Khamis, 19 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Bantah pelajar bawa telefon


Oleh SOFIAN BAHAROM dan AZHARI ZAINOODDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Langkah membenarkan para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dikhuatiri boleh menyebabkan tumpuan mereka terhadap pembelajaran di dalam kelas terganggu.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan.

''Perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan mengganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong kelmarin, berhubung kebenaran kepada pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan seperti yang digariskan menerusi Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012.

Tokoh pendidik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut mempunyai pandangan sama.

Menurut beliau, penggunaan peralatan itu di sekolah dilihat tidak memberi manfaat terhadap peningkatan mutu pembelajaran pelajar.

"Kerajaan perlu memperhalusi cadangan ini dengan sebaik-baiknya kerana bimbang kesannya terhadap institusi sekolah, hubungan antara guru dan pelajar serta masa depan negara," katanya.

Menurut Kay Kim, kerajaan juga harus mencorak sistem pendidikan mengikut acuan sendiri agar ia dapat membantu ke arah kemajuan dan kecemerlangan sistem pendidikan negara.

"Jika ingin melakukan perubahan, biarlah perubahan itu membawa lebih banyak kebaikan dan bukan atas kepentingan satu-satu pihak sahaja," katanya.

Seorang lagi tokoh pendidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pula berpendapat, kebenaran membawa alat telekomunikasi itu dibimbangi akan disalahgunakan oleh pelajar.

"Daripada aspek keselamatan, saya melihat ia memang wajar dibenarkan agar ibu bapa sentiasa boleh berhubung dengan anak-anak mereka.

"Tetapi dari sudut persekolahan, saya bimbang ia menjejaskan tumpuan pembelajaran, disalahgunakan, menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran selain berlakunya kes-kes kecurian," katanya.

Dalam pada itu, Tokoh Guru Kebangsaan 2010, Awang Mohamad berkata, langkah tersebut tidak perlu dibuat dengan terburu-buru memandangkan suasana di dalam kelas tidak menuntut pelajar menggunakan peralatan canggih tersebut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Majoriti guru tak setuju pelajar bawa gajet ke sekolah



Syuhada Choo Abdullah 
choo@bharian.com.my

Kuala Lumpur : Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam.

Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan.

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan.

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Budayakan sikap suka bertanya dan berfikir secara kritikal


BERFIKIR secara kritikal dan sikap suka bertanya bagi menambahkan kefahaman dan keyakinan kita perlu dibudayakan dalam diri kita dan keluarga.

Jika kita tinjau, Al-Quran banyak mengajak manusia bertanya dan mencari huraian bagi ciptaan Allah swt.

Menggunakan potensi akal adalah antara jalan mengenal Allah dan menghayati Islam.

Hikmah dan kebijaksanaan Tuhan di dalam Al-Quran hanya akan dapat digali jika kita memanfaatkan potensi akal untuk berfikir.

Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Nabi Ibrahim as yang banyak berfikir tentang Tuhan dan alam.

Dalam surah Al-Baqarah: 260 misalnya, terdapat dialog antara Nabi Ibrahim dengan Allah. Antara pengajaran daripadanya ialah Baginda tidak hanya menerima sesuatu pandangan secara membuta tuli tanpa penilaian dan usul periksa.

Ilmu bukan bermakna kita mempelajari sesuatu dengan mendapatkan informasi dan pengetahuan daripada sesuatu sumber semata-mata.

Apabila kita menuntut ilmu daripada seorang tokoh agama sekalipun, kita perlu bertanya jika kurang jelas atau berasa pengajaran mereka bertentangan dengan apa yang kita ketahui dan pernah pelajari.

Pastikan kita mendapatkan pandangan daripada ahli agama yang lain untuk mengesahkannya.

Menuntut ilmu harus disokong dengan proses menganalisis, bertanya dan ada kalanya mempersoalkan kandungan pelajaran yang kita terima. Tujuannya tidak lain supaya kita benar-benar pasti dan jelas akan kandungan ilmu yang diterima agar terbit keyakinan tanpa ragu.

Pada masa sama, kita juga perlu sentiasa sedia ditanya atau dipersoalkan atas apa yang kita seru. Contoh mudah ialah apabila kita mendidik anak-anak dan berinteraksi dengan mereka.

