Isnin, 30 Januari 2012
ISU PENDIDIKAN : Garis panduan atasi keracunan makanan
Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang sejak akhir-akhir ini dirujuk sebagai budaya pemakanan yang tidak seimbang.
Buku panduan tersebut turut menyenaraikan sejumlah 227 jenis makanan dan minuman yang boleh dijual di kantin-kantin sekolah di seluruh negara manakala proses menggredkan semua tahap kebersihan premis pengendalian makanan sedang giat dilaksanakan sejak tahun lalu.
Sehingga akhir tahun 2011, lebih sepuluh peratus daripada 10,000 sekolah telah diperiksa untuk digredkan sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas premis-premis yang mengendalikan makanan kepada masyarakat umum.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap kebersihan 90 peratus ke atas akan diberikan tahap kebersihan A, memperoleh skor antara 70 hingga 89 peratus dikategorikan B, 50 hingga 69 peratus tahap C dan kurang daripada 50 peratus akan dikategorikan sebagai D.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap D akan diberikan amaran dan dalam tempoh tertentu jika tahap kebersihannya tidak berubah, pengendali kantin tersebut akan diberikan arahan tutup manakala pengendali makanan dari luar akan diberikan peluang sementara untuk menjual makanan di sekolah sebelum proses tawaran semula dilaksanakan.
Bagi mengelakkan sebarang masalah, pengendali kantin yang diarahkan tutup tidak lagi akan dipertimbangkan pada masa depan untuk mengambil bahagian dalam mengendalikan kantin di sekolah-sekolah.
Sepanjang tahun 2011, terdapat sejumlah 220 kes keracunan makanan di sekolah dan melibatkan sejumlah 8,010 pelajar di seluruh negara.
Episod keracunan makanan di sekolah telah dikesan berlaku dalam tiga keadaan iaitu ke atas program susu 1Malaysia (97 kes), kantin sekolah (45 kes) dan makanan di asrama (78 kes).
Keracunan ke atas program susu 1Malaysia paling banyak dikesan berlaku di Kelantan (24 kes), Terengganu dan Perak (masing-masing 12 kes), Selangor dan Johor (masing-masing 9 kes), Melaka (8 kes), Negeri Sembilan (7), Pahang (6), Sarawak (4), Kedah (3), Pulau Pinang (2) dan Perlis (1).
Sebahagian besar masalah keracunan program susu 1 Malaysia berlaku adalah sikap para pelajar yang tidak dapat menghabiskan sekotak susu yang dibekalkan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
Apabila kotak susu itu dibiarkan tanpa disimpan dalam peti sejuk, ia akan menyebabkan susu tersebut terkena udara dan menjadi cepat masam.
Dalam keadaan susu yang masam itu, apabila diminum untuk kali berikutnya akan menyebabkan peminumnya akan berhadapan dengan muntah-muntah dan loya. Situasi inilah yang kemudiannya dinamakan keracunan akibat meminum susu.
Ada juga yang disebabkan faktor cara penyimpanan susu yang tidak sesuai di mana premis yang dijadikan stor simpanan tidak bersih atau tidak mempunyai kemudahan bilik sejuk.
Kes keracunan yang berpunca daripada mengambil makanan yang dijual dikantin paling banyak berlaku di Johor (11 kes), masing-masing 3 kes berlaku di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan manakala di Perlis satu kes.
Faktor utama kejadian itu adalah disebabkan oleh makanan yang dijual telah basi, persekitaran kantin yang kurang bersih (termasuk peralatan memasak) dan sikap pekerja kantin yang tidak mementingkan kesihatan.
Kes-kes keracunan yang melibatkan pelajar di asrama sekolah berlaku paling banyak di Johor (13 kes), Sabah (10 kes), Sarawak (8 kes), Melaka dan Perak (masing-masing 7 kes), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 6 kes), Kedah (5 kes) dan Terengganu (4 kes).
Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing satu kes.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Pemakanan sihat elak obesiti
BAGI mengurangkan masalan obesiti di kalangan pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia akan memulakan usaha mengambil data berat badan unggul setiap pelajar sebanyak dua kali setahun berbanding sekali sebelumnya.
Tujuan utama data ini diambil sebanyak dua kali ialah untuk melihat sejauh manakah program budaya pemakanan sihat dapat memberikan kesan.
