Isnin, 8 Oktober 2012
ISU PENDIDIKAN : Membetulkan persepsi konsep sekolah asrama
SEORANG pakar akademik
pendidikan, John Beamish daripada Linden Boarding Schools menyarankan agar
konsep sekolah berasrama di negara ini dinilai dengan skop yang lebih luas dan
berhenti mengaitkannya dengan tanggapan lapuk.
Menurutnya, gambaran tradisi yang
mengaitkan sekolah berasrama dengan aktiviti buli perlu dikikis dan masyarakat
perlu menilai kewujudan sekolah berasrama dari sudut positif.
''Imej sekolah berasrama yang
digambarkan sebagai tempat pelajar dibuli oleh pelajar senior perlu dibetulkan
kerana aktiviti ini suatu kegiatan yang tidak baik dan perlu dihapuskan,"
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Ujarnya, biarpun gejala buli
sering berlaku di sekolah asrama namun keistimewaan dan kebaikan konsep sekolah
berasrama tidak harus dipinggirkan malah perlu dipermoden.
''Apa yang harus dilakukan
sekarang adalah kita perlu melakukan perubahan yang lebih moden terhadap sistem
sekolah berasrama agar tidak lagi dilihat sebagai satu perkara tradisi.
''Hakikatnya, konsep sekolah
berasrama ini banyak kebaikan berbanding keburukan jika kita melihat skop
pelaksanaannya secara lebih luas," katanya.
Malah, tegasnya, kajian turut
membuktikan pelajar yang tinggal dalam persekitaran sekolah berasrama lebih
berdisiplin dan berwawasan tinggi.
Selain itu, ujar beliau, konsep sekolah
berasrama sering disalahertikan dengan menganggap kemudahan itu disediakan
khusus untuk membantu membaiki masalah disiplin dalam kalangan pelajar bermasalah.
''Hakikatnya, banyak kelebihan
jika membesarkan anak-anak di sekolah berasrama selain anggapan hanya untuk
memisahkan hubungan anak dan ibu bapa serta menekankan konsep memaksa pelajar
mencapai keputusan peperiksaan cemerlang," tegasnya.
Namun, kata beliau, konsep
pendidikan sekolah berasrama banyak mengkhususkan kepada 'kehidupan untuk
belajar' dalam kehidupan harian dan menjadikan pembelajaran sebagai budaya
hidup.
''Sekolah berasrama membentuk
kehidupan pelajar menjadi lebih baik malah mereka yang pernah mengikuti
pembelajaran di sekolah asrama mengakui sanggup mengulangi pembelajaran secara
sekolah berasrama," kata beliau.
Pada perkembangan yang sama,
Beamish memberitahu, pihaknya berhasrat menganjurkan persidangan pameran
menggabungkan beberapa sekolah berasrama berprestij di seluruh dunia November
depan di Kuala Lumpur.
Negara yang akan terlibat dalam
persidangan itu ialah Kanada, Jordan, Sweden, Switzerland dan Jerman.
Antara objektif utama penganjuran
termasuklah menyedarkan masyarakat umum mengenai konsep modenisasi yang perlu
diterap dalam penambahbaikan konsep sekolah berasrama.
ISU PENDIDIKAN : 481,424 calon duduki PMR esok
KUALA LUMPUR - Sebanyak 481,424 calon akan menduduki
Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok sehingga 16 Oktober ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh
negara.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran
hari ini, mereka melibatkan 448,436 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan
dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 5,846 calon adalah dari sekolah di
bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Seramai 10,051 calon lagi adalah dari sekolah menengah agama
negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian dan 2,212 calon
sekolah menengah agama rakyat. - BERNAMA.
ISU PENDIDIKAN : Penulisan sejarah dan sejarah Malaysia
Oleh : PROFESOR A MURAD MERICAN
PELBAGAI tafsiran dan perspektif
dalam penulisan sejarah dan sejarah Malaysia seharusnya menarik perhatian kita.
Sejarah sesebuah masyarakat dan negara adalah sesuatu yang dinamik.
Kepelbagaian tafsiran tidak wajar dibendung dalam iklim demokrasi dan kebebasan
intelektual dalam masyarakat berbilang kaum, agama, tradisi, nilai dan
identiti.
