Selasa, 21 Februari 2012

ISU UMUM : 20 Tahun 'Pergi', Sudirman Masih Tiada Pengganti


Oleh NIEZAM ABDULLAH

PETALING JAYA: Hari ini (Rabu) bersamaan 22 Februari 2012, genaplah 20 tahun pemergian Sudirman Hj Arshad, penghibur nombor satu Asia. Beliau pergi meninggalkan kita ketika berusia 37 tahun.

Biarpun jasadnya sudah tiada, namanya tetap terpahat di sanubari terutama sekali kepada mereka yang pernah membesar ketika zaman kegemilangan beliau.

Berita kematian Allahyarham diumumkan ke seluruh negara oleh Radio Malaysia Rangkaian Nasional, pada satu pagi, waktu subuh.

Ia amat mengejutkan seluruh peminat tanah air. Ada yang menitiskan air mata kerana tidak percaya akan berita yang didengar itu.

Dan ternyata, pemergian Allahyarham sehingga kini masih tiada penggantinya. Tiada insan yang mampu menandingi kehebatan Allahyarham.

Beliau bukan sahaja penghibur tetapi boleh diumpamakan sepohon rendang yang lebat buahnya.

Pohon itu menjadi tempat bertaut dan tempat untuk menumpang teduh kerana sifat Allahyarham yang gemar menolong. Malah kebaikan beliau sering digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengambil kesempatan.

Penulis lirik dan juga penerbit filem Habsah Hassan antara individu yang amat akrab dengan Allahyarham.

Lirik-lirik lagu yang dihasilkan oleh Habsah biasanya mempunyai makna tersirat menggambar hati naluri Allahyarham.

Habsah dalam diri Sudirman bagaikan kakaknya sendiri. Segala masalah di kongsi termasuklah kisah-kisah peribadi.

“Dia antara artis yang benar-benar rapat dengan saya. Dia tidak pernah menyembunyikan kisah peribadinya selain selalu meminta nasihat saya jika berhadapan dengan apa juga masalah.

Sudirman mengadakan sidang media selepas menjadi penghibur nombor satu Asia pada tahun 1989.

“Saya benar-benar sayangkan dia kerana dia adalah anugerah Tuhan yang amat luar biasa sekali,” ujar Habsah kepada mStar Online dalam satu temu bual sebelum ini.

Allahyarham adalah manusia yang amat istimewa dan antara artis contoh yang bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya tetapi dalam pelajaran.

Beliau dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang dan membesar dalam keluarga yang aktif berpolitik menerusi Umno.

Ibunya Romlah Dahalan merupakan wakil rakyat wanita pertama di kawasan Temerloh. Beliau meninggal dunia ketika Sudirman berusia lima tahun.

Kematian ibunya itu menyebabkan bapanya Arshad Hassan berkahwin lain sebelum meninggal dunia pada tahun 1978.

Anak bongsu daripada enam beradik ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang di Universiti Malaya pada tahun 1976 sehinggalah berjaya mendapat ijazah dalam bidang berkenaan pada tahun 1980.

Beliau menjalani latihan amalan guaman pada tahun 1984 dan layak menjadi peguam bertauliah. Namun minatnya dalam bidang seni menyebabkan Allahyarham meninggalkan kerjayanya itu.

Sejarah dalam bidang seni Allahyarham terbuka luas apabila beliau berjaya menyandang Johan Bintang RTM yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976.

EP pertamanya dihasilkan pada tahun 1977 berjudul Teriring Dosa dan Suratku Yang Ini terbitan Warnada Records. Ia diterbitkan ketika beliau masih lagi menjadi penuntut di Universiti Malaya.

Kerjayanya seninya terus berkembang apabila EMI menawarkannya kontrak sebagai artis rakaman pada tahun 1978.

Beliau bukan sahaja mempunyai lagu-lagu yang menyentuh jiwa sebaliknya Allahyarham turut berkeupayaan menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita dan Warisan.

Paling membanggakan pada tahun 1986 Allahyarham dilantik sebagai Duta Nyanyian Pelancongan apabila berjaya mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat yang dijadikan tema Tahun Melawat Malaysia pada 1986.

Gegarkan Chow Kit

Kehebatannya tidak terhenti apabila mampu menjadi artis pertama negara dalam sejarahnya yang berjaya menarik lebih 100 ribu warga kota untuk menyaksikan konsertnya di Chow Kit, Kuala Lumpur secara percuma.

