Isnin, 19 Mac 2012

ISU SOSIAL : Pendermaan organ Melayu-Islam


DR MASHITAH IBRAHIM

Antara punca kecilnya bilangan orang Melayu-Islam menderma organ ialah anggapan ia perbuatan menganiaya jenazah. Ada juga keadaan di mana orang yang berniat menderma organ tidak diketahui waris, justeru apabila beliau meninggal dunia pihak keluarga tidak membenarkan organnya dipindah atau didermakan.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perlunya usaha dan pendekatan baru untuk meningkatkan bekalan organ. Pada 2011, hanya 47 organ dan tisu kadaverik (penderma yang meninggal dunia) didermakan. Ini pun dikira banyak, kerana bilangannya lebih kecil pada tahun-tahun sebelumnya.

Padahal bilangan mereka yang menunggu bekalan ginjal lebih 11,000 orang, selain mereka yang perlukan gantian hati, paru-paru dan mata. Setiap tahun, lebih 4,000 orang alami kegagalan fungsi organ kerana penyakit dan faktor lain. Tempoh menunggu biasanya bertahun-tahun. Hakikatnya, ramai yang mati dalam keadaan tidak sempat memperoleh organ ganti.

Orang Melayu-Islam tidak perlu was-was dari segi agama. Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1970 memutuskan bahawa pendermaan organ si mati kepada orang lain atau menerima organ orang bukan Islam dibenarkan, selagi tiada unsur jual beli kerana organ adalah kurniaan ALLAH SWT yang tiada nilai gantinya.

Dr Yusuf Qaradhawi mengatakan bahawa mengikut syariat, tubuh manusia adalah miliknya dan ALLAH SWT. Walaupun diri manusia amanah ALLAH SWT, namun dia diberi kuasa untuk menguruskan dirinya sendiri, sama seperti dia menguruskan hartanya. Bezanya ialah sementara seseorang itu boleh dermakan semua hartanya, dia tidak boleh dermakan semua tubuhnya.

Ramai ulama bersetuju dengan keharusan menderma organ kerana ia memenuhi salah satu maqasid syariat Islam, iaitu memelihara nyawa. Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di mana mata pejuang Islam Qadatal bin Nukman telah terkeluar dalam satu peperangan lalu dipindahkan semula oleh Rasulullah SAW.

Begitu juga dengan Muawiyah bin Afra dan Habeeb bin Yusuf yang terputus tangan mereka ketika berperang. Tangan-tangan mereka disambung semula melalui kaedah pemindahan organ.

Beberapa cadangan diutarakan untuk meningkatkan bilangan penderma organ.

Antaranya meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan pelajar dan belia, khususnya antara umur 15 hingga 25 untuk menjadi pengikrar dan penderma organ, selain menempatkan kaunselor untuk berunding dengan waris mangsa kemalangan jalan raya bagi mendapatkan kebenaran pindah organ untuk didermakan.

Ada juga cadangan supaya semua pemandu berikrar secara automatik apabila memohon atau perbaharui lesen. Dengan cara ini, organ mereka boleh diambil jika berlaku nahas kemalangan dan dipindahkan kepada orang lain yang memerlukan.

Di Sepanyol, misalnya, semua yang meninggal dunia dikira penderma organ kecuali dimaklumkan sebaliknya. Kerajaan membelanjakan kira-kira RM171 juta antara 2001 dan 2010 - diberi sebagai subsidi kepada pelbagai NGO yang sediakan perkhidmatan dialisis kepada orang ramai. Setakat ini, lebih 23,400 pesakit buah pinggang mendapat manfaatnya.

Di Malaysia dan kebanyakan negara lain, pemerdagangan organ diharamkan, selaras dengan prinsip panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pemindahan organ. Satu Akta Transplantasi Organ sedang digubal untuk mencegah kegiatan ini.

Dalam pada itu, rekod Hospital Kuala Lumpur menunjukkan lebih 1,000 rakyat negara ini pernah ke China dan India untuk mendapatkan organ, walaupun menghadapi risiko seperti jangkitan penyakit, radang hati, HIV, hepatitis B dan komplikasi organ baru berfungsi. Ada yang membayar antara RM70,000 hingga RM250,000 untuk sesuatu organ.

