Isnin, 16 Julai 2012

ISU SUKAN : Terengganu Juara SUKMA 2012


KUANTAN 16 Julai - Terengganu muncul juara keseluruhan buat empat kali berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XV Pahang  2012 selepas berakhirnya tiga acara hari ini.

Kali pertama Terengganu muncul juara keseluruhan SUKMA ketika menjadi tuan rumah temasya yang berlangsung di tempat sendiri pada 2008.

Kemudian, negeri itu muncul sekali lagi sebagai juara pada temasya SUKMA yang diadakan di Melaka.

Terengganu dinobatkan selaku juara selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa manakala Selangor muncul naib juara dengan meraih 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Tuan rumah, Pahang pula menduduki tempat ketiga apabila memperoleh 45 emas, 40 perak dan 38 gangsa.

Majlis penutupan temasya tahun ini akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong serta beberapa menteri dan timbalan menteri.

Majlis penutup temasya dimulakan dengan acara kayuhan basikal oleh Perdana Menteri  beberapa menteri, ketua-ketua kontinjen serta pemenang pingat emas acara basikal dengan mengelilingi stadium.

Selain itu, beberapa artis tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Kumpulan Sofaz serta Nubhan  turut memeriahkan majlis dan pelakon dan pelawak Nabil bertindak sebagai pengacara.

ISU SUKAN : Badang Terengganu, Sabah dinobat atlet terbaik Sukma ke -15



DUA atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus dari Sabah masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang.

Abdul Mubin, 21, pemenang pingat emas bagi kategori berat badan 77kg dipilih sebagai olahragawan apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dengan angkatan 171kg dalam acara clean & jerk, memadamkan rekod lama 170kg bekas atlet negara Mohd Hidayat Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau Pinang pada 2003.

Abdul Mubin berkata beliau rasa terharu dan gembira apabila diberi penghargaan sebagai Olahragawan Sukma Pahang dan ia menjadi pembakar semangat untuk terus maju dalam sukan angkat berat.

"Saya tidak sangka dipilih sebagai olahragawan kerana atlet menembak mengutip lebih banyak pingat daripada atlet angkat berat...namun ia bukan satu perkara yang mudah," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Mubin yang juga atlet kebangsaan berkata beliau berharap kejayaannya memecah rekod kebangsaan menjadi inspirasi kepada atlet muda yang baru berjinak dalam sukan angkat berat.

Sementara itu, Frenceay yang meraih pingat emas bagi kategori berat badan 58kg, berjaya meleburkan rekod kebangsaan bagi acara snatch serta memperbaharui rekod kejohanan dalam acara clean & jerk.

Gadis keturunan etnik Dusun itu melakukan angkatan bebanan 81kg bagi acara snatch, memadamkan rekod lama 80kg manakala memperbaharui rekod kejohanan bagi acara clean & jerk dengan angkatan 95kg.

Atlet kelahiran Kundasang itu berkata beliau rasa bangga dipilih sebagai Olahragawati Sukma kerana sebelum ini belum ada atlet angkat berat wanita yang mewakili Sabah mendapat  penghargaan tersebut.

"Saya rasa gembira kerana usaha selama ini berbaloi apabila bukan hanya berjaya meraih pingat emas tetapi mendapat gelaran Olahragawati Sukma.

"Diharap dengan kejayaan ini memberi suntikan semangat kepada saya untuk lebih bersungguh-sungguh apabila beraksi pada kejohanan yang lebih besar seperti Sukan SEA Myanmar tahun depan," katanya.

Frenceay, 21, berkata tiga kunci kepada kejayaanya ialah mengikuti latihan dengan bersungguh-sungguh, mematuhi arahan yang diberikan jurulatih dan perlu ada semangat tidak mengenal erti putus asa. - Bernama

Datuk Dr Fazley Juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012



Datuk Dr Fazley dinobatkan selaku Juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012 setelah bersaing sengit dengan lawannya, Angah Raja Lawak. Kejayaannya itu sememangnya sudah dijangka ramai kerana Dr Fazley antara peserta yang menampilkan persembahan konsisten sepanjang Program Masterchef Selebriti Malaysia 2012.

