Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada warga pendidik di seluruh pelosok negara. Marilah kita jadikan hari ini, hari untuk kita memuhasabah diri, memperkukuh semangat juang untuk mendidik anak-anak bangsa supaya menjadi bangsa yang kuat dan bermaruah.
Selasa, 15 Mei 2012
Hari Guru
Hari guru
|
hari untuk kita
turun ke sungai waktu
membasuh tangan-tangan yang luka
oleh
gigitan musim.Hari guru
hari untuk kita
berkayuh ke hulu
menguji bilah-bilah ketabahan
oleh tikaman arus.
Hari guru
hari untuk kita
turun ke kaki bukit
memeriksa jejak-jejak perjalanan
yang dikasarkan pengalaman.
Hari guru
hari untuk kita
membongkar sauh di pelabuhan
memunggah angan dan mimpi
ke dalam keyakinan.
Hari guru
hari untuk kita
menanam semula
benih-benih nasionalisme
di ladang yang terbakar.
Hari guru
hari untuk kita
masuk ke dalam diri
mencantum kembali
serpihan wajah yang hilang.
Awang Abdullah
Dungun
8 Mei 1988.
ISU BAHASA : Sastera tanah air terpecah
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Peminatnya terbahagi, manakala pembaca selesa dengan kelompok
sendiri
DI sebalik kemelut dan polemik yang tidak berkesudahan dalam
persada sastera, rupa-rupanya kelompok pembaca tumbuh dan subur dengan ruang
tersendiri.
Pada satu pihak khalayak sastera berdepan dengan persoalan
yang mencabar realiti dan masa depannya termasuk seni dan sastera dalam petak
yang berasingan, manakala pembaca pula lebih selesa dengan komuniti mereka yang
kecil, tetapi terampil.
Sekiranya acara pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
(PBAKL) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini,
boleh menjadi petunjuk, maka dua kelompok itu masih dipisahkan oleh jurang
perbezaan.
Meskipun segmen Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia (ITBM) Bersama Rahimidin Zahari: Benarkah Penulis Muda
Terpinggir? dan Slot Kota Buku: Gerakan Buku Bawah Tanah, Bagaimana Kami
Lakukannya adalah sebahagian kecil daripada pelbagai acara di PBAKL 2012,
petunjuk daripada acara dua kelompok itu mungkin mengesahkan keterasingan
mereka.
Penyair yang juga Editor Pentas, Istana Budaya, Rahimidin
Zahari, berkata dunia seni dan sastera tanah air wujud secara terpisah-pisah
sehingga ranah sastera wujud dalam ruang yang berasingan daripada filem, seni
lukis, teater dan muzik.
“Hal ini tidak berlaku di Indonesia kerana ruang budaya
mereka seperti Taman Ismail Marzuki (TIM), Jakarta, mengumpulkan semua khalayak
seni dan sastera.
“Kita boleh lihat pelbagai ruang wujud di TIM seperti
Perpustakaan HB Jasin, pawagam dan panggung teater sehingga seniman yang tidak
berpuas hati dengan persembahan di panggung umpamanya, boleh menampilkan
persembahan sendiri di luar panggung,” katanya pada wawancara yang dikendalikan
pengacara televisyen, Syed Munawar Syed Mustar.
Rahimidin berkata, pada masa sama, Dasar Kebudayaan
Kebangsaan (DKK) yang pernah diangkat sebagai subjek besar dalam kongres pada
zaman mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, hanya tinggal dalam
lipatan bukunya.
“Malang sekali apabila buku mengenai DKK itu bukan saja
sudah lama diterbitkan, bahkan sudah habis dicetak, rakyat tidak membaca dan
ada yang tidak tahu-menahu mengenainya.
“Apa yang kita lihat, program yang diadakan kelihatan
merakyat dari segi luaran, sebaliknya dari segi rohnya, ia terasing yang
barangkali menjadi tanggungjawab ahli politik,” katanya yang juga Bendahari
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Barangkali benar pandangan Rahimidin mengenai tanggungjawab
pemimpin dalam memecahkan kotak dan merealisasikan DKK kembali, tetapi
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya persatuan penulis juga berperanan
untuk memperbesarkan khalayaknya.
Sudah tentulah khalayak yang wajar dipancing oleh persatuan
penulis adalah kelompok pembaca yang lebih selesa berlegar pada subjek tertentu
sama ada penulis kegemaran, agenda buku atau platform tertentu.
Kelompok itu hadir pada kesempatan yang diberikan Perbadanan
Kota Buku (PKB) pada Slot Kota Bukunya, iaitu Fan Club Ramlee Awang Murshid
yang berpusat pada penulis kegemaran; Gerakan Membaca Sambil Menunggu dan Baca@
(agenda buku) serta Goodreads Malaysia (laman sosial pembaca buku).
Pengendali Goodreads Malaysia, Najibah A Bakar, berkata
pembaca memerlukan ruang untuk berkongsi pengalaman membaca, tetapi ruang sedia
ada sangat terhad.
“Justeru, kami mewujudkan forum dalam talian di Goodreads
dengan menyediakan topik yang santai, tetapi berisi seperti perbincangan
mengenai budaya membaca, berita buku dan buku kesan maksimum.