Penghasilan konsert itu adalah sebahagian daripada keluhuran budi Sudirman yang sanggup melayan peminatnya tanpa mengira pangkat atau darjat.

Chow Kit adalah simbol untuk mereka yang kurang berkemampuan dan di lokasi itulah Allahyarham memperdagangkan bakatnya untuk para peminat golongan tersebut supaya dapat mendekatinya dalam satu persembahan percuma.

Chow Kit dipenuhi kira-kira 100 ribu orang yang mahu menyaksikan persembahan Sudirman pada tahun 1986.
Kemuncak keagungan Allahyarham apabila beliau diumumkan sebagai Penghibur Asia Terbaik, Asia Popular Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengalahkan lapan peserta negara Asia termasuk Anita Sarawak yang mewakili Singapura.

One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown menjadi tuah kepadanya dalam pertandingan itu.

Sementara menerusi pertandingan Juara Lagu pada tahun 1987, Sudirman memenangi persembahan terbaik dengan lagunya Merisik Khabar apabila tampil menggunakan pemetik api sebagai simbolik dalam persembahan itu.

Runtuhnya Istana Cinta


Seperti insan lain, Sudirman juga mahu memiliki keluarga dan memilih tarikh 14 Februari 1981 untuk mendirikan rumah tangga dengan Kamariah Jamaluddin tetapi sayangnya, mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa memiliki anak.

Penceraian itu disaksikan oleh rakan Sudirman sendiri iaitu penyanyi Norkumalasari yang menyifatkan suasana sayu menyelubungi perpisahan itu apabila pasangan tersebut tidak dapat membendung tangisan air mata tatkala cerai dilafazkan.

Dua perkara yang benar-benar menyentuh hati Sudirman dalam hidupnya iaitu kematian ibu tersayang dan kegagalan perkahwinan yang dibina.

Bukan Kerana HIV

Kematian Sudirman dikaitkan dengan pelbagai spekulasi sehinggalah ada pihak yang membuat tuduhan kononnya beliau dijangkiti HIV.

Allahyarham sebenarnya meninggal dunia akibat penyakit paru-paru yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna selain turut dikaitkan dengan penyakit misteri.

Malah Habsah Hassan dan juga wartawan veteran Utusan Malaysia, Bahyah Mahmod antara individu yang diberi peluang menatap jenazah Allahyarham pada hari kematiannya.

Imej Jalur Gemilang begitu sinonim dengan Sudirman ketika membuat persembahan.
Kata Habsah , tubuh Allahyarham begitu kecil seperti seorang kanak-kanak. Mungkin atas sebab itulah dia enggan gambarnya dirakamkan sewaktu sedang sakit kerana tidak mahu peminatnya meratapi ujian yang dihadapi itu.

Sudirman bagaikan sudah mendapat petanda dia sebenarnya tidak boleh hidup lama. Lagu Salam Terakhir yang ditulis oleh Manan Ngah sementara lirik oleh Habsah itu menggambarkan yang dia akan pergi buat selama-lamanya.

Kemuncak kejatuhan Allahyarham dalam kerjaya seninya bermula pada 17 Julai 1991 apabila dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Tawakal, Kuala Lumpur selama empat hari selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh.

Selepas peristiwa itu, Sudirman sukar dijejaki apabila keluarganya merahsiakan lokasi tempat beliau mendapatkan rawatan.

Selama tujuh bulan peminat tertanya-tanya ke manakah hilangnya Allahyarham, akhirnya persoalan itu terjawab apabila beliau dilaporkan meninggal dunia pada 22 Februari 1992 di rumah kakaknya, Datin Rudiah Arshad di Lucky Garden, Bangsar Park.

Dalam suasana pilu, jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.

Ribuan peminat menziarahi jenazah Allahyarham termasuklah Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Kejayaan Allahyarham dalam dunia seni sehingga berjaya mengharumkan nama negara membuatkan beliau dikurniakan pingat kebesaran Darjah Johan Mangku Negara oleh yang Dipertuan Agong pada tahun 1992 yang membawa gelaran Datuk.

Sudirman, engkau pergi meninggalkan nama bersama jasa yang akan dikenang buat selama-lamanya. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Pengamal bahasa Melayu sambut baik penguatkuasaan syarat perlesenan baru stesen radio


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Penggunaan bahasa Melayu dengan tepat sebagai syarat lesen bagi kesemua 56 stesen radio termasuk swasta mulai tahun depan mendapat reaksi positif pengamal bahasa tersebut.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan berkata, keputusan tersebut adalah wajar bagi memastikan Dasar Bahasa Kebangsaan terlaksana khususnya dalam bidang media.