Dengan kejayaannya itu, Dr Fazley turut berjaya menyumbangkan RM 57 ribu untuk badan amal yang diwakilinya Yayasan Jantung Malaysia. Tidak lupa juga ucapan tahniah buat Angah Raja Lawak kerana  siapa sangka beliau mampu melangkah sejauh ini. Jadi selepas ini jangan pandang rendah dengan kebolehan pelawak. Secara rasminya juga Program Masterchef Selebriti Malaysia 2012 menutup tirainya malam ini.

Sumber : http : http://www.ammboi.com/

ISU KENEGARAAN : Akta Hasutan: Tinggalan kolonial lapuk


Oleh : SYAHREDZAN JOHAN

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri kita telah membuat satu lagi pengumuman bersejarah. Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

Pengumuman ini dialu-alukan pelbagai pihak, walaupun ada yang meragui sama ada akta yang akan digubal untuk menggantikan Akta Hasutan hanyalah ‘sirap bandung lama dalam gelas baru’. Draf rang undang-undang Akta Keharmonian Nasional masih belum tersedia ketika ini. Oleh yang demikian, kita wajar mengambil sikap terbuka mengenai undang-undang baru ini. Bagaimanapun, pihak kerajaan juga wajar berunding dan berbincang dengan pihak berkepentingan dan mendapat maklum balas daripada orang ramai dalam merangka rang undang-undang ini.

Apabila rang undang-undang ini dibentangkan di mahkamah, Parlimen harus diberikan masa yang mencukupi untuk memperhalus peruntukan yang termaktub dan bukan hanya meluluskannya secepat mungkin. Apa yang berlaku sebelum ini, di mana undang-undang yang begitu penting diluluskan dengan ekspres dan tergopoh-gapah tidak wajar berulang lagi.

Kesalahan menghasut atau sedition ini lahirnya di England pada sekitar kurun ke-17. Mengikut Peguam Jeyaseelan Anthony dalam bukunya Seditious Tendency?: Political patronisation of Free Speech and Expression in Malaysia . Sedition ini lahir ketika hak mutlak pemerintah yang kononnya datang daripada Tuhan tidak boleh ditentang, dipersoalkan mahupun dikritik. Tentangan dan kritikan terhadap pemerintah dilihat akan mengundang dosa dan harus dihukum.

Akta Hasutan 1948 adalah tinggalan kolonial dan berkuat kuasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Akta ini secara amnya digunakan oleh pihak British untuk melawan kebangkitan komunis pada ketika itu. Namun, selepas kemerdekaan, Akta ini tidak digunakan ke atas komunis tetapi terhadap tentangan politik.

Mengikut Akta Hasutan, adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan apa-apa yang mempunyai perbuatan menghasut ataupun menyebut kata-kata menghasut. Menghasut adalah perbuatan atau kata-kata yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Apa pula yang ditakrifkan sebagai kecenderungan menghasut? Ia adalah, antara lain, kecenderungan membangkitkan perasaan benci atau tidak suka terhadap mana-mana Raja atau kerajaan, mengembangkan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak suka di kalangan rakyat dan juga menyoal peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita dapat lihat bahawa takrifan kecenderungan menghasut adalah begitu luas. Contohnya, apa-apa jenis kritikan terhadap kerajaan boleh dikatakan sebagai menghasut, kerana terdapat kritikan yang mempunyai kecenderungan untuk melahirkan perasaan tidak suka. Pihak pendakwaan juga tidak perlu membuktikan bahawa apa yang dilakukan atau dituturkan sememangnya menghasut, asalkan terdapat kecenderungan.

Penjenayahan tentangan, tuturan dan kritikan ini tidak mendukung semangat demokrasi yang kita junjung, apatah lagi apabila definisi yang diberikan adalah begitu luas.

