dan mengurus, kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan lain-lain kemahiran yang boleh membantu mempercepatkan lagi pencapaian dan kecemerlangan sekolah.

Demikianlah antara intisari ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-50 di Subang Jaya, Selangor, Jun lalu.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Menengah dengan tema 'Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara'.

Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, transformasi dalam bidang pendidikan perlu dilakukan secara berterusan terutama bagi melahirkan modal insan yang holistik yang mampu mengharungi segala cabaran sama ada di peringkat domestik atau global.

Tidak dapat dinafikan bidang pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan itu, peranan kepimpinan pengetua sering dijadikan fokus utama.

Dalam hal ini pencapaian sesebuah sekolah tidak dilihat dari pencapaian akademik semata-mata tetapi yang lebih penting dapat melahirkan pelajar yang holistik iaitu mempunyai kemahiran intelek, sosial, fizikal dan berkeupayaan menyesuaikan diri dalam apa sahaja situasi dan keadaan.

Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat faktor kejayaan sesebuah sekolah dan ramai di kalangan mereka berpendapat peranan pengetua dan ditambah memiliki ilmu kepengetuaan adalah faktor yang signifikan.

Kepimpinan yang berkualiti dan holistik akan dapat mengubah sekolah yang hanya dalam keadaan biasa kepada sekolah yang berkesan atau cemerlang.

Dalam usaha untuk melahirkan sekolah cemerlang itu, ada beberapa kriteria yang perlu dimiliki oleh pengetua, antaranya mereka mestilah merupakan seorang yang berwawasan.

Oleh itu, bagi mencapai hasrat tersebut sebagai pemimpin utama di sekolah mestilah mempunyai perancangan dan strategi tertentu. Bagi mencapai hasrat tersebut mereka juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama kuat daripada semua peringkat warga sekolah.

Bagi mencapai matlamat ke arah negara maju seperti yang digariskan dalam dasar negara, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan dan garis panduan tertentu untuk dilaksanakan oleh semua sekolah.

Justeru pengetua mestilah berupaya untuk memahami dan sentiasa mengamalkan dasar-dasar yang telah disediakan, keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki oleh pengetua berkenaan.

Dari segi peribadi pengetua yang berkesan kebiasaannya memiliki sifat dedikasi, bertanggungjawab, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah berputus asa.

Kemahiran atau memiliki ilmu kepengetuaan akan dapat membantu pengetua melaksanakan tugas dengan lancar. Pendekatan kepimpinan yang holistik dengan menggunakan pelbagai gaya kepimpinan akan dapat mempengaruhi orang bawahannya supaya bekerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pengurusan sumber manusia terutama keupayaan menguruskan guru dan pelajar secara berkesan akan dapat membantu mencapai matlamat sekolah dengan cepat. Guru merupakan aset penting kepada sekolah.

Dengan memberikan 'empowerment' dan kepercayaan akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan yakin dan sedia memberi sokongan kepada perancangan yang telah disediakan.

Pengetua yang berkesan tidak akan mengabaikan hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti. Pelbagai aktiviti perlu diadakan secara berterusan.

Masalah disiplin pelajar, kekurangan dana dan sebagainya dapat diatasi melalui perkongsian pintar dengan pihak-pihak di luar sekolah terutama dengan ibu bapa.

Peranan pengetua adalah penting bagi membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam melahirkan warga negara yang kompeten, bertanggungjawab dan sedia menghadapi cabaran masa depan.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Hala tuju negara dan R&D

OLEH ROHAMI SHAFIE


MALAYSIA masih terlalu jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju dari segi membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kehidupan rakyatnya.

Dalam banyak proses membuat keputusan, R&D jarang sekali diguna pakai. Keputusan lebih banyak dibuat dalam bentuk ad-hoc atau tergesa-gesa yang mana ia jarang sekali berdasarkan suasana sebenar.

Sebab itulah, di negara ini kita sering lihat sesuatu perkara berlaku berulang-ulang kali tanpa ada penyelesaian yang jitu. Sebagai contoh, kadar kemalangan terlalu tinggi di Malaysia sering kali diulang tayang dan ditekankan di media massa terutamanya ketika musim perayaan.

Penulis percaya terdapat kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia tetapi kenapakah kadar kemalangan masih lagi tinggi? Di manakah silapnya?

Penulis berpendapat antara punca utamanya adalah tiada penghayatan dan pelaksanaan sepenuhnya berteraskan kajian-kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara kita.

Kajian-kajian tersebut hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan dunia akademik. Inilah kelemahan yang perlu diperbetulkan segera. Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang maju, hala tuju kita ke arah matlamat itu mestilah berteraskan R&D.

