Oleh Nordin Kardi
HUJUNG abad ke 19 hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu
negara di dunia yang pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan
kejayaan impian supaya negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti.
Pelbagai perkataan yang indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang
kehebatan negara bangsa yang baru merdeka itu dalam menentukan kesanggupan
bangsa itu menghadapi sendiri nasib baik dan buruk pada zaman berikutnya.
Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz dengan penuh semangat dan
didokumentasikan.
Kebebasan menentukan nasib diri sendiri yang dipanggil juga sebagai kedaulatan menjadi perkataan suci
yang sanggup dipertahankan dengan apa saja.
Aspirasi menentukan nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua
peperangan besar dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang.
Artikel Satu, Perkara Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
menyebutkan dengan jelas tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip equal rights dan self-determination demi memastikan keamanan sejagat.
Selanjutnya Artikel Dua, Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan
setiap negara anggota yang berbunyi, Organisasi ini
berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap negara anggota.
Namun pertengahan kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran
warganegara yang dahulunya sangat kental mempertahankan prinsip menolak
sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa
kepada set pemikiran yang seperti mengundang pihak luar secara terhormat
memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak betul dalam menguruskan kehidupan
sesebuah negara anggota masyarakat dunia.
Jika pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara
mencatat tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara
dijajah kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia
seperti mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.
Ini mungkin kerana kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang
secara tradisinya suka menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui
pelaburan dalam pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar
pelbagai budaya, aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional.
Perubahan set pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang
subur bagi kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk
tujuan menjaga pelbagai kepentingan mereka.
Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan
dan kemudian menggunakan PBB untuk menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.
Badan-badan yang pada mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela,
tiba-tiba berubah menjadi badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai
peraturan yang mereka namakan sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa
penjajah tradisi ini menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh
badan dunia yang mulia itu.
Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia ini
ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran.
Suatu badan yang asalnya ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom
Antarabangsa (IAEA), melekatkan dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan
penggunaan tenaga atom untuk tujuan kesejahteraan manusia dan keamanan, telah
mengeluarkan peraturan yang membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat
oleh negara-negara anggota.
Selepas Iran mengakui telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua
Pengarah IAEA membuat kenyataan bahawa kawalan edaran tenaga
nuklear hendaklah dipindahkan daripada kuasa nasional kepada kuasa
multinasional.
Jika Charter PBB itu diumpamakan Perlembagaan sesebuah negara, peraturan
IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan itu yang menjamin ruang kuasa atau jurisdiction sebuah negara anggota.
Arahan itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.
Merestui
Dalam kes Iran, mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA
oleh negara penjajah tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran
mengawal kesudahan usaha nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah
mengeksport revolusi pada tahun 1980-an di bawah Khomeini.
Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana badan-badan sukarela
dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak bermoral dalam
menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya demokratik.
Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa luar
yang menggunakan ejen-ejen tempatan.
Badan yang ditaja, menamakan diri mereka The National Coalition for Haitian
Rights (NCHR) memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan
raya.
Badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan
menghentikan semua bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu.
Namun keadaan itu tidak pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan
Aristide. Episod ini berkesudahan dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai
kudeta yang dilakukan sendiri oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan
memaksanya menandatangani surat meletak jawatan sebagai Presiden.
Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan kawalan tentera asing
bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke Afrika Selatan. Dua
orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di Amerika Syarikat
kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan masing-masing,
sebagai Presiden dan Perdana Menteri.
Ini suatu keadaan yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat
pemimpin di Afghanistan, termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia
sekarang. Meskipun The Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di
sini mengutuk kudeta di Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru,
kutukan itu tidak pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB.
Demikianlah, bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh
warganegaranya boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti
warganegara juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan
tertentu.
Kuasa luar dijemput secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara
sesebuah negara sasaran, dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang
menjemput itu mewakili golongan yang sangat minoriti.
Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit warganegaranya mulai dilatih dan
diorientasikan dengan sengaja supaya mengagungkan pengesahan daripada kuasa
luar ini tentang apa yang baik dan tidak baik untuk Malaysia.
Atas nama pengiktirafan antarabangsa dari sekecil perkara berkaitan hal
teknikal seperti dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari
Geneva, hingga ke pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking
hinggalah kepada proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk
atau sejahteranya umat di negara ini.
Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara di Malaysia
sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar.
Orang berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi
perlakuan tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.
Dikatakan Pilihan Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak
diselia, dipantau dan disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti.
Yang terbaharu pada pengamatan saya di Malaysia ialah munculnya golongan
yang bergerak cergas mengundang campur tangan PBB menyemak semula referendum
1963 tentang pembentukan Malaysia.
Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya.
Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein
Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh
itu.
Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan
antinasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama
kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku
mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.
Dalam kes Haiti, Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku
kerana keengganannya membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti
elektrik dan telekom yang dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh
syarikat-syarikat besar daripada Amerika Syarikat terutamanya.
Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya berbanding Haiti. Malaysia ada
TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan itu pemimpin Malaysia
sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/