Isnin, 30 Julai 2012

ISU BAHASA : Tauhid beri identiti peradaban Islam


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Peralihan tamadun tentukan rupa, jiwa Melayu Nusantara

Islam membantu perkembangan celik huruf di Asia Tenggara. Tulisan Jawi yang ditambah beberapa huruf daripada tulisan Arab akhirnya membentuk tradisi intelektual di Nusantara.

Kewujudan empayar Melayu Melaka menjadikan Islam sebagai wadah penting dari segi keagamaan sehingga kini.

Tahun ini tarikh 6 Ogos 2012 bersamaan 17 Ramadan 1433 turut disambut sebagai memperingati hari Nuzul al-Quran. Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu menjadikan hari ini sebagai cuti umum.

Turunnya al-Quran kepada junjungan Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur mulai malam 17 Ramadan lebih 1,400 lalu, memberi ‘cahaya’ serta kesan kerohanian besar kepada seluruh umat Islam, di samping memberi rahmat kepada seluruh alam.

Hasil turunnya al-Quran, serta ajaran yang dipraktikkan Rasul dan penganutnya, terbentuklah peradaban Islam yang awal. Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menafsir kedatangan Islam sebagai fenomena peralihan paksi daripada tamadun rantau ini yang berasaskan agama serantau, iaitu Hindu-Buddha kepada tamadun yang berasaskan agama sarwajagat, iaitu Islam.

Peralihan paksi tamadun ini penting dalam menentukan rupa dan jiwa bangsa Melayu yang baru, iaitu bangsa yang bebas daripada belenggu khurafat dan tahyul, menjadi bangsa rasional dan intelektual.

Masyarakat dunia hari ini tidak saja ‘melihat’ tamadun masa lampau berdasarkan tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur wujudnya tamadun Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok Besar; tamadun Mesir kerana Piramid; dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di Semenanjung Yucatan.

Lebih penting daripada itu ialah tinggalan dalam bentuk teks persuratan dalam pelbagai jenis tulisan termasuk pictographs dan ideograms.

Alam Melayu di tanah lamanya sebelum kedatangan Islam turut meninggalkan kesan sejarah berupa pelbagai jenis tulisan dan candi. Kerajaan Champa (dari abad ke-3 hingga abad ke-14 Masihi), Langkasuka di Segenting Kra (abad ke-6 hingga 7 Masihi), Sriwijaya di Sumatera (abad ke-7 hingga 13 Masihi) dan Majapahit di Jawa (abad ke-10 hingga 14 Masihi) masing-masing meninggalkan warisan sejarahnya.

Malah, pada zaman Sriwijaya berlangsung interaksi antara tamadun apabila tamadun India banyak mewarnai aspek ketamadunan Melayu pada zaman pra-Islam. Bahasa Melayu kuno menerima sekian banyak kosa kata serta unsur tatabahasa bahasa Sanskrit.

Apa yang dialami oleh bahasa Melayu kuno pada zaman Sriwijaya membuktikan kebijakan penutur dan pengguna bahasa itu yang menyerap sejumlah kosa kata bahasa asing (Sanskrit) dan mencantikkan acuan tatabahasanya, sebagai bukti awal bahawa bahasa Melayu ialah sebuah bahasa yang dinamik dan kerana kedinamikan itu bahasa Melayu terus berkembang hingga sekarang. Pengalaman Sriwijaya dianggap sebagai gelombang pertama perkembangan bahasa Melayu.

Gelombang keduanya berlaku pada zaman kesultanan Melayu, apabila menerima Islam sebagai asas tamadun Melayu yang baru.

Sejak disinari cahaya tauhid, umat Melayu-Islam memilih tulisan Jawi – daripada tulisan Arab yang ditambah beberapa huruf bagi menyesuaikannya dengan lidah serta bunyi Melayu, membentuk aksara bahasa Melayu baru.

Bahasa Melayu baru yang terbentuk dalam gelombang kedua itu menzahirkan sejumlah karya besar dan hebat. Pada abad ke-12, kitab dalam bahasa Arab berjudul Bahr Al-Lahut tulisan ahli tasawuf Arab bernama Abdullah Arif yang pernah berada di Aceh pada 1111 diterjemahkan ke bahasa Melayu. Hikayat Raja Pasai pula dikarang pada pertengahan kedua abad ke-14.