Seperti yang kita tahu, Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran kita, walaupun ianya boleh disekat secara munasabah oleh sebab-sebab tertentu. Persoalannya, adakah Akta Hasutan ini suatu sekatan yang munasabah? Adakah ianya sesuatu yang munasabah untuk menjadikan kritikan terhadap pemerintah sebagai suatu jenayah? Sudah tentu tidak.

Kita tidak wajar lagi dikekang dek undang-undang Inggeris yang sudah lapuk. Undang-undang baru ini tidak wajar lagi menjenayahkan percakapan dan buah fikiran. Seperti yang dinyatakan Presiden Badan Peguam, Lim Chee Wee baru-baru ini, kita tidak boleh mengawal melalui undang-undang perkara seperti kesetiaan, hormat-menghormati dan perpaduan kebangsaan. Ia akan lahir bukan dengan kuasa undang-undang tetapi secara semula jadi. 

*Penulis adalah peguam muda yang mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Koperasi penjana ekonomi negara


SAMBUTAN Hari Koperasi kali ke-11 yang berlangsung penuh gilang-gemilang semalam membuktikan satu lagi keprihatinan usaha kerajaan dalam meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat. Sejak gerakan koperasi bermula pada tahun 1922, ia telah melalui proses pasang surut yang adakalanya suka dan sebaliknya.

Namun di bawah kepimpinan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, nyata ada sinar yang lebih gemilang sedang meniti. Usahanya untuk memartabatkan ekonomi rakyat melalui penyertaan dalam koperasi semakin mendapat sambutan melalui pelbagai program yang dijalankan secara tersusun.

Ketika diwawancara dalam suasana santai di sebuah hotel di Kuala Lumpur oleh wartawan Mingguan Malaysia, Zulkifli Jalil, Hafizahril Hamid dan Sarah Nadlin Rohim, Ismail Sabri menyatakan telah banyak pembaharuan dilakukan oleh kementeriannya untuk menarik penyertaan orang ramai . Melalui usaha berkoperasi  telah  mampu menjana ekonomi mereka dan negara seperti yang dilalui oleh penduduk di negara-negara maju.

Beliau juga mengakui bukan satu usaha yang mudah untuk membuang stigma lama mengenai kegagalan dan penyelewengan dalam koperasi seperti yang berlaku sebelum ini. Namun beliau percaya melalui pemantauan menyeluruh melalui kementeriannya dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), tindakan proaktif bagi memastikan penularan gejala tidak sihat ini dapat disekat daripada merebak di dalam gerakan koperasi.

Dengan tema Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat, beliau berharap koperasi mampu menjadi penyumbang berkesan kepada pembangunan negara menjelang 2020.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk Seri melihat tahap perkembangan gerakan koperasi sekarang?

ISMAIL SABRI: Gerakan koperasi telah wujud di negara ini selama 90 tahun. Sepanjang tempoh tersebut kita boleh lihat peningkatan yang jelas dalam bilangan koperasi yang telah didaftarkan, bilangan individu yang menganggotai koperasi, modal dalaman yang dapat dikumpul, aset yang dimiliki serta pendapatan yang telah dijana daripada pelbagai aktiviti perniagaan yang telah dijalankan. Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini sahaja pun kita dapat lihat pertumbuhan yang ketara. Bagi tempoh 2006 hingga 2011, bilangan koperasi berkembang pada kadar purata 13.14 peratus setahun, bilangan anggota tumbuh 3.8 peratus setahun, aset meningkat 20.08 peratus, modal bertambah 7.56 peratus setahun dan perolehan koperasi secara puratanya meningkat sebanyak 42.5 peratus.

