Isnin, 19 September 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa ditatang, pelajar sarjana diundang

Persepsi salah perlu diperbetulkan

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

USAHA meningkatkan lagi jumlah pengambilan penuntut pascasiswazah di institusi pengajian tinggi terutama di universiti penyelidikan antara langkah terbaik.

Ini kerana usaha itu bakal menjana hasil penyelidikan tinggi dan menyemarakkan kecemerlangan industri pendidikan negara di peringkat global.

Malangnya, di tengah kerancakan itu ada pihak berpendapat ia umpama mempertaruhkan masa depan mahasiswa peringkat ijazah pertama kerana bilangannya di sesetengah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpaksa dikurangkan bagi memberi laluan kepada mahasiswa pascasiswazah.

Namun sesetengah pihak beranggapan, ia mampu mengundang konflik dan kontroversi jika tidak ditangani segera kerana membabitkan warga pengajian tinggi secara langsung.

Justeru, apakah harus dilakukan supaya tidak berterusan disalah anggap. Benarkah pendapat, masa depan mahasiswa ini ‘tergadai’ di tangan mahasiswa pascasiswazah?

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa berkata, tidak timbul isu masa depan mahasiswa ijazah sarjana muda tergadai atau menjadi pertaruhan kerana mereka masih menjadi aset utama kepada institusi.

Menurutnya, peringkat ini adalah asas pendidikan paling penting sebelum mahasiswa menentukan pilihan seterusnya sama ada memasuki alam pekerjaan atau menyambung pengajian.

“Tidak bermakna apabila negara membuka pintu kepada peningkatan jumlah pengambilan penuntut pascasiswazah, mahasiswa ijazah pertama bakal menjadi mangsa diskriminasi atau sewenang-wenangnya disisihkan.

“Mereka antara kelompok terpenting kerana masih menjadi tunjang utama kepada institusi pengajian tinggi untuk memastikan kelangsungan ilmu. Jika tiada, penawaran program pascasiswazah tidak boleh dilakukan kerana proses peningkatan peringkat pengajian tinggi bermula daripadanya.

“Merekalah yang memastikan proses gembleng tenaga dan ilmu masa depan berjalan seiring sebelum memulakan langkah selanjutnya sama ada menyambung pengajian atau melangkah ke alam kerjaya,” katanya.

Bagi menjadikan negara ini hab pendidikan serantau dan antarabangsa serta melahirkan masyarakat berilmu kelas pertama, Kementerian Pengajian Tinggi mengambil langkah proaktif dengan pelbagai pembaharuan dinamik dalam memartabatkan nilai pendidikan tinggi.

Lima IPTA dipilih sebagai Universiti Penyelidikan antaranya bertujuan meningkatkan lagi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan serta pengambilan pelajar pascasiswazah.

Merealisasikan hasrat itu, jumlah mahasiswa ijazah pertama dikurangkan secara berperingkat bagi memberi lebih tumpuan kepada peringkat pascasiswazah.

Bagaimanapun, ada pihak beranggapan ia tidak relevan kerana senario itu dilihat seperti memberi ‘hak istimewa dan eksklusif ‘ kepada golongan mahasiswa tertentu.

Mengulas sama ada usaha itu bakal memberi impak negatif, beliau berkata, masyarakat perlu melihat dan menilai dari semua aspek sebelum membuat penafsiran.

Katanya, penafsiran selalu dibuat berdasarkan pemerhatian semata-mata tanpa merujuk kepada skop lebih luas atau golongan berpengetahuan mengakibatkan maklumat kurang tepat.

“Kekurangan maklumat atau salah penafsiran menyebabkan usaha murni sering disalah anggap menjadikan timbulnya isu terutama jika membabitkan perkara baru.

“Justeru, penjelasan sewajarnya perlu diberi dan disebarkan supaya mampu memperbetulkan tanggapan itu. Pendidikan pascasiswazah banyak kelebihannya kerana mampu menjadikan negara, institusi dan masyarakat negara ini lebih cemerlang dalam pendidikan serta berkualiti dalam kehidupan.

“Dalam situasi dunia rancak menuju globalisasi, industri pendidikan juga tidak harus ketinggalan. Menerusi penyelidikan, kajian, kebolehan, ilmu dan pengalaman boleh dikongsi bersama selain menjadikannya lebih antarabangsa,” katanya menafikan kemasukan lebih ramai mahasiswa pascasiswazah antarabangsa boleh merugikan negara.

Beliau berkata, perkara itu sukar diterima kerana negara bukan saja boleh menjana ekonomi malah memperluaskan lagi perkongsian maklumat, data, sosial dan budaya baru. Mengatakan ia satu kerugian tidak benar kerana batas ilmu tidak terhad.

“Malah kebanyakan institusi terkenal dunia juga membuka pintunya kepada orang luar menjadikan pengembangan dan kecemerlangan ilmunya cukup pantas. Jadi mengapa kita tidak boleh mengikuti dan melaksanakannya?” katanya.

Beliau juga menafikan kecenderungan memberi tumpuan pada mahasiswa pascasiswazah boleh menyebabkan penurunan tahap akademik dan program tertentu.

“Bidang pengajian pascasiswazah berbeza kerana tumpuan lebih kepada penyelidikan berbanding akademik bagi peringkat pertama, sudah tentu tidak sama sementara setiap program ada kepentingannya sendiri.

“Tidak timbul isu kewujudan program tidak penting atau sebaliknya kerana setiap peringkat pengajian ditawarkan mempunyai kapasiti sendiri bagi mencakupi permintaan, jangkaan dan sasaran pembangunan masa panjang.

“Semuanya relevan dan berguna dan tidak ditawarkan institusi secara terus tanpa kajian menyeluruh,” katanya turut menegaskan, masyarakat juga perlu tahu membezakan kepentingan pascasiswazah dan ijazah pertama.

Katanya, pascasiswazah adalah platform peningkatan akademik lebih tinggi dan memotivasikan masyarakat meneruskan pengajian.

Ijazah pertama lebih tertumpu bagi melahirkan sumber tenaga manusia dengan menyediakan golongan yang menjadi penjana ekonomi.

Sasarannya berbeza tapi objektifnya sama iaitu meningkatkan nilai dan kualiti pendidikan ilmu di kalangan masyarakat sejajar kehendak globalisasi.

Ditanya kemungkinan pengambilan mahasiswa pascasiswazah menyumbang kepada kadar pengangguran jangka panjang, beliau berkata, kebanyakannya sudah bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri.

“Kebanyakan mahasiswa ini mempunyai kerjaya mantap dan melanjutkan pengajian bagi peningkatan kerjaya, tidak mungkin boleh menyumbang kepada peningkatan pengangguran.

“Mahasiswa ijazah pertama umpamanya tidak perlu bimbang bakal menjadi mangsa keadaan.

“Mereka hanya perlu teguhkan pendirian untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu.

“Peluang sudah ada di depan mata, jangan persiakan hanya kerana isu remeh yang tidak membawa faedah.

“Lengkapkan diri dengan segala kemahiran sesuai kehendak industri selain tidak lupa bercita-cita melanjutkan pengajian peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Martabatkan Pendidikan Vokasional

Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.

Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.

Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu.

Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara.

Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.

Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.

Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri.

Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.

Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%.

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.

Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini? Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM. Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.

Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.

Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/