Rabu, 4 Julai 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Lindungi anak bahaya Internet


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

BANYAK bahaya yang menular boleh ditemui di ruangan Internet dan kanak-kanak adalah golongan paling mudah diancam serta tidak bersedia menghadapi keadaan itu.

Walaupun begitu, masih ramai ibu bapa dilihat leka mengenai bahaya yang menanti serta mengambil sikap sambil lewa mengenai perlindungan terhadap generasi muda daripada kecelaruan di Internet.

Mengikut statistik yang dikeluarkan menerusi hasil kaji selidik Harris Interactive membabitkan kira-kira 9,000 pengguna Internet di Amerika Syarikat, Russia dan Eropah dari Februari hingga Mac lalu, hanya lima peratus saja yang mengutamakan perlindungan anak-anak mereka daripada kandungan ‘dewasa’.

Perlindungan diambil sambil lewa walaupun pengguna talian Internet menarik semakin ramai golongan muda, melalui pengenalan laptop peribadi dan telefon pintar yang tidak lagi hanya digunakan pelajar universiti.

Alat komunikasi berteknologi tinggi itu turut popular dan biasa digunakan pelajar sekolah, apatah lagi bagi setiap tiga telefon bimbit ketika ini, dua daripadanya adalah telefon pintar dan digunakan untuk melayari laman Internet.

Lebih ramai bimbang pemikiran anak mereka mungkin dirosakkan orang yang ditemui dalam laman sosial sembang atau rangkaian sosial lain iaitu kerisauan yang disuarakan kira-kira 10 peratus responden dalam kajian itu, menjadikannya kebimbangan kedua terbesar dalam talian.

Kebimbangan itu mempunyai asas yang kukuh dengan 53 peratus daripada pengguna mengatakan penyalahgunaan alam maya sebagai satu masalah yang serius.

Ada antaranya juga pernah ‘menangkap’ anak mereka melayari laman yang melarang pengunjung terdiri kanak-kanak atau menghantar maklumat peribadi kepada orang yang tidak dikenali.

Secara keseluruhannya, membimbangkan apabila ibu bapa tidak melakukan lebih usaha membantu anak-anak mereka mendapatkan perlindungan yang terbaik daripada Internet tanpa meletakkan mereka pada risiko.

Bantuan melindungi anak masing-masing daripada bahaya Internet ada dalam bentuk perisian, membolehkan ibu bapa tenang dan tidak perlu sentiasa membuat pemantauan ketika anak menggunakan komputer bagi mengelak anak melihat bahan tidak sepatutnya.

Pasaran perisian dipenuhi dengan program yang secara automatik memantau penggunaan komputer atau Internet. Fungsi itu disediakan sebagai perisian secara bersendirian atau sebagai sebahagian daripada pakej keselamatan yang lebih besar misalnya, modul kawalan ibu bapa di Kaspersky Internet Security 2012 yang boleh mengawal selia akses kanak-kanak ke laman web dan aplikasi.

Ia memantau komunikasi anak-anak di rangkaian sosial dan satu-satunya perkara yang ibu bapa perlu lakukan adalah membuat akaun untuk kanak-kanak itu pada komputer rumah dan pada awalnya menyesuaikan modul.

Selain komputer peribadi, perlindungan juga diperlukan bagi peranti mudah alih yang menurut kaji selidik sama oleh Harris Interactive, kira-kira separuh daripada responden menggunakan tablet mereka (46 peratus) dan telefon pintar (47 peratus) untuk berkomunikasi di rangkaian sosial.

Untuk melindungi peranti ini, dedikasi penyelesaian mudah alih diperlukan dan perisian Kaspersky Parental Control for Android boleh menyekat akses kepada laman web yang mengandungi kandungan tidak dikehendaki serta sekatan tempat pelancaran aplikasi.

Kaspersky Lab adalah syarikat swasta terbesar dunia yang menyediakan penyelesaian perlindungan daripada bahaya di Internet.

Syarikat itu antara empat pembekal penyelesaian keselamatan untuk pengguna yang berada pada kedudukan tertinggi di dunia.

Ia beroperasi di hampir 200 negara dan wilayah di seluruh dunia, memberikan perlindungan untuk lebih 300 juta pengguna Internet di seluruh dunia. Maklumat lanjut boleh didapati di www.kaspersky.com.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Kebajikan OKU masih kurang dapat pembelaan


Oleh : Imlan Adabi

SELEPAS ini golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Lembah Klang diharap tidak lagi menghadapi masalah memiliki kenderaan sendiri kerana sudah ada syarikat yang menyediakan khidmat kepada mereka.

Wakil pengedar sah PERODUA, Faresh Motor menyediakan khidmat jualan mesra OKU. Bilik pameran pun sesuai untuk golongan cacat anggota kunjungi. Syarikat dimiliki OKU, Ahmad Faresh Ahmad Zahid mempunyai 23 pekerja dan sudah menjual 120 unit kenderaan PERODUA.