Di Amerika Syarikat (AS), umpamanya, banyak keputusan dibuat berdasarkan kajian. Sebab itulah AS cukup hebat dari segi R&D. R&D di sana bukanlah sekadar untuk memenuhi keperluan menamatkan pengajian di universiti, tetapi R&D digunakan untuk membantu membina negara agar lebih kukuh dalam pelbagai segi. R&D juga bukan sahaja bertujuan dibentangkan di seminar atau persidangan kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sekadar membentangkan di seminar tanpa ada penghayatan dari segi pelaksanaan untuk kebaikan manusia, penyelidik kajian tersebut seolah-olah berada dalam zon syok sendiri.

Akhirnya, kajian-kajian ini hanya memenuhi rak-rak di perpustakaan-perpustakaan universiti untuk digunakan oleh penyelidik-penyelidik lain pada masa hadapan.

Kalau kajian itu berada dalam kategori bermutu tinggi, maka, ia akan diterbitkan di jurnal-jurnal terkemuka yang dikategorikan sebagai terbaik berstatus A dan diindekskan oleh ISI, Scopus dan sebagainya.

Tujuan utama diterbitkan pula hanyalah untuk mengejar 'rangking' yang dicipta oleh barat seolah-olah kita mengikut telunjuk barat. Sedangkan dunia akademik perlu bebas daripada sebarang telunjuk yang boleh menjumudkan ilmu itu sendiri.

Hanya mengejar rangking sedangkan kajian tersebut tidak langsung dipedulikan atau dihargai oleh kebanyakan rakyat, ia umpama ilmu yang terperap.

Tidakkah ini menunjukkan kajian hanya untuk 'menggembirakan' segelintir golongan yang rutin hidupnya berada di menara-menara gading? Berapa ramaikah orang biasa yang membaca jurnal-jurnal tersebut? Itu belum diambil kira sejauh manakah mereka memahaminya.

Bagi penulis, apalah gunanya ilmu yang dikaji jika tidak disebarkan kepada orang ramai untuk diamalkan. Tidakkah kita mengetahui bahawa terdapat banyak kajian yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik Malaysia boleh membantu negara menyelesaikan masalah yang menyelubungi rakyat negara ini?

Begitu juga terdapat banyak kajian yang boleh membantu kerajaan menjadikan negara ini lebih baik. Lebih-lebih lagi, kini pelbagai transformasi sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam konteks ini kajian dalam bidang sains sosial seharusnya ke hadapan. Kajian-kajian dalam bidang sains sosial lebih ke arah untuk membantu pihak atasan dalam pembuatan keputusan. Ramai yang mungkin menyangka kajian yang hebat mestilah sehingga menghasilkan produk yang boleh diguna pakai.

Produk fizikal yang boleh dilihat dan digunakan dalam kehidupan seharian. Ya, ini hanya sebahagian daripada R&D dalam bidang sains dan teknologi.

Untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh meminggirkan kajian sains sosial. Sebab itulah, kerajaan bercadang untuk menubuhkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial.

Sekali lagi, keputusan untuk menubuhkan universiti ini juga sudah tentulah berdasarkan kajian. Jika tidak, implikasi negatif akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang.

Yang rugi nanti rakyat dan negara. Tetapi jika sudah ada kajian menyeluruh dilakukan dan penubuhan universiti ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara, maka, teruskanlah niat tersebut.

Dengan kata lain, setiap tindakan yang hendak dilakukan terutamanya untuk mencapai hala tuju dan wawasan negara, kajian adalah perintis kejayaan awal.

Maka, tidak menghairankan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan sebanyak RM741 juta untuk dana penyelidikan bagi 2011 dan 2012.

Ini tidak termasuklah dana penyelidikan yang disediakan oleh kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Selain dana penyelidikan yang mencukupi, negara juga memerlukan lebih ramai penyelidik yang mana ketika ini hanyalah dalam sekitar 30,000 orang sahaja.

Semuanya ini untuk memastikan budaya R&D dapat dihayati bukan sahaja di kalangan penyelidik tetapi juga untuk agenda yang lebih luas lagi bagi memenuhi keperluan dan hala tuju negara dalam menuju ke arah sebuah negara maju, makmur dan mapan pada 2020.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Masyarakat Malaysia tidak endah bahaya Hepatitis B, C

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my

Tiada kesakitan punca ramai enggan buat pemeriksaan

LAPORAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan dua bilion penduduk dunia dijangkiti virus Hepatitis B, manakala 130 juta pada tahap kritikal jangkitan Hepatitis C. Disebabkan kedua-dua virus itu, 350,000 pesakit dijangka meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia.

