Ahad, 12 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Tumpu Aspek Keselamatan Semasa Pulang Berhari Raya



Oleh : WONG PEK MEI dan M. KUMAR

PETALING JAYA : Dengan sambutan Hari Raya kurang dari seminggu lagi, pihak berkuasa jalan raya dan lebuh raya memberikan tumpuan terhadap aspek keselamatan ketika balik kampung beramai-ramai.

Negara menanggung kerugian melebihi RM10 bilion setiap tahun dengan kira-kira 7,000 kematian akibat kemalangan kebanyakannya melibatkan individu berusia di antara 15 dan 30 tahun ketika musim perayaan.

Oleh itu, penekanan lebih diberikan terhadap aspek keselamatan dan pencegahan selain penguatkuasaan.

Para pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mula melakukan pemeriksaan ke atas bas dan bas tambahan di depoh untuk memastikan tayar, sistem brek dan beberapa bahagian penting berfungsi dengan baik.

Tempoh penguatkuasaan yang bermula Ahad dan akan berakhir sehingga 26 Ogos akan dilakukan ke atas bas eskpres dan pemandu di 32 terminal utama.

Sistem brek dan tayar bas eskpres yang dijadualkan melakukan perjalanan lebih 300km atau berada di atas jalan raya lebih daripada empat jam akan turut diperiksa.

"Terdapat beberapa pegawai yang menggunakan pakaian biasa menyamar sebagai penumpang bas untuk memantau kesalahan dan sikap pemandu yang boleh menimbulkan risiko kemalangan di jalan raya.

"Pemandu yang didapati melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan akan menerima saman  selepas bas yang dipandu tiba di destinasi ditujui," kata seorang jurucakap JPJ.

Pegawai berpakaian biasa itu akan mengambil gambar kesalahan yang dilakukan pemandu seperti melanggar lampu merah, melintasi garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

JPJ juga akan menempatkan para pegawainya di beberapa kawasan panas selain meletakkan lampu amaran sebagai peringatan kepada pemandu supaya tidak melanggar undang-undang lalu lintas.

"Kami juga akan melakukan pemeriksaan secara rambang ke atas kenderaan di kawasan panas dan meneliti buku log pemandu untuk memastikan mereka tidak memandu melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam," kata jurucakap itu.

JPJ akan bekerjasama dengan polis dalam kempen Ops Selamat dengan lebih 6,000 anggota polis, jabatan pertahanan awam dan agensi berkaitan akan ditempatkan di 150 kawasan sering berlaku kemalangan.

PLUS Malaysia Berhad akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan pada Isnin untuk membantu pemandu merancang perjalanan dan meningkatkan bilangan kakitangannya di plaza tol dan pusat rehat dan rawat.

Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), Rahim Goon berkata lebih ramai kakitangannya akan bertugas di plaza tol, pusat rehat dan rawat serta kawasan cenderung kemalangan untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas atau kecemasan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, syarikat bas sudah melakukan pemeriksaan rutin kenderaan dengan sendiri.

"Pengusaha bas turut memberi penerangan kepada pemandu untuk mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab menjamin keselamatan para penumpang," katanya.

Ketua Komandan, St. John Ambulance Malaysia, Datuk Dr Low Bin berkata kira-kira 50 ambulans akan bersiap-sedia di beberapa lokasi plaza tol terpilih dan balai polis sepanjang musim perayaan ini.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SUKAN : Kuasa Gadis’ Pandelela


Oleh : Johardy Ibrahim

“Yeaa...Girl’s Power!" (Kuasa Gadis!) jawab Pandelela Rinong Pang spontan semasa dinyatakan oleh penyampai stesen radio bahawa beliau adalah wanita pertama Malaysia merangkul pingat Olimpik. Jawapan comel itu disusuli dengan ketawa seorang remaja berusia 19 tahun.

