Selasa, 27 Mac 2012
ISU SOSIAL : Usia 9 hingga 22 tahun paling ramai hilang 2011
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan perempuan berusia sembilan hingga 22 tahun adalah paling ramai dilaporkan hilang oleh ibu bapa atau penjaga mereka sepanjang tahun lalu, membabitkan 726 daripada 1,097 orang.
Statistik Bukit Aman menunjukkan setakat ini, 406 daripada mereka termasuk 273 perempuan sudah ditemui semula, manakala 691 lagi termasuk 453 kanak-kanak dan remaja perempuan masih belum ditemui dan usaha mengesan mereka masih dijalankan.
Hasil soal siasat ke atas mangsa yang sudah ditemui semula dan keluarga mangsa yang masih hilang mendapati kebanyakan mangsa hilang disebabkan lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki selain tinggal berasingan bersama ibu atau ayah selepas berlaku perceraian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata dalam tempoh itu remaja wanita berumur 14 hingga 17 tahun adalah paling ramai dilaporkan hilang, iaitu 333 kes dengan 147 daripada mereka sudah ditemui semula.
“Punca kehilangan kebanyakan kanak-kanak dan remaja perempuan adalah disebabkan lari mengikut teman lelaki sama ada rakyat tempatan atau warga asing, pengaruh rakan serta inginkan kebebasan kerana mahu lari dari masalah keluarga.
“Kejadian ini pasti tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terbabit terutama ibu bapa, penjaga dan masyarakat bersama-sama memainkan peranan dengan memberikan perhatian bagi mendalami permasalahan yang dihadapi kanak-kanak dan remaja masa kini,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU KENEGARAAN : Kepelbagaian wasatiyah kesederhanaan jadi kunci lahirkan bangsa Malaysia
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
KESEDERHANAAN menjadi laungan kepimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sejak mengambil alih tadbir-urus negara memandangkan suasana persekitaran kehidupan masyarakat masih secara licik dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian yang tiada penghujungnya sejak 2008.
Barangkali pengalaman peralihan kepimpinan ketika suasana masih tidak menentu dengan keadaan ekonomi dan politik yang tidak stabil menyebabkan masyarakat seolah-olah menganggap budaya politik keetnikan sudah berakhir berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12.
Namun, selepas mula memimpin negara, Najib bangkit untuk melonggarkan sentimen keetnikan dan ras supaya masyarakat sedar kestabilan adalah segalanya di negara yang kompleks ini. Walaupun berbeza agama, kepercayaan dan keturunan yang disuburkan dengan pelbagai upacara dan ritual serta praktis, nilai kenegaraan tidak boleh dikompromi.
Fahaman politik dan gender tidak terkecuali. Ini jaminan dibawah kepimpinan beliau yang menekankan pendekatan wasatiyah@kesederhaaan agar kepelbagaian masyarakat negara ini tidak terhakis hubungan sosialnya tetapi kepelbagaian menjadi aset dominan untuk kepentingan bersama.
Golongan sederhana mesti secara terbuka menyuarakan keazaman mereka ke atas nilai ini melangkaui kelompok ekstrem yang selalu menonjol agar tidak menampakkan seolah-olah pupusnya nilai perkongsian bersama yang dinikmati selama ini.
Tidak boleh dinafikan bahawa setiap individu yang lahir dalam mana-mana keluarga dengan sosialisasi yang berbeza mempunyai sifat prejudis dan etnosentriknya. Tetapi sejauh manakah masing-masing tahu menyesuaikan diri dengan keadaan dalam mengemukakan nilai tersebut juga berkait dengan kematangan masing-masing berdasarkan prinsip 'menarik rambut dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berselerak' agar kejayaan memelihara keamanan tidak terjejas disebabkan oleh persepsi ke atas politik dan perilaku sesetengah politikus yang ghairah menilik kuasa sehingga lalai dalam pemahaman ke atas 'yang mana liberal dan yang mana ekstrem' tanpa mahu menghalusi prinsip wasatiyah kepimpinan hari ini.
Ini kerana didikan di rumah dan kemudian di sekolah diikuti dengan paparan di media serta rakan sebaya dan perkembangan dengan alam maya dan pembentukan perwatakan seharian di alam yang berbeza mempunyai tafsiran yang berbeza ke atas hubungan sosial, namun sejauh manakah masing-masing bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan memberikan keutamaan ke atas persamaan menjadi teras utama dalam pendekatan wasatiyah ini.
Kepelbagaian adalah satu keistimewaan yang perlu dirai dengan keperibadian sederhana agar ia sama sekali tidak menjejaskan kerangka besar yang sudah dipersetujui selama ini. Ia membawa semula kepada persoalan mengapakah wujudnya nilai 'pengorbanan' dan 'kompromi' yang luar biasa pada awal kemerdekaan yang turut dimaterai di bawah Perlembagaan.
