Oleh : FRANCESCA
PETERS
HARI ini, pada tahun 2012, memang sangat luar biasa dan membimbangkan
kerana ramai antara kita ketiadaan arah dan hala tuju patriotisme yang
sepatutnya wujud secara semulajadi. Terlalu banyak perkara negatif yang terjadi
dipaparkan dalam berita. Apakah yang menjadi punca ketidakseimbangan dan
kelemahan ini?
Sebagai duta Pertubuhan Kebajikan Antarabangsa
World Vision di Malaysia selama tujuh tahun; saya percaya, sekarang adalah masa untuk menumpukan
perhatian sepenuhnya terhadap masa depan kanak-kanak dengan memberi pendidikan
secara percuma kepada mereka.
Kita juga memerlukan guru-guru yang bagus dan kreatif untuk mengajar
anak-anak ini. Jangan dilupa, kanak-kanak adalah masa depan kita. Silapnya
apabila kebanyakan orang hanya mahu anak-anak mereka menjadi popular atau
sekadar berkahwin dengan orang berharta dan tidak memikirkan tentang
kepentingan pendidikan yang sepatutnya menentukan masa depan anak mereka.
Masih diingat ketika 40 tahun lalu semasa saya masih kecil, ketika
bermain dengan abang dan adik lelaki semasa ayah dan ibu saya tinggal bersama
dengan datuk dan nenek di sebelah mendiang bapa di Taiping, Perak, kami
dibesarkan dalam keadaan udara yang bersih dan tiada pencemaran.
Ketika itu kami sangat bebas bermain dan tidak perlu berasa takut kerana
dikelilingi jiran tetangga yang budiman daripada pelbagai kaum. Hanya
kadangkala kedengaran suara nenek yang memanggil, "Fran, jangan panjat
pokok, kamu budak perempuan, bukan budak lelaki."
Apabila teringat pada kenangan manis ketika kecil selalu membuatkan saya
rasa terpanggil untuk menghalang kanak-kanak lain daripada bergaduh atau
mencuri tetapi ia hanya sekadar menambah masalah terhadap diri saya kerana
dituduh masuk campur dalam kehidupan orang lain. Banyak kenangan pahit dan
manis dan apabila sesekali teringat, saya pasti akan menitiskan air mata.
Semasa ibu bapa saya berpindah dari Taiping, saya menghabiskan masa cuti
sekolah bekerja dengan mendiang bapa saudara yang mempunyai sebuah kedai
Kopitiam Hailam di penghujung jalan di Ipoh. Ketika itu ramai yang datang ke
kedai tidak mengira Melayu, Cina dan India, mereka sangat muhibah, bersatu-padu
dan hidup secara aman damai.
Saya masih muda ketika itu namun ia sangat meninggalkan impak besar
terhadap saya tentang negara yang saya cintai dan berharap ia akan kekal
sehingga sekarang. Zaman persekolahan pada masa itu juga sangat muhibah,
murid-murid bergaul sesama sendiri tidak mengira kaum dan kami sering
berkunjung ke rumah kawan-kawan untuk makan, bermain, membuat kerja sekolah
bersama dan yang paling penting kami bertutur dalam bahasa Malaysia dan bahasa
Inggeris dengan baik. Selain itu, kami bebas bergurau senda tanpa rasa
sensitif. Malangnya, pada zaman sekarang yang semakin luas dengan penggunaan
Internet telah mengubah keadaan itu dan saya berharap dapat mengulangi
saat-saat dulu.
Sebagai seorang penyanyi, penulis lirik dan pencipta lagu yang mengecapi
sejarah industri muzik yang banyak berubah selama 34 tahun di dalam dan luar
negara, saya amat berbangga kerana masih mempunyai peminat yang sebahagian
besarnya orang Melayu, yang paling setia dari dulu sehingga sekarang. Di
samping mereka yang suka menganggap saya 'lebih menjiwai keMelayuan', saya juga
mempunyai peminat daripada kaum Cina, India, Sikh, Portugis, Sabah, Sarawak,
serta tidak ketinggalan orang Asli dan lain-lain.