Petanda bahawa karya besar dan maju dalam bahasa Melayu muncul sejak abad ke-14 dapat diikuti melalui karya Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri, Syamsudin al-Sumaterani, Abdul Rauf al-Singkili, Abdul Samad al-Falimbani, Syekh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syekh Daud al-Fatani, Raja Ali Haji dan sebagainya lagi yang menulis kitab sufisme, falsafah, metafizik, tasawuf dan agama. Di samping itu tercipta pula Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin oleh Tun Seri Lanang.

Menurut Ismail al Faruqi, tauhid memberikan identiti kepada peradaban Islam. Oleh kerana tauhid itu pemberi identiti, maka semaju mana pun sesebuah masyarakat itu menurut kriteria peradaban Barat, masyarakat belum mencapai takah ‘peradaban’ yang tinggi dan lengkap menurut Islam.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Hayati pengajaran al-Quran sempena Ramadan



PENURUNAN Al-Quran yang mulia pada salah satu malam Ramadan (Lailatul Qadr) menjadikan penghulu segala bulan ini lebih istimewa. Al-Quran yang merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW, memiliki pelbagai peranan penting dalam kehidupan manusia.

Kitab yang memiliki pelbagai nama itu antaranya bertindak sebagai panduan dan bimbingan, iaitu yang membawa manusia daripada kesyirikkan dan kejahilan kepada cahaya keimanan, ilmu, dan ketaatan bagi tujuan mendorong mereka melakukan kebaikan untuk urusan dunia serta akhirat.

Al-Quran juga membentangkan sebaik-baik kisah sebagai renungan, panduan serta pengajaran untuk dihayati. Ini misalnya dapat dilihat dalam Surah Yusuf yang sebahagian besarnya menceritakan kegetiran ujian yang menimpa Nabi Yusuf a.s. dan kejayaan baginda menghadapinya dengan bijaksana.

Al-Quran juga merupakan penerang dan bukti, misalnya tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW dan sifat serta kedudukan Islam sebagai agama tanzil (wahyu). Al-Quranlah yang menegaskan penyempurnaan agama Islam oleh Allah SWT selain pengiktirafan sebagai satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT. Bahkan Al-Quran juga menjadi penyembuh bagi penyakit-penyakit hati, iaitu keraguan dan kesangsian serta penyakit-penyakit fizikal.

Dengan manfaat besar yang ada pada Al-Quran malang seandainya rahsianya tidak dibongkar dan kandungannya tidak dihayati, dijadikan panduan dalam perencanaan dasar kehidupan serta dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Amat sedih melihat kedudukan Al-Quran dalam kehidupan umat Islam hari ini. Selain jarang-jarang dibaca, Al-Quran juga sekadar menjadi hadiah atau perhiasan, dan jika pun dibaca hanya untuk sesebuah majlis atau pada waktu tertentu, khususnya saat-saat yang mendesak.

Umum mengetahui keberkatan yang dibawa oleh Al-Quran bukan sahaja kepada pembaca bahkan persekitarannya. Misalnya jika ia dibaca oleh penghuni sesebuah keluarga, maka kediaman tersebut seolah-olah memiliki roh dan jiwa dan diliputi ketenangan manakala penghuninya dikurniai keselamatan dan kebahagiaan.

Dalam sebuah hadis Baginda, Nabi SAW mengingatkan umat Baginda agar tidak menjadikan rumah mereka seperti sebuah tanah perkuburan, yang sunyi daripada tilawatul Quran. Ia akan mengundang kehadiran syaitan, makhluk yang diingatkan Allah SWT sebagai musuh utama manusia yang akan menimbulkan rasa tidak tenteram dan permusuhan sesama mereka.

Amalan membaca Al-Quran secara berterusan perlu disemarakkan kerana ia penting dalam menjamin kejayaan langkah seterusnya, iaitu penghayatan isi kandungannya dan penerokaan prinsip penting yang menjamin kesejahteraan kehidupan.