Nilai Institusi Raja-Raja Melayu, Hak Istimewa Bumiputera, Bahasa, Agama dan hak kewarganegaraan merupakan tunjang kekuatan berpaksikan kepada semangat kesederhaaan yang seharusnya menjadi amalan.
Proses pembangunan manusia bukan sekadar mendapatkan ilmu, kebolehan dan kemahiran. Lebih daripada itu, ia juga adalah pembentukan perwatakan atau karakter yang bersifat menyeluruh dengan nilai akidah dan akhlak yang baik walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza.
Kita mesti menyoal mengapa negara ini dibanjiri dengan warga asing? Atau pernahkah kita mendengar warga Malaysia membanjiri negara lain walaupun ada yang melakukan migrasi ke negara luar. Jika negara ini tidak elok atau tidak ada sesuatu keunikan dengan limpahan sumbernya, apakah ia menjadi tarikan untuk mencari nafkah hidup?
Tanya kepada mana-mana warga asing bagaimana Malaysia dilihat sebagai 'syurga' kerana mereka boleh menerokai pelbagai bidang yang tidak menjadi pilihan utama kepada kita. Apakah kerajaan bertanggungjawab jika kita sendiri gagal memahami aspirasi di sebalik nilai kepimpinan yang membuka ruang di sebalik keterbukaannya.
Wasatiyah juga membolehkan warga asing mencari rezeki di negara ini kerana jaminan keselamatan tetapi apakah ia boleh bersifat kekal jika elemen politik dibenar mengganggu mindset umum dengan pelbagai dakyah, tohmahan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menipu dan berbohong semata-mata untuk kedudukan dan pangkat. Apakah amalan songsang dan di luar tabii yang bukan wasatiyah tetapi ekstrem boleh dibenar menjadi jaguh membelakangkan aspirasi sebenar negara bangsa ini?
Kesederhanaan bukan baru tetapi Najib sinonim dengan wasatiyah. Najib diberikan pengiktirafan di peringkat global kerana pendekatan wasatiyah juga menjamin keamanan sejagat dan jika Malaysia gah sebagai negara yang harmoni dan bersatu padu; dunia akan menghormati Malaysia dan mahu mencontohinya.
Yang penting 'kemuafakatan' adalah teras kekuatan Malaysia. Jika ia diamalkan dalam segala tatacara kehidupan warganya, nescaya ketika merentasi tahun 2020, kesederhaaan ini juga menjadi kunci kejayaan melahirkan bangsa Malaysia yang berjiwa kelas satu di negara kelas pertama.
Ada kekuatan rohaniah dan sahsiah dalam apa sahaja kelebihan yang ada pada diri masing-masing; bangsa pelbagai yang bertamadun tetapi jauh lebih baik dari negara maju kerana titik pertemuan 'luaran dan dalaman' diri seorang yang menamakan dirinya warga Malaysia. Luaran sudah pasti memaparkan personaliti yang berwibawa dengan ilmu dan kebolehan tetapi diperteguhkan dengan butiran dalaman seperti semangat jati diri, nasionalisme, patriotisme, moral, akidah, akhlak dan berhemah.
Ia juga sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dianggap sebagai pelengkap kepada pendekatan wasatiyah ini. Formula 1Malaysia sebenarnya bertujuan untuk membolehkan masyarakat tahu bahawa mereka mempunyai hak di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan waktu yang sama tidak boleh memilih mengikut keselesaan masing-masing untuk merujuk kepada dokumen ini dalam keadaan yang memihak kepada mereka.
Jika bangga menjadi warganya, mereka harus mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan bukan menjadi talam dua muka yang berubah ketika mahu mendapatkan sokongan luar atas kepentingan politik semata-mata. Kadang-kadang mereka menjadi 'lebih sudu dari kuah' tanpa memahami bahawa amalan 'sokong bawa rebah' hanya menguntungkan sesetengah personaliti yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara untuk kepentingan kuasa dan kedudukan.
Pendirian yang radikal ini bukan semangat wasatiyah. Ia adalah sifat rakus mahu berkuasa dan bersedia kompromi keselamatan negara untuk kepentingan diri. Sekuriti adalah tunggak pancaran kedaulatan yang wajib dipertahankan oleh setiap warga bertanggungjawab dan tidak tunduk kepada tekanan atau kemahuan lawan.
Konsep 1Malaysia sudah merentasi satu putaran pelbagai fasa. Dari fasa melahirkan kesedaran diikuti dengan kefahaman dan kini ditahap penerapan; masyarakat yang dulu menyoal pendefinasiannya, kini berubah. Individu yang dulu tidak memahami dan menganggap ia mengelirukan, kini faham dan sedar kepentingan konsep tersebut dalam konteks negara kita.