Sebagai sumber rujukan awal anak-anak, usah kita  menepis soalan dan pertanyaan daripada mereka, lebih-lebih lagi hal dalam berkaitan agama. Malah, anggaplah itu suatu peluang bagi kita memberi kefahaman lebih mendalam dalam urusan agama. Andainya kita sukar menjawabnya, anggaplah itu satu petanda bahawa kita sendiri perlu meningkatkan pengetahuan agama kita.

Dengan bersikap terbuka dalam memberi ruang bagi anak-anak bertanya dan meluahkan pendapat, ia secara tidak langsung akan menambahkan lagi kemesraan hubungan dan ikatan antara seorang bapa dan anak-anaknya.

Semoga Allah membuka hati dan jiwa kita untuk mendalami iktibar dan pengajaran dalam Al-Quran.

Umat Islam Di Malaysia Mula Berpuasa Sabtu


KUALA LUMPUR : Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Sabtu ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu ini, 21 Julai 2012, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. - BERNAMA

ISU BAHASA : Pelajar AS kuasai bahasa Melayu



Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanktn@gmail.com


KUANTAN 17 Julai - Dua penuntut jurusan Sains Politik, Universiti Nothern Illinois (NIU), Amerika Syarikat, Matthew Ropp, 21, dan Derek Koegel, 22, berbangga apabila berjaya menguasai bahasa Melayu dengan fasih setelah mengikuti program Bahasa Melayu Untuk Pelajar Antarabangsa (BMfIS) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini.

Semenjak diperkenalkan tahun lalu, seramai 10 penuntut NIU berjaya menamatkan program yang memfokuskan komunikasi autentik dalam tempoh enam minggu di bawah kendalian Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) itu.

Dekan PBMSK, Profesor Dr. Abdul Jalil Borham, berkata, kaedah pembelajaran yang digunakan berunsurkan pendekatan autentik yang mana bahan pengajaran dan pembelajaran digunakan sesuai dengan masyarakat tempatan dalam kehidupan harian.

"Sepanjang sesi pengajaran di kelas, pelajar diajar topik yang menjurus kepada cara hidup serta budaya masyarakat serta keunikan di negara ini yang mempunyai penduduk daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.

"Peserta juga didedahkan dengan topik yang lebih mencabar minda seperti industri automotif di Pekan, sejarah pahlawan di Pahang dan pembentukan Malaysia daripada penjajahan British," katanya semasa menyampaikan sijil penyertaan kepada pelajar yang tamat program, di sini baru-baru ini.

Sepanjang tempoh program tersebut, pembinaan modul dan pencarian bahan turut dibantu profesor dari NIU, James T. Collins serta tiga kakitangan akademik PBMSK iaitu pensyarah, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi, Dr. Zailin Shah Yusof dan guru bahasa, Siti Muslihah Isnain bersama lima fasilitator.

Jelasnya, program tersebut memberi peluang kepada penuntut UMP berkongsi pendapat dan budaya, selain mempromosikan universiti itu ke peringkat global.

"Saya berharap program sebegini dapat diteruskan hasil kerjasama UMP dan pihak NIU pada masa akan datang demi mengukuhkan ikatan dua negara," ujarnya.

Sementara itu, Ropp berkata, sepanjang mengikuti program tersebut, dia dan rakannya berpeluang mempelajari adat perkahwinan orang Melayu di Pulau Pinang dan melawat rumah kelahiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kedah.

"Saya berkesempatan tinggal bersama keluarga angkat di Felda Lepar di sini serta bergaul dengan masyarakat setempat termasuk menyertai beberapa aktiviti di ladang dan majlis keraian," katanya.

Bagi Koegel, pengalaman menemubual beberapa penduduk kampung serta bertemu dengan orang ramai mampu meningkatkan tahap komunikasi yang lebih berkesan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Martabatkan Bahasa Melayu



Oleh : MOHAMAD SHAFIQ

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan di bawah akta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967(Disemak 1971) yang  secara rasminya meletakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa ilmu, dan bahasa perpaduan antara kaum di negara ini.

