Oleh : Adlan Jaafar
SEBAIK lampu di belakang layar putih dihidupkan, susunan
watak wayang kulit serta-merta hidup. Suara tok dalang, panggilan kepada
individu yang menghidupkan karakter tersebut berkumandang di seluruh ruang
bilik.
Mula mengenali wayang kulit seawal usia tiga tahun, Che
Mohd. Nasir Yusof, mempelbagaikan intonasi suara mengikut karakter yang
dimainkan.
Watak utama, Raja Seri Rama bersuara tegas tetapi bersopan
manakala Tuan Puteri Siti Dewi pula bersuara halus. Watak-watak comic relief
seperti Wak Long dan Pak Dogo mempunyai nada lucu dan sedikit kelam-kabut.
Pertuturan tok dalang memiliki dinamik apabila menghasilkan
ketegangan pada adegan-adegan tertentu. Dialog-dialog disampaikan berkisar
isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara.
Bagi memberi isyarat kepada pemuzik untuk pengenalan babak
seterusnya dan menghasilkan kesan bunyi, tok dalang menggunakan sejenis alat
yang digelar sebagai pemetik.
"Jadi tok dalang mesti tahu serba-serbi. Mesti tahu
menebang pokok untuk buat alat muzik. Harus pandai menjahit baju dan memasak
untuk ahli kumpulan," kata lelaki yang dikenali sebagai Pak Nasir ketika
ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar lelaki yang berusia 56 tahun itu, wayang kulit Kelantan
bersifat tiga dalam satu. Ia mempunyai tiga pengaruh agama iaitu Buddha, Hindu
dan Islam.
Pengaruh Buddha dapat dilihat pada kesenian penghasilan
watak manakala unsur-unsur Hindu boleh dikesan melalui penggunaan cerita epik
Ramayana tetapi nama karakter telah dimelayukan.
Sehubungan itu, ada kalangan pakar-pakar berpendapat wayang
kulit Kelantan memiliki hampir 95 peratus unsur Hindu.
Namun begitu, bagi Pak Nasir, karakter dan seni fizikal
hanya unsur luaran. Paling penting ialah falsafah yang terkandung dalam
sesebuah persembahan dan wayang kulit yang dimainnya sarat dengan unsur
keislaman.
Kata lelaki yang berasal dari Kampung Bunohan, Kelantan itu,
penggunaan seorang tok dalang yang mengawal semua perkara memberi tafsiran
bahawa tuhan itu satu.
"Semua karakter sama ada baik mahupun jahat berupa
raksasa, jin dan jembalang seperti Bota Raja Wana akan tunduk pada kekuasaan
tok dalang," terang Pak Nasir yang telah ke Jepun sebanyak sembilan kali
atas tiket wayang kulit.
Gambaran masyarakat
Wayang kulit Kelantan yang dipentaskan pada waktu malam juga
mempunyai maksud tersirat. Ketika manusia berada dalam kegelapan, kita
memerlukan cahaya untuk dijadikan panduan.
Bayang-bayang itu sendiri memberi gambaran kepada masyarakat
umum bahawa lumrah manusia, lekas benar mengalami 'gila bayang' terhadap semua
perkara seperti kuasa, wanita dan harta sehingga lupa tanggungjawab.
Mengikut teks asal epik Ramayana versi Melayu, hanya ada tiga
karakter iaitu Tuan Puteri Siti Dewi, Raja Seri Rama dan Bota Raja Wana.
Ketiga-ketiga karakter menjadi refleksi pada unsur manusia
(Raja Seri Rama), kebaikan (Tuan Puteri Siti Dewi) dan kejahatan (Bota Raja
Wana).
Dalam permainan wayang kulit, barulah karakter-karakter lain
seperti Maha Risi, Raja Muda Laksamana, Wak Long dan Pak Dogo diwujudkan.
Berbeza dengan wayang kulit Purwa dari Indonesia, mereka
lebih menekankan teknik pergerakan karakter. Justeru, ia boleh dimainkan pada
waktu siang.
Ia juga bersifat budaya dan dimainkan oleh masyarakat Jawa
dan Bali tanpa mengira agama dan semua karakter berpakaian tradisonal Jawa.
Pak Nasir juga tidak menolak terdapat unsur-unsur mistik dalam
wayang kulit dengan memuja karakter Pak Dogo. Tindakan itu bertujuan supaya
ramai penonton dan berharap mereka datang kembali untuk menonton.
"Tetapi sebagai manusia yang membuat semua karakter
ini, mengapa harus kita memuja mereka? Sepatutnya watak-watak ini yang harus
tunduk kepada manusia," tegas Pak Nasir.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/