Kestabilan kehidupan berukun dan kesejahteraan masyarakat tidak boleh dijual beli; tidak boleh digadai; tidak boleh dipajak atas kepentingan politik. Kita dilahirkan dengan fahaman berbeza; didikan agama berlainan; proses pembesaran tidak sama tetapi wajarkah kita menyimpang dari apa yang sudah dipersetujui atas prinsip hormat, faham dan toleransi selama ini? Kehidupan dalam satu keluarga besar mesti ada kesedaran bahawa keikhlasan dan kejujuran penting jika mahu terus kekalkan apa yang sudah dibina untuk sekian lamanya.
Mudah untuk merobohkan sesuatu itu dengan sekelip mata tetapi bukan mudah untuk menghilangkan Malaysia dari peta dunia yang dicemburui dasar hubungan antara etniknya tetapi tidak mustahil dalam persaingan dunia pembesar politik. Kebobrokan politik tidak boleh dibenarkan untuk menjual Malaysia, memencilkan wadah keselamatan atau membina sifat benci dan hasutan rasis kerana ada matlamat untuk mencapai puncak kuasa.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Anak lari ikut kekasih, ibu bapa makan hati
Oleh Noraini Razak
RAMAI yang marah-marah membaca kisah anak gadis bawah 15 tahun melarikan diri gara-gara mengikut kekasih. Marah sebab kehilangan mereka pada mulanya disangkakan diculik.
Boleh saja kita bayangkan betapa risau si ibu dan bapa gadis berkenaan apabila anak mereka tidak pulang ke rumah.
Perkara pertama terlintas di fikiran tentulah yang buruk-buruk. Lebih-lebih lagi statistik gadis hilang, diculik, dirogol dan dibunuh semakin bertambah. Hati ibu mana yang tidak risau.
Selepas 24 jam kehilangan, laporan polis dibuat kerana bimbang keselamatan si anak. Apabila laporan polis dibuat tentulah berita kehilangan si anak gempar di media cetak dan elektronik.
Selepas berita kehilangan dilaporkan, tiba-tiba anak yang hilang didapati melarikan diri. Bukan kerana masalah di rumah, bukan juga kerana didera jauh sekali tidak cukup makan. Anak gadis yang disangkakan hilang rupa-rupanya lari mengikut kekasih.
Apa perasaan ibu bapa? Apa pula perasaan masyarakat yang sebelum itu amat bersimpati dengan kejadian tersebut. Simpati melihat air mata ibu dan bapa meratapi kehilangan anak. Tentunya perasaan simpati bertukar marah apabila kehilangan tersebut rupanya ada kaitan dengan kisah cinta gadis bawah umur.
Gejala anak gadis lari dari rumah kerana cinta apatah lagi melibatkan teman lelaki yang berusia dan sudah berumah tangga memang membimbangkan. Sepatutnya lelaki dewasa menjadi pembimbing anak-anak gadis terutamanya yang boleh saja dikatakan hampir sebaya dengan anak mereka.
Belum masanya anak gadis berusia 15 tahun atau di bawah 18 tahun diheret ke alam percintaan yang indahnya hanya sementara. Tidak adil juga membiarkan mereka terjerumus ke alam angan-angan.
Pada usia tersebut anak-anak gadis sepatutnya memandang jauh, melihat masa depan yang gemilang dan bukannya membiarkan diri tenggelam dihanyutkan perasaan.
Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa gadis bawah usia 18 tahun sebenarnya masih lagi tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak. Mengapa kanak-kanak? Mungkin kerana pada usia tersebut anak-anak gadis memerlukan perlindungan, belaian kasih sayang keluarga dan perhatian yang bukan sedikit.
Bayangkan jika pada usia tersebut mereka masih tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak, di mana rasionalnya untuk kita membiarkan gadis sunti menyerahkan masa depan yang masih panjang kepada seorang lelaki seusia atau terlebih usia, sudah berkahwin dan kerja pun tidak seberapa.
Saya bersetuju dengan pandangan banyak pihak bahawa gadis bawah usia 18 tahun sering terkhilaf dalam membuat keputusan. Malah adakalanya apa yang mereka buat mendatangkan bencana pada diri sendiri.
Mereka tidak mampu menjangkakan kesan di sebalik keputusan yang dibuat. Baik gadis mahupun remaja lelaki bawah umur sebenarnya masih memerlukan bimbingan untuk memastikan jajaran otak mereka terdorong kepada perkara-perkara positif.
Sebab itu ada peruntukan undang-undang khusus untuk mereka supaya kehidupan mereka dapat dipandu agar tidak menyeleweng daripada jalan lurus yang sememangnya telah terbentang di hadapan mata.
Dalam hal remaja melarikan diri kerana cinta siapa sebenarnya yang mahu dipersalahkan? Adakah pengaruh filem, televisyen atau pentas hiburan yang semakin tipis batasnya?