Dalam konteks yang sama, komentar
Profesor Datuk Dr. Sidek Baba mengenai pentingnya subjek Sejarah (24 September
2012, h. 11) perlu diberi perhatian sewajarnya. Prof. Sidek menguatkan lagi
kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasakan subjek
Sejarah dengan memberi perhatian kepada isu-isu berikut:
* Keperluan pendidikan
sejarah
* Kurikulum dan
tafsirannya
* Metodologi
pengajaran-pembelajaran
* Mewajibkan Sejarah
dalam sistem persekolahan
Penulis juga menyentuh mengenai
jati diri dan kewatanan, tafsiran dan orientasi. Penulisan Prof. Sidek menambah
kepada jalur-jalur wacana mengenai persejarahan dan sejarah di Malaysia di
akhbar Utusan Malaysia, juga lain-lain suratkhabar dan majalah, terutama sekali
yang berbahasa Melayu. Wacana popular sejarah Malaysia dalam media cetak Melayu
yang berorientasi sentimen dan pandangan alam Melayu umumnya dianggap sebagai
selari dan sebahagian daripada 'sentrik-nasional.' Begitu juga dengan wacana
sedemikian dalam media berbahasa Inggeris dan media berbahasa Cina. Wacana
mengenai sejarah Malaysia tersebut yang bukan hanya melalui surat khabar dan
majalah, tetapi juga blog dan penulisan dalam talian, umumnya menjurai kepada
perspektif yang berbeza.
Selain itu, wacana yang sama juga
terpapar melalui karya-karya penulisan buku selama dua dekad kebelakangan ini -
yang pada awalnya menonjolkan tokoh-tokoh Parti Komunis Malaya dan peranan mereka
serta pelbagai faham Komunisme dalam perkembangan sejarah Malaysia.
Penulisan sejarah, komentar
mengenai sejarah dan kurikulum sejarah Malaysia semakin menyerlah memaparkan
dan menonjol peranan masyarakat dan individu dalam pembinaan negara Malaysia.
Umumnya orientasi penulis dan penulisan berbeza mengikut identiti dan etnisiti
mereka yang menulis. Perkara ini perlu dilihat sebagai proses percambahan
naratif mengenai bangsa dan negara, dan ia akan terus berlaku.
Sekurang-kurangnya wujud satu perdebatan sihat yang dapat melibatkan semua kaum
dan seluruh lapisan masyarakat.
Namun tiada satu konsensus umum
mengenai bila sejarah Malaysia bermula serta pengiktirafan fahaman
"pribumi." Malah dalam pelbagai wacana, terutama sekali pada tahap,
atau berselindung di sebalik wacana akademik, identiti pribumi dan kepribumian
itu cuba dihapuskan.
Bagi menjelaskan maksud komentar
ini, saya menarik perhatian kepada penerbitan buku bertajuk Malaysian Chinese
and Nation-Building: Before Merdeka and Fifty year After, 2007 terbitan Centre
for Malaysian Chinese Studies (Pusat Kajian Cina Malaysia) bertempat di Kuala
Lumpur. Buku terbitan dua jilid itu disunting oleh Voon Phin Keong. Jilid satu
merangkumi tiga bahagian, yakni pengenalan, latarbelakang sejarah dan
perspektif ekonomi. Penghasilan buku ini ialah dari sebuah projek untuk
meneliti sumbangan masyarakat Cina dalam sejarah dan pembinaan negara bangsa
yang sekian lama dikatakan terpinggir. Pendahuluan buku itu cuba meyakinkan
bahawa masyarakat Cina Malaysia "dibendung" oleh tempat kelahiran,
ketaatan, dan ikatan kepada tanah tumpah darah.
Saya menyorot bab 1 dan bab 2
yang masing-masing bertajuk "State and Nation: An Overview and Malaysian
Perspective" [Negara dan Bangsa: Selayang Pandang dan Perspektif
Malaysia], dan "Pioneers, Entrpreneurs, and Labourers: Building the Social
and Economic Foundation of Statehood [Peneroka, Usahawan dan Buruh: Membina
Asas-asas Sosial dan Ekonomi Kenegaraan].
Dalam bahagian "The
Malaysian State and Nation" [Bangsa dan Negara Malaysia], bab 1, penulis
menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa menyelusuri asal
usulnya kepada perkembangan pengawalan British dengan pembukaan Pulau Pinang
pada 1786, seterusnya kepada penyatuan Malaya dan Wilayah Borneo British 1963.
Seterusnya, bab itu menyatakan bahawa faktor utama yang memberi asas kepada
kesamaan masyarakat ke atas wilayah-wilayah tersebut ialah legasi pentadbiran
dan undang-undang British. Malah, bab itu menegaskan "asal usul kolonial
negara ini menghasilkan masyarakat majmuk" yang bersifat pemisahan ruang
dan ekonomi di kalangan kumpulan etnik yang berbeza.