Terdapat lebih 190,000 pengikrar derma organ di negara kita, tetapi hanya 16 peratus ialah Melayu-Islam. Bilangan penderma kadaverik Melayu-Islam antara 1976 hingga 2011 hanya 18 orang. Oleh sebab orang Melayu-Islam paling rendah menderma, mereka bagaikan ‘menagih’ organ daripada bukan Islam.

Justeru, agensi seperti jabatan agama pusat dan negeri, dan NGO Islam perlu memainkan peranan lebih giat hebatkan kempen. Tidak timbul soal organ Islam atau bukan Islam; yang utama ialah akidah dan amalan di dunia.

Pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar kelak, setiap manusia akan dihisab amalannya, bukan kerana kurang organ atau menggunakan organ orang lain.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Belajar hidup tanpa khidmat warga asing


Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


Kebergantungan amah Indonesia punca Jakarta letak syarat tak masuk akal

KEKECOHAN yang timbul ekoran syarat baru Indonesia supaya pembantu rumah dari republik itu hanya menjalankan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700, seharusnya membuka mata kita, bukan saja dari segi rundingan dan perjanjian dengan pihak berkuasa di sana tetapi kepada soalan paling asas – selama mana kita mahu bergantung kepada khidmat rakyat asing.

Walaupun syarat dinyatakan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, itu dianggap keterlaluan, malah tidak masuk akal, ia dilaporkan hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara Kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Keputusan rundingan itu antara lain menetapkan penghantaran pembantu rumah Indonesia akan mengikut kemahiran masing-masing dalam empat bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Penetapan empat bidang khusus itu kononnya sebagai langkah memastikan amah yang dihantar ke Malaysia benar-benar terlatih dan bagi memudahkan majikan di negara ini.

“Seorang tenaga kerja Indonesia (TKI) yang dihantar ke Malaysia akan menjalankan satu tanggungjawab saja. Jika dia diperlukan untuk menjaga anak, maka jaga anak sajalah. Tetapi jika majikan mahukan TKI melakukan semua empat tugas khusus itu, maka mereka harus mengambil empat TKI melakukan kerja itu,” kata Dr Reyna seperti dipetik dalam laporan itu.

Ini bermakna jika seorang pembantu rumah itu digajikan untuk memasak, tugasnya hanyalah memasak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengemas rumah dan mengasuh. Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada amah yang sama, perlu dibayar RM700 lagi jika dia diminta mengemas rumah, menjadikan gajinya RM1,400 sebulan. Dan jika dia diminta mengasuh anak pula, maka gaji bulanannya ialah RM2,100.

Jika benar seperti dilaporkan bahawa keputusan itu adalah hasil rundingan JTF, timbul tanda tanya apakah pegawai yang mewakili Malaysia dalam rundingan itu hanya mengiyakan? Apakah mereka tidak bertanya apakah syarat yang sama dikenakan kepada majikan di negara lain yang mengambil amah Indonesia?

Atau adakah pihak Malaysia dalam rundingan itu menerima syarat sedemikian kerana mahu isu kemasukan pembantu rumah Indonesia yang berlarutan hampir tiga tahun ini diselesai segera?

Hakikat bahawa belum ada seorang pun pembantu rumah Indonesia dihantar secara rasmi ke Malaysia sejak Indonesia menarik balik pembekuan penghantaran pada 1 Disember lalu, jelas menunjukkan mereka tidak lagi berminat berbuat demikian.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di negara ini.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan beberapa peruntukan, terutama berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Bagaimanapun penghantaran pertama pembantu rumah Indonesia tertunda beberapa kali sehingga ke hari ini.

Perdana Menteri, yang turut terkejut dengan keputusan terbaru Indonesia itu kerana ia bercanggah dengan persefahaman yang dicapainya dengan Presiden Susilo, kelmarin berkata kerajaan akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai perkara itu.

Sementara kita menyambut baik kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu ini, kita juga berharap pihak berkuasa segera merangka strategi jangka panjang, bukan saja untuk menamatkan kemelut ini tetapi lebih penting lagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja Indonesia bukan saja untuk pembantu rumah tetapi dalam semua sektor pekerjaan.