Atau pun kegagalan membentuk jati diri menjadikan anak-anak muda bawah umur baik gadis mahu teruna mudah sahaja terjerumus ke lembah hitam. Mahu disalahkan ibu bapa, atau pihak sekolah atau pemerintah?
Dalam banyak kes, gadis yang melarikan diri tidak semuanya dilahirkan dalam keluarga bermasalah. Ada yang dibelai, diasuh supaya berbudi pekerti, namun akhirnya tewas. Justeru soal siapa salah tidak seharusnya berbangkit sebaliknya jalan penyelesaian yang mesti dicari.
Terkandung di bawah akta yang sama bahawa anak gadis dan teruna yang bertindak sehingga boleh merosakkan diri sendiri mesti dibawa ke mahkamah dan dirujuk ke pusat penjagaan sementara.
Justeru, mungkin ibu bapa mesti diberi penjelasan dan penerangan bahawa dalam keadaan anak-anak tidak mahu mendengar kata kerana terlalu asyik bercinta, maka mahirkan mereka dengan Akta Kanak-kanak.
Biar mereka tahu apa yang boleh dilakukan jika anak-anak terus enggan mendengar kata. Jika anak kembali ke rumah kemudian lari lagi mengikut kekasih maka laksanakan apa yang terkandung di dalam akta tersebut.
Maklumkan kepada anak-anak bahawa mereka mungkin boleh ditempatkan di rumah perlindungan untuk lebih dididik dan diasuh, jika asuhan ibu bapa tidak dihiraukan.
Bagi ibu bapa, jangan malu berkongsi beban atau masalah. Membiarkan masalah terlalu lama akan berakhir dengan padah termasuk anak lari mengikut kekasih.
Kita sentiasa simpati kepada ibu bapa yang kehilangan anak, terutamanya dalam kes yang tidak `tulen’ iaitu mengikut kekasih hati.
Sesungguhnya ibu bapa lebih mengetahui gejolak hati anak gadis atau anak teruna mereka. Jika sekilas ikan di air boleh ditentukan jantan atau betina, maka tidak sukar untuk ibu bapa mengetahui sama ada anak mereka melarikan diri kerana cinta, didera ataupun diculik.
Naluri keibuan sangat sensitif untuk menyimpulkan apa sebenarnya yang menimpa anak mereka.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Nuklear penyelesaian masalah tenaga Malaysia?
Oleh Borhan Abu Samah
NUKLEAR... Apabila disebut pasti ramai yang berasa ngeri kerana terbayang pelbagai bencana yang amat dahsyat di beberapa buah negara terbabit.
Bermula serangan bom atom ke atas Jepun, hinggalah kejadian kebocoran reaktor nuklear di Chernobyl, Ukraine dan kejadian yang hampir sama di Fukushima, Jepun.
Tragedi Chernobyl yang berlaku pada 26 April 1986 dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebabkan 9,000 kematian yang berpunca daripada kanser akibat terdedah kepada radioaktif, manakala Greenpeace menganggarkan 93,000 orang terjejas akibat kejadian itu.
Kesan radioaktifnya dapat dikesan hingga ke Sweden iaitu kira-kira 1,000 kilometer dari Kiev. Namun Ukraine tidak pernah serik dan terus menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga utamanya. Bahkan negara berkenaan juga mewarisi senjata nuklear daripada bekas Soviet Union.
Lebih banyak negara maju kini turut beralih kepada tenaga nuklear.
Korea Selatan contohnya yang menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, merupakan negara kelima di dunia yang tertinggi menjana elektrik menggunakan nuklear.
Agensi Atom Antarabangsa menganggarkan 300 buah janakuasa nuklear akan dibina di seluruh dunia pada 2030, menjadi jumlah keseluruhan sebanyak 750 buah.
Untuk membina dan mengurus 300 buah janakuasa itu, sebanyak 100,000 pekerja profesional diperlukan.
Menyedari hakikat keperluan itu Korea Selatan baru sahaja membuka sekolah antarabangsa nuklear bagi melahir lebih ramai tenaga profesional dalam bidang tersebut.
Negara-negara maju sebenarnya lebih ghairah untuk mencari kaedah selamat bagi mengendalikan janakuasa nuklear berbanding pelaburan untuk tenaga yang boleh diperbaharui.
Itulah sebenarnya tujuan Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang sedang berlangsung di Seoul selama dua hari.
Mencari kaedah yang paling selamat mengendalikan tenaga nuklear dan pada masa yang sama mengambil langkah mengetatkan pengedaran uranium dan plutonium iaitu dua bahan untuk menghasilkan tenaga nuklear daripada jatuh ke tangan pengganas.