Bagi memberikan kesedaran dalam kalangan pelajar, seluruh kantin sekolah akan dipamerkan poster yang mengandungi tahap kalori sesuatu jenis makanan yang bakal diambil manakala para pengendalinya dilarang menjual makanan dan minuman yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (makanan luput tarikh dan semua jenis makanan yang berupa permainan atau dijual bersama permainan seperti cincin, gambar, belon dan lain-lain), gula-gula dan coklat, makanan yang dijeruk, makanan ringan dan minuman beralkohol.
Jenis-jenis makanan yang tidak digalakkan dijual pula ialah mi segera, konfeksi ais dan ais krim, teh dan kopi, minuman berperisa kabornat, makanan berkrim atau bersalut gula dan makanan yang diproses (burger, nugget dan sosej).
Buku panduan tersebut turut menggariskan tanggungjawab pengendali kantin sekolah, Jawatankuasa Kantin Sekolah, pengetua atau guru besar dan proses perolehan penyewaan serta pengurusan kantin.
Usaha menerbitkan buku panduan ini adalah menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam aspek ukuran tahap kebersihan, prosedur pengendalian kantin bagi mengelakkan sebarang masalah keracunan dan membantu mengatasi masalah obesiti dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia terdapat peningkatan yang ketara masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang berumur enam hingga 12 tahun iaitu dari 9.7 peratus (2001) kepada 13.7 peratus (2007).
Meskipun peningkatan tersebut tidak membimbangkan, jika pembudayaan kaedah pemakanan sihat dan mengubah jenis-jenis pemakanan tidak dilaksanakan, tahap obesiti masyarakat Malaysia dijangka akan meningkat dengan cepat.
Faktor yang mendorong kepada peningkatan tahap obesiti ialah disebabkan kegemaran ibu bapa membawa anak-anak mereka keluar makan pada waktu malam dan kanak-kanak gemar mengambil jenis-jenis makanan ringan.
Faktor cara makan juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti bila mana makanan tersebut tidak dikunyah dengan sempurna sebelum ditelan oleh seseorang.
Masyarakat juga dilihat semakin kurang melakukan aktiviti fizikal dan lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan menonton televisyen, gajet elektronik dan permainan video, melayari Internet serta tidur selepas kekenyangan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU AGAMA : Syukur kepada Allah, terima kasih sesama manusia
ALLAH melimpahkan rahmah dan nikmah yang banyak kepada manusia. Kepada-Nya manusia dididik bersyukur. Allah maha pengasih dan maha penyayang. Kasih Allah kepada semua makhluk yang dicipta-Nya. Orang yang tidak beriman juga diberikan rezeki.
Limpahan rahmah dan nikmah yang Allah berikan kepada manusia dalam pelbagai bentuk. Ada yang sifatnya ketenangan jiwa dan kebahagiaan diri. Ada yang bentuknya sumber-sumber rezeki yang terdapat di atas dan di perut bumi.
Orang yang jiwanya sentiasa bersyukur, lafaznya menyebut nama Allah. Rezeki yang diterima dimanfaatkan kepada yang lain. Ia memiliki jiwa sakinah yang tinggi dan merasakan rezeki itu dicari yang pada hakikatnya adalah milik Allah.
Orang yang bersyukur kepada Allah akan ditambah rezekinya dan ketenangan dirinya sebagai tanda barakah yang melimpah. Doa dipanjatkan memohon taufik dan petunjuk diikuti amal soleh. Orang seperti ini memiliki jiwa muttaqeen yang tinggi.
Sumber rahmah dan nikmah itu sebahagiannya diuruskan oleh manusia. Namanya individu, keluarga, masyarakat, kepimpinan negara dan rakyat, ilmuwan dan ulama, perancang dan pentadbir negara semuanya bergerak ke arah menjadikan pengurusan sumber suatu taklif atau amanah.
Kekuatan ihsan dan insan yang ada pada manusia menyebabkan rasa syukur sentiasa subur dalam lafaz dan tasdiq (membenarkan) sentiasa terjadi. Orang yang bersyukur menghubungkan apa yang diterima sebagai hak dan milik Allah. Lalu kepada Allah dikembalikan supaya ada pengiktirafan bahawa semuanya itu adalah anugerah Allah.
Sebahagian rahmah dan nikmat dari Allah itu diuruskan oleh manusia. Seorang bapa dan ibu bekerja mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan mendidik mereka.
Rasa syukur kepada Allah tetap dilafazkan dan rasa terima kasih kepada ayah dan ibu tetap diucapkan. Ia membayangkan nilai budi yang tinggi terhadap Allah dan manusia. Ia adalah penting membentuk sifat adab kepada Allah dan kepada manusia.