Sukar mengenal pasti sama ada kita pembawa virus atau tidak jika tidak melalui pemeriksaan pengesan yang kini boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta. Pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa sehingga mendapat tanda status serangan virus pada tahap kritikal dan proses ini sebenarnya berlaku dalam masa puluhan tahun. Agak membimbangkan tahap kesedaran orang ramai yang kebanyakannya tidak sedar kepentingan menjalani ujian hepatitis.

Hakikatnya, kebanyakan rakyat negara ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Pesakit mula merasai kesakitan dan kesengsaraan apabila hepatitis pada tahap kritikal dan kebiasaannya sudah menjadi barah. Umum pasti sedar, hepatitis ialah penyakit hati dan tidak asing kepada masyarakat Asia. Mungkin kerana penyakit ini tidak menunjukkan tanda menyakitkan punca ramai tidak mengendahkannya, apatah lagi melakukan pemeriksaan untuk memastikan diri bebas virus itu.

Dua bilion penduduk dunia dijangkiti Hepatitis B dan antara 300 hingga 400 juta pesakit pada tahap kronik. Lebih membimbangkan apabila 75 peratus daripada jumlah itu ialah penduduk Asia dengan 25 peratus (satu daripada empat pesakit) ialah mereka yang terdedah kepada kesan jangkitan untuk tempoh lama.

Mereka yang dijangkiti juga berisiko tinggi mengalami kerosakan hati serius seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan barah hati. Kebanyakan virus hepatitis adalah jangkitan tersembunyi dan ia tidak memberi petanda mahupun kesan sampingan bertahun-tahun kepada pesakit sehingga ia sudah tidak berfungsi.

Kebanyakan pesakit hanya sedar dijangkiti hepatitis selepas pemeriksaan doktor, namun dalam kebanyakan kes, pesakit berada pada tahap kritikal (barah) dan peluang untuk sembuh tipis Perunding Hematologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata pesakit dijangkiti virus hepatitis kebiasaannya tidak menampakkan kesakitan atau menderita.

Katanya, hepatitis terbahagi kepada A, B, C, D dan E. WHO setakat ini menggariskan jenis B dan C yang perlu diberi penekanan kerana angka jangkitan meningkat saban tahun dan dikelaskan antara ancaman terbaru dunia.

“Penularan jangkitan virus secara meluas berlaku di negara ini sebelum 1990-an kerana Malaysia mula menguatkuasakan pemeriksaan ke atas setiap bekalan darah yang diterima baik daripada individu mahupun organisasi hanya selepas itu,” katanya yang mengharapkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pemeriksaan.

Jangkitan virus hepatitis mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum merosakkan sepenuhnya hati. Ia melalui beberapa peringkat bermula daripada jangkitan dengan pesakit tidak merasakan perubahan. Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik dan kemudian membentuk sirosis (garisan atau kerosakan hati) dan akhirnya ia berakhir dengan barah hati yang agak dirawat.

“Punca mahupun agen utama masalah jangkitan virus hepatitis ialah kepada golongan perokok. Tembakau antara punca yang boleh menyebabkan pengguna mengalami jangkitan. Mereka yang mengambil minuman keras berlebihan juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti hepatitis B.

Hepatitis B boleh merebak menerusi sentuhan darah, cecair utama badan termasuk air mani dan bendalir faraj. Hepatitis C boleh tersebar dengan hubungan terus antara darah yang dijangkiti, namun agak jarang merebak menerusi bendalir dalam tubuh.

“Hepatitis C pula penularan begitu meluas di seluruh dunia dan angkanya mencecah sehingga 170 juta. Daripada angka itu, lebih 90,000 penduduk Asia.
Lebih 30 peratus pesakit dijangkiti virus ini berdepan masalah sirosis atau barah hati sepanjang usia mereka kecuali jika mendapatkan rawatan,” katanya.

Jangkitan Hepatitis C antara satu hingga empat peratus di Malaysia. Penularan penyakit ini hanya berada pada dua peratus (53 hingga 3,540 pesakit). Tiga peratus atau 11 daripada 363 kes berpunca daripada penderma darah dan 85 peratus (162 hingga 190) adalah dalam kalangan penagih dadah.

