Isnin, 13 Februari 2012
ISU EKONOMI : Harga kereta di Malaysia ke-2 termahal
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Harga kereta di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara-negara ASEAN lain kecuali Singapura.
Bagaimanapun sekiranya mengambil kira kos-kos pemilikan yang lain, harganya adalah kompetitif di peringkat rantau ini, demikian menurut kajian terbaharu Institut Automotif Malaysia (MAI) di sini.
''Meskipun harga kereta di negara ini lebih tinggi berbanding negara-negara ASEAN yang lain, tetapi ia masih rendah berbanding harga yang ditawarkan di negara maju, Singapura,'' kata MAI
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Madani Sahari, harga Honda City dan Toyota Vios bagi segmen 1500 cc di Thailand adalah termurah di kalangan negara ASEAN iaitu 40 peratus lebih rendah berbanding harga jualan di Malaysia.
Secara kasarnya, perbezaan harga jualan Honda City model 1.5S i-Vtec di Thailand adalah kira-kira RM34,192 lebih murah berbanding harga yang ditawarkan di Malaysia.
Beliau berkata, kereta Honda City dan Toyota Vios juga dijual rendah di Filipina, Indonesia dan Vietnam berbanding Malaysia iaitu masing 32 peratus, dua peratus dan 1.8 peratus.
''Tidak dinafikan bahawa jika diteliti harga jualan kenderaan bagi model-model popular adalah lebih tinggi di negara ini, tetapi ia berbeza jika dibandingkan dengan Singapura,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagi segmen 1800 cc, harga Honda Civic di Filipina adalah 43 peratus lebih murah berbanding di Malaysia manakala Thailand dan Vietnam, masing-masing lebih rendah sebanyak 35 peratus dan lima peratus berbanding harga yang ditawarkan di Malaysia.
Bagaimanapun, harga Honda Civic yang dijual di Indonesia tiga peratus lebih tinggi berbanding harga jualan di negara ini.
Harga Toyota Altis di Thailand terus kekal sebagai termurah di ASEAN dengan 44 peratus lebih rendah dari Malaysia, manakala Filipina (38 peratus), Indonesia (29 peratus) dan Vietnam sebanyak tujuh peratus lebih rendah berbanding harga jualan di Malaysia.
Bagi segmen 2,000 cc dan ke atas, harga Toyota Camry yang dijual di Filipina dan Thailand adalah termurah di ASEAN dengan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus lebih murah berbanding harga jualan di negara ini.
Bagaimanapun harga jualan bagi model itu di Indonesia dan Vietnam adalah 11 peratus dan lima peratus lebih tinggi berbanding harga jualan di sini.
Madani menambah, setiap model yang dinyatakan adalah lebih mahal di Singapura.
Katanya, jika dibanding dengan Malaysia, harga jualan model kenderaan Toyota dan Honda di Singapura lebih tinggi secara purata 137 peratus lebih tinggi berbanding di Malaysia.
''Bagi perspektif di luar negara, secara realitinya seseorang individu ingin membeli kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
''Pengangkutan awam merupakan pilihan tetapi memiliki kenderaan sendiri adalah lebih selesa,'' ujarnya.
Walaupun begitu, MAI telah melakukan analisis mendalam bagi menilai kos penyelenggaraan kenderaan berbanding kos kenderaan baharu.
Kos-kos tersebut meliputi yuran pendaftaran, bayaran premium insurans, cukai jalan dan bahan bakar.
Setiap kos tersebut dipanggil sebagai Kos Pemilikan Kenderaan (CVO).
Madani berkata, kajian MAI mendapati bahawa Malaysia menawarkan cukai jalan dan yuran pendaftaran kenderaan terendah berbanding negara-negara ASEAN termasuk Filipina, Thailand dan Vietnam.
Malah, katanya, sekali lagi Singapura dan Indonesia menunjukkan cukai jalan tahunan dan yuran pendaftaran kenderaan paling tinggi iaitu lebih tinggi 577 peratus dan 442 peratus berbanding Malaysia.
Kata Madani, bayaran perlindungan insurans kenderaan tahunan di Malaysia, Filipina dan Vietnam adalah terendah berbanding negara-negara ASEAN lain.
''Thailand , Singapura dan Indonesia masing-masing lebih tinggi sebanyak 210 peratus, 175 peratus dan 126 peratus berbanding di Malaysia,'' ujarnya.
Selain itu, Madani menambah, Malaysia mempunyai harga minyak paling rendah di kalangan negara-negara ASEAN manakala Thailand merupakan negara tertinggi harga minyak di ASEAN diikuti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU AGAMA : Sambutan Hari Valentine haram, perlu dijauhi
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
Suara memperlekeh hukum, anggap hak peribadi sengaja menggalakkan kemungkaran
ESOK seluruh dunia sekali lagi dilanda fenomena berkasih sayang. Sana sini kedai bunga pasti sibuk menyediakan jambangan bunga sebagai hadiah paling istimewa sebagai menyambut ‘Hari Valentine’ atau hari kasih sayang. Sudah pasti, sejak lewat malam ini, kebanyakan kelab malam dan hotel bersedia dengan pesta kasih sayang dengan pelbagai konsep tersendiri.