Selagi kita dilihat terlalu bergantung kepada Jakarta, selagi itulah mereka mengenakan pelbagai syarat sehingga kita perlu berlutut mengharapkan ihsan.
Pengalaman kita dalam pelbagai bidang dengan Indonesia, walaupun diberi jolokan saudara serumpun, cukup untuk membuktikan hakikat ini.

Yang jelas, kesepakatan dicapai pada peringkat tertinggi kerap dikusutkan pada peringkat pelaksana seperti yang berlaku pada isu penghantaran pembantu rumah ini.

Begitupun, kita tidak boleh menyalahkan Indonesia semata-mata selagi kita sendiri tidak berusaha untuk tidak mengharapkan khidmat mereka. Kekukuhan ekonomi republik itu dan kemampuan menyediakan pekerjaan pada gaji lebih lumayan dengan sendiri mengurangkan minat rakyatnya bekerja di luar negara.

Kerana itu, sama ada suka atau tidak, kita perlu belajar hidup tanpa khidmat rakyat asing. Langkah pertama ialah melaksanakan pelbagai cadangan sebelum ini untuk kurangkan kebergantungan itu.

Dalam soal pembantu rumah misalnya, pelbagai cadangan dan kertas kerja sudah dikemukakan seperti pusat asuhan di tempat kerja, wanita bekerja dari rumah, khidmat amah tempatan dengan bayaran berdasarkan jam bekerja dan pelbagai cadangan lagi.

Dalam soal pembantu rumah ini, kita seharusnya mengikut cara hidup rakyat di negara maju di mana golongan yang benar-benar berkemampuan mempunyai pembantu rumah sepenuh masa. Majoriti rakyat mereka, termasuk golongan menengah hanya menggunakan khidmat pembantu sambilan sama ada sebagai pengasuh atau mengemas rumah. Namun bayarannya agak lumayan sehingga mendorong anak gadis dan pelajar bekerja.

Kita juga harus mencari jawapan benarkah rakyat di negara ini ‘malas’ melakukan kerja yang dilakukan oleh tenaga asing sekarang baik dalam sektor pembantu rumah, pembinaan, perladangan, perkhidmatan dan perniagaan.

Atau adakah itu hanya helah majikan yang sememangnya mahukan pekerja asing kerana mahu mengelak daripada membayar lebih dan melakukan tanggungjawab sosial mereka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Fobia orang terkenal


Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


Ramai tokoh ternama, selebriti fobia perkara remeh yang sukar difahami ramai

FOBIA berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud ketakutan, kecemasan dan kebimbangan. Manakala Kamus Dewan menafsirkan fobia sebagai ketakutan kepada sesuatu.

Ada juga yang menafsirkan fobia kepada ketakutan yang tidak munasabah terhadap objek tertentu, aktiviti atau situasi. Individu yang mengalami fobia biasanya menghadapi rasa negeri kepada sesuatu objek atau situasi. Tetapi mereka tidak menghadapi ketakutan apabila mereka menjauhkan diri daripada objek berkenaan.


Fobia dikatakan boleh menghambat kehidupan orang yang menghadapinya, Peasaan takut seseorang pengidap perasaan itu sangat sulit untuk dimengerti oleh orang lain.

Serangan fobia bergantung kepada keadaan atau situasi. Antara tanda-tandanya adalah pernafasan menjadi cepat; keregangan otot dan berpeluh; ketakutan terhadap objek, aktiviti dan situasi tertentu; serangan yang berulang-ulang dan tekanan selepas berlakunya sesuatu perkara yang menyebabkan trauma seperti dirogol, pembunuhan, trauma bom, terperangkap dalam lif dan sebagainya.

Dalam keadaan normal setiap orang memiliki kemampuan mengendalikan rasa takut. Namun, bagi pengidap fobia terutama apabila dikejutkan dengan subjek fobia mereka, boleh menyebabkan berlakunya kejutan melampau di mana mental menjadi terkunci. Ini disebabkan ketidakmampuan mereka mengendalikan perasaan takut itu.

Fobia juga dikaitkan dengan pengalaman ngeri masa lalu yang dialami penghidap. Ini terus menjadi ketakutan kepada mereka apabila berada dalam situasi berkenaan atau ternampak objek yang mereka takut itu.