Di bawah peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Melalui peruntukan tersebut, bahasa Melayu haruslah digunakan dalam apa-apa bentuk sekali pun, dan perlu digunakan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan mahupun di peringkat jabatan.

Namun, pengiktirafan yang diterima oleh bahasa Melayu ini bukan bermakna bahasa kaum-kaum lain terbantut perkembangannya. Contoh yang terdekat adalah bahasa Mandarin dan bahasa Tamil yang tidak dihalang oleh kerajaan untuk dikembangkan. Ini terbukti apabila bahasa Mandarin dan Tamil bebas diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), serta sedikit di sekolah kebangsaan jika mendapat permintaan.

Langkah DBP memperkenalkan sistem audit bahasa di semua peringkat jabatan, terutama jabatan-jabatan kerajaan adalah wajar. Hal ini penting kerana ia sebagai satu langkah mengembalikan fungsi asal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ini disebabkan fenomena masyarakat yang gemar menggunakan bahasa Inggeris sehingga merebak kepada urusan-urusan rasmi, menyebabkan bahasa Melayu semakin hari semakin dipinggirkan. Tidak hairanlah jika wujudnya ungkapan 'sekerat belut, sekerat ular' yang menggambarkan penggunaan bahasa rojak yang semakin serius dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Penggunaan bahasa yang bercampur-campur ini menyebabkan bahasa Melayu semakin hari semakin hilang identiti  kebahasaannya.

Tidak dinafikan, banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya fenomena sedemikian. Antaranya ialah kepesatan pembangunan negara dari segi ekonomi dan juga pengaruh media massa. Namun, kedua-dua faktor ini bukanlah penyumbang utama dalam kemerosotan penggunaan bahasa Melayu. Yang paling penting ialah kesedaran dan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Malah, kita juga tidak boleh mengharapkan orang lain mempertahankan bahasa Melayu jika orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankannya.

Tambah menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Melayu yang suka menggunakan bahasa Inggeris tidak kena pada tempatnya. Malah kadang kala yang dibawa lawan bercakap itu bukannya orang asing tetapi orang Melayu sendiri. Persoalannya, di manakah sensitiviti kita sebagai penutur jati bahasa Melayu sehinggakan berat mulut untuk berkomunikasi di dalam bahasa sendiri? Hal ini kita kembalikan kepada persoalan utama iaitu soal jati diri dan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu.

Justeru, langkah DBP mewujudkan sistem audit bahasa harus dipuji kerana sudah sekian lama DBP seolah-olah mati dari fungsi asalnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara.

Malah, cukup menggembirakan apabila cadangan ini turut mendapat sokongan daripada banyak pihak, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (Sinar Harian 13 Julai 2012).
Di samping itu, Kementerian Kewangan juga turut mengarahkan bank dan syarikat-syarikat insurans untuk menggunakan bahasa kebangsaan, terutama dalam urusan-urusan rasmi.

Malah, tidak ketinggalan Kementerian Pengajian Tinggi yang meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu melihat peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia.

Maka, langkah pengauditan bahasa ini adalah salah satu titik awal menuju ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu di peringkat yang lebih global.

Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Amal sebagai buah ilmu ranum


Oleh : Prof Dr. SIDEK BABA

AL-Quran dalam Surah al-Asr memberi pedoman Illallazi na’amanu waa’milus saalihat, yang memberikan maksud orang yang beriman adalah orang yang beramal soleh. Maksud amal soleh di sini amat luas, seluas kehidupan manusia itu sendiri. Ia tidak terbatas dalam bentuk amal yang khusus seperti solat, puasa, umrah dan haji. Sifat amal soleh ini merentasi sifatnya.

Amal soleh terdapat dalam pemikiran, percakapan dan amalan, tidak saja dalam batas rohaniah (ritual) tetapi ia terpancar dalam watak, pekerti dan perbuatan.

Islam itu diibaratkan sebatang pokok. Akarnya ialah  aqidah yang menjadi tautan kuat kepada pokok. Batangnya ibarat ibadah yang dilakukan supaya pokok itu menjadi teguh berdiri. Dahan dan rantingnya adalah syariat yang mengukuhkan lagi binaan pokok supaya lengkap dan bermakna. Buah kepada pokok adalah ibarat akhlak iaitu hasil yang ranum yang memberi manfaat kepada manusia.