Kedua-dua virus ini juga boleh merebak melalui hubungan seks, luka terkena darah pesakit, perkongsian pisau cukur, berus gigi, bertindik, tatu, berkongsi jarum akupuntur dan jangkitan terus ibu kepada bayi dalam dikandung iaitu antara punca jangkitan Hepatitis B yang biasa di rantau Asia Pasifik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Memahami inspirasi generasi belia Islam

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my

Hasil kajian boleh dijadikan panduan bentuk masyarakat masa depan

HARI ini, umat Islam sekali lagi memulakan ibadat puasa Ramadan, antara satu daripada lima rukun Islam. Puasa melatih kita untuk membentuk sahsiah diri, ahli keluarga dan ummah dalam semua bidang kehidupan. Puasa juga menuntut kita mengelak melakukan perkara tidak berfaedah, apa lagi yang dilarang agama seperti memfitnah, saling tuduh menuduh dan berbalah sesama sendiri.


Ramadan kali ini disambut bukan saja ketika negara masih lagi menghadapi kekalutan politik yang nampaknya tiada kesudahan, malah di kalangan yang mendakwa diri mereka ulama pun, bagaikan sudah hilang kebijaksanaan.


Gejala tuduh menuduh secara terbuka antara golongan yang mendakwa sebagai ulama sejak kebelakangan ini tentu tidak berlaku jika masing-masing ikhlas mahu melihat perpaduan ummah.

Umat Islam di negara ini sudah pun berpecah akibat persengketaan politik, janganlah keadaan diburukkan lagi oleh perbalahan golongan ulama semata-mata kerana segelintir mereka yang tidak mahu menerima pandangan berbeza.

Apa yang dibimbangi, jika perbalahan di kalangan ulama ini berterusan, ia menimbulkan kekeliruan di kalangan ummah, terutama generasi muda Islam.

Setakat ini, kita masih boleh bersyukur kerana secara umumnya, generasi muda Islam kita masih berpegang kepada konsep kesederhanaan dalam mengejar kebahagiaan dunia dan akhirat, seperti dituntut oleh agama.

Kajian terbaru ‘Nilai, Impian, Ideal: Belia Islam Asia Tenggara’ yang disiarkan sebuah akhbar tempatan semalam, mendapati 92 peratus belia Islam di Malaysia dan 93.8 peratus di Indonesia berpuas hati dengan kehidupan mereka serta percaya pendidikan menjadi faktor utama kemajuan diri dan pergerakan sosial.

Bagaimanapun, kajian yang diterajui Goethe Institute dan The Friedrich Naumann Foundation for Freedom itu, mendapati hanya 0.8 peratus belia Islam Malaysia berminat menjadi ahli politik, lebih rendah daripada mereka yang bercita-cita menjadi artis (2.7 peratus).

Hanya kira-kira 23 peratus belia Islam di Malaysia berkata, mereka mempunyai minat dalam politik, peratus sama dengan rakan mereka di Indonesia. Seramai 1,060 belia Islam berusia 15 hingga 25 tahun di Malaysia dan 1,496 di Indonesia terbabit dalam kajian yang dilakukan dengan kerjasama Merdeka Center, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Lembaga Survei Indonesia pada Oktober hingga November lalu itu.

Selain itu, menjadi usahawan atau menceburi bidang perniagaan menjadi pilihan utama belia Islam Malaysia (24.3 peratus), diikuti menjadi ibu bapa yang baik (18.4 peratus) dan menjadi kaya (14.9 peratus).

Kira-kira 73 peratus responden di Malaysia yakin keadaan ekonomi mereka akan meningkat, manakala 94.9 peratus percaya bahawa bekerja kuat akan menghasilkan kejayaan dan kekayaan. Pada masa sama, 94.2 peratus berpendapat mempunyai keluarga adalah keutamaan dalam mencapai kebahagiaan hidup.

Kajian itu juga mendapati, kira-kira 72 peratus belia Islam di Malaysia menyokong saranan supaya al-Quran menggantikan Perlembagaan Persekutuan, manakala 98.3 peratus berkata umat Islam tidak harus dibenar menukar agama.

Sebahagian besar responden menyokong langkah untuk memperkenalkan hukum Islam seperti memotong tangan atas kesalahan mencuri (71.5 peratus); hukuman mati ke atas pembunuh (92.5 peratus) dan hukuman sebat terhadap peminum arak (92.4 peratus).

Namun, 59.3 peratus belia Islam di Malaysia percaya bahawa keganasan mencemarkan nama baik Islam dan tiada sebarang petanda yang menunjukkan mereka memilih keganasan sebagai cara menuntut perubahan.

Malah sebahagian besar responden (62.4 peratus) mengutuk tindakan keganasan, walaupun mereka memandang Osama bin Laden sebagai pejuang kebebasan.