Salah satu prinsip penting yang digariskan Al-Quran dalam banyak ayat adalah pemeliharaan persaudaraan antara sesama Muslim. Prinsip-prinsip penting ini seterusnya dikukuhkan pula oleh hadis-hadis Nabi SAW. Al-Quran misalnya menegaskan jalinan yang mengikat antara seorang Mukmin dengan yang lain. Sehubungan itu, mereka perlu berusaha memelihara jaminan yang diasaskan pada keimanan kepada Allah SWT itu dengan sebaik mungkin.

Maksud sebuah hadis Nabi SAW menjelaskan bahawa seseorang Muslim merupakan saudara kepada Muslimnya yang lain. Justeru, ia bertanggungjawab untuk tidak menzalimi saudara Muslimnya atau membiarkan ia dizalimi.

Seterusnya ditegaskan bahawa jika seseorang Muslim memenuhi hajat saudaranya, maka hajatnya juga akan dipenuhi oleh Allah SWT dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesulitan maka Allah akan melepaskan kesulitan dan penderitaan hari kiamat. Demikian pula seandainya seseorang Muslim menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.

Sudah menjadi resam kehidupan, hubungan yang terjalin antara sesama insan pasti ada ujiannya. Justeru, jika berlaku sesuatu perbalahan atau pertikaian antara sesama umat Islam, al-Quran menganjurkan supaya pihak ketiga daripada kalangan umat Islam berusaha mendamaikan mereka (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Dengan menghayati semangat Ramadan yang menggesa penyucian jiwa, bersama-samalah kita bermuhasabah dan menilai sikap kita terhadap saudara Muslim yang lain. Bersungguh-sungguhkah kita dalam menunaikan segala hak mereka? Atau sebaliknya kita sentiasa menyakiti dan meluahkan kebencian terhadap mereka dengan tidak mengambil kira suasana dan lokasi?

Adakah kita sentiasa bersedia berunding, berlapang dada, dan memaafkan, sekiranya berlaku pertikaian antara kita dengan mereka? Atau sebaliknya kita menggunakan segala ruang dan kuasa yang dimiliki untuk membalas dendam, menyakiti dan memudaratkan mereka dengan sehabis daya?

Seandainya pula terjadi perbalahan antara sesama umat Islam, apakah sikap yang kita ambil ? Adakah kita melaksanakan tanggungjawab mendamaikan antara kedua-duanya atau hanya membisu? Atau lebih buruk lagi hanya bertindak mengeruhkan lagi keadaan dengan tidak memberikan nasihat yang benar selain mengadu domba antara kedua-duanya sehingga hubungan antara kedua-duanya hancur musnah.

Harus diingat bahawa apa-apa pun juga sikap kita, ia menjadi cerminan kepada wajah Islam pada mata orang lain. Jika mulia amalan dan sikap kita maka yang terpancar pada wajah Islam adalah keindahan dan kemuliaan. Demikianlah pula sebaliknya.

Mengambil kira tirai Ramadan yang baru sahaja disingkap dan peluang memperbaiki diri terbuka luas, sama-samalah kita memohon keampunan, menjernihkan hati, dan memperbaiki hubungan antara sesama kita.

Ini kerana Allah SWT memberikan jaminan-Nya bahawa sesiapa jua daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang menganiayai diri sendiri dengan melakukan dosa lalu segera bertaubat dengan sejujurnya, Dia pasti akan mengampunkan dosa-dosa mereka (Surah Ali 'Imran, ayat 135).

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : IPT dikritik gagal laksana fungsi


Oleh :  Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         
SEDIKIT sebanyak, isu membabitkan mahasiswa pasti mengganggu minda masyarakat, apatah lagi kebangkitan golongan itu kebelakangan ini agak ketara.

Kebangkitan itu juga ibarat isyarat mahasiswa hari ini lebih mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan sesuatu isu berbentuk provokasi berbanding perkara rasional.

Sedangkan antara matlamat utama institusi pengajian tinggi (IPT) ialah membantu mentransformasikan minda serta diri mahasiswa menjadi lebih terbuka, peka, dinamik dan berwibawa.

Namun, usaha itu tampak sukar dengan mentaliti mahasiswa sukar diubah. Apakah peningkatan nilai ilmiah di kalangan mereka masih lagi di takuk lama?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, proses itu berdepan halangan kerana mereka sendiri membuat batasan terhadap perubahan ingin dilakukan.