Buah yang ranum ibarat akhlak karimah yang membezakan seseorang manusia dengan yang lainnya. Inilah risalah Nubuwah yang dibawa Rasulullah SAW supaya manusia itu beradab dan berada dalam jiwa muttaqeen.

Iman secara mudah membawa maksud percaya. Percaya memberi jalan kepada keyakinan. Keyakinan ialah puncak hubungan kita dengan ALLAH. Semua orang percaya bahawa kematian akan terjadi kepada manusia. Tidak ramai orang yang yakin bahawa kematian adalah natijah akhir kehidupan yang bakal membawa kita bertemu dengan ALLAH.

Hadis Rasulullah SAW memberikan asas yang sangat jelas mengenai hubung kait kita yang pergi dengan yang tinggal. Antara lain adalah amal jariah yang dilakukan ketika hidup. Ilmu bermanfaat yang disampaikan dan meninggalkan anak yang soleh dan solehah yang mendoakan.

Inti hadis ini sangat jelas bagi kita betapa amal jariah dalam bentuk yang luas mempunyai hubungan dan natijah apabila kita pergi nanti. Membantu orang lain dengan pemikiran, tulang urat dan wang ringgit adalah sumber amal yang sifatnya menyumbang. Melakukan dakwah dan tarbiah, jihad dalam ilmu dan sistem, keupayaan menyerap kesabaran berhadapan dengan karenah manusiawi adalah jalan amal yang menyuburkan lagi amal jariah kita.

Ilmu bermanfaat diibaratkan seperti cahaya sifatnya dan mencerahkan bukan menggelapkan. Jika dikaji, dijana dan direnungkan dengan jiwa tadabbur yang tinggi, ia menjadi suluh terhadap kejahilan dan ketidaktahuan manusia mengenai sesuatu.

Apalagi ilmu bermanfaat yang terdapat di Barat dan Timur, disaring daripada sari pati budaya dan tamadun ia boleh memberikan sumbangan kepada umat Islam sekiranya integrasi ilmu terjadi dan islamisasi berlaku. Ia mampu mengukuh epistemologi (asas ilmu) yang islamik dan menyumbang terhadap umat manusia.

Anak yang soleh adalah natijah akhir daripada proses pendidikan yang terjadi di rumah dan juga di pusat pengajian yang lain. Ibu dan ayah adalah guru awal kepada anak. Keciciran boleh berlaku di rumah sekiranya ibu bapa tidak memiliki kualiti didik. Sekiranya keciciran disambung di sekolah dan dalam masyarakat maka anak bakal tidak menyumbang kepada diri dan keluarga dan akhirnya menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Anak yang soleh, terdidik dengan pekerti yang baik dan teladan yang tinggi, ilmu yang benar dan bermanfaat, seorang dai’ dan murabbi dan sentiasa melihat kehidupan ini adalah suatu perjuangan (jihad) bakal melakukan kebaikan dan kemakrufan di dunia dan memberi kesan kepada kedua-dua ibu bapa yang telah pergi.

Justeru amal yang difahami dengan maksud yang luas tidak saja memberi maksud duniawi yang tinggi tetapi juga maksud ukhrawi yang hebat. Di sinilah letaknya peranan pendidikan untuk mengekal dan mengembalikan manusia kepada fitrah. Mengekal dan mengembalikan manusia kepada fitrah adalah suatu jihad yang amat besar. Sekiranya jihadul amal itu diterjemahkan dalam sistem ia bakal menyuburkan sistem dengan nilai islamik dan secocok dengan binaan fitrah insan.

Melakukan kebaikan kepada manusia menerusi amal yang baik boleh memikat dirinya untuk istiqamah atau kembali kepada fitrah. Amal dalam bentuk contoh teladan adalah faktor terbaik memikat hati manusia kembali kepada fitrah. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagaimana amal dirinya dalam bentuk akhlak terpuji berjaya memikat hati insan untuk kekal dan kembali dalam keadaan fitrah.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/