Contohnya, ketika kecil seseorang itu pernah tercekik ketika makan ikan yang memiliki banyak tulang, kemungkinan sehingga dewasa seseorang takut makan ikan bertulang banyak.

Berikut disenaraikan tokoh dunia dan selebriti yang tidak terlepas mengalami fobia yang mungkin pada fikiran kita, tidak masuk akal atau sangat melucukan:

George Washington
Taphephobia (takut ditanam hidup-hidup)


Presiden Pertama Amerika Syarikat (AS) George Washington sangat terkenal sebagai negarawan sejati kerana mengarahkan banyak pertempuran antara AS dengan British ketika mahu membebaskan negara itu daripada kuasa Inggeris.

Washington juga dikenali sebagai pemimpin berani dan sanggup membahayakan nyawanya untuk menyelamatkan orang lain. Namun, hakikatnya Washington adalah seorang yang mengidap fobia Taphephobia iaitu takut ditanam hidup-hidup.

Ada pendapat menyatakan Washington sebenarnya takut kepada kawasan perkuburan. Dilaporkan Washington pernah memberitahu pembantunya supaya jasad beliau dikebumikan dua hari selepas kematiannya, kerana beliau tidak mahu ‘terjaga’ dan mendapati dirinya tertanam dalam bumi.

Aneh dan pelik bunyinya. Namun apa yang dialami Washington memang menjadi satu fobia pada zaman itu, ramai golongan ternama dan bangsawan takut mereka ‘tersedar’ dari mati.

Woody Allen
Panophobia (ketakutan pada benda melimpah)


Terkenal sebagai pembikin filem yang pelik dan aneh, realitinya Allen memang seorang yang sebegitu. Banyak benda yang menyebabkan Allen fobia. Selain ketakutan atau fobia yang biasa kita dengar seperti takut pada serangga, ruang sempit dan ketinggian, Allen juga mempunyai banyak ketakutan yang tidak normal atau masuk akal.

Antara ketakutannya adalah fobia pada warna terang, lif, anjing dan mentega kacang melekat pada lelangit mulutnya. Allen pernah buat pengakuan bahawa beliau sangat neurotik seperti takut naik lif, tidak melalui kawasan terowong, hanya mandi dalam bilik air yang mana longkang airnya berada di sudut tepi bukannya di tengah-tengah.

Malah, untuk makan pisang pun beliau potong kecil dan makan bersama bijirin kerana takut tercekik. Memang pelik Allen ini, tapi peliknya itu menjadikan filemnya mendapat sambutan hangat dan dinantikan penggemar filem.

Richard Nixon
Nosocomephobia (takut hospital)


Presiden ke-34 AS ini memang terkenal kerana peranannya dalam menyelesaikan skandal Watergate. Namun, di satu sudut lain, beliau adalah seorang yang fobia kepada hospital. Beliau percaya jika dia pergi ke hospital, maka dia tidak akan mati di sana.

Pada tahun 1974, beliau mengalami masalah darah beku di kepala dan membantah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Namun, doktor memberitahu bahawa jika tidak pergi, dirinya akan mati. Ini menyebabkan Nixon akur dan menerima rawatan di hospital.

Fobia hospital ini biasa kita dengar di kalangan rakyat biasa atau warga tua, agak pelik bunyinya ia berlaku kepada pemimpin dunia seperti Nixon.

Alfred Hitchcock
Ovophobia (takut telur)


Sangat lucu apabila mendengar pengarah terkenal Hollywood seperti Alfred Hitchcock, takut melampau kepada telur. Beliau mendakwa tidak pernah makan telur seumur hidup hingga mereka di sekelilingnya akur dengan fobianya itu.

Namun, tidak dinyatakan sebab mengapa beliau takut dengan telur. Cuma beliau rasa ngeri melihat cecair putih dan kuning keluar daripada cengkerang telur. Pada Hitchcock, telur sangat menjijikkan. Memang sungguh pelik dan melucukan.

Sigmund Freud
Fobia senjata dan paku pakis


Dikenali sebagai pakar psikologi dan neurologi yang mengasaskan sekolah psikiatri dan psikoanalis, malah mencipta banyak teori berkaitan perlakuan manusia termasuk perasan takut melampau atau fobia.