Perkembangan semasa ini memberi petanda positif bahawa kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap manfaat dan kebaikan menyertai koperasi semakin meningkat. Di samping itu, koperasi sedia ada telah mula mengorak langkah untuk menceburi aktiviti-aktiviti perniagaan yang lebih berpotensi, yang seiring dengan bidang-bidang ekonomi utama yang sedang giat dibangunkan kerajaan. Saya menaruh penuh keyakinan bahawa trend ini akan berterusan di tahun-tahun akan datang terutamanya dengan kempen penggalakan penubuhan koperasi di setiap komuniti; 1Komuniti 1Koperasi (1K1K) oleh Kementerian serta segala inisiatif yang diambil di bawah Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang mensasarkan gerakan koperasi untuk menjadi penyumbang berkesan kepada pembangunan negara menjelang 2020.

Apakah benar bahawa daripada lebih 9,000 koperasi yang berdaftar setakat ini dengan keanggotaan seramai 7 juta orang, hanya sekitar 5 peratus yang aktif dan menyumbang kepada pendapatan negara?

ISMAIL SABRI : Kenyataan sebenarnya adalah sebaliknya hanya sekitar 8 peratus daripada lebih 9,600 koperasi yang terdaftar setakat ini yang tidak aktif manakala yang selebihnya menjalankan sekurang-kurangnya satu aktiviti ekonomi untuk memenuhi keperluan anggotanya. Kita perlu sedar bahawa koperasi adalah satu entiti sosio ekonomi yang sama sekali berbeza tujuan penubuhannya daripada organisasi perniagaan yang lain. Berbanding dengan syarikat, matlamat utama sesebuah koperasi bukan untuk memaksimumkan keuntungan tetapi lebih mengutamakan penyediaan perkhidmatan yang diperlukan oleh anggotanya. Kita juga harus faham bahawa koperasi juga wujud dalam pelbagai bentuk, ada koperasi asas yang mana keanggotaannya hanya terdiri daripada individu sahaja, ada koperasi menengah yang mana anggotanya adalah koperasi-koperasi asas yang bergabung dan ada juga koperasi puncak seperti ANGKASA. Kawasan operasi dan taburan anggota koperasi juga berbeza. Ada koperasi contohnya koperasi di taman perumahan, yang mana anggota dan kegiatannya hanya bertumpu di taman perumahan tersebut. Ada pula koperasi seperti Koperasi Telekom Malaysia Berhad yang mana keanggotaan dan kawasan operasinya meliputi seluruh negara.

Tidak kira siapa dan berapa anggotanya, apa aktiviti perniagaannya dan di mana aktiviti perniagaannya dijalankan, setiap koperasi ini mempunyai sumbangannya yang tersendiri terutamanya dalam peningkatan taraf sosio ekonomi anggotanya, masyarakat di sekitarnya serta kepada pembangunan negara. Walaupun keuntungan yang dijana oleh sesebuah koperasi itu mungkin tidak sebanyak mana dan dividen yang dibayar tidak mencapai puluhan peratus, kedai runcit yang diuruskan koperasi mungkin satu-satunya kemudahan yang ada untuk masyarakat setempat mendapatkan bekalan keperluan harian mereka ataupun bantuan kebajikan yang disalurkan oleh koperasi dalam saat-saat kesukaran tidak dapat diperoleh dari mana-mana sumber lain. Kemudahan dan perkhidmatan ini mungkin jauh lebih tinggi nilainya berbanding dividen yang diterima setahun sekali.

Walau bagaimanapun, koperasi juga perlu bergerak seiring dengan perubahan di sekitarnya serta perlu sentiasa peka dengan arah aliran keperluan anggotanya yang juga berubah mengikut arus semasa. Sehubungan itu, kita dapat lihat bahawa trend perniagaan yang diceburi koperasi juga turut berubah mengikut perubahan dalam pasaran. Jika dinilai dari aspek perolehan, memang tidak dapat dinafikan bahawa 1.74 peratus daripada keseluruhan koperasi menyumbang kepada 93.24 peratus daripada jumlah perolehan gerakan koperasi negara. Sumbangan ini didominasi oleh 158 koperasi besar yang diterajui oleh Bank Rakyat, Koperasi Permodalan Felda Berhad, Koperasi Kakitangan Felcra Berhad, Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad serta beberapa koperasi peringkat nasional yang lain.

