Oleh : Zin Mahmud
Semalam saya ternampak pintu
gerbang baru didirikan di sebuah penempatan lama di Selangor yang dipercayai
dibina secara rasmi dengan papan tandanya tertera nama kampung dalam tiga
bahasa.
Paling atas diletakkan nama
kampung itu dalam Bahasa Malaysia, di bawahnya tertera tulisan Cina dan diikuti
dengan Tamil.
Secara praktikal sebenarnya,
tidak perlu ditulis dalam tiga bahasa: Melayu, Cina dan India, lebih-lebih ia hanya
untuk menunjukkan nama kampung itu.
Cukup dengan tulisan Bahasa
Malaysia dan pastinya semua orang dapat membacanya. Sudah tentu semua rakyat
Malaysia tahu membaca tulisan Melayu rumi lebih-lebih lagi untuk nama tempat.
Malah mereka yang bukan warganegara
seperti pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Vietnam, Myanmar
dan Nepal juga boleh membaca tulisan Bahasa Malaysia sekurang-kurangnya bagi
nama tempat.
Jadi, apa perlunya papan tanda
nama tempat itu ditulis dengan tiga bahasa?
Maka dapat dianggap bahawa
tindakan untuk meletakkan tiga bahasa itu adalah atas semangat kepelbagaian
bahasa dengan menghargai bahasa-bahasa selain Bahasa Malaysia.
Sebagai negara demokrasi sesiapa
pun bebas menggunakan bahasa apa sekalipun. Ditambah pula semua warganegara
adalah bertaraf saksama, maka begitu jugalah bahasa yang digunakan di negara
ini.
Dalam pada itu Bahasa Malaysia
tetap diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan didaulatkan. Sebab itulah dalam
mendirikan papan tanda di atas pintu gerbang itu, tulisan Bahasa Malaysia
diletakkan di atas sekali dengan saiz yang besar. Sementara bahasa Cina
diletakkan kecil sedikit iaitu di tempat kedua, diikuti dengan bahasa Tamil.
Sekali lalu, dilihat tindakan
seperti ini telah memberi penghormatan kepada ketiga-tiga bahasa dan seterusnya
kepada ketiga-tiga kaum utama negara ini.
Namun, jika diteliti secara
mendalam lagi, apa yang dianggap sebagai amalan kepelbagaian bahasa dan
kepelbagaian kaum ini adalah pada hakikatnya bersifat perkauman dan meletakkan
satu kaum di atas kaum lain.
Amalan
meletakkan bahasa Melayu, paling atas dan diikuti dengan tulisan Cina dan
Tamil seolah-oleh meletakkan kedudukan paling tinggi kepada bahasa
Melayu, diikuti dengan bahasa Cina dan Tamil.
Mungkin bahasa Melayu wajar
diutamakan kerana ia adalah Bahasa Malaysia dan menjadi bahasa kebangsaan.
Tetapi kedudukan itu juga meletakkan bahasa Cina pada kedudukan lebih tinggi
daripada bahasa Tamil.
Majoriti
Ataupun mungkin ia dilihat dari
sudut majoriti penduduk. Oleh sebab orang Melayu merupakan kaum paling ramai
bilangannya, maka sebab itulah bahasa Melayu diutamakan, diikuti dengan kaum
Cina yang bilangannya kedua terbesar dan akhirnya India yang mana bilangannya
paling sedikit.
Tetapi pemahaman ini adalah tidak
tepat. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bukan kerana bilangan orang
Melayu adalah paling banyak di negara ini.
Bahasa Melayu dipilih menjadi
bahasa kebangsaan dan kemudiannya dikenali sebagai Bahasa Malaysia kerana ia
merupakan bahasa penghubung dan penyatu rakyat negara ini.
Pada awalnya bahasa Melayu memang
sudah menjadi lingua franca yang digunakan oleh semua kaum untuk berhubung
antara satu sama lain. Dengan bahasa inilah, semua penduduk negara ini boleh
saling memahami. Ia tidak ada kaitan dengan hegemoni bahasa Melayu ataupun kaum
Melayu.
Hakikatnya, dengan bahasa Melayu,
semua rakyat negara ini berada pada kedudukan saksama kerana dapat berhubung
secara setaraf di antara satu sama lain.
Ia juga melenyapkan perbezaan dan
pengasingan antara tiga kaum di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India kerana
semuanya menggunakan Bahasa Malaysia. Tambahan pula rakyat Malaysia terdiri
daripada pelbagai kaum dan bukannya tiga kaum saja, Melayu, Cina dan India.
Banyak lagi kaum lain di negara ini.
Dari segi bahasa pula, bahasa
Cina juga bukannya satu tetapi terdapat pelbagai dialek iaitu Hokkien,
Kantonis, Hakka dan lain-lain. Sementara tidak semua kaum India bertutur Tamil.
Ada yang berbahasa Telugu, Malayalam, Punjabi dan macam-macam lagi.
Amalan mengasing-asingkan
penduduk Tanah Melayu kepada tiga kaum ditambah pula dengan tiga bahasa berlaku
pada zaman penjajahan.
Pada zaman sebelum
kemerdekaan itu, empat bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan India.
Sudah tentu Inggeris dianggap sebagai bahasa pentadbiran dengan tiga bahasa
lain iaitu Melayu, Cina dan India dipandang sebagai bahasa vernakular atau
bahasa tempatan.
Ketika mana dibuat papan tanda, akan disusun sesuatu kenyataan itu menurut tiga peringkat. Yang di atas sekali ialah Inggeris, diikuti dengan bahasa Melayu tulisan jawi, bahasa Cina dan
bahasa Tamil.
Maka bahasa disusun mengikut
tahap kedudukan kaum di Tanah Melayu ketika itu.
Tetapi kemerdekaan negara
meletakkan semua warganegara setaraf dengan penggunaan satu bahasa kebangsaan
bersama.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/