DATUK NOOR AZAM
KETIKA sampai berita sedih "Datuk Hassan Ahmad meninggal dunia" pada tengah hari 31 Ogos 2011, yang pertama terlintas dalam hati saya: "Pada tarikh bersejarah ini, tamatlah sudah perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di Tanah Melayu".
Saya tidak nampak ada lagi pejuang dan pencita bahasa Melayu yang komited, gigih, konsisten dan berhemah seperti Hassan. Yang masih terus perjuangkan bahasa Melayu melalui tulisan hanya Ku Seman Ku Hussain dan Awang Sariyan dan sekali sekala kenyataan Gabungan Penulis Nasional (Gapena).
"Perjuangan bahasa" di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah pun lama sepi. Tidak lagi jadi sumber inspirasi dan pusat gerakan para pencinta bahasa ibunda.
Biasanya pejuang dalam bidang apa pun, termasuk agama, akan 'bersara' setelah tidak lagi memegang apa-apa jawatan atau menjelang umur 70 tahun. Tetapi Hassan tetap meneruskan perjuangan dan usaha yang dilakukannya selama 25 tahun di DBP (1963-1988).
Beliau bukan sahaja berusaha "memartabatkan" bahasa Melayu, dari segi pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, tetapi juga dari segi penggunaan rasmi dan status politiknya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Yang terakhir ini belum juga tercapai setelah 54 tahun merdeka hinggalah beliau meninggalkan kita.
Datuk Hassan bukanlah seorang pejuang yang nampak gagah dan agresif. Tetapi terus berjuang secara tegas dan berhemah melalui tulisannya dengan hujah-hujah ilmiah yang kukuh dan juga berlandaskan sejarah bangsa-bangsa maju di dunia.
Selama 17 tahun bersama beliau di DBP dan dalam gerakan bahasa dan sastera, saya pasti betul, dalam hidupnya hanya satu saja perjuangannya iaitu "memartabatkan" bahasa dan kepustakaan Melayu di Malaysia dan di Nusantara. Dan perjuangannya ini berjalan sepanjang masa, tiada bermusim dan tidak terikat oleh gelora politik, walau siapa pun jadi Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri.
Beliau kagum dan sangat menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak boleh bersetuju apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengajaran Ilmu Sains dan Matematik, kerana ini bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan (salah satu warisan penting Tun Abdul Razak) dan implikasi sosial-politiknya amat besar.
Bagi beliau bahasa pengantar pendidikan adalah faktor penentu yang utama dalam pembentukan dan survival suatu bangsa yang berdaulat dan bermaruah.
Setelah melihat perjuangan secara berhemah semakin tidak dipedulikan dan martabat bahasa Melayu semakin jatuh - dan yang tinggal hanya dasar, akta, janji dan kata-kata - secara tiba-tiba, Hassan bertukar menjadi pejuang yang agresif. Dengan badannya yang kurus melidi dan kelihatan lemah tak bertenaga, ketika berumur 73 tahun, tiba-tiba beliau muncul mengepalai suatu gerakan bahasa, melanggar arahan polis dan berarak ke Istana Negara.
Perubahan ini mengejutkan saya, kerana itu bukanlah sikap dan watak Hassan yang saya kenal. Lagi pun semangat perjuangan bahasa di kalangan rakyat, termasuk badan-badan bahasa, penulis, guru, mahasiswa dan kebudayaan, sudah tiada lagi.
Maka tidak ada yang merasa gerakan demonstrasi tokoh kerdil ini akan membawa kejayaan. Kerajaan cukup kuat dan di belakang Hassan tiada siapa-siapa pun, kecuali beberapa kawan-kawan lama. Kekuatan Hassan hanyalah keyakinan pada perjuangannya yang benar dan tulus ikhlas tanpa kepentingan politik dan peribadi. Maka beliau rela ditangkap dan dihukum.
Alhamdulillah, Datuk Hassan berjaya mencapai kejayaan yang tak terduga oleh siapa-siapa pun. Menteri Pelajaran berjanji "akan" mengembalikan bahasa Melayu kepada tempatnya, seperti yang termaktub dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Namun timbul keraguan, ketika bahasa pengantar Inggeris masih diteruskan, diumumkan pula dasar atau konsep baru MBMMBI (Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris). Dasar ini seolah-olah menunjukkan komitmen kementerian terhadap pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan masih goyang.
Mengapa usaha "Memartabatkan Bahasa Melayu" mesti dirangkaikan dengan usaha "Mengukuhkan Bahasa Inggeris"? Apakah ini bermakna kalau Bahasa Melayu hendak dimartabatkan, Bahasa Inggeris juga mestilah diperkukuhkan? Pada hal kedua usaha ini tiada ada kaitan sama sekali.
Pengajaran Bahasa Inggeris boleh diperkukuhkan sekukuh-kukuhnya. Tidak ada seorang pun yang menentang, termasuk pejuang Bahasa Melayu. Tetapi penggunaan Bahasa Melayu sebagai "bahasa kebangsaan" dan "bahasa rasmi", masih ramai yang menentang. Syarikat-syarikat besar dan kecil, milik Melayu apa lagi bukan Melayu, SBK (GLC) maupun swasta, masih terus boleh berurusan dengan kerajaan dalam Bahasa Inggeris.
Maka dasar baru - MBMMBI - menyerlahkan keraguan, kekeliruan dan kecelaruan pemikiran Kementerian Pelajaran yang sangat aneh, yang sekali gus menampakkan tidak ada komitmen yang serius pihak kerajaan untuk betul-betul memartabatkan Bahasa Melayu.
Dasar yang aneh ini nampaknya diterima umum. Justeru bersama kembalinya Hassan, adakah perjuangan bahasa pun akan ikut bersemadi juga sudahnya? Tanggal 31 Ogos 2011 menjadi batu nisan.
Penulis ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/