Dua perkara itu adalah kebimbangan utama dan jika berjaya diselesaikan, maka tenaga nuklear merupakan pilihan paling murah dan tidak lagi perlu bergantung kepada janakuasa arang batu dan minyak yang membabitkan kos yang tinggi lantaran sumber asli itu semakin berkurangan dan harganya pula terlalu tinggi.
Untuk memastikan tarif elektrik terus rendah kerajaan terpaksa secara berterusan memberi subsidi dan ia hanyalah langkah jangka pendek. Jadi langkah jangka panjang perlu diambil dan salah satunya menggunakan tenaga nuklear yang lebih murah.
Malaysia boleh belajar daripada Ukraine dan Jepun iaitu dua buah negara yang telah ditimpa bencana berpunca daripada reaktor nuklear.
Pengalaman pahit yang dilalui oleh dua buah negara itu pada masa yang sama memberi kelebihan kepada tenaga pakar di negara berkenaan untuk mengendalikan reaktor nuklear dengan cara yang selamat.
Selain itu Korea Selatan contohnya kini bukan sahaja menggunakan tenaga nuklear, bahkan menjadi antara pengeksport utama janakuasa elektrik menggunakan nuklear di dunia.
Syarikat-syarikat dari Korea Selatan begitu agresif sehingga kini dianggap sebagai pencabar kepada pemain lain dalam industri itu. Pada 2009 konsortium beberapa buah syarikat dari Korea Selatan memperolehi kontrak membina janakuasa nuklear di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bernilai AS$40 bilion.
UAE sebuah negara pengeluar minyak utama dunia juga mengambil langkah menyedia sumber tenaga alternatif, berbanding Malaysia yang mempunyai sumber tenaga fosil yang terhad.
Jika syarikat-syarikat dari Korea Selatan mendapat kepercayaan membina dan mengendalikan janakuasa nuklear dengan selamat, jadi tidak salah Malaysia mengorak langkah ke arah itu.
Mungkin itulah juga penyelesaian kepada masalah bekalan tenaga di Malaysia. Apa yang perlu dilakukan ialah memberi kefahaman dan keyakinan kepada rakyat terhadap janakuasa nuklear.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : ‘Kita komited guna nuklear untuk kebaikan’
SEOUL: Malaysia komited untuk memastikan tenaga nuklear hanya digunakan untuk tujuan keamanan dan tegas dalam menguatkuasakan kawalan terhadap pengeksportan, pemindahan dan transit semua barangan yang mungkin digunakan bagi membangunkan dan mengeluarkan senjata nuklear.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi memastikan tenaga nuklear hanya untuk tujuan keamanan, Malaysia mematuhi segala peruntukan di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Katanya, dalam masa sama Malaysia belum membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan tenaga nuklear pada masa hadapan dan hanya menggunakan sumber itu untuk tujuan kebaikan seperti dalam bidang perubatan, pertanian dan pemprosesan makanan.
“Kita bernasib baik kerana mempunyai hasil petroleum tapi sumber seperti itu berkurangan pada masa akan datang.
“Berikutan itu, kita perlu melakukan persediaan sekiranya ia berlaku,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Muhyiddin berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear 2012 yang bermula semalam dan hari ini. Sidang itu dihadiri 53 ketua negara dan lima Ketua Organisasi Antarabangsa.
Turut hadir Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Antara negara yang dijemput adalah Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam, Arab Saudi, Australia, Brazil, Russia dan United Kingdom.
Sidang itu dijangka membincangkan penyelarasan rangka kerja keselamatan nuklear antarabangsa, mengukuh peranan IAEA dan mempertingkatkan sumbangan ke arah dana keselamatan nuklear, selain menjamin pengurusan keselamatan pengkayaan uranium dan plutonium iaitu dua bahan utama yang menjadi asas membuat bom nuklear.
Muhyiddin berkata, bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai nuklear, kerajaan akan menganjurkan program pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai.
“Kita perlu menjelaskan kepada masyarakat supaya tidak berlaku salah faham,” katanya.
Persidangan itu juga akan melihat semula apa yang sudah dicapai sejak Sidang Kemuncak keselamatan Nuklear 2010 yang diadakan di Washington serta kerjasama antarabangsa untuk meningkatkan jaminan masa depan.
Muhyiddin berkata, Malaysia komited dalam isu nuklear sejak sidang kemuncak di Washington dan kini sudah pada peringkat akhir dalam menyemak semula Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304).
“Malaysia tegas keselamatan inisiatif nuklear bagi menghalang semua barangan yang mungkin diguna bagi membangunkan dan mengeluarkan senjata nuklear,” katanya menambah Malaysia kini mempunyai 300 pakar nuklear.
Muhyiddin berkata, sebagai persediaan untuk keperluan pada masa akan datang, Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) ditubuhkan pada 11 Januari 2011 berperanan sebagai Pelaksana Program Tenaga Nuklear negara.
