Selasa, 28 Februari 2012
ISU AGAMA : Sepuluh pintu beri ruang syaitan menguasai manusia
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (Surah an-Nisa, ayat 120-121).
Ayat ini jelas menerangkan kepada manusia antara sikap jahat syaitan terhadap manusia iaitu membisik ke dalam hati kita angan-angan kosong seperti menyangka sudah memiliki pahala yang banyak menerusi amalan yang dilakukan lalu manusia pun berfikir ‘aku layak mendiami syurga’ tanpa perlu meningkatkan lagi amalan.
Punca mengapa manusia mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan ini ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada ketika kita sedar atau tidak, sebenarnya ia menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.
Apabila syaitan sudah menjadi raja di dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.
Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan merayap menguasai tunjang di dalam badan manusia.
Pada ketika itu, syaitan berlumba-lumba untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah.
Namun, beruntunglah manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu iaitu:
Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini mudah tersemai dan subur dalam diri manusia. Ia berpunca sikap ego manusia yang mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.
Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah. Ia seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak (benar).
Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan nikmat yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (Surah an-Nahl, ayat 23)
Keempat – sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah selalu menasihati sahabat menjauhkan diri daripada menjadi golongan keempat ini kerana ia dibenci Allah
Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu yang kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua, orang yang berilmu dan imam (pemimpin) yang adil.” (Riwayat Muslim).
Kelapan – melalui sifat ‘ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam agama yang menentang sifat malas. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.
Kesepuluh - melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU BAHASA : Kawal siaran radio hina bahasa Melayu
Oleh ARIF ATAN
BARU-BARU ini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan semua stesen radio tidak terkecuali milik swasta mesti menggunakan bahasa Melayu dengan betul.
Dalam masa sama, stesen radio di negara ini juga tidak harus dibiar menyiarkan slot tertentu yang secara tersurat mahupun tersirat menghina kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Para pendengar radio yang peka tentu menyedari ada sebuah stesen radio milik swasta yang bersifat memperleceh bahasa Melayu walaupun bahasa pengantar utama siarannya adalah bahasa kebangsaan itu sendiri.
Program stesen radio itu yang sifatnya konon mahu santai bertindak mengenakan orang lain yang tidak menguasai bahasa Inggeris. Caranya mudah sekali gus begitu senang untuk merendah-rendahkan taraf bahasa Melayu.
Rancangan yang diadakan setiap 8.40 pagi itu akan bermula dengan juruhebah radio akan berlakon menjadi orang yang hanya tahu berbahasa Inggeris lalu menghubungi orang yang hendak dikenakan yang lazimnya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Lalu ditonjolkan bagaimana "mangsa" yang hanya tahu berbahasa Melayu itu terkial-kial hendak melayan berbual dengan pemanggil itu. Akhirnya, perbualan itu akan diakhiri dengan ketawa berdekah-dekah oleh juruhebah terlibat dan pada masa sama mengejek "mangsa" tersebut.
Mengapa program sebegitu terus dibiarkan sehingga mencecah beberapa tahun? Tidakkah rakyat Malaysia rasa terhina dipermainkan hanya kerana tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?
Program itu jelas suatu bentuk penghinaan kepada pengguna bahasa Melayu di tanah airnya sendiri. Tidak ada keperluan bagi setiap lapisan rakyat kita untuk mahir bercakap bahasa Inggeris.
Makcik tukang jahit, petani, nelayan, pakcik jaga kubur, kakak toreh getah, penghantar surat, pekerja pasar raya dan lain-lain tidak menjadi keperluan bagi mereka untuk fasih berbahasa Inggeris.
Namun, golongan seperti itulah yang menjadi sasaran rancangan itu walhal mengetahui bahasa lain adalah kelebihan bukan keistimewaan. Tidak fasih berbahasa kebangsaan di buminya sendiri itulah yang patut lebih dimalukan.
Rancangan radio swasta itu patut dikecam dan diharamkan segera jika kita benar-benar mahu memperkasakan bahasa Melayu. Itu bukan suatu bentuk mendidik tetapi penghinaan kepada rakyat negara ini, yang mengecewakan ia dilakukan oleh radio berbahasa Melayu!
Seharusnya seruan Dr. Rais itu patut disahut terlebih dahulu oleh stesen radio tersebut. Promosikanlah bahasa kebangsaan yang baik kepada penutur bukan bahasa Melayu, bukan sebaliknya.
Jika hal tersebut berjaya dilakukan tiada masalah sebenarnya untuk 55 stesen radio lain yang diberi lesen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membudayakan bahasa Melayu dengan baik, kreatif tetapi berhemah.
Ada baiknya jika Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dapat bersikap tegas kepada stesen radio yang secara tersurat mahupun tersirat menghina bahasa Melayu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/