Lewat malam ini juga, pasti kelihatan gelagat anak muda berpasangan berpelukan dengan penuh keasyikan, kononnya diulit rasa romantik sebagai tanda kasih sayang yang terbina selama ini ditambah erat pada hari penuh istimewa bagi mereka itu. Lena diulit intan, ramai pasangan bercinta menghabiskan sisa malam Valentine di ranjang, tanda kasih sayang termeterai walaupun tanpa ikatan pernikahan.
Bagi yang menganggap sambutan di kelab malam sehingga ke ranjang sesuatu yang keterlaluan, mereka mungkin sekadar memilih sambutan sederhana seperti makan malam ditemani lilin atau sekadar membeli hadiah sebagai tanda mereka mengingati hari yang kononnya begitu istimewa itu.
Jika tiada hadiah dibeli, khuatir nanti pasangan mencebik dan merajuk dengan tuduhan pasangannya tidak romantik dan lupa kepada hari istimewa itu. Mulalah pasangan lain dijadikan contoh betapa mereka sayang pasangan mereka dengan sekurang-kurangnya memberikan bunga dan mengucapkan: “Happy Valentine Day, sayang...”
Persoalannya, begitu pentingkah sambutan Valentine Day atau Hari Valentine ini dalam hidup kita dan sesuaikah umat Islam turut meraikannya, sedangkan sering kali setiap tahun orang agama menasihat dan memperingatkan bahawa sambutan hari kasih sayang itu tidak ada dalam Islam, malah sudah ada yang mengatakannya haram.
Hakikatnya, kita sering lupa konsep sambutan hari kasih sayang itu kebanyakannya bercanggah dengan ajaran Islam. Halalkah ciuman bagi bukan muhrim pada hari itu? Adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpin tangan, menari di kelab malam, berpelukan dan meneguk ‘air syaitan’ semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya.
Larangan sudah jelas. Namun, pada kala ia ditegaskan betapa sambutan ini tidak dibenarkan dalam Islam, ada pula suara daripada bukan Islam yang memperlekehkan larangan ini dengan alasan sambutan sebegini adalah hak peribadi, tidak boleh diganggu dan terpulang pada individu itu sendiri. Kononnya, ini negara demokrasi.
“Haiwan itu ciptaan Allah dan haiwan juga hidup dalam peraturannya sendiri. Jelas dikatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi jika kita tidak mematuhi hukum Islam dan sewenang-wenangnya melanggar larangannya, manusia itu layak dianggap lebih hina daripada haiwan.
“Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini.
“Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan.”
Itu kenyataan tegas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abd Shukor Hussin, yang jelas menolak konsep sambutan Hari Valentine terutama oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya. Bagi beliau, sambutan sebegitu lebih kepada menggalakkan perlakuan maksiat, sekali gus menjadikan sambutannya sebagai haram meskipun secara kecil-kecilan.
Malah, katanya, sambutan Valentine lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam, selain menggalakkan maksiat. Secara terang-terangan ia diharamkan dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang, terutama remaja yang gemar melakukan perkara dilarang termasuk maksiat.
“Kasih sayang penting dalam Islam dan menunjukkan kasih sayang tidak semestinya perlu ada hari khusus. Kita perlu saling mengasihi sesama kita. Islam mengajak umatnya mengasihi haiwan, apa lagi sesama manusia. Sayangi ibu bapa dan manusia lain, tetapi tidak perlu hari khusus.
“Sejarah Valentine tidak langsung menunjukkan membantu umat Islam meningkatkan amalan dan imannya. Malah, sejarah sambutan itu lebih banyak membawa kepada kerosakan akhlak. Oleh kerana itulah, Islam melarang dan jelas ia haram. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat subjektif.
“Ada orang yang beranggapan menari dan minum sedikit itu sambutan kecil dan biasa. Ada yang anggap pegang dan peluk itu biasa. Soalnya, apa saja yang mereka buat itu bercanggah daripada hukum Islam dan sewajarnya dicegah. Agama lain tidak wajar masuk campur dalam urusan agama kita, sama seperti apa yang kita praktikkan,” katanya.
Beliau ternyata kurang senang apabila ada orang bukan Islam secara terang-terangan menyalahkan umat Islam yang melarang sambutan Hari Valentine dengan alasan ia adalah hak individu. Baginya, campur tangan sebegitu tidak wajar berlaku kerana setiap agama ada hukumnya sendiri dan perlu dipatuhi penganutnya.
“Untuk kamu agama kamu dan untuk kami agama kami.” Jelas dinyatakan dalam ayat akhir surah Al-Kafirun yang menunjukkan betapa Islam tegas dalam hal ini. Jaga agama kamu sendiri dan jangan sibuk dengan urusan hukum agama lain. Begitu juga kami (orang Islam) tidak sibuk dengan urusan agama kamu.