Jika tidak kerana penyampai radio terlalu banyak celoteh, mungkin lebih banyak kata-kata Pandelela yang boleh didengar. Perbualan yang diringkaskan itu masih berupaya menonjolkan perwatakan Pandelela. Beliau ternyata gembira dan ceria. Suaranya bergetar dan sentiasa diselang-seli dengan ketawa kecil. Ini pesona Pandelela disalurkan terus menerusi radio. Kita yang mendengar turut tersenyum. Bagi kebanyakan kita, kegembiraan Pandelela itu sememangnya dikongsi beramai-ramai tanpa perlu dijamu ais krim.

Kejayaan Pandelela ini juga sekurang-kurangnya mampu mengurangkan gegak-gempita beberapa hari sebelum itu dalam acara badminton iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada Lin Dan. Betapa berat bahu Chong Wei menanggung harapan seluruh negara, maka apabila beliau menitis air mata di atas podium, ramai yang sebak. Lelaki, perempuan; Cina, Melayu, India dan semua merasainya.

Ini kerana air mata itu memberi isyarat jelas bahawa Chong Wei telah berhabis dan berjuang sepenuh tenaga dalam perlawanan tetapi apakan daya, Lin Dan tetap berkelebihan dua mata di hadapannya untuk merangkul emas.

Maka penerjunan Pandelela yang diikuti dengan penuh minat dan tabah (berlangsung sepanjang subuh merangkumi waktu sahur), adalah penawar lara yang mengembalikan keceriaan. Paling penting, tiada lagi ahli politik bankrap idea berani mempertikaikan Pandelela seperti yang dilakukan terhadap Chong Wei walaupun ramai yang mencari identiti sebenar pemegang akaun Facebook, Johari Pain yang bertaruh akan memotong komponen penting badannya jika Malaysia menang pingat dalam acara terjun tersebut.


Pingat gangsa Pandelela tidak akan dinilai lebih rendah daripada pingat perak yang dimenangi Chong Wei, kerana kedua-duanya adalah pencapaian terbaik Malaysia pada Olimpik 2012 di London. Mengikut rekod, M. Vasugi adalah wanita Malaysia yang memenangi pingat Olimpik di Seoul pada 1988 dalam acara taekwando. Namun, ketika itu acara taekwando adalah bersifat pertunjukan sahaja iaitu kaedah Korea untuk melobi agar ia dijadikan acara rasmi yang dipertandingkan di Olimpik. Bermakna Pandelela berhak digelar pemenang wanita pertama Malaysia tapi tidak perlu kita padam habis pencapaian Vasugi yang juga telah mengharumkan nama negara.

Keupayaan Pandelela meraih pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik 2012 dalam acara platform 10 meter Individu, amat mengagumkan walaupun bagi yang sudah mengikuti perkembangannya, ia bukan memeranjatkan.

Ini kerana Pandelela sudah pun membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa iaitu tempat keenam dari 24 peserta di Piala Dunia Penerjunan FINA di Beijing pada 2008.

Pada 2009, bersama Leong Mun Yee, mereka meraih pingat gangsa di kejohanan dunia di Rome dan pada Ogos 2010 Olimpik Remaja di Singapura, Pandelela meraih dua pingat perak.

Dikenali

Tentunya nama Pandelela mula dikenali ramai ekoran kejayaannya memenangi pingat emas terjun platform 10 meter di Sukan Komanwel di New Delhi, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama memenangi emas dalam acara itu.

Barang harus diingat, penyertaan seseorang atlet dalam sukan Olimpik bukan secara automatik. Sebaliknya ia adalah berdasarkan ranking dan pencapaian sebelum itu, yang hanya melayakkan atlet yang benar-benar berkelas dunia. Pandelela meraih tempatnya setelah menduduki tempat keempat di Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai pada Julai lalu, dibantu oleh pencapaiannya di Sukan Komanwel.