Baki 98.26 peratus lagi koperasi menjana perolehan purata tahunan kurang daripada RM5 juta. Walaupun dari segi impak langsungnya kepada KDNK masih tidak dapat dirasai, sumbangan tidak langsungnya dalam mengatasi pelbagai masalah sosio ekonomi masyarakat desa khususnya mungkin lebih besar jika diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit.

Ada pihak mendakwa banyak koperasi ditutup disebabkan kepincangan yang berlaku di dalamnya dari segi pengurusan hinggalah campur tangan politik. Benarkah dakwaan ini?

ISMAIL SABRI : Berita-berita tentang kepincangan yang berlaku dalam koperasi sering disensasikan. Hanya kerana berlakunya satu atau dua kes pendakwaan pemimpin koperasi yang pecah amanah atau menyalahguna kuasa tersiar di media, ramai orang membuat andaian bahawa ini adalah fenomena biasa yang berlaku dalam kebanyakan koperasi. Hakikatnya, ketidakjujuran dan pecah amanah berlaku di mana-mana dan koperasi juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, jika dikira dari segi peratus, bilangannya adalah amat kecil sekali. Bak kata pepatah, "seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semuanya". Semuanya berbalik kepada sikap dan personaliti individu terbabit. Tidak kurang juga ada pihak-pihak yang telah menyalahguna nama koperasi untuk mengaburi mata masyarakat bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang. Masyarakat yang mahu cepat kaya tanpa perlu berusaha pula mudah dipergunakan oleh peneraju skim cepat kaya yang berselindung di sebalik nama koperasi.

Masalahnya, anggota koperasi kadangkala di dalam mesyuarat agung lebih condong untuk memilih calon yang popular untuk menjadi lembaga koperasi daripada orang yang berkebolehan dan dipercayai. Jawatankuasa Audit Dalaman yang dilantik pula tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyemak operasi harian koperasi serta melapor dan membuat teguran untuk penambahbaikan apabila terjumpa sebarang kelemahan atau kepincangan. Dalam beberapa kes pula, calon yang kalah bertanding akan mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip dan nilai murni berkoperasi dengan menabur fitnah dan menulis surat layang kepada akhbar dan pemimpin negara dengan membuat tuduhan-tuduhan palsu terhadap koperasinya, SKM dan Kementerian.

Bagaimana dengan tindakan terhadap pihak yang menyeleweng?

ISMAIL SABRI : Pihak SKM dan Kementerian tidak akan berkompromi terhadap kes-kes pecah amanah ini dan telah mengambil tindakan proaktif bagi memastikan penularan gejala tidak sihat ini dapat disekat daripada merebak di dalam gerakan koperasi. Pemeriksaan Usaha Wajar dijalankan secara berkala ke atas koperasi-koperasi bagi menilai kemantapan pengurusan dan kewangan koperasi. Selain dapat mengesan awal masalah-masalah dalaman koperasi, pemeriksaan yang dijalankan ini juga dapat membantu koperasi untuk memperbaiki pengurusan dan prestasi kewangan mereka. Pihak SKM juga bertindak pantas terhadap sebarang aduan penyelewengan atau kecurigaan terhadap aktiviti yang dijalankan oleh mana-mana koperasi, yang diterima daripada pelbagai sumber dan pihak.

Mulai tahun lalu juga, pihak SKM telah mula melaksanakan proses tapisan atau penentusahan ke atas calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan Lembaga di dalam koperasi-koperasi terpilih, terutamanya koperasi besar dan berisiko tinggi, bagi memastikan calon yang bertanding adalah bersih dan layak untuk menerajui koperasi-koperasi berkenaan. Pihak kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mendakwa pemimpin atau pihak-pihak yang telah terbukti terlibat dalam penyelewengan dan salah guna kuasa, bagi memastikan wang anggota yang ramai akan sentiasa terpelihara. Pendakwaan ini juga adalah sebagai amaran kepada yang lain bahawa kerajaan serius dalam membendung gejala tidak sihat daripada berleluasa di dalam gerakan koperasi serta memastikan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi tidak akan terjejas.