Jangan ada anak-anak yang berkata, "Memang dah tanggungjawab kamu mendidik kami. Memang dah tanggungjawab kamu membesarkan kami. Dan memang tanggungjawab kamu membelanjai kami. Kami bukan minta dilahirkan." Kata-kata ini membayangkan adab anak yang rendah.
Terima kasih harus diberi kepada ibu bapa dalam bentuk kasih sayang dan pesan nasihatnya yang baik harus diikuti. Ada anak yang selalu menempelak ibu bapa bahawa mereka lebih cerdik daripada ibu bapanya. Benar, dari segi pelajaran dan kelulusan terdapat anak-anak yang lebih tinggi kelulusannya. Kelulusan tidak sama dengan pengalaman. Ibu bapa sudah menempuh pengalaman yang banyak dalam hidup. Anak-anak masih mentah dalam pengalaman dan pengamatan. Lalu keputusan yang diambilnya selalunya tidak cukup kukuh untuk memahami keadaan.
Beradab dengan ibu bapa adalah suatu tuntutan. Tidak ada ibu bapa yang ingin menjadikan anak-anaknya rosak. Usahanya mencari rezeki untuk kepentingan anak-anak dan membesarkan anak-anak dengan susah payah harus dilihat dengan rasa terima kasih.
Sekiranya rasa terima kasih ini pupus daripada anak-anak tunggulah masanya apabila anak-anak menjadi ibu bapa nanti, anak-anaknya pula bakal melakukan kebiadapan dan langsung tidak ada rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada ibu bapa.
Seorang guru mendidik anak muridnya menjadi pandai dan berpengetahuan. Ilmu yang datangnya dari Allah itu patut disyukuri dan usaha guru menyampaikan ilmu dan membentuk peribadi murid harus diikuti dengan lafaz terima kasih. Seorang guru yang berjaya mendidik anak muridnya tidak mengharapkan balasan yang berbentuk kebendaan. Jangan ada murid-murid yang berkata begini, "Dia jadi guru kerana digaji oleh kerajaan. Memang dah kerja dia mengajar dan mendidik." Kata-kata begini membayangkan akal budi yang rendah. Siapalah kita kalau tidak ada guru yang mendidik kita menjadi manusia.
Hal yang sama berlaku terhadap kerajaan yang memerintah. Soal bersetuju atau tidak dengan kerajaan adalah sesuatu yang lazim dalam proses demokrasi. Tetapi sebagai seorang warga Islam rasa terima kasih perlu ada. Yang baik dikatakan baik dan yang tidak dikatakan dengan tidak, secara adab dan berhemah terutamanya di kalangan generasi muda. Jangan biarkan emosi dan sentimen mengambil tempat.
Kerajaan yang memerintah sentiasa memikirkan kebaikan untuk warganya. Kelemahan pemerintah tetap ada kerana pemerintahan itu dikendalikan oleh manusia yang bersifat lupa (nasiyya) dan lalai (ghaflah).
Pemerintah kena memikirkan bagaimana ekonomi menjadi lebih stabil, peluang pekerjaan kepada rakyat tersedia, peluang pendidikan dalam negara dan keluar negara diberikan dengan adil, kemudahan prasarana terbina dengan baik, program pembiayaan dalam berbagai bentuk diwujudkan, pendekatan mensejahterakan rakyat dilakukan. Dan ia tidak datang bergolek. Ia perlu dirancang dengan bijaksana dan berhemah.
Memang benar ada kelemahan di sana dan di sini. Rasuah masih ada dan ketirisan dalam pelaksanaan dasar tetap terjadi. Yang pentingnya ada tidak usaha pencegahan dibuat dan pembaikan strategi memperkemas pelaksanaan dasar berlaku. Jawapannya ada.
Anak-anak muda yang diberi peluang belajar dalam negara dengan bantuan PTPTN adalah bernasib baik. Program ini tidak dibuat oleh mana-mana negara Islam lain. Kadang-kala berlaku kelemahan yang sifatnya teknikal dalam mengendalikan PTPTN dan ia perlu diperbaiki. Bayangkan berapa ramai yang lupa membayar kembali hutang-hutang PTPTN walaupun sudah bekerja dan bergaji besar.
