Isnin, 23 Januari 2012
ISU SOSIAL : Semarakkan formula 5 jari
SAYA ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada rakan dan saudara terutama ibu yang berbangsa Cina. Sempena Tahun Baru Cina ini, marilah kita menghayati formula 5 jari.
Malaysia adalah satu-satunya negara yang amat unik. Kaum yang pelbagai ini bukan sahaja hidup dengan sejahtera tetapi juga bebas mengamalkan agama masing-masing.
Tiada tempat dalam dunia selain Malaysia yang kita boleh lihat masjid, gereja, tokong, kuil berada berdekatan malah ada yang berkongsi pagar.
Perayaan agama bebas disambut meriah, begitu juga majlis perkahwinan dan lain-lain.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Malaysia mengundang rasa cemburu malah ada yang rasa terancam. Sudah pasti mereka ini akan mendapat keuntungan besar jika Malaysia porak-peranda. Ekonomi Malaysia pernah diserang berkali-kali untuk tujuan yang sama iaitu menghancurkan keamanan Malaysia.
Justeru, kesederhanaan adalah kunci kepada semua masalah. Gerakan Kesederhanaan Global (Global Moderate Movement) sebenarnya merupakan ‘resipi rahsia’ Kerajaan Malaysia. Ia berjaya dilaksanakan di Malaysia, sudah tentu ia boleh berhasil untuk mana-mana tempat dalam dunia tidak kira di negara Arab, Eropah, Asia dan Amerika.
Sebenarnya, Malaysia hanya ada dua jalan untuk dipilih. Kehancuran atau kedamaian. Kedua-duanya kita pernah rasa sejak dahulu dalam membangunkan bersama-sama bumi indah kurniaan Tuhan ini.
Suka diingatkan, Malaysia kini diancam lagi atas nama dunia tanpa sempadan, hak bersuara, globalisasi, teknologi dan banyak lagi. Kita sekali lagi diuji.
Sebagai ‘anak campur’ saya tidak terelak untuk berfikir sebagai seorang Melayu, dan berperasaan seperti seorang Cina dan sebaliknya.
Dari kecil setiap kali saya mempersoalkan kenapa Melayu takut babi dan anjing, mengapa Cina suka berjudi, kenapa India suka minum arak dan bermacam-macam lagi dan ibu pasti akan ceritakan formula 5 jari.
Hubungan antara kaum di Malaysia umpama 5 jari manusia. Setiap jari memerlukan jari yang lain untuk berkongsi dengan sempurna. Tanpa ibu jari, tanpa jari manis, jari telunjuk, jari hantu dan jari kelingking, tangan tidak akan mampu melakukan tugas. Lima jari ini pula tidak akan mampu bertugas tanpa tapak tangan iaitu simbolik negara Malaysia.
Setiap jari memerlukan satu sama lain. Begitu juga India, Cina, Melayu, Sikh dan lain-lain, kita tidak akan berjaya tanpa sokong menyokong antara satu sama lain.
Krisis demi krisis berjaya kita atasi. Terima kasih kepada anda semua tidak kira Melayu, Cina, India, Singh, Kadazan, Iban, dan lain-lain. Anda perlu mengucapkan ‘terima kasih’ kepada ibu bapa, saudara, rakan dan paling penting kepada diri anda sendiri.
Pengorbanan nenek moyang anda tidak sia-sia, begitu juga dengan pengorbanan anda dalam memastikan keamanan Malaysia, pasti cucu-cicit anda akan berterima kasih pada anda.
Sempena Tahun Baru Cina ini marilah kita memulakan Tahun Naga ini dengan menyemarakkan formula 5 jari.
Ingatlah, kita saling memerlukan.
MUSTAQIM ABDUL RAHMAN
Batu Caves.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Kemelut penulis muda
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@Bharian.com.my
Tunduk pada tuntutan pasaran dengan karya popular?
DUNIA penulisan sastera tanah air menyaksikan perkembangan menggalakkan dengan bertambahnya pemain dalam industri penerbitan negara sehingga lebih ramai penulis muda mahupun pendatang baru menyaksikan karya mereka memasuki pasaran buku negara.
Bagaimanapun, adakah perkembangan itu turut memaparkan sumbangan penulis muda dalam memperkasakan kesusasteraan di Malaysia sepanjang 2011 atau berlegar kepada dunia sastera yang terpisah di antara memenuhi kehendak pasaran dan secara tidak langsung karya intelektual terpinggir?
Pensyarah Sastera, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ariff Mohamad berkata, mulai 1990-an jumlah penerbitan semakin banyak, justeru ia semakin rencam dari segi teknik, tema, namun novel Melayu masih tercari-cari kekukuhan dan kemantapannya meskipun disuakan pelbagai teori sastera bersifat tempatan sekian lama.
