Rabu, 22 Februari 2012

ISU EKONOMI : Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu


Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim

BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.

Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.

Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.

Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.

Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak antikekayaan, malah kuat probisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak antiharta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.

Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.

Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke-20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?

Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya-Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”

PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Banyak ketawa boleh menyebabkan manusia lupa diri


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama baginda di medan peperangan.

Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” (Surah at-Taubah, ayat 82).

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.
Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa ialah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran itu, Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan seperti terbahak-bahak sehingga mengganggu orang lain, maka ia lebih mengundang perkara negatif.

Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri ialah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan. Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Malaysia di landasan capai sasaran ETP


Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my


Pelaburan langsung asing cecah RM32.9 bilion


MALAYSIA menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM32.9 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Ia adalah peningkatan sebanyak 12.3 peratus berbanding RM29.3 bilion yang diterima pada 2010.

Perkilangan muncul sebagai sektor sasaran utama FDI itu, merangkumi 50.1 peratus daripada jumlah yang diterima, diikuti perkhidmatan (27.3 peratus), perlombongan dan kuari (22.2 peratus) serta pertanian, perhutanan dan perikanan (0.4 peratus).

Prestasi itu adalah sejajar dengan hasil kaji selidik Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Malaysia yang meletakkan Malaysia sebagai antara negara penerima FDI tertinggi bagi tempoh 2011 hingga 2013.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jumlah pelaburan keseluruhan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama sepanjang tahun lalu turut menyaksikan peningkatan kukuh, iaitu 40.7 peratus kepada RM148.6 bilion membabitkan 4,964 projek, dengan jangkaan menyediakan peluang pekerjaan baru sebanyak 149,496.

“Ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap persekitaran perniagaan di Malaysia. Pencapaian ketara itu juga menunjukkan Malaysia berada pada landasan untuk mencapai sasaran pelaburan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP),” katanya pada sidang media mengumumkan Prestasi Pelaburan Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Mustapa berkata, sejajar dengan strategi kerajaan, pelaburan domestik terus mengatasi FDI dengan menguasai 55.4 peratus atau RM82.3 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan, manakala pelaburan asing sebanyak 44.6 peratus atau RM66.3 bilion.

Bagi sektor perkilangan katanya, ia terus menunjukkan aliran pemulihan dengan menyaksikan 846 projek bernilai RM56.1 bilion diluluskan tahun lalu, iaitu peningkatan 18.8 peratus daripada RM47.2 bilion pada 2010.

Beliau berkata, jumlah itu turut melepasi RM28.6 bilion atau 104 peratus daripada sasaran purata pelaburan tahunan sebanyak RM27.5 bilion yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) bagi tempoh 2006 hingga 2020.

“Projek yang membabitkan pelaburan asing berjumlah RM34.2 bilion atau 61 peratus, manakala pelaburan domestik berjumlah RM21.9 bilion mencakupi 39 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tahun lalu,” katanya.

Industri elektrik dan elektronik terus mendominasi aliran kemasukan pelaburan, diikuti produk logam, peralatan pengangkutan, produk kimia, dan perkilangan makanan.

Subsektor itu merangkumi RM44.7 bilion atau 79.7 peratus daripada jumlah projek yang diluluskan.

Mustapa berkata, Jepun, Korea, Amerika Syarikat, Singapura dan Arab Saudi adalah sumber tertinggi bagi FDI dalam projek sektor perkilangan yang diluluskan, iaitu berjumlah RM22.5 bilion, atau mewakili 65.8 peratus.

Mengenai prospek kemasukan FDI bagi 2012 ini, beliau menegaskan, ia diunjurkan seiring dengan arah aliran global yang dijangkakan meningkat kepada AS$1.7 trilion.

“Malaysia dijangka mampu mengekalkan kemasukan FDI seperti dicatatkan pada 2011, walaupun dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu kerana 72 peratus daripada FDI yang diterima adalah dari negara Asia,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan swasta juga dijangka meningkat kepada RM110 bilion tahun ini daripada RM94 bilion tahun lalu, didorong pelaburan domestik yang kukuh khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/