Beliau berkata, transformasi mudah jika dilaksanakan melalui kata-kata, sebaliknya perubahan bagi menganjakkan nilai pemikiran serta perbuatan adalah cabaran terbesar.

“Semua boleh melakukan transformasi melalui kata-kata, tapi hakikatnya mereka akan gagal  apabila  melaksanakannya melalui perbuatan.

“Ini menunjukkan transformasi bukan mudah kerana berkait rapat dengan cara berfikir, kesedaran dan motivasi melakukan perubahan.

“Masalahnya, cara pemikiran mahasiswa kita tidak sama serta ada pelbagai definisi. Itu menyebabkan proses perubahan yang ingin dilaksanakan sukar dan bersimpang-siur,” katanya.

Pembabitan mahasiswa yang lebih menjurus kepada perlakuan negatif kebelakangan ini cukup membimbangkan masyarakat, apatah lagi mereka mengharapkan golongan itu sebagai ejen perubahan masa depan.

Kegusaran semakin bertambah apabila melihat mudahnya mereka dipergunakan dalam ‘memanaskan’ sesuatu isu hingga menimbulkan tanggapan kurang menyenangkan.

Apatah lagi pencapaian sebahagian besarnya yang kurang cemerlang dalam akademik menjadikan mereka sasaran mudah untuk disalahkan.

Natijahnya, IPT sebagai tempat naungan turut menerima kritikan dengan tanggapan gagal melaksanakan fungsi sebenar memberi pendidikan.

“Mahasiswa yang menggunakan nama IPT sebagai tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati dianggap sebagai tidak tahu berterima kasih. Biarpun ia bukan kesalahan institusi itu, tapi kerana perlakuan mahasiswanya, ia turut mendapat nama busuk.

“Bagaimanapun, masyarakat jangan membuta tuli membuat tanggapan, perlu mengakui bukan mudah membantu generasi muda ini melakukan transformasi.

“Melaksanakan transformasi perlu lahir daripada hati yang ikhlas serta pemikiran matang. Belajarlah di institusi terbaik di dunia sekali pun, jika mahasiswa enggan berubah, segala usaha menjadi sia-sia,” katanya.

Usaha tranformasi perlu memberi penekanan kepada mahasiswa Melayu kerana mereka mudah terpengaruh dengan isu di luar kampus sehingga membawa masalah kepada IPT.

Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab sering mengintai peluang di kalangan mahasiswa kerana tahu golongan itu ‘mempunyai kuasa untuk bersuara’.

“Jangan menafikan bahawa mahasiswa antara jentera paling berpengaruh di dunia, justeru pihak berkepentingan peribadi suka mengambil kesempatan.

“Mereka tahu sejauh mana kemampuan mahasiswa ini. Sebab itu pentingnya mereka mempunyai pengukuhan jati diri dengan melakukan transformasi minda dan diri bagi mengelak diperdaya.

“Malangnya, bukan semuanya dalam kategori ‘bijak’. Ramai yang pandai tapi ada yang pandai memanipulasi  atau mudah dimanipulasi hingga menjejaskan keseluruhan sistem sedia ada,” katanya.

“Transformasi adalah satu fasa perubahan dan menjadikan mereka lebih baik. Jika tidak, fasa kehidupan akan mati.

“Transformasi juga boleh membantu menyelamatkan masa depan mereka daripada terus menjadi ‘hamba’ orang lain. Perubahan yang positif boleh melahirkan generasi terbilang,” katanya.

Beliau turut kesal  kerana kebanyakannya sukar berubah hingga menyebabkan kualiti mahasiswa hari ini mudah dipersoalkan.

“Setiap IPT komited menjalankan tanggungjawabnya seperti menyediakan pensyarah yang bagus dan kemudahan terbaik, namun berapa ramai yang nampak kelebihan ini?

“Betul mereka belajar tapi hanya ilmu yang sudah ada sedangkan banyak lagi boleh diterokai. Berapa ramai mahasiswa yang suka membuka mulut di dalam kuliah? Berapa ramai sanggup mengejar pensyarah hanya kerana ingin bertanyakan soalan?

