Ahad, 4 Mac 2012
ISU AGAMA : Nikmat yang didusta?
Oleh : Maulana Ariff
SETIAP hari umat Islam diwajibkan membaca surah al Fatihah 17 kali yang merupakan rukun solat lima waktu. Dua kali ketika baru celik mata pada waktu Subuh, empat waktu Zohor, empat Asar, tiga Maghrib dan empat lagi sebelum tidur ketika solat Isyak.
Antara yang diungkapkan melalui al Fatihah ialah ayat yang bermaksud ''segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam." Ia adalah ucapan kesyukuran di atas segala kurniaan-Nya.
Terlalu banyak kurniaan Allah Yang Maha Pemurah (Ar Rahmaan) kepada kita manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Sebab itulah Allah memperingatkan manusia melalui firman-Nya yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar Rahmaan yang bermaksud: '' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoirnya, A Doctor In The House turut mencatatkan salah satu rahmat besar yang disyukurinya setiap hari. Katanya, anda akan gembira jika setiap kali bangun tidur anda menghitung nikmat yang telah diperolehi.
Bagi seorang yang telah melalui dua kali pembedahan jantung dan masih cergas pada usia menjangkau 87 tahun, Mahathir mencatatkan dalam memoirnya: ''Bagi saya, masih hidup ketika bangun tidur adalah satu rahmat yang besar, baik dulu, apatah lagi sekarang."
Maka bersyukurlah anda ketika membaca tulisan hamba ini, kerana anda masih hidup. Nyawa adalah satu kurniaan yang besar kepada setiap manusia. Katakan anda mempunyai wang RM10 juta, datang malaikat hendak mencabut nyawa anda. Lalu diberikannya anda alternatif, jika tidak mahu dicabut nyawa, sedekahkan segala wang RM 10 juta itu kepada fakir miskin. Sudah pasti anda akan melakukannya dengan rasa senang hati.
Di sebalik banyak jasa dan amal soleh yang telah dilakukannya, Mahathir tetap gembira dan bersyukur kerana Tuhan masih memanjangkan usianya. Kebanyakan manusia telah mensia-siakan hidup mereka dan tidak bersyukur.
Kesyukuran hendaklah dilahirkan bukan sahaja dengan melafazkan kata-kata ''alhamdulillah," tetapi mestilah juga dijelmakan dalam bentuk perbuatan. Selain mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, orang Islam dituntut melakukan amal soleh, iaitu kebaikan kepada makhluk lain yang dikerjakan dengan ikhlas semata-mata atas prinsip kerana Allah.
Kebanyakan manusia lazimnya bersyukur hanya apabila dikurniakan sesuatu yang bersifat duniawi. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana naik pangkat, ada kerana anak dapat 10 A dalam peperiksaan SPM, ada yang kerana perniagaan menjadi-jadi dan pelbagai lagi.
Dalam erti kata lain, kebanyakan manusia hanya bersyukur apabila mendapat sesuatu yang akan memberikan kehidupan dunia yang lebih selesa. Mereka terlupa atau tidak menyedari bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.
Sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda bahawa kemiskinan boleh menyebabkan manusia menghampiri kekufuran. Ertinya, kesusahan disebabkan kemiskinan itu boleh menyebabkan mereka tidak bersyukur. Mereka tidak bersyukur kerana lupa bahawa terlalu banyak nikmat lain yang Allah telah kurniakan kepada mereka.
Mereka lupa bahawa ada tujuh perkara yang Allah kurniakan istimewa kepada manusia, iaitu kudrat (tenaga), irodat (kehendak), ilmu, hayat (nyawa), pendengaran, penglihatan dan kalam (keupayaan berkomunikasi).
Kudrat yang Allah kurniakan kepada manusia sangat luar biasa berbanding makhluk lain di bumi. Manusia yang berbadan kecil boleh meruntuhkan gunung, boleh mendirikan bangunan pencakar langit, boleh terbang di angkasa dengan pesawat udara, boleh menyelam ke dasar laut dengan kapal selam dan pelbagai lagi yang tidak boleh dilakukan oleh makhluk lain di bumi.
Disalah guna
Begitu juga dengan irodat atau kehendak, manusia telah mencipta pelbagai alat untuk keselesaan hidup. Malah manusia telah mencipta pesawat untuk naik ke bulan, dan kalau boleh ke planet-planet lain pula. Begitu besarnya kehendak manusia, tidak padan dengan saiz badan mereka.
Ilmu yang dijana oleh akal manusia dibentangkan Allah seolah-olah tanpa sempadan. Setiap detik ada sahaja perkara baru yang diterokai. Manusia juga mempunyai hayat yang istimewa. Dengan ilmu yang dikurniakan, manusia boleh 'menyambung nyawa' dengan pelbagai kaedah perubatan termasuk pemindahan organ.
Pendengaran dan penglihatan manusia juga lebih hebat daripada makhluk yang lain. Dengan bantuan alat teknologi, manusia boleh melihat dan mendengar sesuatu yang sedang berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya di tempat lain. Televisyen memancarkan siaran langsung kejohanan sukan atau menyiarkan peristiwa menarik di tempat jauh dalam masa sebenar.