Bagi mereka yang telah mempersoalkan kewajaran anugerah Olahragawati Kebangsaan 2012 yang dimenanginya pada April lalu, atau mempertikai kenapa beliau dipilih membawa bendera semasa perarakan kontinjen Malaysia di Stadium Olimpik London, maka pingat gangsa inilah jawapannya!

Satu aspek yang luar biasa ialah asal usul Pandelela sebelum bergelar atlet. Berketurunan Bidayuh dengan keluarganya berasal dari Bau (sebut Ba-uk), daerah ini bukan di pedalaman tetapi sekadar 24 kilometer dari pusat bandar raya Kuching. Bau kini lebih dikenali sebagai laluan menuju ke pasar sempadan Serikin.

Mengikut rekod, bakat Pandelela dikesan oleh jurulatih negeri semasa di bangku sekolah. Difahamkan kriteria khusus yang perlu ada pada seorang atlet penerjun air ialah badan bersaiz kecil (untuk gusti harus berbadan sasa?).

Luar biasa yang saya maksudkan ialah sikap keterbukaan ibu bapa Pandelela iaitu Pamg Joheng dan Hartini Lamin untuk melepaskan anak perempuan mereka berkecimpung secara serius dalam bidang sukan. Mereka yakin masa depan Pandelela dijaga sepenuhnya oleh kerajaan, yang menyediakan peluang pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, selain berlatih dan bertarung di seluruh dunia.

Keluarga Pandelela bukannya sedia kala senang. Menurut Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuching, Saiful Haizan Hasam, bapa Pandelela iaitu Pamg hanyalah buruh kasar dan menyewa rumah di Samarahan sebanyak RM600 sebulan yang didiami Pandelela bersama tiga lagi adik beradiknya. Beberapa ketika ini, majikannya tiada projek menyebabkan Pamg tidak dipanggil bekerja. Menganggurlah dia sejak itu. Untuk menonton aksi anaknya, Pamg menonton saluran RTM kerana langganan Astronya telah dipotong.

Benar sebagai pemenang pingat gangsa, Pandelela bakal menerima hadiah RM100,000 dari Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak mungkin menganugerahkan tanah. Ia akan dinikmati selepas bersusah-payah. Pengorbanan yang dilalui keluarga Pandelela belum ramai yang sanggup lakukan. Ini kerana ramai yang menganggap bidang akademik lebih menjamin masa depan anak. Moga kejayaan Pandelela dan keyakinan ibu bapanya boleh membantu mengubah persepsi rakyat Malaysia. Atlet berwibawa harus dibentuk dari peringkat usia muda lagi.

Satu aspek lagi ialah sistem pembinaan atlet di Malaysia tidaklah seburuk yang ditohmahkan oleh pengkritik. Penemuan bakat-bakat muda seperti Pandelela dan Bryan Nickson Lomas di Sarawak yang kemudian muncul sebagai atlet negara, adalah manifestasi kekukuhan sistem tersebut. Tidak perlu tukar kerajaan untuk atlet kita meraih pingat emas.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Apabila pendidikan jadi komoditi perdagangan


Oleh : Dzulkifli Abdul Razak
 
Kebelakangan ini kita sering terbaca bagaimana sukarnya untuk mengendalikan sesebuah universiti, khususnya yang bukan ditaja Kementerian Pengajian Tinggi. Soal utama sudah tentu bersangkutan dengan hal kewangan kerana secara lazimnya sesebuah universiti itu adalah satu pelaburan yang besar dan hanya mendatangkan ‘pulangan’ dalam masa yang agak lama.

Berbeza dengan perniagaan lain, umpamanya dari aspek pembuatan, pendidikan (walau ingin dianggap sebagai perniagaan) tidak dapat disamakan daripada kefahaman untung rugi bagi sesebuah perniagaan.

Bayangkan saja selain daripada pelaburan untuk membangunkan hal ehwal akademik, universiti terpaksa juga melabur mengenai pembangunan hal-ehwal pelajar termasuk prasarana seperti tempat rehat mereka, jika tidak asrama, tempat beriadah dan bersukan, mahupun segala peralatan yang sesuai kerana ini semua termasuk dalam pengertian pendidikan sebenarnya.