Setakat apa yang diperhatikan,
wacana dalam kedua bab itu mengandaikan kedudukan dan status yang sama antara
orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, kaum Cina dan India serta penjajah dan
pentadbir British dalam pembinaan negara bangsa.
Seterusnya, bab itu menyatakan
bahawa kaitan formal kaum Cina dan Malaya (pada masa tidak ada Malaya) bermula
dengan pelayaran Cheng Ho ke Melaka pada 1407. Masyarakat perdagangan Cina
terus diasaskan di Malaya dan Borneo dengan meluasnya. Menurut bab tersebut,
ini berlaku sebelum abad ke 16 lagi.
Di Melaka, masyarakat Cina
menjadi Peranakan atau Cina kelahiran Selat yang dikenali sebagai Baba. Di
Pulau Pinang pula disebut bahawa seramai 58 orang nelayan bermastautin di situ
semasa Francis Light mendarat. "Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka
adalah orang Cina dan dipercayai mereka telah hidup di pulau itu selama 40
tahun." Salah seorang daripada mereka yang bernama Chong Li, kemudiannya
disembah oleh masyarakat Cina sebagai Ta Pek Kong, sama dengan statusnya sebagai
pengasas ('founding father.")
Apa yang dapat kita tafsirkan
daripada dua bab pertama buku Malaysian Chinese and Nation-Building ialah
walaupun penganjur buku tersebut cuba menyatakan sejarah kaum Cina di Malaysia
dari satu perspektif namun terdapat beberapa permasalahan penonjolan dan
pengwajahan dalam penceritaan sejarah Malaysia.
Dalam membincangkan sifat-sifat
"negara" dan "bangsa", kedua bab pertama itu membayangi
beberapa penafian asas negara Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan serta kefahaman sejarah yang lebih luas merentasi Kepulauan dan
Alam Melayu.
Dalam membincangkan
"bangsa," bab pertama menganggap tanggapan dan amalan "negara
bangsa" ditentukan oleh kumpulan etnik yang dominan yang terus ingin
memenuhi "ideal" budaya monolitik dalam hambatan satu
"utopia" yang tidak realistik. Ia memetik istilah yang digunakan oleh
Leo Suryadinata sebagai "Negara Pelbagai Bangsa." Suryadinata merujuk
kepada Negara-negara Asia Tenggara seperti juga Indonesia. Bab itu juga
menyentuh soal bahasa. Ia menyatakan bahawa beberapa negara mempunyai satu
bahasa kebangsaan, sementara yang lainnya mempunyai dua atau lebih bahasa
rasmi. Ia memetik ahli sosiologi Max Weber sebagai menyatakan bahawa mempunyai
satu bahasa untuk semua tidak semestinya satu keperluan muktamad kepada
sesebuah negara. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang diberi dalam Bab 1, buku
itu menolak satu bahasa kebangsaan serta juga identiti kebangsaan.
Persejarahan dan sejarah
pembinaan negara bangsa Malaysia bermula lebih awal dari 1786, atau dari zaman
Kesultanan Melayu Melaka. Ratusan politik yang wujud di Nusantara sejak 2,000
tahun dahulu meletakkan batu asas kepada nilai, budaya, struktur pentadbiran
dan kerajaan negara bangsa Malaysia.
Ini dilengkap dengan agama Islam
yang memperibumikan pandangan alam tamadun rantau tersebut. Orang Melayu sejak
itu banyak berubah akibat daripada pertembungan dengan lain-lain tamadun dan
budaya. Malah sejarah dan persejarahan Melayu telah mengiktiraf arus dan aliran
mereka yang tiba dari luar rantau budaya dan bermastautin dalam kalangan
masyarakat Melayu. Jika buku itu merupakan salah satu penanda aras kepada
sejarah Malaysia menurut masyarakat Cina, maka kita boleh katakan bahawa ia
adalah hanya satu lagi gambaran dan pengwajahan tentang sejarah Malaysia yang
mana ketepatannya dapat dipersoalkan. Dan gambaran semacam itu apabila
diterbitkan berkali-kali dan disebarkan kepada beribu-ribu murid di sekolah
aliran Cina, apa akhirnya akan terjadi?
Saranan Prof. Sidek itu umumnya
dibaca oleh pembaca surat khabar ini yang 99 peratus terdiri daripada orang
Melayu. Wacana itu tidak dibaca oleh pembaca Cina. Tetapi saya yakin, mesej
wacana itu akan sampai kepada golongan pendidik dan cendekiawan Cina.
Penulis ialah pensyarah di
Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, dan Ahli
Jawatankuasa Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/