Ahmad Faresh muncul antara OKU berjaya, di samping ramai yang hidup melarat. Golongan yang kekurangan fizikal bukan sekadar memerlukan bantuan dan simpati. Mereka perlukan peluang untuk berdikari dengan bertugas di sektor awam dan swasta, atau menjalankan perniagaan kecil. Sektor kerajaan menyediakan sedikit ruang pekerjaan kepada OKU dalam pelbagai bidang. Namun sektor swasta masih pada tahap yang masih misteri. Tiada angka rasmi yang mendedahkan pembabitan mereka di sektor awam dan swasta.

Media pula kerap menyiarkan penderitaan mereka yang memerlukan bantuan bulanan daripada kerajaan. Apakah imej OKU mesti terpalit kemiskinan? Tentunya gambaran ini aneh bagi masyarakat Malaysia yang dikatakan penyayang dan berbudi bahasa selama 55 tahun merdeka!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Usaha menangani isu OKU sudah lama kedengaran tapi hasilnya tidak seberapa. Pada 1981, Malaysia bersama masyarakat dunia turut menganjurkan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) yang bertujuan menggerakkan usaha menangani masalah OKU. Pelbagai program dianjurkan termasuk baca puisi, panduan nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak cacat dan gesaan pembabitan sektor swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Malangnya usaha membawa OKU ke tengah masyarakat diabaikan. Ungkapan simpati dan bantuan tidak mengubah keadaan. Hasilnya bagai diduga, tidak seberapa!

Sehingga kini pelbagai istilah diguna untuk memberi imej masyarakat prihatin terhadap golongan itu termasuk orang kelainan upaya, orang kurang upaya, insan istimewa, orang cacat dan entah apa lagi.

Namun selepas 31 tahun TAOC, nasib OKU tidak banyak berubah. Kajian menunjukkan lebih 90 peratus OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Mereka termasuk dalam kalangan miskin tegar dan sebahagiannya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sehingga kini, OKU yang berdaftar di JKM hanya 325,189 orang berbanding 283,512 pada 2010. Pelbagai program kemahiran disediakan sekadar melatih mereka dalam bidang kemahiran. Walaupun ada OKU seperti Siti Huraizah Ruslan yang mempunyai ijazah cemerlang, sikap prejudis sektor swasta menjadi penghalang untuk beliau menyumbangkan bakti. Akhirnya Siti Huraizah terpaksa bertugas di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang di luar kepakaran akademiknya.

Pusat pengajian tinggi awam pula bagai tidak mempunyai dasar jelas untuk mengambil OKU melanjutkan pengajian. Kemudahan asas kurang sesuai untuk kegunaan OKU ke dewan kuliah. Tangga tinggi dan laluan bercuram membahayakan mereka.

Ketika masyarakat masih bersuara mengenai OKU, kerajaan menerusi konsep 1Malaysia yang mengutamakan transformasi sosioekonomi wajar mengkaji keperluan OKU pada pelbagai peringkat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Dilema graduan


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

“PERMOHONAN anda gagal kerana kami memerlukan pekerja berpengalaman saja.” Sebaris ayat ringkas namun mampu melunturkan semangat pencari kerja terutama dalam  kalangan graduan baru yang masih berkobar-kobar mengisi pelbagai jawatan diiklankan di dada akhbar.

Biarpun bukan isu hangat, hakikatnya ramai graduan terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mencari pekerjaan sesuai apatah lagi jika pengalaman menjadi ukuran.


Rungutan tentang kesukaran  menembusi tembok industri pekerjaan juga menjadikan masyarakat tertanya-tanya mengapakah majikan hari ini seperti enggan memberi peluang kepada graduan baru menunjukkan kemampuan.

Menggunakan alasan pengalaman sebagai syarat utama menolak permohonan, adakah ia penyebab ramai graduan hari ini sukar memperoleh pekerjaan?

Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Universiti Putra Malaysia (UPM), Bukryman Sabri berkata, tiada pengalaman bukan prasyarat utama graduan baru sukar memperoleh pekerjaan, sebaliknya sikap kurang optimis sewaktu temu duga selain gemar memilih pekerjaan menjadikan mereka gagal.

Beliau berkata, sebahagian besar majikan masa kini tidak terkongkong dengan pemikiran tipikal, malah semakin terbuka dan suka memilih pekerja muda di kalangan graduan biarpun tanpa pengalaman.

“Masalahnya bukan pada majikan yang selektif tetapi diri graduan sendiri kadangkala tidak serius melakukan tindakan. Mereka inginkan kerja tapi tidak serius, kurang bersedia dan akhirnya mencacatkan peluang diri sendiri.

“Justeru, jangan jadikan faktor tiada pengalaman dan majikan sebagai alasan. Ada baiknya melihat dan menilai diri dulu apakah kekurangan atau keistimewaan sedia ada.