Sumber : http ://www.bharian.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Facebook saluran perangkap
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my
RAMAI yang menginginkan cinta sejati. Namun, ramai juga yang tersungkur dek terlalu mengagungkan cinta sehingga tidak sedar perkara yang dikorbankan demi pasangan.
Masing-masing mempunyai definisi tersendiri mengenai cinta. Manis, masam, pahit dan masin, semuanya ada. Namun, berbeza pula maksudnya dengan golongan yang gemar menggunakan cinta secara sengaja untuk memperdaya mangsa sehingga membawa penderitaan berpanjangan.
Biasanya mereka sanggup mempermainkan perasaan pasangan yang sengaja dilakukan atas tujuan jenayah dengan memerangkap mangsa untuk dijadikan sebagai ‘keldai dadah’.
Perlu difahami maksud keldai dadah adalah seseorang yang secara rela ataupun diperdaya untuk menjadi pembawa dadah ataupun pelbagai barang seludup yang lain secara haram dan tersembunyi ke negara lain.
Kerana cinta, mangsa sanggup melakukan apa saja semata-mata ingin menjaga hati pasangan mereka sehingga ada yang rela membawa dadah ke luar negara untuk diserahkan kepada sindiket lain. Apabila tertangkap, barulah sedar dan menyesal kerana mengikut kata hati.
Menurut penceramah bebas, Norita Azmi, sindiket dadah bijak menggunakan pelbagai cara, ditambah dengan zaman teknologi hari ini bagi menarik perhatian mangsa untuk memperdaya mereka.
“Apatah lagi, laman sosial facebook semakin digemari oleh kebanyakan masyarakat tidak mengenal usia. Ini membuatkan mereka menjadikan saluran itu sebagai alat memperdaya mangsa.
“Biasanya ahli sindiket antarabangsa akan menggunakan laman sosial itu untuk menarik perhatian mereka yang mudah tertipu.
“Statistik yang dipetik daripada laporan disiarkan televisyen tempatan menunjukkan sejumlah 19 mangsa iaitu lelaki dan perempuan menjadi keldai dadah pada 2011 selepas berkenalan di facebook.
“Selain itu, mereka menggunakan lelaki tempatan untuk mencari kenalan wanita dan seterusnya memikat mangsa sehingga jatuh cinta.
“Kesempatan itulah yang digunakan oleh sindiket terbabit untuk menjanjikan pelbagai peluang menarik dan menabur janji manis untuk memperdayakan mangsa.
“Tidak cukup dengan lelaki tempatan, ada juga sindiket yang menggunakan wanita bagi merekrut ahli baru untuk memperdaya mangsa lain,” jelasnya mengenai modus operandi sindiket keldai dadah yang diperoleh daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Tambah Norita, antara contoh kes membabitkan keldai dadah berkaitan perkenalan singkat dalam laman sosial facebook. Misalnya, selepas berkenalan dengan lelaki kulit hitam tahun lalu, ia mengubah hidup seorang gadis berketurunan Dayak yang berasal dari Sarawak.
Gadis berusia 22 tahun yang pernah menuntut di Kolej Segi itu ditahan di Shenzhen, China sejak 29 Mac lalu apabila pihak berkuasa negara itu menemui sejumlah dadah yang disembunyikan di dalam perutnya.
Disebabkan teruja dengan bayaran RM5,000, dia dengan rela menelan 100 bungkus dadah jenis heroin seberat 700 gram untuk dihantar ke Shenzhen.
“Pelbagai jenis dan sebab mangsa itu menjadi keldai dadah. Antaranya, mereka mudah terpedaya dengan janji dan tawaran wang lumayan dengan bekerja di luar negara oleh ejen tidak dikenali tanpa mengetahui mereka menjadi mangsa.
“Bukan itu saja, mangsa keldai dadah juga ada yang dikesan daripada golongan yang mempunyai sifat mudah percaya dan kelabu mata dengan kemewahan serta cinta yang ditawarkan oleh lelaki asing, membuatkan mereka tidak berfikir panjang sekali gus mengambil keputusan terburu-buru hingga memakan diri sendiri.
“Selain itu, kebanyakan mangsa juga menghadapi masalah kewangan sehingga sanggup mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang yang banyak.
“Malah ada juga yang terjebak dengan kata-kata manis dan akhirnya jatuh cinta menerusi facebook tanpa mengenali latar belakang sebenar pasangan,” katanya kepada lebih 100 peserta seminar terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Seminar bertajuk Menifestasi Cinta anjuran bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan dan Usim bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendedahan awal agar mereka tidak terjebak dengan keldai dadah.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd. Turut hadir pada seminar terbabit, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Usim, Nazrul Hakim Ahmad.
Sementara itu, bagi peserta seminar, Nurulamira Mohd Azmi, 23, masalah itu disifatkan berpunca daripada desakan hidup kerana trend generasi muda hari ini yang inginkan hidup mewah.
