Jumaat, 24 Februari 2012
ISU SOSIAL : 941 Mangsa Pemerdagangan Orang Diselamatkan Sejak 2008
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri berjaya menyelamatkan 941 orang termasuk kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang bagi tempoh 2008 hingga 31 Januari lepas.
Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata daripada jumlah itu, wanita adalah mangsa tertinggi dengan 562 orang, lelaki (261) dan kanak-kanak (118).
"Kesemua mangsa telah diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) serta ditempatkan di rumah perlindungan," katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.
Mahmood yang juga Pengerusi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), berkata bagi tempoh 2008 hingga 13 Jan lepas, sebanyak 426 kes disiasat melibatkan tangkapan 599 orang.
Bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 392 kes telah dituduh di bawah Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007, 235 kes masih dalam perbicaraan, 66 kes berjaya diselesaikan dan sabitan kes sebanyak 57 kes.
"Statistik kes penyeludupan migran dari 15 Nov 2010 hingga 31 Jan tahun ini adalah sebanyak 27 kes melibatkan 43 tangkapan dan seramai 616 orang migran yang diseludup," katanya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
ISU SOSIAL : Bermuafakat mentransformasi ummah
Oleh SABRI MOHAMAD SHARIF
SETIAP orang mempunyai sebuah impian, harapan dan gagasan. Bagi golongan pemimpin, sudah pasti mereka inginkan rakyatnya hidup senang dan bahagia, menjulang kejayaan, memartabatkan maruah agama dan mengangkat ketamadunan bangsa. Bagi para usahawan, mereka mengharapkan keuntungan yang berlipat kali ganda hasil dari perniagaannya. Bagi rakyat keseluruhannya, sudah tentu mereka inginkan kebahagiaan dan kemakmuran dalam negara yang mereka diami.
Kesemua harapan tersebut, dengan izin Allah SWT, mampu terlaksana, jika kita berupaya bersatu dan berpadu. Antara aspek penting dalam penyatuan adalah bermuafakat. Muafakat menjadikan umat hebat. Muafakat jugalah mengelakkan umat daripada jatuh tergeliat. Bermuafakatlah, demi kebaikan umat dan kemakmuran sejagat.
Ulama merupakan pewaris Nabi SAW. Cendekiawan Islam adalah harapan umat. Penulis maya menjadi pemangkin dalam masyarakat kontemporari. Ketiga-ketiga mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan kemakmuran negara.
Alangkah indahnya dunia ini, jika mereka berganding bahu. Alangkah bahagianya negara ini jika mereka mampu berpadu dan bersatu. Alangkah hebatnya masyarakat Islam di negara ini, jika mereka bermuafakat.
Bermuafakat bukan sekadar membawa berkat, malah lebih utama daripada itu, kita ingin lihat mereka bermuafakat demi untuk mentransformasikan ummah. Mampu dan berupayakah mereka?
Permuafakatan mereka sangat penting, apatah lagi negara ini dianggap sebagai sebuah negara Islam contoh dan progresif di kalangan negara Islam di seluruh dunia. Harapan umat Islam sangat besar dan tinggi kepada negara ini. Ini dibuktikan melalui pengiktirafan daripada pelbagai pemimpin dan ulama dari serata dunia Islam.
Antaranya, melalui kenyataan daripada Prof. Dr. Sheikh Yusof Al-Qaradhawi, tokoh ulama ulung yang juga presiden ulama sedunia, dalam pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, turut meletakkan harapan dengan menyatakan kepada Perdana Menteri dan juga para ulama untuk bersatu, mempertahan dan memeliharakan imej Islam di Malaysia yang didominasi mazhab Shafi'e, untuk menangani setiap fahaman dan ideologi asing yang cuba mengalihkan fokus umat Islam dan merosakkan pegangan akidah warga Islam di Malaysia.
Begitu jugalah yang dilakukan oleh Imam Besar Masjidil Haram, Dr. Abdul Rahman As-Sudais, yang turut memuji usaha Kerajaan Malaysia memartabatkan agama Islam dan sentiasa berlaku adil kepada penganut agama lain di negara ini. Perkara ini turut dikongsi oleh Sheikh Al-Azhar, Dr. Mohamad Sayed Tantawi, ulama terkenal dari Mesir pernah mengatakan bahawa Malaysia merupakan negara contoh kepada negara Islam lain, kerana Malaysia mengamalkan ajaran sebenar Islam.
Ini terjadi hasil daripada corak dan pendekatan sederhana yang menjadi amalan sebahagian besar umat Islam di Malaysia khususnya dan Asia Tenggara secara amnya. Pendekatan sederhana ini atau dikenali juga sebagai 'wasatiyah' yang mengetengahkan aspek kesederhanaan, pertengahan dan seimbang. Wasatiyah secara pengertiannya bermaksud sederhana, pertengahan dan berimbang (al-tawazun).
Ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya harus bergandung bahu, seiya dan sekata, senada dan seirama, melalui permuafakatan yang tulen dalam mendepani cabaran-cabaran baru dunia kontemporari. Antara cabaran besar yang yang sedang dan akan ditempuh ialah cabaran langit terbuka, ledakan informasi dan teknologi maklumat (ICT), pasaran bebas, krisis ekonomi global, kebebasan mutlak dan hak asasi menurut camca dan kaca mata Barat dan sebagainya.
Ini tidak termasuk isu-isu semasa yang menjurus kepada umat Islam secara langsung, seperti isu akidah iaitu murtad, kalimah Allah dan fahaman pluralisme agama. Umat Islam juga berdepan dengan isu penghinaan yang berterusan kepada junjungan besar baginda Rasulullah SAW. Termasuk juga isu yang menjadi nadi dan sensitiviti umat Islam iaitu isu rakyat Palestin dan pengiktirafan negara Israel.
Ini tidak termasuk masalah yang menimpa di beberapa negara Islam, yang sedang bergentanyangan dengan masalah dalaman negara mereka yang masih belum menampakkan kesudahannya. Semuanya ini barangkali mampu diselesaikan dengan penyatuan. Umat Islam masih berpecah-belah dan kurang bersatu antara satu dengan yang lain, terutama dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama seperti maruah dan sensitiviti agamanya.
Umat Islam adakalanya lebih suka melihat dan menekankan aspek kepentingan, adakalanya pemikiran sempit mengikut pemahaman kabilah masing-masing, kelompok tertentu yang dipisahkan oleh pelbagai ragam pemikiran dan politik yang berbeza dan tidak suka melihat sesuatu itu dari perspektif 'ummatik' secara keseluruhannya. Akhirnya, umat Islam menjadi lemah, mudah diperkotak-katikkan, rapuhnya perpaduan dan longgarnya persaudaraan.
Ketiga-tiga golongan di atas perlu bersedia untuk menguasai dunia maya atau dikenali juga sebagai dunia siber. Jangan biarkan dunia maya ini dijadikan medan oleh musuh Islam untuk merosak dan menghancurkan negara, sama ada dari dalam mahupun luar. Tidak pula kita biarkan umat Islam menjadikan dunia siber untuk bertelagah sesama sendiri atau menegakkan benang basah masing-masing, di antara satu dengan yang lain.
Umat Islam sepatutnya membina penyatuan pemikiran dalam dunia siber ini. Mereka seharusnya menjadikan dunia maya ini sebagai medan dakwah dan menyebarkan pemahaman dan pemikiran Islam yang benar. Ini kerana dalam dunia maya masa kini banyak menggunakan pemikiran. Sebab itu, Profesor Sheikh Dr. Yusof Al-Qardhawi pernah menyatakan peperangan baru di abad ini dikenali sebagai 'peperangan pemikiran' (ghazwatul fikr). Ia juga turut diakui oleh Winston Churchill, bekas Perdana Menteri Britain, bahawa "empayar masa depan adalah empayar minda/pemikiran. Sesiapa yang menguasainya, maka dia akan menguasai dunia".
Lantaran itu, umat Islam perlu melahirkan suatu generasi yang disebut dalam al-Quran sebagai generasi Ulul Albab. Generasi Ulul Albab ialah generasi yang mempunyai kekuatan daya fikir, zikir dan amal soleh. Golongan Ulul Albab ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir dalam dalam tafsirnya al-Quran al-Azim sebagai "golongan yang mempunyai pemikiran yang bersih lagi sempurna, sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara secara yang betul".
Justeru, golongan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya bukan sahaja perlu mahir dalam penggunaan internet, malah menguasai bidang tersebut yang sedang menjadi kegilaan masyarakat dunia, terutama golongan muda di Malaysia seperti penggunaan blog, laman sesawang (website), facebook, twitter dan sebagainya.
Mereka boleh menjadikan dunia maya atau dunia siber ini sebagai medan dakwah yang berkesan untuk menyampaikan ilmu dan pendidikan Islam, maklumat yang benar dan tepat serta menangkis segala yang bersifat ancaman, fitnah dan kemudaratan yang boleh mengancam akidah, ukhuwah dan perpaduan umat Islam di negara ini.
Sesungguhnya, umat Islam perlu melakukan transformasi. Transformasi ke arah perpaduan, transformasi kepada permuafakatan dan transformasi kepada kesepaduan dan kesatuan yang jitu demi kebaikan ummah. Lakukan sebelum kita terlambat.
PENULIS ialah Pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan juga Exco Kelab Sahabat Bina Negara (KSBN)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/