“Dalam Islam, sambutan Valentine haram dan perlu dijauhkan. Siapa yang mungkar dan tetap menyambutnya walaupun secara kecil tetap menempah dosa kerana ia jelas bercanggah dengan Islam. Jadi, itu hukum dalam agama Islam dan tidak wajar agama lain masuk campur dalam hal ini,” katanya lagi.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SOSIAL : Hari Kekasih yang mengundang dosa
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
pengarang@utusan.com.my
ENTAH di mana silapnya, masih ada remaja Islam yang menunggu-nunggu kedatangan 14 Februari setiap tahun untuk meraikan Hari Kekasih atau Valentine's Day.
Walhal sudah terang lagi bersuluh bahawa perayaan sedemikian haram disambut oleh umat Islam.
Majoriti tokoh agama menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah dan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Malangnya, tahap iman yang nipis di kalangan remaja Islam menyebabkan mereka terpedaya dan termakan hasutan syaitan sehinggakan amat gembira menyambut Hari Kekasih.
Dalam bab meniru perbuatan kaum terutama yang bukan Islam, ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka". (riwayat Abu Daud)
Ringkas cerita, golongan begini masih tidak yakin akan janji Allah tentang seksaan api neraka bagi golongan yang membantah dan mengingkari perintah Allah.
Islam memang menggalakkan umatnya berkasih sayang. Namun, Islam menyediakan garis panduan dalam berbuat demikian.
Yang jelas, sambutan Hari Kekasih tidak termasuk dalam senarai tersebut. Dengan yang demikian, orang mukmin akan berusaha agar tidak terperangkap atau terpedaya dengan sebarang tipu muslihat ke arah itu.
Kasih sayang yang diajar oleh Islam itu sifatnya suci. Ia membawa umatnya kepada lebih mendekatkan diri kepada Allah. Bukannya mendorong kepada perbuatan maksiat atas nama cinta.
Kalau diperincikan, sambutan Hari Kekasih mendorong kepada hal yang berikut iaitu memandang wanita yang tidak halal baginya. Apabila memandang timbul keinginan syahwat untuk menyentuh wanita yang bukan mahram, berkhalwat dan berpacaran (couple).
Adegan-adegan ini kemudiannya 'dihangatkan' lagi oleh syaitan sehingga berakhir dengan perbuatan zina. Kononnya sebagai membuktikan rasa kasih sayang antara pasangan tersebut.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan. (riwayat Muslim)
Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara lelaki dan perempuan tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir.
Sebaliknya, ia perlu diikat dengan ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.
Lelaki yang bergelar suami apabila kasihkan isteri dan anak-anaknya sanggup melakukan pelbagai cara untuk menyelamatkan mereka daripada kesulitan dan kepayahan hidup.
Inilah perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka. (at-Tahrim: 6)
Malangnya, tidak ramai suami dan juga bapa yang mampu melakukan hal yang serupa untuk menyelamatkan ahli keluarganya daripada azab api neraka yang pasti menimpa golongan yang mengingkari perintah Allah.
Mereka gagal melihat kaitan antara perbuatan di dunia dengan balasan di akhirat. Ini antara lain akibat tidak yakin dengan azab neraka Allah.
Ibu bapa yang reda membenarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan berdua-duaan menyambut Hari Kekasih secara tidak langsung tidak sayang kepada anak-anak.
Bagi anak-anak yang barangkali 'rimas' dengan leteran ibu bapa kerana menghalang mereka menyambut Hari Kekasih, ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara sedangkan kehidupan di akhirat itu adalah abadi.
Apa yang kita lakukan semasa hayat ini adalah pelaburan yang akan kita nikmati dividennya di akhirat. Justeru, jangan disia-siakan umur yang Allah kurniakan kepada kita.
Jangan kerana keseronokan selama satu dua jam bersama pasangan kekasih menyebabkan kita diseksa dan diazab selama beratus-ratus tahun lamanya dalam neraka Allah kelak.
Lebih teruk lagi, jika membawa kepada zina, bayangkan nasib malang yang bakal menimpa diri dan anak tersebut.
Sudahlah 'ibu bapa' anak zina itu tidak sah nasabnya - bermakna status anak itu dengan 'ibu bapa' tadi adalah seperti orang biasa. Mereka bukan mahram, 'bapanya' tidak boleh mewalikan anak perempuannya, tidak boleh mewarisi harta dan akan menghadapi tekanan emosi yang amat hebat untuk berdepan dengan masyarakat kelak.
Untuk itu, marilah kita bersama-sama berusaha membanteras budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ia supaya umat Islam dan generasi muda kita khususnya tidak membesar dengan amalan-amalan yang sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam.
Sebagai ibu bapa, inilah antara masa dan peluang bagi kita menyelamatkan anak-anak daripada terus dihanyutkan oleh kehidupan yang melalaikan.
Ingatlah, hanya anak-anak yang soleh akan mendoakan kita selepas kematian kita kelak.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/