Adakah penggabungan koperasi-koperasi kecil mampu menjadi kaedah untuk kemajuan sistem koperasi di Malaysia.

ISMAIL SABRI : Kebanyakan koperasi masih bersaiz kecil kerana matlamat asal penubuhan koperasi berkenaan hanyalah untuk memenuhi keperluan perkhidmatan anggotanya, yang kebiasaannya berada di satu kawasan geografi tertentu. Dengan peredaran masa serta peningkatan persaingan di pasaran, koperasi perlu berubah seiring perubahan di persekitarannya. Untuk kekal berdaya saing, koperasi tidak lagi boleh mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan. Hanya melalui pengeluaran dalam skala besar, koperasi boleh menjimatkan kos pengeluaran dan menikmati faedah ekonomi berskala serta berupaya memenuhi permintaan pelanggannya.

Di bawah Dasar Koperasi Negara 2011-2020, kerajaan mensasarkan sebanyak 50 gabungan koperasi akan diwujudkan bagi membolehkan koperasi melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti perniagaan bernilai tinggi. Kerajaan sememangnya menggalakkan koperasi untuk bergabung, sama ada melalui penggabungan koperasi ataupun bergabung untuk menjalankan sesuatu aktiviti. Inisiatif penggabungan ini telah pun dimulakan dalam projek ternakan ayam di Perlis dan Johor. Sebanyak 13 koperasi di Perlis dan lapan koperasi di Johor telah bergabung sesama mereka untuk mengusahakan ternakan ayam secara besar-besaran. Sementara itu sebanyak 10 koperasi lagi telah bergabung untuk mengusahakan ternakan lembu secara integrasi di Johor.

Kegiatan koperasi di negara ini sering dilihat didominasi mereka yang berumur. Bagaimanakah cara nak menarik orang muda menceburi koperasi?

ISMAIL SABRI : Pelbagai usaha dan aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan bagi mengubah ideologi ini. Seharusnya koperasi dijadikan sebagai sebuah entiti perniagaan yang mampu bersaing seiring dengan syarikat-syarikat swasta yang lain. Jika dilihat di negara Singapura, Teo Say Hong merupakan wakil golongan muda yang dilantik di dalam International Co-operatives Alliance (ICA) bagi tahun 2007 sehingga 2009. Koperasi sepatutnya dijadikan sebagai medium untuk membina kerjaya dan mewujudkan keusahawanan bagi generasi muda selain dari menyertai syarikat swasta.

Kerajaan telah menyediakan medium terbaik untuk menggalakkan koperasi menjadi sebuah entiti perniagaan yang berjaya dan mampu mewujudkan peluang pekerjaan. Koperasi mempunyai ruang yang luas untuk diterokai oleh generasi muda dalam membina masa depan. Jika disorot di Amerika Syarikat (AS), koperasi dijadikan sebuah entiti yang mampu bersaing di peringkat global sehingga berjaya memberi ruang dua juta pekerjaan kepada penduduknya melalui 30,000 buah koperasi dengan hasil perolehan berjumlah AS$ 500 bilion (RM1.5 trilion). Ini boleh dijadikan contoh oleh para generasi muda dalam memeta hala tuju masa depan mereka.

Adakah impak Hari Koperasi Negara (HKN) ini telah berjaya menimbulkan kesedaran pentingnya koperasi yang perlu disertai oleh masyarakat di negara ini?