"Syarat ini dilihat penting dalam memastikan kandungan program yang disiarkan media elektronik menggunakan sekurang-kurangnya 80 peratus bahasa kebangsaan berbanding 60 peratus yang ditetapkan garis panduan sebelum ini.

"Selain itu, syarat ini juga memastikan mutu bahasa yang digunakan lebih teratur, sistem nilai dan budaya lebih luhur di samping mengelakkan penggunaan bahasa kesat, kasar dan tidak santun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat sebagai syarat lesen kepada stesen radio mulai tahun depan.

Sementara itu, Ketua Media Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Borhan Md. Zain berpendapat, satu jawatankuasa penguatkuasaan yang berperanan untuk memantau penggunaan bahasa bagi siaran di media cetak dan elektronik perlu ditubuhkan.

"Daripada pemantauan Gapena, terdapat banyak kesilapan penggunaan bahasa telah dilakukan oleh beberapa stesen radio dan televisyen terutamanya dari segi terjemahan sarikata.

"Justeru, dengan adanya jawatankuasa itu nanti, badan ini boleh memantau sekali gus mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu ke arah yang lebih baik dan telus," katanya.

Tambah Borhan, sebagai negara yang menjadikan bahasa Melayu pengantara, masyarakat perlu lebih peka dengan susunan tatabahasa agar generasi muda tidak keliru dan mewarisi penggunaan bahasa yang betul.

"Di samping itu, Gapena juga mencadangkan supaya Lembaga Penapisan Filem menempatkan seorang pakar bahasa Melayu untuk memantau penggunaan bahasa dan tatabahasa dalam sesebuah filem atau drama sebelum disiarkan kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Bakar berkata, usaha yang dilakukan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu memerlukan sokongan ramai kerana peranannya penting dalam menyatupadukan rakyat dan sekali gus mampu membina sebuah negara yang merdeka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Penganggur terhormat


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


SUKAR menafikan, namun hakikatnya ramai mahasiswa terpaksa menjadi penganggur terhormat sebaik menamatkan pengajian.

Walaupun ada yang bertuah memperoleh pekerjaan, ramai terpaksa berpuas hati dengan jawatan ‘biasa’ biarpun mempunyai segulung ijazah.

Malah, institusi pengajian tinggi sudah sehabis daya membantu dengan memperkenalkan pelbagai program serta kemahiran untuk meningkatkan lagi jenama graduan di persada kerjaya, namun masih ada lagi kepincangannya.

Persoalannya, mengapa ini berlaku? Salah graduan atau salah institusi?

Dan, benarkah tanggapan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi penyumbang terbesar terhadap isu itu?

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata meletakkan kesalahan atas bahu institusi atas alasan gagal membantu graduan adalah prejudis.

Beliau berkata, jika ada pihak menganggap isu pengangguran sebagai mekanisme untuk menghentam kredibiliti institusi terutama IPTA, mereka seharusnya berfikir lebih matang dan memperbetulkan tanggapan itu.

“Cubaan pihak tertentu meletak kesalahan itu di bahu institusi tidak adil kerana pengangguran bersifat global. Ia tidak akan habis dan sentiasa membelenggu institusi di seluruh dunia.

“Institusi selalunya menjadi mangsa apabila gagal mencapai standard diberikan pihak tertentu sedangkan dalam konteks ini, mereka perlu akur bukan semua graduan akan menjadi pilihan majikan.

“Meletak kesalahan pada institusi semata-mata adalah silap dan tidak adil. Institusi tidak pernah mengambil sikap sambil lewa malah berusaha keras memastikan mereka diterima industri. Tapi mengapa masih dipersalahkan?” katanya.

Dikategori sebagai isu yang tidak pernah selesai dipertikaikan, pengangguran dijadikan alasan paling mudah dan sinonim untuk menyalahkan institusi hingga menimbulkan reaksi berbeza.

Bukan saja mencalarkan kredibiliti serta nama baik malah dengan mudah dihukum masyarakat dengan tanggapan institusi lepas tangan dan membiarkan graduan terkapai - kapai mencari pekerjaan.

Mengulasnya, beliau berkata jika tanggapan itu dilemparkan tiga dekad lalu, masih boleh diterima namun keadaan kini jauh berubah dengan institusi juga sama mengembleng usaha membantu graduan.