“Apakah sudah bersedia bertemu serta ‘memikat’ mata dan hati majikan dengan jawapan yang bernas?” katanya.

Rungutan, rintihan mahupun kesukaran graduan baru tanpa pengalaman memperoleh pekerjaan bukan perkara baru, namun agak janggal jika masih berlaku pada saat industri sudah membuka peluang kerjaya seluasnya.

Apatah lagi orang luar memperakui negara ini bagai lubuk emas, graduan baru sebaliknya terus bersungut mengenai peluang yang dikatakan semakin mengecil.

Alasan tidak diterima bekerja kerana tidak berpengalaman hanya bagi menutup rasa kecewa tidak terpilih.

“Ia cukup rapuh dan satu cara memanipulasi rasa kecewa. Hari ini tiada sebab majikan menolak permohonan andai kata memenuhi kriteria dicari.

“Buktinya, orang yang kurang atau tiada kelulusan pun boleh mendapat pekerjaan, mengapa graduan yang lebih sengsara?

“Isu di sini bukan pengalaman tetapi sikap. Minda graduan ini perlu ‘diperbetulkan’ supaya mereka dapat melihat konsep serta makna pekerjaan sebenar,” katanya yang mengakui graduan tidak mahu pekerjaan yang seolah-olah memperlekehkan status mereka.

“Mereka meletak status ‘graduan’ di tempat tinggi dan berprestij. Pekerjaan di bawah tahap kelayakan akan menjatuhkan maruah dan menjadi buah mulut masyarakat.

“Bagi mereka, apa guna belajar pandai-pandai akhirnya menjadi pekerja bawahan. Justeru, mereka rela menganggur daripada menerima cemuhan.

“Benar sudah belajar tinggi dan ada kelayakan ijazah tetapi hinakah jika bekerja bukan sebagai pegawai?” katanya.

Graduan baru perlu memberi peluang kepada diri sendiri mencuba dan membuat eksperimen sebagai langkah pertama.

Mereka perlu mendidik diri supaya berlapang dada menerima pekerjaan ditawarkan meskipun hanya syarikat kecil.

“Jika sukar mendapat pekerjaan di syarikat gergasi, apa salahnya bermula di syarikat kecil, yang penting pengalaman.

“Malangnya, kebanyakan graduan tidak melihat skop ini kerana mereka hanya mahu bekerja di syarikat ternama, besar dan berhawa dingin,” katanya.

Beliau turut menafikan graduan tidak dibekalkan kemahiran mencukupi bagi membantu menempatkan diri dalam dunia pekerjaan sebenar.

“Semua institusi pengajian tinggi kini mewajibkan mahasiswa menjalani latihan industri yang juga medan memperoleh pengalaman biarpun tempohnya singkat.

“Modul pembelajaran turut dilengkapi aspek pembinaan sahsiah diri dan keusahawanan. Semuanya lengkap bagi membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik.

“Malah, majikan menerima kehadiran mereka melakukan tugasan praktikal. Jadi di mana silapnya jika tidak terpilih?

“Pekerjaan sentiasa ada, cuma graduan sendiri yang menyekat diri daripada memperoleh peluang itu,” katanya.

Graduan Management and Science University (MSU), Nurain Zahzali berkata, dia mengakui bahang persaingan mencari pekerjaan namun tidak pernah penat mencuba.

“Setiap kali temu duga, antara soalan wajib ialah ada pengalaman atau tidak. Soalan itulah yang menyebabkan saya sering putus asa.

“Saya memang tiada pengalaman tapi penuh keyakinan mampu melaksanakan tugasan dengan baik jika diberi peluang. Seharusnya aspek itu turut diambil kira,” katanya.

Dia mengakui bidang kerjayanya mencabar dan memang memerlukan mereka yang berpengalaman.

Sebagai jalan penyelesaian, graduan dari Kluang, Johor ini mengambil keputusan bekerja sambilan bagi menimba pengalaman.

“Ini saja caranya saya dipandang majikan. Biarpun hanya sambilan, saya menunjukkan kesungguhan dan komited,” kata pemegang Diploma Teknologi Makmal Perubatan ini.

Rakannya, Muhammad Rizaa Zainal Abidin berkata, sikapnya yang suka mencuba pekerjaan baru bersandarkan minat menyebabkan dia sering bertukar kerja.

“Saya akui walaupun cara ini kurang menyenangkan, ia mampu meningkatkan pengalaman sedia ada. Yang pasti, saya mencari pekerjaan yang benar-benar diminati.

“Majikan juga tidak sukar menawarkan pekerjaan kerana sudah ada pengalaman. Bagaimanapun, ia bukan penyebab saya senang memperoleh pekerjaan.

“Banyak lagi aspek lain dilihat majikan. Cuma sikap yang tidak betah bertahan di sesuatu tempat menjadikan saya masih tercari-cari pekerjaan sesuai,” katanya yang mengikuti Diploma Pengurusan.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/