“Penulis juga berhadapan dengan kehendak pasaran kerana kerja menulis kini sama seperti kerja lain. Seseorang penulis juga memerlukan wang untuk perbelanjaan. Dalam keadaan demikian bukan sedikit penulis yang menulis atas kehendak pasaran sehingga kehendak intelektual terpinggir,” katanya.
Ariff mengingatkan salah tanggap berhubung novel dengan kehendak intelektual yang sebenarnya bukanlah seperti yang sering disalah tanggap sebagai novel dengan wacana persoalan keilmuan dan falsafah tinggi kerana sebenarnya novel biasa, tetapi membawa persoalan serius layak dimasukkan dalam genre terbabit.
Salah faham dengan maksud novel intelektual mendorong pengarang muda Malaysia kebelakangan ini terbelah kepada novel popular seperti Ombak Rindu karya Fauziah Ashari dan novel serius seperti Bila Nyasrah Kata Tak Mahu karya Aidil Khalid.
Menyifatkan jurang antara penulis muda Borneo dan Semenanjung sebagai terlalu jauh jaraknya, Ketua Satu Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan berkata, penulis muda di tanah tumpah darahnya seakan-akan menyembunyikan diri atau menyimpan kuku dalam persada nasional.
“Mereka mungkin berasa persada kenegerian lebih selamat. Ia sudah dibangkitkan dulu di Berita Harian. Isu itu menjadi polemik di Sabah dan Sarawak. Bagusnya kesan daripada isu itu, penulis muda Borneo mula sedar dalam dunia yang tanpa sempadan ini, mereka perlu berani, jangan berasa rendah diri,” katanya.
Jika dilihat suatu waktu dulu, Sarawak tidak kurang dalam melahirkan penulis hebat seperti Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah, Jais Sahok dan Zaini Ojea, antara penulis mapan yang nama mereka dikenali dan kerap menjadi perbicaraan dalam kalangan dunia kritikan dan kajian sastera.
Dewasa ini antara penulis muda Sarawak yang menonjol ialah Roslan Jomel, Abizai, Mohd Ali Salim, Rosani Hiplee dan Hipani Alwi. Sabah juga tidak jauh ketinggalan dengan penulis muda yang prolifik ketika ini antaranya termasuklah Pena Alam, Dayangku Mastura dan Ismi Nailofar.
“Dari sudut pemikiran dalam pengkaryaan, penulis muda Borneo tidak jauh berbeza dengan penulis muda di Semenanjung. Yang membezakan ialah teman penulis di Semenanjung berada di pusat kesusasteraan yang mewah dengan kegiatan sastera,” katanya.
Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mohd Hanafi Ibrahim pula berpendapat, istilah muda terlebih dulu perlu diperjelaskan kerana ia menimbulkan banyak perdebatan berhubung dasar pembahagiannya iaitu apakah mengikut usia atau kematangan berkarya.
“Jika mahu dikelompokkan mengikut usia, ia bermaksud pengarang yang lahir pada 1971 dan ke atas, tetapi ada yang mempersoalkan pendekatan ini. Untuk saya, perkembangan penulis muda yang perlu didokumentasikan sebaiknya menerusi penyelidikan bermutu.
“Ini perlu memandangkan jika mereka banyak menyumbang untuk memperkasakan sastera Malaysia, tetapi tanpa dokumentasi yang baik, ia tidak akan dapat menjadi rujukan untuk generasi seterusnya dan jika ini berlaku, alangkah ruginya?,” katanya.
Dr Mohd Hanafi memberi contoh program penulisan anjuran DBP, Minggu Penulis Remaja (MPR) yang melahirkan ramai penulis sebenarnya sudah menulis sejak usia belasan tahun dan meskipun tidak semua daripada peserta program menjadi, tetapi yang berjaya hampir semuanya menghasilkan karya bermutu.
“Antara peserta MPR yang menonjol namanya pada persada sastera tanah air ialah Zaen Kasturi yang mendapat pengiktirafan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA), manakala Faisal Tehrani pula menerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA),”
Bagi penulis muda di luar program MPR yang perlu diberi perhatian ialah Syed Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir yang mengemukakan subjek kemanusiaan sejagat menerusi kumpulan cerpennya, Sekeping Ruh di atas Bantal dan Serigala dan Sekuntum Tulip.
“Rata-rata cerpen SM Zakir yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah penulisan SEA 2011 bertitik tolak daripada motif untuk mencapai kebenaran dan di situlah letaknya nilai estetika pada karyanya."
Sumber : http : //www.bharian.com.my/