“Sudah banyak usaha dilakukan institusi untuk memastikan graduan dilengkapi kriteria diperlukan industri. Usaha itu bukan saja merangkumi keperluan akademik yang baik malah latihan, kemahiran, pendedahan kerjaya dan sebagainya.

“Justeru, apabila masih ada pihak berterusan menyalahkan institusi, tindakan itu sangat tidak munasabah.

“Bukanlah bermakna institusi sempurna, namun melihat apa dilakukan, rasanya tidak adil meletakkan kesalahan pada satu pihak saja,” katanya yang juga menolak tegas graduan IPTA paling banyak menganggur.

“Itu persepsi salah kerana IPTA bukan penyebab peningkatan pengangguran malah kami antara penyumbang terbesar pasaran sumber manusia.

“Malah, ramai mendominasi pelbagai sektor profesional mahu korporat. Saya tegaskan, taraf institusi tidak memainkan peranan kejayaan graduan sebaliknya diri sendiri,” katanya.

Antara faktor dikenal pasti menjadikan graduan ‘tidak laku’ di pasaran ialah kurang kemahiran diri, komunikasi, pengalaman, keputusan akademik serta program pengkhususan terhad.

Faktor berkenaan, akuinya, banyak menyumbang kepada kegagalan graduan memasarkan diri kerana industri tidak mempunyai keyakinan teguh terhadap kemampuan mereka.

“Ini masalah paling utama kerana industri kurang yakin terhadap kemampuan orang baru yang tiada pengalaman. Mereka takut mengambil risiko.

“Bagi graduan pula, jika gagal menunjukkan kebolehan melebihi orang lain, peluang memperoleh pekerjaan juga sukar kerana majikan memerlukan calon yang tidak setara dengan orang lain.

“Industri tidak gusar kerana pilihannya ramai, justeru graduan bukan saja perlu mempunyai kelayakan tapi mesti ada nilai tambah,” katanya.

Beliau turut tegas menepis dakwaan kononnya IPTA tidak peka terhadap kehendak semasa selain sibuk mengejar taraf kedudukan.

“Dakwaan itu tidak benar kerana IPTA sentiasa komited dan bersedia mengikut serta melaksanakan pelbagai perubahan bagi menyaingi tuntutan dunia pendidikan global.

“Apabila tuntutan mengkehendaki kami melaksanakan pembaharuan, itu yang akan dilakukan,” katanya yang kurang bersetuju apabila segelintir pihak suka membandingkan kemampuan graduan IPTA dengan pengajian tinggi swasta.

“Setiap institusi ada fungsi dan kelebihannya. Jangan buat perbandingan semata-mata mahu memuaskan hati pihak lain.

“Fokus utama harus diselesaikan ialah bagaimana membantu graduan ini memperoleh pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menekankan mesej bahawa graduan perlu bersedia berubah dan jangan sesekali melepaskan peluang diberikan institusi.

“Peluang yang terbentang di kampus perlu direbut dan digunakan sewajarnya demi meningkatkan lagi potensi diri.

“Percayalah, apa yang dikatakan tidak penting atau remeh itulah yang akan menjadi penyelamat graduan sebaik saja tamat pengajian,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU UMUM : Malaysia Duduki Ranking 122 Indeks Kebebasan Akhbar


KUALA LUMPUR: Malaysia memperbaiki kedudukan dengan menduduki tempat ke-122 di dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2011/2012 yang direkodkan oleh Reporters Without Borders.

Dalam indeks 2010, Malaysia menduduki tempat ke-141.

Indeks terbaru ini menunjukkan Malaysia mendahului negara-negara serantau yang lain seperti Singapura yang menduduki tempat ke-135, Thailand (137), Filipina (140) dan Indonesia (146).

Finland dan Norway bersama-sama menduduki tempat teratas dalam kajian kebebasan akhbar yang melibatkan 179 negara, diikuti Estonia dan Belanda yang terikat di tempat ketiga, manakala Austria di tempat kelima.

Lima lagi antara 10 negara teratas daripada segi kebebasan akhbar adalah Iceland dan Luxembourg di tempat keenam, Switzerland (lapan), Cape Verde (sembilan), serta Kanada dan Denmark yang terikat bersama di tempat ke-10.

Menduduki tempat terbawah dalam senarai adalah Turkmenistan (177), Korea Utara (178) dan Eritrea (179).

Menurut laporan itu, Pakistan (151) merupakan negara paling bahaya bagi wartawan untuk tahun kedua berturut-turut.