Walaupun secara umum, belia Islam Malaysia dilihat sebagai konservatif, kajian itu mendapati hanya 18.1 peratus responden berkata mereka kerap membaca al-Quran, manakala 28.7 peratus mengaku menunaikan solat lima kali sehari.

Sebahagian besar responden, walaupun mahu menjadi Muslim yang baik, lebih suka menonton televisyen, mendengar muzik dan melayari internet daripada pergi ke masjid.

Hasil kajian ini mungkin belum cukup untuk mencerminkan gambaran sebenar mengenai nilai belia Islam di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terbabit dalam membentuk generasi masa depan.

Yang agak menarik ialah sikitnya belia Islam mahu menjadi ahli politik. Jika kekalutan politik di negara ini boleh diandaikan menjadi faktor generasi muda tidak meminati bidang itu, kita bimbang perbalahan di kalangan ulama boleh menyebabkan generasi muda Islam mula menjauhi agama. Selamat berpuasa!


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kewibawaan DBP kian hilang

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my

Agensi mesti pulih reputasi demi martabat bahasa Melayu

SEORANG teman berjenaka: “Jika kita baling batu ke kaca jendela bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada dekad 60-an hingga 80-an, serpihan kacanya akan mengena bahu sasterawan dan pemikir budaya.

“Hari ini serpihan batu itu sekadar kena tapak kaki birokrasi yang semakin menjauh daripada jiwa bahasa dan sastera.”

Jenaka teman itu kerana meyakini DBP atau nama asalnya Balai Pustaka yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bukan lagi dominan untuk sasterawan, ahli bahasa dan pemikir budaya.

Pada era lampau, DBP sinonim sebagai pusat bahasa dan sastera. Ramai sasterawan tersohor pernah bertapak di bangunan lama DBP termasuk Usman Awang, Keris Mas, Kemala, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Shamsuddin Jaafar, Jaafar HS, Johan Jaaffar, Maarof Saad, Sutung Umar RS, Zaen Kasturi, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Yusof, Zakaria Arifin dan Dinsman.

Kini nama sasterawan besar hampir tiada lagi di DBP kerana udara segar di menara yang serba gah itu mungkin tidak sesuai untuk seniman berkarya, apatah lagi menyuarakan idea kesenian dan kebudayaan. Segala-galanya sudah berubah seiring perjalanan waktu. Jika dulu, masyarakat menganggap DBP milik mereka kerana agensi kerajaan itu mendekati rakyat dengan buku bermutu yang merata di setiap pelosok negara, kini buku terbitan DBP amat sukar ditemui di pasaran.

DBP, dilihat dari sudut mana pun hari ini, masih berkemelut untuk memulihkan reputasi sesuai matlamat asal untuk ‘menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.’

Krisis DBP dengan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd masih belum berkesudahan. Majalah terbitan DBP untuk keluaran Julai menjadi mangsa pergeseran kedua-dua pihak. Pengedaran buku teks untuk murid dan pelajar tahun depan masih rahsia umum. Bayangkan jika sesi persekolahan 2012 bermula tanpa buku teks terbitan DBP?

Isu bahasa, budaya dan sastera yang sering meribut sekarang tidak pernah reda. DBP tiada taring untuk menyuarakan isu penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Ia sekadar membiarkan isu berlalu dan mengharapkan pihak di luar Menara DBP bersuara atau menjerit di jalanan.

Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein juga menguji kebijaksanaan pentadbir DBP mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya, ia berlanjutan dan dipolitikkan dengan pelbagai versi siasah. DBP sebagai badan budaya, bahasa dan sastera kurang berperanan sebagai pihak yang wajar berada di tengah gelanggang untuk menyelamatkan karya besar Sasterawan Negara kita. Sampai bila harus begini?

Justeru, tidak menghairankan apabila Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan kerugian berterusan.

Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

GDB gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sejak 2002, DBP dianggarkan kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun. Apakah penswastaan untuk mencapai kerugian berterusan? Bagaimana pula kesudahan krisis DBP dan Dawama?

Sebelum ini ramai yang merungut buku terbitan DBP tidak berada di pasaran. Kolum ini pada 16 November tahun lalu di bawah judul ‘DBP terbit, Dawama simpan buku’ mendedah pengalaman peribadi penulis yang tidak menerima sebarang royalti sejak beberapa tahun kerana buku tidak berada di pasaran.

Keadaan akan berterusan jika kerajaan tidak bertindak pantas menyelamatkan sebuah agensi yang sedang bermasalah itu. Bagi masyarakat terbanyak, buku terbitan DBP sewajarnya merakyat dan mudah diperoleh hatta di kedai mamak sekali pun!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/