“Ahli yang menyertai laman ini memberi dorongan kepada
pengendali untuk terus melaksanakan kegiatan sama ada dalam talian atau di luar
seperti galakan membaca 50 judul setahun atau ganding baca, iaitu memilih judul
setiap bulan untuk dibaca dan dibincangkan bersama,” katanya pada forum yang
dipengerusikan penulis bebas, Zamri Mohamad.
Pengendali Gerakan Membaca Sambil Menunggu, Zatika Izati
Puade, berkata matlamat gerakan membaca diadakan untuk menjadikan tabiat
membaca sebagai budaya yang ‘cool’, sekali gus menunjukkan contoh kepada
masyarakat.
“Kami juga mengagih-agihkan buku dan majalah kepada hospital
kerana kebanyakan pusat perubatan yang saya kunjungi memiliki rak yang kosong
kecuali diisi risalah kesihatan atau majalah yang sudah lama.
“Jumlah terkini hospital kerajaan ialah 139; klinik
kesihatan (2,834); klinik pergigian (668) dan klinik 1Malaysia (54) tetapi kami
baru bermula dengan sebahagian kecil daripadanya,” katanya.
Gerakan pembaca yang terpecah-pecah dan berasingan itu sudah
tentu mempunyai objektif dan modus operandi tersendiri tetapi persatuan penulis
wajar merencanakan mekanisme yang sesuai untuk mendekatkan mereka dengan
khalayak sastera.
Ini kerana pembaca yang terbabit dalam gerakan sebegitu
adalah kelompok yang mempunyai tujuan membaca yang jelas dan bukannya hanya
sekadar mengisi masa lapang, tetapi mungkin segan dan berasa terpinggir atau
tidak terpanggil untuk menyertai ruang yang digerakkan pengarang.
Pada masa sama, kelompok pembaca juga perlu ‘memberanikan
diri’ untuk bercampur dengan khalayak sastera dan tidak terpengaruh dengan
stigma seperti idealisme dan sukar difahami yang sering dilontarkan kepada
pengarang sastera.
Tidak mustahil kemelut dan polemik yang tidak berkesudahan
dalam dunia sastera itu dapat menemukan jalan penyelesaian sekiranya ia
dikongsi pula dengan kelompok pembaca, manakala dunia pembaca semakin melebar
dan meriah apabila bergaul dengan pengarang dan penulis.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
HAMPIR 100 peratus daripada 53,000 guru pelatih Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengikuti kursus dalam satu masa di 27
kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara berjaya menamatkan
pengajian.
Rektor IPGM, Datuk Dr Haili Dolhan, berkata daripada jumlah
itu, hanya satu peratus daripada mereka gagal menamatkan kursus antaranya
disebabkan masalah kesihatan dan disiplin.
Katanya, semua yang menamatkan kursus pula mudah memenuhi
pasaran kerjaya berikutan pengambilan pelajar mengikut unjuran keperluan guru
setiap lima tahun yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.
Beliau berkata, hampir 100 peratus guru terbabit juga
memiliki jiwa pendidik dan meminati profesion keguruan, bukannya golongan yang
terpaksa memilih kerjaya berkenaan bagi mengelak menjadi penganggur.
“Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Dengan Kepujian)
yang ditawarkan di IPG juga memberi kesan positif hasil penilaian dua kohort
yang berjaya menamatkan pengajian.
“Pengajian ini bukan saja diiktiraf Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), malah modul latihannya
lebih seimbang melatih generasi muda cemerlang akademik dan pembangunan
sahsiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di IPGM, Cyberjaya,
Putrajaya, baru-baru ini.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SOSIAL : PEMBACAAN ELAK TERIMA FAKTA DISELEWENG
OLEH : WARTAWAN SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR -
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat perlu banyak
membaca rujukan ilmiah berbentuk keagamaan untuk pemahaman supaya tidak
menerima fakta diseleweng oleh mereka yang berkepentingan politik.
Beliau berkata,
syarahan agama atau pandangan ulama perlu diperkukuh melalui pembacaan dan melihat sendiri mesej
jelas yang disampaikan melalui terjemahan al-Quran supaya menjadi pengajaran.
“Kebanyakan
masyarakat kita hanya menerima bulat-bulat pendapat mereka yang bergelar ulama
melalui syarahan tanpa menilai semula melalui penguasaan pembacaan.
“Sedangkan
penguasaan itu dapat dilakukan sekiranya budaya membaca dapat dipertingkatkan,”
katanya selepas dilantik sebagai Ikon Membaca Kebangsaan di Majlis Pelancaran
Ikon Membaca, semalam.
Menurutnya, wahyu
pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW juga berhubung dengan
pembacaan.
Ia menunjukkan
pentingnya membaca dan maklumat diperoleh dijadikan sandaran untuk menguruskan hal
berkaitan dengan dunia.
Beliau berharap,
masyarakat dapat meningkatkan pembacaan dan tidak hanya menyandarkan kepada
maklumat daripada kaca televisyen kerana melalui pembacaan, seseorang manusia
itu dapat menyimpan maklumat secara kekal kerana mengulangi perbuatan tersebut.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/