"Somalia (164), yang masih dalam kancah perang saudara selama 20 tahun, tidak menunjukkan petanda akan keluar daripada pergolakan di mana wartawan menanggung risiko tinggi untuk bertugas di negara itu," menurut laporan itu.

Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, terkorban semasa bertugas di ibu negara Somalia, Mogadishu, pada 2 September tahun lepas menyebabkan desakan kepada perlindungan yang lebih baik diberikan bagi petugas media yang dihantar membuat liputan di kawasan bencana dan peperangan.

Laporan itu menyatakan Amerika Syarikat, yang menduduki tempat ke-47, jatuh 27 tempat daripada tahun sebelumnya berikutan penahanan ramai wartawan semasa membuat liputan tunjuk perasaan bantahan "Occupy Wall Street".

Mengulas Indeks Kebebasan Akhbar tahun ke-10, Reporters Without Borders berkata: "Indeks pada tahun ini menyaksikan banyak perubahan kedudukan, perubahan yang menggambarkan perkembangan pesat dan drastik terutamanya di dunia Arab."

Ia menyatakan banyak media terpaksa menanggung risiko tinggi bagi membuat liputan aspirasi demokrasi.

"Tahun yang berlalu juga memperlihatkan peranan yang diterajui pengguna Internet dalam menghasilkan dan menyebarkan berita," menurut pertubuhan, yang turut memaklumi penyertaan Cape Verde dan Namibia dalam kalangan 20 negara teratas. BERNAMA

ISU SOSIAL : Kita kurang peka sensitiviti kaum


Oleh : ONG TEE KEAT

Setiap kaum dan agama tetap ada pantang-larang tersendiri. Sebenarnya di bumi Malaysia, kita tidak kekurangan peluang untuk mengenali bahkan memahami pelbagai pantang-larang itu melalui interaksi sesama kita saban hari.

Walau bagaimanapun, kes-kes kontroversi yang melibatkan sensitiviti kaum atau agama masih tetap kedengaran di sana sini. Keadaan ini sedikit sebanyak menandakan kurangnya kepekaan sesetengah golongan masyarakat terhadap pantang-larang dalam kalangan kaum dan agama lain.

Padahal kejahilan atau kurangnya pemahaman terhadap budaya kaum dan agama lain bukanlah alasan wajar kerana pergaulan antara berbilang kaum dan agama kita tidak lagi terbatas, melainkan kita sendiri memilih memencilkan diri.

Lazimnya sikap keangkuhan dikenalkan sebagai faktor penyumbang utama kepada lahirnya sentimen perkauman, sekali gus menjelmalah perbuatan-perbuatan menggores perasaan kaum dan agama lain, bahkan menyemarakkan kemarahan mereka. Ini bukan sahaja menjejaskan perhubungan baik antara kaum dan agama, malah kemungkinan menghancurkan keharmonian masyarakat sedia ada.

Kita harus mengambil iktibar daripada peristiwa lepas. Saya yakin tindak-tanduk mencemar kesucian sesebuah bangunan beribadat - masjid, surau mahupun kuil, tokong atau gereja, tidaklah tercetus akibat kejahilan, ia mungkin disengajakan sebagai tanda penghinaan yang berpaksikan prejudis.

Kita sering menuding jari kepada anasir-anasir pelampau sebagai pihak mendalangi perbuatan terkutuk ini. Namun sekiranya fenomena ini dikupas secara mendalam, didapati semua agama sebenarnya menegah perbuatan keganasan biarpun ia dilakukan kepada penganut agama lain. Dalam perspektif ini, kemungkinan sesetengah politikus hendak menangguk di air keruh tetap wujud. Disebabkan sifat dan amalan mereka yang oportunis, maka kesejahteraan dan keharmonian sosial turut tergadai.

Kejadian mencaci dan mencabar bahkan hina-menghina dalam masyarakat majmuk kita cukup berbahaya kerana gelagat seperti itu sudah cukup untuk menyemarakkan emosi perkauman dan agama yang terpendam. Baik mereka yang memijak kepala lembu mahupun kebiadaban menggantung kepala khinzir dalam pekarangan surau.