“Ditambah dengan keadaan mereka yang masih belajar dan perlu menggunakan duit banyak selain cuba mencari alternatif mudah untuk melancong ke luar negara.
“Nasihat saya kepada generasi muda agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada kerana Tuhan itu maha adil dan sebenarnya tiada jalan mudah untuk mencari duit.
“Tanggungjawab pelajar adalah belajar bersungguh-sungguh dan cuba berusaha sendiri dengan jalan yang betul jika mereka ingin menambah pendapatan.
“Banyak usaha yang boleh dilakukan dan ingatlah jika hidup terlalu mudah sangat ia tidak akan mencabar,” katanya.
Menurutnya, seminar berkenaan memberi kebaikan khususnya untuk generasi muda kerana memang perlu mendapat pendedahan agar tidak terjebak dengan masalah keldai dadah.
“Pada masa sama, ia juga dapat memberi pendedahan kepada orang lain yang rapat dengan kita misalnya ibu, kakak dan adik untuk sama-sama memberi nasihat mengenai masalah ini,” katanya.
Bagi Siti Nadhirah Mohamed Hassan, 23, yang bertindak sebagai pengarah seminar berkata, golongan yang terjebak dengan masalah ini rata-rata mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan janji manis pasangan atau rakan yang baru dikenali.
“Demi cinta, wanita sanggup melakukan apa saja. Jika salah mentafsirkan makna cinta, ia akan mengundang ke arah pilihan jalan yang negatif kepada diri mereka sendiri.
“Jadi, seminar ini dianjurkan supaya pelajar mendapat pendedahan daripada awal agar mereka lebih berjaga-jaga supaya tidak terjebak dengan masalah ini.
“Selain itu, maklumat yang diperoleh juga boleh disalurkan atau dikongsi bersama rakan lain dan ahli keluarga,” jelasnya.
Tambahnya, pelajar di institusi pengajian tinggi perlu mengaktifkan diri dengan program ilmiah supaya mereka memahami isu terkini bagi mengelakkan diri daripada terbabit secara sengaja ataupun tidak.
Fakta
Modus operandi:
● Sindiket dadah antarabangsa pada era kini bijak dengan menggunakan saluran baru atau popular seperti laman sosial facebook untuk merekrut wanita tempatan.
● Terdapat juga sindiket yang menggunakan lelaki tempatan untuk mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.
● Ada juga sindiket yang melantik wanita untuk merekrut anggota baru menjadi keldai dadah.
Mangsa yang dikenal pasti mudah terjebak untuk menjadi keldai dadah:
● Wanita tempatan
● Pelajar
● Janda atau ibu tunggal
● Pekerja berpendapatan rendah
Wisma Putra menggariskan lima langkah yang boleh diambil bagi mengelak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik dan menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa:
● Menentukan status dan memeriksa latar belakang majikan.
● Berwaspada dengan tawaran ‘wang mudah’ yang tidak diminta.
● Berwaspada apabila disuruh membawa barangan yang tidak diketahui.
● Berhati-hati dengan jalinan hubungan yang cepat berkembang bersama kenalan baru yang menawarkan pelbagai janji dan manfaat.
● Melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sesuatu tawaran kerja yang disyaki kesahihannya.
● Jangan berkorban apa saja demi cinta.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
ISU PENGAJIAN TINGGI : Hentikan program kurang popular
Masuk universiti bukan tiket dapat kerja
Oleh Siti Salmiah A Hamid
rencana@hmetro.com.my
ADA suara sumbang kedengaran tatkala segelintir masyarakat memperkatakan isu mengenai kadar pengangguran graduan yang masih tiada kesudahan.
Antara puncanya ialah graduan tidak berhati-hati memilih program pengajian yang mampu menawarkan peluang kerjaya cerah usai pengajian.
Kebanyakan mereka hanya mahu status sebagai mahasiswa menara gading dan tidak kisah program ditawarkan.
Dan, ada beranggapan, program tidak popular itu seharusnya dihentikan kerana tidak mampu membantu graduan merangka kerjaya cemerlang berbanding program kritikan.
Persoalannya, benarkah program kurang popular tidak boleh menyumbang terhadap pembangunan negara? Apa pula nasib dan masa depan program terbabit?
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zaid Ahmad, berkata penilaian positif serta adil harus diberikan kepada program tidak popular ini dan mengetepikan tanggapan skeptikal serta prejudis.
Beliau berkata, biarpun dikatakan banyak menyumbang kepada peningkatan jumlah pengangguran graduan, ia lebih bersifat berat sebelah.
“Program tidak popular tiada kaitan dengan isu pengangguran di kalangan graduan. Itu tohmahan semata mata yang bukan saja boleh menggugat masa depan malah menyekat kelangsungan perjalanan ilmu.