Namun, Freud juga mempunyai fobia iaitu takut pada senjata dan tumbuhan paku-pakis. Beliau sering mengatakan bahawa takut senjata adalah satu tanda kematangan seksual dan emosi selain individu yang mengalami masalah terencat.

Fobia pada senjata ini mungkin ketakutan biasa yang dialami banyak orang. Namun, sukar dijangkau pemikiran kita, orang yang digelar bapa psikologi ini juga takut kepada objek berkenaan.

Bagi fobia paku pakis, ia bagaimanapun tidak dinyatakan dengan jelas puncanya. Namun, ia ada kaitan dengan pengalaman Freud ketika kecil, beliau mungkin mempunyai pengalaman traumatik dengan paku-pakis. Orang yang mengenali Freud mendedahkan, rasa takutnya pada paku pakis lebih kepada takut untuk makan sayur paku itu saja.

Oprah Winfrey
Takut Mengunyah Gula-gula Getah


Sebut saja nama Oprah, semua orang tahu siapa personaliti ini - ratu rancangan bual bicara televisyen terkemuka di dunia. Namun, di satu sudut lain, di sebalik kemasyhuran, Oprah takut pada gula-gula getah.

Semulanya bermula pada zaman kanak-kanaknya iatu ketika neneknya sering melonggokkan gula-gula getah dalam almari. Sejak itu, Oprah memang takut melihat gula-gula getah malah beliau pernah melemparkan pinggan yang diisi dengan manisan berkenaan.

Petugas di studio tempat rancangan bual bicara dirakamkan, mengharamkan gula-gula getah dibawa masuk. Apa yang menghairankan, kakitangan dan penonton studio lazimnya bekerjasama dan akur dengan arahan itu. Siapa sangka bahawa wanita seperti Oprah akan takut sesuatu yang sangat remeh dan kecil seperti gula-gula getah?

Natalie Wood
Hidrofobia (Takut Air)


Beliau adalah pelakon terkenal filem 34 Street dan West Side Story, sangat takut kepada air lebih-lebih lagi jika berada dalam air. Tidak diketahui bagaimana fobia itu bermula, tetapi ada yang menyatakan Natalie jadi begitu selepas ditipu ibunya pada penggambaran satu babak yang memaksa beliau berdiri di atas jambatan.

Jambatan itu sebenarnya memang dibiarkan reput tanpa pengetahuan Natalie bagi membolehkan pelakon itu terjatuh ke dalam air. Kejadian berlaku pada awal pembabitan Natalie sebagai pelakon.

Fobia itu menyebabkan Natalie seumur hidup takut berada dalam air. Ironinya, beliau meninggal dunia selepas terjatuh dari kapal layar.

Billy Bob Thornton
Panophobia - (takut akan segalanya)


Beliau seorang pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis terkenal di Hollywood. Malah pernah menjadi suami kepada Angelina Jolie, Thornton sama seperti Woody Allen takut pada banyak benda.

Paling menyerlah, Thornton mengalami chromophobia atau takut kepada warna-warna terang. Paling melucukan dan mungkin aneh bunyinya, beliau takut dengan perabot antik. Beliau sanggup menukar hotel jika mendapati biliknya dipenuhi perabot antik.

Thornton berkata, beliau pernah berkunjung ke restoran yang dipenuhi perabot antik dan situasi itu menyebabkan beliau tidak mampu makan, minum atau bernafas dengan baik. Satu lagi yang melucukan, Thornton takut pada badut yang digelar coulrophobia. Ketakutan kepada badut ini juga dialami pelakon Johnny Depp.

Nikola Tesla
Fobia Kuman dan Barang Kemas


Nikola Tesla adalah pencipta terkenal, dengan karya berkaitan elektromagnet dan elektrik. Beliau adalah seorang germaphobe iaitu fobia menyentuh orang kerana khuatir dijangkiti kuman.

Tesla kerap kali membasuh tangan dan mengelak untuk bersalam dengan orang ramai. Tesla juga mengalami germaphobia iaitu takut kepada barang perhiasan, terutama anting-anting yang mengandungi mutiara. Tidak diketahui sebab fobianya itu.

Tesla juga selalu melakukan sesuatu perkara sebanyak tiga kali. Malah beliau mahukan bilik hotel yang mempunyai tiga bahagian.