Menginjak ke generasi yang kelima di mana Malaysia telah mencapai 55
tahun merdeka, saya percaya kita harus menumpukan perhatian untuk membaik pulih
sistem pendidikan negara dengan mengamalkan sistem pembelajaran yang terbaik
terutamanya dalam meningkatkan kepentingan penguasaan bahasa antarabangsa iaitu
Inggeris, kerana ia sangat penting supaya kita dapat bersaing ke peringkat yang
lebih tinggi.
Pada zaman ini, pendidikan sepatutnya diberikan secara percuma kepada
semua dan bukan terbatas kepada beberapa peringkat; yang selalu diasingkan
seolah-olah dimonopoli oleh mereka yang lebih berkemampuan. Sistem pendidikan
pada zaman dahulu merupakan yang terbaik kerana mengamalkan lebih penggunaan
bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan negara
kita. Keutamaan patut diberi ke atas penggunaan bahasa Inggeris untuk
kebanyakan subjek mata pelajaran di sekolah.
Saya dapat melihat kita bakal mempunyai sekolah yang bagus dengan
mengamalkan sistem sekolah kebangsaan. Bezanya ketika dahulu apabila kami
mempunyai masa terluang kami diberi peluang untuk mempelajari bahasa tambahan
seperti bahasa Tamil, Mandarin atau tulisan Jawi kerana tiada kekangan untuk
berbuat demikian. Ketika itu juga kantin sekolah hanya menyediakan makanan yang
sihat kepada murid dan makanan yang tidak berkhasiat tidak dibenarkan berada di
kawasan sekolah. Jadi saya rasa kita perlu mengubah keadaan menjadi seperti itu
semula supaya dapat menghindari anak-anak daripada penyakit yang tidak
diingini.
Kita patut perjuangkan untuk mencapai perpaduan supaya negara kita
dihormati oleh negara lain, agar mereka dapat melihat suasana berbilang kaum
dan cerdik pandai, tiada kaum yang akan ketinggalan baik Melayu, India atau
Cina dan lain-lain, semuanya sama dan saling berganding bahu untuk mencapai
Satu Malaysia, Satu Negara dan Satu Bangsa, tiada lagi keperluan untuk mengisi
pilihan bangsa di dalam borang. Inilah Malaysia yang saya inginkan dan impikan.
Kita telah pun mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu, jadi tiada keperluan
untuk bercakap tentang penjajahan British. Jika kita masih memandang ke
belakang dengan menyingkap kisah silam, kita tidak akan maju ke hadapan dan
membuat perubahan terhadap negara kita yang dicintai.
Jadi, kita mesti menumpukan untuk mengangkat martabat sistem pendidikan
negara kepada tahap yang lebih tinggi bagi setiap rakyat Malaysia dan
meninggalkan legasi untuk kebaikan generasi masa depan, bersama-sama mengangkat
ekonomi kita ke arah yang lebih dinamik dan menyatupadukan semua rakyat
Malaysia daripada semua kaum dan agama, ke arah keharmonian, kehormatan,
kesaksamaan dan keamanan sejagat.
Harapan saya untuk Malaysia:
Marilah kita memupuk keamanan, perpaduan,
kesaksamaan dan kebebasan beragama. Maksud perkataan 'toleransi' dan
'penerimaan' tidak harus digunakan dan disalahgunakan dan sepatutnya menyebut
perkataan 'pemahaman' dan 'saling menghormati dengan tulen'.
Kita adalah 100% rakyat Malaysia, bukan sebab siapa diri kita, apa yang
kita miliki atau apa yang kita percayai. Saya terlalu rindu dengan Malaysia
yang sangat bersatu padu, saling berganding bahu dan merendah hati pada 40
tahun yang lalu.
Kepada semua rakyat Malaysia, ini adalah negara kita yang dicintai, jadi
marilah kita sama-sama menjaga hak rakyat sebagai warganegara yang tulen.
Semoga Tuhan merahmati kita dan seluruh rakyat Malaysia. Selamat ulang tahun
yang ke-55, Malaysia ku yang tercinta!
Francesca Peters ialah penyanyi popular era 80-an sehingga kini yang
turut diingati dengan lagu patriotik Setia. Beliau juga seorang komposer,
penulis lirik dan duta World Vision di Malaysia selama tujuh tahun
berturut-turut.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/