Apakah ia membayangkan rasa terima kasih terhadap kerajaan supaya menjelaskan hutang dapat membantu pelajar-pelajar lain pula. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan perjalanan sistem bernegara menjadi terjejas. Sekiranya ini menjadi tabiat generasi muda bayangkan apa akan terjadi jika generasi muda bakal mengambil kepimpinan negara nanti. Begitu juga peluang pelajar cemerlang untuk belajar di luar negara diberikan kepada generasi muda khususnya anak orang Melayu. Pemilihan mereka tidak dibuat atas pertimbangan parti. Anak orang pembangkang juga dipilih dengan syarat ada merit dan kebolehan. Ia adalah suatu dasar yang adil.
Berapa ramai di kalangan pelajar-pelajar ini yang ada rasa syukur dan berterima kasih dengan pihak yang membantunya. Kedapatan perangai tangan menghulur, jari digigit. Maka berkatalah sebahagian daripada mereka, "Itu memang sudah tanggungjawab kerajaan!". Bayangkan kerajaan yang memerintah tidak ada upaya kewangan yang tinggi, bolehkah program menghantar pelajar itu berlaku. Tentunya kerajaan yang bertanggungjawab dan punya sumber kewangan mampu melakukan sesuatu.
Bangsa yang tidak berterima kasih adalah bangsa yang lupa diri. Bangsa yang lupa diri bakal menghadapi generasi hari depan yang bakal melupakan peranannya. Balasan itu tetap datang. Tradisi Islam mengajarkan kita supaya menjadi mata rantai perubahan yang beradab dan beretika.
Kepayahan yang dilalui oleh orang terdahulu menyebabkan nikmat kesenangan sampai kepada kita pada hari ini. Jadilah insan yang sentiasa mengenang budi baik orang supaya kita pula bakal dikenang oleh orang lain.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Pendidikan di sebalik tirai besi
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
TIDAK ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya.
Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara.
Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008.
Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.
Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu.
Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010.
Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka.
Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.
Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara.
Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus.
Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan.
Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.
Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga.
Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru.
Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu.
Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara formal tidak harus diabaikan.
Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad
ISU BAHASA ; Kitab Tib rahsia kearifan Melayu
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Pelbagai ilmu perubatan Melayu berserta ramuan dan kaedah pengubatan dirincikan
BANGSA Melayu sejak dulu sudah memiliki pengetahuan dalam ilmu perubatan dan secara umum sebahagian besar maklumat dalam bidang ini ditulis dalam tulisan jawi dengan manuskrip yang dikenali sebagai Kitab Tib, iaitu pinjaman daripada bahasa Arab bermaksud ilmu mengenai ubat-ubatan.
Hampir kesemua kandungan Kitab Tib merujuk kepada perubatan, tabib, penyakit dan ubat, tetapi dalam kebanyakan teks, Kitab Tib juga mengandungi pelbagai ilmu termasuk ilmu perubatan, ilmu ramalan rejang, manakala pecahan kecil dalam kitab ini ialah ilmu kesihatan diri, analisis mimpi, ilmu falak dan hubungannya dengan mengenal serta mengubati penyakit.
Tidak ketinggalan, perkara berhubung pengubatan masalah tenaga syahwat, ilmu berahi dan pemulihan serta menguatkan tenaga batin turut didokumentasikan dalam Kitab Tib.
Perkara ini yang dibangkitkan Mantan Mualim Tamu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dr Harun Mat Piah, ketika membincangkan Kitab Tib Sebagai Wadah Ilmu dan Kearifan Orang Melayu pada Siri Wacana Manuskrip Melayu di PNM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Jika puisi Melayu tradisi seperti pantun adalah petanda kearifan orang Melayu dalam ilmu geografi, Kitab Tib pula adalah himpunan kebijaksanaan orang Melayu dalam ilmu perubatan dan penjagaan diri,” katanya yang turut mendedahkan 80 manuskrip yang tergolong dalam kategori Kitab Tib tersimpan di seluruh dunia termasuk 40 daripadanya di PNM.
Bakinya menjadi hak milik individu, organisasi dan kerajaan negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei hinggalah negara barat seperti Belanda, Britain selain Perancis, manakala antara Kitab Tib yang terkenal ialah Tajul Muluk dan Kitab Tib Pontianak.
“Kearifan orang Melayu dalam dunia perubatan sangat jelas jika kita mengkaji Kitab Tib. Seolah-olah setiap bomoh atau pawang itu lepasan sekolah perubatan. Ilmu pengubatan untuk sesuatu penyakit hampir sama dengan ubat-ubatannya, sukatan dan cara menghasilkan ubat juga dibuat dengan ukuran standard,” jelasnya.