Kalam manusia lebih hebat. Mereka kini boleh berkomunikasi dari jauh dengan pantas dan mudah melalui telefon dan komputer. Malangnya kalam yang Allah kurniakan itu disalahgunakan untuk memfitnah dan menggugat kesejahteraan orang lain, masyarakat dan negara.
'' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''
Tetapi manusia lekas lupa. Mereka jarang sangat berpuas hati, apatah lagi bersyukur. Yang kaya mahu bertambah kaya. Yang cantik mahu bertambah cantik. Yang berpangkat mahu naik ke pangkat yang lebih tinggi. Yang berpangkat tinggi mahu naik ke paling tinggi. Apabila yang dihajati belum dicapai, mereka gelisah dan keluh-kesah. Mereka marahkan orang lain dan tidak pernah nampak kesalahan sendiri.
Disebabkan tiada sekelumit rasa bersyukur, akhirnya mereka mudah melakukan perbuatan yang dilarang untuk mencapai hajat yang didorong oleh nafsu tidak terkawal dan hasutan syaitan yang membisik di hati mereka.
Yang celik mata pun terlupa betapa bernilainya penglihatan yang Allah kurniakan kepada mereka. Katakan datang malaikat hendak menutup penglihatan mata mereka kerana mereka tidak bersyukur, apakah reaksi mereka? Orang yang mempunyai wang RM10 bilion pun akan cuba merasuah malaikat dengan segala harta kekayaannya untuk menjamin penglihatan dikekalkan.
'' Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?''
Maka kepada kita yang melafazkan ''segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam'' sekurang-kurangnya 17 kali sehari, janganlah hanya bersyukur di bibir. Bersyukurlah dengan hati dan perbuatan. Bersyukurlah dengan mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Bersyukurlah dengan melakukan amal soleh terhadap makhluk-makhluk yang lain. Sembahlah Allah sepanjang masa, bukan hanya di atas sejadah.
Jika kita tidak bersyukur sebagaimana yang dikehendaki-Nya, itulah tanda kita tidak beriman. Janganlah sekadar Islam, tapi tidak beriman.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU GLOBAL : Puting beliung terus landa Amerika
Hubungan darat di Indiana, Kentucky terputus, 29 terbunuh sejak kelmarin
HENRYVILLE: Puting beliung melanda beberapa bandar kecil di Indiana dan menyebabkan kawasan luar bandar di Kentucky terputus hubungan ketika musim awal puting beliung di Amerika Syarikat menyebabkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh, manakala angka kematian dijangka meningkat.
Ribut petir ganas yang sudah diramal jabatan kaji cuaca sejak beberapa hari lalu, mula terbentuk di Pantai Teluk dan Tasik Besar, mencetuskan berpuluh-puluh puting beliung.
Bencana alam itu memusnahkan sepenuhnya beberapa kawasan perumahan menjadi padang jarak padang tekukur, meruntuhkan menara pemancar telekomunikasi, menumbangkan tiang elektrik dan menghumbankan kereta, bas sekolah, traktor dan treler ke jalan raya, menyebabkan perhubungan darat terputus.
Di Kentucky, anggota Pengawal Kebangsaan dan polis tempatan bertungkus-lumus melakukan kerja mencari mangsa yang masih hilang dan dikhuatiri terperangkap.
DI Indiana, pihak berkuasa meredah jalan gelap akibat terputus bekalan elektrik bagi meninjau kawasan perumahan di beberapa kejiranan yang musnah sama sekali.
“Kami tidak akan dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku sebelum hari menjelang siang. Buat masa ini kami akan melakukan segala yang terbaik,” kata Syerif kawasan Clark County, Indiana, Mejar Chuck Adams.
Di Henryville, bandar kecil dengan 2,000 penduduk di utara Louisville, Kentucky, anggota penyelamat meredah jalan yang dipenuhi sampah sarap sambil membawa troli berisi makanan dan air untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.
Beratus-ratus anggota bomba dan polis membuat rondaan di bandar yang musnah dengan hanya beberapa bangunan masih bertahan, manakala semua sekolah di bandar itu musnah.
“Saya kehilangan semuanya. Dulu kawasan ini cantik, sekarang semuanya sudah tiada,” kata seorang penduduk Andy Bell, ketika beliau membantu seorang rakan di bengkel kenderaannya yang rosak.
Tidak jauh dari situ sebuah bas sekolah terperosok ke dalam sebuah restoran, manakala sebuah kerusi tersangkut di pintu sebuah kereta.
Seorang lagi penduduk, Susie Renner, 54, berkata beliau melihat dua puting beliung membadai Henryville selang beberapa minit antara satu sama lain. Puting beliung pertama berwarna cokelat akibat dipenuhi sisa sampah, manakala yang kedua berwarna hitam.
“Saya seorang pengkaji dan pemburu puting beliung, tetapi saya tidak pernah berasa begini takut seumur hidup saya,” katanya.
Puting beliung kelmarin melanda hanya dua hari selepas ribut kencang mengorbankan 13 orang di Barat dan Selatan Amerika. Menjelang jam 10 malam, perkhidmatan kaji cuaca mengeluarkan 269 amaran puting beliung, sedangkan hanya 189 amaran dikeluarkan sepanjang Februari. – AP