ISMAIL SABRI : Seperti yang dinyatakan tadi, bagi tempoh 2006 hingga 2011, bilangan koperasi berkembang pada kadar purata 13.14 peratus setahun, bilangan anggota tumbuh 3.8 peratus setahun, aset meningkat 20.08 peratus, modal bertambah 7.56 peratus setahun dan perolehan koperasi secara puratanya meningkat sebanyak 42.5 peratus. Jika dilihat dari pertumbuhan bilangan koperasi, kesedaran masyarakat mengenai koperasi tidak dapat disangkal lagi bukan sahaja dari bilangan koperasi namun kemampuan koperasi itu sendiri dalam memartabatkan gerakan koperasi dapat dilihat juga dengan peningkatan perolehan kepada RM23.09 bilion bagi tahun 2011. Masyarakat kini lebih meyakini koperasi melalui prinsip dan nilai koperasi yang diterapkan bagi memastikan keseimbangan dalam sosioekonomi dinikmati oleh anggota khasnya dan secara tidak langsung masyarakat juga.

Pada tahun 2012, Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara akan diwarnai dengan himpunan 100,000 koperator dari seluruh Malaysia. Himpunan ini akan melibatkan pelbagai kaum, golongan dan peringkat umur. Ini memberi impak yang besar kepada negara kerana berjaya membuktikan kekuatan dan rangkaian gerakan koperasi. Di samping itu, HKN pada tahun ini akan turut menyaksikan penyertaan koperasi daripada negara-negara ASEAN dalam Ekspo, yang merupakan salah satu acara sambutan HKN 2012. Sekitar waktu yang sama, ASEAN Senior Co-operative Officers/Regulators Meeting telah diadakan serta majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama antara koperasi juga akan direalisasikan. Segala usaha ini membuktikan bahawa transformasi gerakan koperasi di Malaysia berjaya dilaksanakan dengan melebarkan sayap ke negara-negara ASEAN. Jaringan kerjasama ini akan memberi ruang dan peluang kepada koperasi untuk meningkatkan aktiviti ke skala yang lebih besar. Ikatan ini membuktikan juga gerakan koperasi bukan sahaja diiktiraf di Malaysia malahan di dunia juga.

Dikatakan bukan Melayu tidak berminat untuk membuka koperasi. Benarkah tanggapan ini dan kalau benar, apakah puncanya.

ISMAIL SABRI : Bukan Melayu tidak berminat untuk membuka koperasi ini bukan tanggapan yang benar. Ini dapat dibuktikan dengan perangkaan iaitu 20.6 peratus (1.45 juta) bilangan anggota koperasi di Malaysia yang bukan Melayu. Prinsip koperasi iaitu keanggotaan sukarela dan terbuka serta autonomi dan kebebasan, ini memperlihatkan bahawa koperasi boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mewujudkannya. Bukannya bergantung kepada kaum. Jika diintai di negara lain seperti Singapura, jumlah keanggotaannya adalah 50 peratus (1.4 juta) daripada keseluruhan pendudukannya, rata-rata penduduknya bukan melayu, namun masih menyertai koperasi.

Persoalannya adalah bagaimana kita mampu membina dan memantapkan koperasi untuk bersaing dengan sektor lain. Oleh yang demikian, kerajaan kini dengan penuh tekad dan serius menjalankan pelbagai usaha untuk menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang yang berkesan kepada ekonomi negara. Pelaksanaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 diyakini akan mengubah tanggapan ini, keterangkuman dalam membentuk dan memperkukuhkan gerakan yang mampan akan berjaya dibina hasil dari pelaksanaan ini.

Apakah harapan kementerian kepada pengurusan koperasi-koperasi di negara ini?

ISMAIL SABRI : Kerajaan dengan pelbagai usaha telah dan akan menyediakan medium yang kondusif bagi sektor koperasi membina empayar yang lebih baik. Oleh itu peluang dan ruang ini perlu digunakan dengan sebaiknya oleh pihak pengurusan koperasi dalam merencana aktiviti perniagaan koperasi. Amalan prinsip dan nilai koperasi perlu diberi keutamaan dalam tadbir urus koperasi. Sejarah koperasi telah membuktikan bahawa jatuhnya sesebuah koperasi adalah disebabkan oleh kepincangan dalam pengurusan dan pentadbiran koperasi. Profesionalisme dalam pengurusan, menguasai ilmu berkoperasi dengan pemikiran yang kreatif, inovatif dan berbudaya keusahawanan adalah elemen yang harus diwujud dan ditingkatkan bagi memastikan koperasi berada di landasan yang betul dan mematuhi kehendak perundangan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Transformasi perumahan negara