Kehadiran Kitab Tib yang menjadi warisan berharga bangsa Melayu hari ini jelas menunjukkan wujudnya pelbagai bidang ilmu yang dipelajari masyarakat dengan sebahagian besarnya dirakam dalam naskhah lama dengan kebanyakan jenis ilmu terbabit mempunyai konsep dan kaedah penyampaiannya tersusun.
Meskipun Kitab Tib kurang seninya daripada segi bahasa atau penampilannya berbanding manuskrip sastera atau sejarah, tetapi isi kandungannya relevan, malahan kandungannya yang kekal menjadi petua berkesan sehingga terus diamalkan generasi hari ini.
Buktinya, pantang larang tidak boleh makan daging untuk mereka yang buasir, jangan makan telur bagi mereka yang sakit mata dan madu asli sebagai penawar mujarab untuk masalah batuk, masih menjadi amalan sebahagian besar bangsa Melayu hari ini.
“Yang menjadi masalah ialah bahasa yang digunakan dalam Kitab Tib. Kebanyakan bahasanya Melayu lama dan ditulis berdasarkan zamannya. Justeru bahasanya sedikit sukar difahami orang kebanyakan, manakala ada beberapa ramuan ubat yang mungkin sukar dicari. Justeru, pada logiknya perubatan moden lebih sesuai dan menjimatkan masa,” ujarnya.
Dr Harun turut berkongsi dengan khalayak wacana bahawa tidak semua Kitab Tib ditulis dalam bentuk catatan perubatan kerana ada sesetengah kandungan Kitab Tib ditulis dalam bentuk syair dan hikayat, misalnya Syair Laksana Kita, Syair Bahr An-Nisa dan Hikayat Nurul Lisan.
“Satu lagi pecahan kecil dalam Kitab Tib ialah ilmu jimak, iaitu perkara yang berkaitan dengan hubungan intim suami isteri. Ilmu ini disebut juga sebagai ilmu berahi atau ilmu syahwat. Ia bukan pendidikan seks ala barat, tetapi pendidikan berhemah dalam masa sama memberi didikan kepada amalan penjagaan kesihatan diri. Misalnya dalam Kitab Kanz al-Ikhtisas disebut tentang jika jimak terlalu banyak dilakukan, ia memberi mudarat daripada manafaat,” katanya.
Dalam Kitab Hayawat al-Haiwan pula ilmu berahi ditampilkan sebagai, ‘empat perkara yang mendaifkan badan dan menyegerakan tua, pertama banyak jimak, kedua banyak citaan hati (terlalu bercita-cita tinggi tidak sepadan usia), ketiga banyak minum air pagi-pagi serta keempat banyak makan yang masam.
Kitab Syaikh Razak al-Maki pula menyebut, ‘tiga perkara yang menyegerakan rukuh badan dan mendaifkan dia, pertama menjimak perempuan yang sangat tua, kedua tidur pada ketika sangat kenyang, ketiga memasukkan di dalam jimak tatkala kenyang perut’.
Begitupun, apa yang paling menarik dalam Kitab Tib bagi Dr Harun ialah kaedah pembicaraan kitab itu dengan setiap jenis penyakit, rawatan, ubat-ubatan, penggunaan bahan, sistem sukatan dan timbang ramuan ubat, proses pembuatan ubat dan pantang larangnya hampir sama dalam kebanyakan kitab.
“Selain itu dalam ilmu perubatan Melayu, unsur pantang larang iaitu kalau berubat mesti ada pantangnya dan kalau langgar pantang akan bentan. Justeru ada konsep makanan berangin atau sejuk dalam ilmu perubatan Melayu. Namun, apa yang menarik kearifan orang Melayu sangat menyerlah kerana kalau sudah bentan, ilmu perubatan Melayu ada pula ilmu untuk menangani bentan,” katanya.
Sungguhpun demikian, Dr Harun tidak menafikan kearifan orang Melayu bukan saja dirakam dalam Kitab Tib, tetapi juga karya sasteranya dan ratusan jenis ilmu, dalam semua bidang mahupun peringkat, selain wujud serta subur berkembang dalam semua zaman.
“Bagaimanapun, meskipun secara keseluruhan direkodkan ada 22,000 naskhah manuskrip Melayu di seluruh dunia, namun hanya separuh daripadanya berada di Malaysia, manakala sebahagian lagi berada dalam simpanan negara asing,” katanya.
Sumber : http ; //www.bharian.com.my/