Napoleon Bonaparte
Ailurophobia (Takut Kucing)


Nama besar Napoleon Bonaparte, memang dikenali sesiapa saja. Beliau seorang pemimpin ketenteraan dan ahli politik terkemuka Perancis. Malah musuhnya sangat gerun kepadanya.

Namun, di sisi lain, Napoleon sebenarnya fobia pada kucing. Tidak diketahui mengapa beliau sangat takut pada haiwan comel kesayangan ramai itu. Apa yang diketahui muka Napoleon bertukar menjadi pucat jika melihat kucing melintas di depannya.

Ketakutan pada kucing ini bukan saja berlaku pada Napoleon! Banyak tokoh lain yang cuba untuk memerintah dunia turut takut kucing, termasuk Hitler, Mussolini dan Julius Caesar. Rasanya kucing dan diktator tiada keserasian.

Madonna
Brontophobia (takut pada kilat dan guruh)


Dikenali ramai sebagai ikon muzik yang berani mendedahkan tubuh badannya selain pelbagai kontroversi yang melilit kehidupannya. Dianggap penyanyi yang berani dan agresif terutama dalam kerjayanya, namun ramai yang tidak tahu penyanyi yang juga ibu kepada dua anak dan dua anak angkat ini nampak seperti ‘superwomen’ jika berhadapan berpuluh ribu penonton di stadium. Sebenarnya, Madonna sangat takut pada kilat dan bunyi guruh.

NOTA HUJUNG :

10 fobia

BERIKUT adalah 10 fobia yang paling lazim dihadapi kebanyakan orang yang akhirnya membawa kepada gejala seperti pening, mual, berpeluh dan sesak nafas.

Dalam sesetengah kes, gejala ini memuncak ke serangan panik besar-besaran. Fobia berkenaan biasanya membabitkan alam sekitar, haiwan, atau situasi tertentu.

1. Arachnophobia:
Takut labah-labah.
Fobia ini biasanya berlaku di kalangan wanita lebih daripada lelaki.

2. Ophidiophobia:
Takut ular.
Sering dikaitkan dengan punca evolusi, pengalaman peribadi atau pengaruh budaya.

3. Acrophobia:
Takut ketinggian.
Kebimbangan ini boleh membawa kepada serangan kebimbangan dan mengelakkan berada di tempat yang tinggi.

4. Agoraphobia:
Takut situasi yang mana mereka merasakan sukar untuk melarikan diri.
Ini termasuk kawasan sesak, kawasan lapang atau situasi yang mungkin boleh mencetuskan panik - berebut naik bas atau membeli tiket. Mereka yang mengalami fobia ini selalunya akan mengelak diri dari kawasan sedemikian dan kadang kala lebih suka tidak duduk di rumah. Kira-kira satu pertiga mereka yang mengalami gangguan panik adalah agoraphobia.

5. Cynophobia:
Takut anjing.
Fobia ini sering dikaitkan dengan pengalaman peribadi tertentu seperti digigit oleh anjing ketika kanak-kanak.

6. Astraphobia:
Takut guruh dan pencerah.
Juga dikenali Brontophobia, Tonitrophobia atau Ceraunophobia.

7. Trypanophobia:
Takut suntikan.
Seperti kebanyakan lain, fobia jenis ini menyebabkan mereka yang mengalaminya mengelak diri mengunjungi hospital atau klinik walaupun sakit dan memerlukan rawatan.

8. Fobia sosial
Takut situasi sosial.
Dalam banyak kes, fobia ini boleh menjadi begitu serius bahawa orang mengelak peristiwa, tempat, dan orang-orang yang mungkin mencetuskan serangan kebimbangan.

9. Pteromerhanophobia:
Takut terbang.
Kebiasaannya mereka yang fobia ini akan diberi terapi pendedahan di mana mereka secara beransur-ansur dan progresif didedahkan dengan situasi penerbangan.

10. Mysophobia:
Takut kuman atau kotoran.
Mungkin berkaitan dengan gangguan obsesif-kompulsif. Juga dikaitkan dengan masalah mental dan sering mengelak diri daripada bersentuhan dengan orang lain

Sumber : http : //www.bharian.com.my/