Sekiranya aspek penyelidikan diambil kira untuk sebuah universiti yang dianggap baik, ini akan menelan kos tambahan yang banyak.

Hatta tanpa keupayaan menanggung pembiayaan secara berterusan kekangan kewangan sudah tentu menjadi penghalang besar bukan saja untuk mencemerlangkan sesebuah institusi itu tetapi baik setakat untuk bernafas lega sekali pun.

Oleh sebab itu jugalah di merata dunia kini, termasuk negara ekonomi kaya sekalipun, yuran pengajian anak tempatan ditingkatkan berlipat kali ganda. Contoh yang jelas ialah apa yang berlaku di Britain sejak kebelakangan ini apabila yuran dinaikkan hampir tiga kali ganda mencecah £9,000.

Bezanya di Malaysia adalah rata-rata yuran pengajian dikawal oleh kerajaan menerusi kementerian dan tidak boleh ditingkatkan sewenang-wenangnya. Oleh itu, di Malaysia yuran pengajian secara umumnya tidak dapat dijadikan sumber utama pendapatan untuk tujuan menampung pembangunan universiti keseluruhannya.

Perkara ini menjadi lebih rumit lagi sekiranya diambil kira aspek autonomi yang memberi kebebasan kepada universiti untuk memimpin, mengurus dan mentadbir mengikut matlamat dan falsafah masing-masing.

Universiti swasta, misalnya boleh menentukan kadar yuran sendiri kerana daya pasaran mampu mendukungnya atau mengadakan pelbagai program berbentuk komersial bagi tujuan menampung pembiayaan universiti berkenaan.

Itu belum lagi mengambil kira perubahan mendadak yang berlaku kepada pengajian tinggi di seluruh dunia, termasuk penggunaan teknologi canggih untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Malah kepelbagaian kini dikatakan sebagai tonggak penting mendapatkan pengalaman untuk pengajian tinggi. Ia bermaksud keupayaan menampung pembiayaan seumpama ini juga diperlukan sekiranya universiti berkenaan mahu menarik minat pelajar mendaftar untuk mengikuti programnya.

Pendek kata, pembiayaan akan jadi lebih meruncing, terutama apabila program pertukaran itu membabitkan negara maju dengan kos sara hidup yang lebih tinggi. Memandangkan semua ini ramai pakar pendidikan mengatakan bahawa untuk menguruskan sesebuah universiti bukan semudah dijangka. Malah ada yang menganggap bahawa universiti adalah satu-satunya organisasi sukar untuk diurus.

Urus tadbir korporat atau perniagaan yang sering dikenakan kepada universiti rata-rata tidak sesuai jika diambil kira pandangan alam sesebuah universiti sebagai satu institusi yang mementingkan kemakmuran negara dan masyarakat mendahului kepentingan lain.

Dalam hal ini, universiti mempunyai aspirasi tinggi sebagai institusi yang pasrah mencari kebenaran bersumberkan ilmu pengetahuan, sambil warganya berazam mempertahankan kebenaran sepenuh jiwa raga sebagai ilmuwan.

Pertimbangan seumpama inilah yang membuatkan universiti itu begitu sukar diurus tanpa berkompromi dengan soal pokok yang mutlak bagi perkembangan ilmu. Ini menjadi semakin rumit jika kefahaman pendidikan diselewengkan pula oleh pihak lain sebagai satu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk menampung perjalanan universiti berkenaan, sekali gus menggadaikan apa itu ‘kebenaran’ serta nilai yang berkaitan dengannya.

Umumnya universiti yang cenderung kepada mencari keuntungan mendahului soal kebenaran sudah hilang sifat dan fungsinya sebagai sebuah universiti yang hakiki.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary dan bekas Naib Canselor USM (2000-2011)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/