“Saya percaya senario ini sama seperti 20 tahun dulu. Kebanyakannya pasif menjadikan institusi ‘terpaksa’ melahirkan mahasiswa bertaraf sederhana,” katanya.

Bagaimanapun, jika ada kemahuan, mahasiswa pasti mampu melonjakkan keupayaan dan meletakkan kemampuan pada tahap membanggakan.

“Bukankah universiti adalah gedung ilmu, mengapa tidak menggunakan peluang ini sebaiknya tanpa perlu ‘menambah’ perencah yang boleh memusnahkan diri sendiri?

“Malangnya kebanyakan mahasiswa lebih teruja ke arah itu, sekali gus terus meninggalkan persepsi serta pandangan skeptikal yang tidak berubah kepada masyarakat,” katanya.


Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU KENEGARAAN : Bendera politik 'tenggelamkan' Jalur Gemilang

HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.

Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.

Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.

Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga 'menyembah' bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.

Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya nanti.

Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat....kibarkan, kalau tak dapat...tak apa, biar orang lain kibarkan.

Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : 14 syarikat Malaysia terbaik di Asia Pasifik


Oleh : Mahanum Abdul Aziz
 
Forbes Asia iktiraf firma bersaiz kecil, sederhana

Kuala Lumpur : Sejumlah 14 syarikat Malaysia disenaraikan dalam kategori ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion’ Forbes Asia 2012 yang menyenaraikan 200 syarikat bersaiz kecil dan sederhana terbaik dari 15 negara Asia Pasifik. Senaraian oleh majalah perniagaan terkemuka itu bagi mengiktiraf syarikat senaraian awam terbaik Asia Pasifik yang mencatatkan pendapatan tahunan antara AS$5 juta (RM15.8 juta) hingga AS$1 bilion (RM3.16 bilion).

Turut diambilkira adalah pendapatan bersih yang positif dan didagangkan di pasaran saham lebih daripada setahun.

Syarikat Malaysia dalam senarai itu ialah Benalec Holdings Bhd; Boilermech Holdings Bhd; CBSA; Digistar Bhd; EA Holdings Bhd; Hartalega Holdings Bhd; M-Mode Bhd; MSM Malaysia Holdings Bhd; Mudajaya Group; SKP Resources Bhd; Tecnic Group Bhd; UEM Land Holdings Bhd; UOA Development Bhd dan Xingquan International Sport Holdings Bhd.

Tunjang ekonomi Asia

Mengulas perkembangan itu, Pengarang Forbes Asia, Tim Ferguson, berkata senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion’ Forbes itu, menunjukkan syarikat kecil dan sederhana terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi Asia.

“Kepelbagaian dan dinamik syarikat berkenaan adalah petanda baik bagi rantau itu terutama ketika ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 200 syarikat yang disenaraikan tahun ini, menjana pendapatan keseluruhan AS$47 bilion (RM148.4 bilion) dengan 370,000 kakitangan.

Mengikut industri, 23 syarikat adalah daripada sektor perkakasan dan peralatan teknologi, diikuti syarikat sektor perisian dan perkhidmatan.

Jumlah syarikat pembinaan meningkat kepada 20 syarikat berbanding 11 syarikat disenaraikan tahun lalu.

Syarikat yang terbabit dalam industri makanan, minuman dan tembakau juga mencatatkan peningkatan kepada 19 berbanding 10 syarikat sebelum ini.

Syarikat China dan Hong Kong menguasai senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion’ itu, dengan 72 syarikat disenarai bagi tahun ini, meningkat berbanding 65 syarikat tahun lalu.

India dan Taiwan pula tersenarai sebagai negara mempunyai bilangan syarikat terbanyak disenaraikan dengan masing-masing mencatatkan 23 syarikat.
Di kalangan negara ASEAN pula, Malaysia mendahului dengan bilangan syarikat paling banyak dalam senarai berkenaan.