Oleh DR. MOHD NAHAR MOHD ARSHAD
ma.nahar@iium.edu.my

MEMILIKI rumah sendiri adalah idaman setiap rakyat Malaysia. Rumah bukan sahaja satu keperluan asas tetapi dengan perancangan pembelian yang baik, ia menjadi aset penting dalam membina nilai bersih positif kepada kewangan individu.

Sebelum kita dapat berbicara tentang memiliki rumah idaman, persoalan berkenaan kemampuan untuk memiliki rumah adalah isu pokok yang menuntut perhatian pihak berwajib. Harga rumah idaman, terutamanya di kawansan bandar, mutakhir ini semakin mahal.

Lepasan universiti misalnya, terpaksa menangguhkan pembelian rumah idaman ekoran harga yang terlalu tinggi. Dengan pendapatan awal sekitar RM2,500 sebulan, adalah satu keputusan kewangan yang besar untuk memperunukkan antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk bayaran pinjaman perumahan saban bulan.

Ya, kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) dalam Bajet 2011 di mana golongan muda yang berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan boleh mendapat pembiayaan RM200,000 sehingga 100 peratus daripada institusi-institusi kewangan. Jumlah ini kemudiannya dinaikkan kepada RM400,000 dalam Bajet 2012.

Namun, isu mampu milik tidak dapat diselesaikan dengan cara memberikan lebih banyak pinjaman. Harga rumah yang terlalu tinggi terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru masih di luar mampu milik golongan muda.

Lantaran harga rumah idaman yang di luar kemampuan, mereka terpaksa menyewa atau membeli apartment atau flat yang dalam jangkauan kemampuan. Namun, keadaan kediaman seperti ini sangat tidak selesa untuk membina sebuah keluarga yang harmoni.

Hakikatnya, terdapat perbezaan ketara antara kualiti bangunan-bangunan pejabat di Malaysia berbanding dengan keadaan bangunan perumahan.

Bangunan-bangunan pejabat kita amnya berstatus negara maju. Sebaliknya, di sebelah bangunan yang sama, akan kelihatan rumah-rumah yang menggambarkan status negara ketiga.

Melihat kepada kualiti perumahan di Malaysia, jelas kepada kita akan sikap kebanyakan para pemaju perumahan yang lebih mementingkan untung tanpa mengambil kira keadaan manusia yang berbesar harap untuk hidup bahagia dalam rumah yang dibelinya.

Di negara-negara maju, keadaan rumah yang dibina sangat menitikberatkan keselesaan dan keharmonian manusia yang mendiaminya. Meskipun rumah tersebut rumah untuk golongan berpendapatan rendah, ciri-ciri asas seperti pendingin/pemanas hawa, longkang dan saliran, air dan elektrik, pelupusan sampah, keharmonian kejiranan dan lapangan sosial adalah menjadi keutamaan.

Bagi golongan yang berkemampuan pula, selain dari ciri-ciri di atas, rumah-rumah mereka mementingkan soal panorama persekitaran. Kehijauan persekitaran dan lestari alam menjadi ciri utama sebuah rumah idaman.

Menilai kembali keadaan rumah di Malaysia, soal panorama lazimnya bukanlah pilihan buat pembeli. Jika ada pun, itu mungkin suatu kebetulan atau anda mempunyai tanah sendiri yang persekitarannya belum dinodai.

Lantaran, transformasi perumahan negara dilihat perlu agar status rumah-rumah di Malaysia mencerminkan status sebagai sebuah negara maju. Selain mempertingkatkan kualiti, rasionalisasi harga rumah juga perlu menjadi agenda perumahan negara.

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/