Demikian juga, kata-kata yang memperlekeh status warganegara lain sering dilontarkan kepada keturunan tertentu, sama ada dengan menyifatkan mereka sebagai “pendatang asing” ataupun mengejek mereka agar balik ke negara asal walaupun mereka tetap anak watan bumi ini. Dari pengamatan saya, segala ini bukanlah sesuatu yang sukar difahami rakyat kita. Ia berulang-kali diungkit-ungkit semata-mata untuk menyakiti hati golongan tertentu. Mungkin dengan berbuat demikian, mereka dapat mencari kepuasan yang dikejar, tetapi negara pula yang perlu menanggung padahnya.

Malangnya kejadian-kejadian berbaur perkauman itu juga ada peminat dan penyokongnya, khasnya dalam kalangan orang-orang politik. Kita dapati setiap kali apabila tercetusnya sesuatu kejadian perkauman dan turut dikecam oleh masyarakat umum, sudah tentu muncul orang politik yang berniat membelanya atas nama menebus kembali maruah bangsa dan agama.

Namun hakikatnya, dalam usaha kita membentuk sebuah masyarakat yang rasional lagi matang, ujian getir utama perlu kita harungi tidak lain dari soal pokok, sama ada kesanggupan membuat sesuatu penilaian berasaskan kebenaran, dan bukannya semata-mata berpandukan sentimen kaum atau agama.

Ramai dalam kalangan kita mungkin masih berbangga dengan khazanah budaya ketimuran yang kita warisi. Akan tetapi, segala-gala ini tidak bermakna langsung sekiranya kita tidak berdaya atau keberatan hendak menegak kebenaran demi kesejahteraan masyarakat sendiri. Saya sungguh kecewa setiap kali melihat sesuatu amalan keterlaluan itu tidak ditangani dengan penuh keinsafan, sebaliknya terus berpanjangan dengan pelbagai polemik semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Di sebalik hakikat itu, saya tetap berimpian agar kekeruhan tersebut dapat dikurangkan menerusi komitmen rakyat secara berterusan dalam usaha menolak budaya politik keterlaluan ini. Bagi golongan politikus dari apa parti sekalipun, sebarang model politik yang ditolak rakyat sudah tentu tidak akan diamalkan lagi dalam persada politik.

Pendek kata, kuasa rakyatlah yang akan menentukan hala tuju dan acuan politik kepartian kita nanti.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengambilan Pelajar Universiti Perlu Uji Kemampuan Bahasa Melayu - Dr Awang


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Semua universiti di negara ini disarankan untuk melaksanakan ujian kemampuan dalam bahasa Melayu bagi pengambilan pelajar baru, kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Beliau berkata, ujian itu bukan untuk menguji tahap kemampuan pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi mahu menilai sama ada mereka menguasai bahasa Melayu sebagai laras bahasa ilmu.

“Ini memerlukan satu anjakan paradigma yang baru. Kita berharap universiti-universiti lain juga mempunyai polisi atau dasar yang sama.

“Kalau tidak, nanti kita tidak dapat mengukur sejauh mana kemampuan bakal mahasiswa kita mengikuti kuliah dalam laras bahasa ilmu yang tinggi. Bagi saya, (tindakan UPM) merupakan satu permulaan yang baik,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan menjadikan penguasaan kompetensi bahasa Melayu sebagai syarat pengambilan pelajar baru di universiti itu.

Dr Awang berkata, menerusi ujian itu sekurang-kurangnya satu persiapan dapat dilakukan terhadap para pelajar seperti mengadakan kursus.

“Bagi saya, seperti UPM, universiti sepatutnya perlu mempunyai kursus teras bahasa Melayu, bahasa penulisan dan bahasa pemikiran.

“Jika tidak, sampai tahun akhir nanti mereka hendak menulis tesis pun tidak pandai.

“Oleh itu, kita mengharapkan agar kepimpinan universiti lain membuat susulan dengan segera terhadap pelan transformasi pengajian tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Md Salleh Yaapar pula berkata, tindakan UPM itu adalah salah satu daripada maklum balas yang diberi terhadap pekeliling daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya, ia berkaitan dengan Pelan Tindakan bagi Memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Semua IPT mengadakan mesyuarat jawatankuasa kecil mengenai bagaimana pelan tindakan itu boleh dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, pelan tindakan berkenaan merangkumi empat strategi utama iaitu mengukuhkan bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran; mengukuhkan bahasa Melayu dalam penyelidikan dan penerbitan; meningkatkan pengiktirafan akademik bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu serta meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Tahun ini, sebanyak lima universiti diberi kuasa autonomi oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam membuat pengambilan pelajar mereka sendiri.

Lima universiti itu ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sumber : http : //www.mstar.com.my/