“Mengaitkan program ini juga sebagai tiada pasaran kerja berbanding program kritikal turut tidak benar. Setiap program ditawarkan ada peranan tersendiri.
“Semuanya disatukan bagi menjana pembangunan masa depan yang saling memerlukan antara satu sama lain, jadi jangan anak tirikan program ini dengan pelbagai persepsi buruk,” katanya.
Menurutnya, setiap program yang diwujudkan mempunyai asasnya sendiri dan berpaksi kepada permintaan serta kejayaan yang hanya boleh dinilai dalam jangka panjang.
Apatah lagi katanya, program ini menjadi antara asas utama mewujudkan pemantapan ekonomi dan pembangunan sosio budaya.
“Setiap program ada sumbangannya tersendiri. Biarpun keadaan masa kini lebih berpihak kepada program kritikal dan berdaya saing, program sedia ada masih relevan.
“Ia masih menyokong dan memperkukuhkan kepentingan pelbagai sektor dalam industri. Justeru, jangan sesekali menafikan kepentingan program ini,” katanya.
Dikaitkan juga sebagai program tidak laku, ia seolah-olah dipandang sinis segelintir masyarakat yang beranggapan program ini tidak mempunyai masa depan
di peringkat global.
Apatah lagi bilangan graduan yang memasuki pekerjaan tidak selari program diikuti di menara gading ibarat memperkukuhkan tanggapan ia patut ditamatkan.
Beliau berkata, fenomena industri global yang lebih memberi fokus terhadap graduan aliran berprestij tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan graduan program sedia ada.
Malah katanya, pemilihan kerjaya yang berlainan program aliran tidak boleh dijadikan kayu ukuran sebaliknya membawa banyak kelebihan.
“Apa salahnya jika graduan berkenaan ‘lari’ dari pengkhususan diambil di universiti?
Ia bukan satu pembaziran tapi cabaran.
“Perlu difahami, universiti bukanlah tempat yang memberi jaminan seseorang itu mampu memperoleh pekerjaan sebaliknya ia pusat penimbaan dan perkembangan ilmu.
“Masuk universiti, perlu kena belajar dan sebaik saja tamat, gunakan ilmu itu menjadi manusia berguna. Tiada jaminan graduan akan memperoleh pekerjaan seperti mana diingini,” katanya menambah walaupun tidak popular masih ramai yang memohon program itu.
“Ini membuktikan program ini masih mendapat kepercayaan ramai dan mampu menawarkan peluang pekerjaan.
“Kita perlu akur,bukan semua pelajar pandai dan mampu mengikuti pengajian program prestij.
“Malah lebih baik memilih program yang boleh memberi kelebihan seperti kemampuan memperoleh keputusan cemerlang daripada cukup makan atau gagal,” katanya.
Pada masa sama, program berkenaan juga diselarikan dengan pelbagai aktiviti dan kemahiran bagi memenuhi kehendak majikan.
Menurutnya, setiap institusi sudah menyediakan modul tertentu bagi membantu melonjakkan lagi kemampuan graduan tanpa mengira sama ada ia program berkepentingan atau tidak.
“Universiti juga proaktif dan peka, sebab itu banyak aktiviti dan pemantapan kemahiran disediakan. Ia terbuka pada semua tanpa mengira jurusan program.
“Semua berpeluang mengikutinya demi meningkatkan lagi piawaian diri ke tahap yang boleh diterima industri.
“Saya percaya, industri juga masih lagi menyediakan peluang besar kepada setiap graduan pelbagai program. Justeru tidak perlu ‘bertikam lidah’ dengan isu program yang dikatakan tidak popular ini,” katanya.
Beliau percaya graduan yang gagal memperoleh pekerjaan kerana mereka tidak optimis, sentiasa memilih kerja juga tidak berkemahairan.
“Program hanya asas yang berperanan menentukan pilihan kerjaya namun majikan masa kini juga mahukan calon berkemahiran tinggi.
“Andai kata calon itu menepati kriteria dan keinginan majikan, dia pasti diterima.
“Untuk itu, lengkapkan diri dengan kemahiran sejajar kehendak industri dan jangan jadikan alasan program tidak popular sebagai penyebab musnahnya masa depan,” katanya.
Bagi penolong pengurus sumber manusia dan pentadbiran di sebuah agensi swasta, Mohd Redza A Hamid, percaya kecekapan seseorang itu tidak boleh dinilai melalui program diikutinya.
“Berdasarkan pengalaman, saya percaya faktor utama dicari majikan ialah keyakinan diri, bakat dan sikap.
“Justeru bersikap terbuka dan jangan bergantung pada segulung ijazah semata - tama. Kita juga perlu bergerak seiring dunia semasa.
“Dan program bukan penentu kejayaan. Yang penting manfaat diperoleh darinya mampu membawa kebaikan dan keberkatan dalam hidup,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/