Sejumlah 46 syarikat adalah pendatang baru dalam senarai itu, sementara 17 syarikat disenaraikan kembali selepas setahun dan 72 syarikat pernah disenaraikan sekurang-kurangnya sekali.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kanak-Kanak Gelandangan Hadapi Risiko Terlibat Jenayah


KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa diminta mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah kanak-kanak gelandangan yang berkeliaran dan bermain di lorong-lorong gelap sekitar Lorong Haji Taib dan Jalan Chow Kit di bandar raya, kata seorang aktivis masyarakat hari ini.

Pensyarah, Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din berkata ini kerana kanak-kanak tersebut menghadapi risiko menjadi seorang yang agresif dan terjebak dengan pelbagai kegiatan jenayah dan tidak bermoral pada masa depan ekoran keadaan persekitaran mereka.

Bekas Pengarah Institut Sosial Malaysia itu berkata kawasan 'gelap' tempat tinggal mereka itu perlu dibersihkan bagi memberi persekitaran yang kondusif untuk mereka membesar.

"Kita kena faham itu adalah ruang dan kawasan kehidupan mereka, kalau kita ambil keluarga ini dan beri tempat tinggal baru serta pekerjaan baru di kawasan lain, mungkin tidak berhasil.

"Jadi kita perlu 'putihkan' kawasan itu dengan sediakan tempat seperti kawasan permainan, rekreasi, penjagaan kesihatan dan tempat pembelajaran yang sempurna dalam erti kata lain kawasan kejiranan yang sempurna," katanya kepada Bernama.

Mohd Fadzil berkata di samping kemudahan, kegiatan jenayah di kawasan itu perlu dihapuskan bagi memberi persekitaran yang selamat kepada anak jalanan ini membesar dengan sempurna.

"Apabila anak ini tengok kiri tengok kanan agresif dia akan jadi agresif sama. Jenayah akan mempengaruhi anak itu untuk turut terjebak, tambah teruk jika ibu bapa mereka terlibat dengan menjadi pelacur, pengedar atau penagih dadah di kawasan itu. "Ibu bapa yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini perlu kita bantu, ada antara mereka yang melakukan jenayah kerana terpaksa. Apabila kita tolong ibu bapa mereka, kita akan tolong anak jalanan ini juga," katanya.

"Masyarakat perlu hentikan sikap tuding menuding jari menuduh siapa penyebab masalah ini dan siapa yang harus bertindak mengatasi masalah yang menular di kawasan Lorong Haji Taib dan Jalan Chow Kit.

"Masyarakat perlu faham anak ini perlukan bantuan jadi masyarakat perlu 'turun padang' membantu bukan hanya biarkan tanggungjawab ini kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan agensi kerajaan sahaja," kata Mohd Fadzil. Beliau berkata ini perlu sungguhpun ada undang-undang digubal bagi mengatasi masalah ibu bapa yang membiarkan anak mereka menjadi anak gelandangan di mana mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, mana-mana ibu bapa membiarkan anak tanpa pengawasan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman denda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Nur Hikmah Malaysia, Othman Ahmad berkata konsep kekeluargaan perlu diterapkan dalam membawa anak jalanan yang tidak mempunyai ibu bapa keluar daripada kawasan 'gelap' tersebut.

"Konsep bawa dan tempatkan mereka di asrama tidak akan membantu kerana apa yang paling penting bagi mereka sekarang ialah kasih sayang, mereka kurang kasih sayang. Konsep pengetua dan anak murid tidak begitu berhasil.

"Kita perlu beri lebih daripada itu, kita tempatkan mereka di rumah yang selesa dan beri kasih sayang kepada mereka. Konsep sebuah keluarga yang besar merupakan konsep terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menjatuhkan hukum kepada anak jalanan ini kerana mereka hanya mangsa keadaan dan persekitaran yang membinasakan mereka. "Apabila kita dekati anak jalanan ini kita tidak boleh 'ketat' sangat. Kena banyak bertolak ansur dan bersabar dan guna pendekatan psikologi jika tidak mereka akan lari. Paling penting kita kena buat mereka tahu kita sayang mereka," katanya.

Yayasan yang ditubuhkan pada 2005 itu mempunyai dua rumah perlindungan di Kajang dekat sini yang menempatkan kira-kira 60 orang pada satu-satu masa. Bagi mereka yang berminat untuk membantu sila hubungi 03-87396994. -BERNAMA